
BERMULA dengan perniagaan menerusi laman blog pada bulan Mei 2008, tiga adik-beradik yang berasal dari Johor Bahru, Johor mula bermimpi untuk meluaskan empayar perniagaan mereka ke satu fasa yang lebih terbuka.
Genap enam bulan selepas itu, mereka bertiga maju setapak lagi apabila berpeluang untuk memasarkan busana yang diambil dari pembekal di slot bazar yang terletak di Dataran Sunway.
Berkat usaha gigih dan diiringi dengan restu kedua-dua orang tua, Nurul Zulkifli, 27, Amirah, 24, dan Syahira, 29, mengorak langkah. Impian mereka bertukar kepada realiti yang indah dengan kelahiran butik MimpiKita pada Januari lalu.
Tapak yang diukir perlahan-lahan dengan penuh sabar memberikan kepuasan yang tidak terhingga buat tiga beradik itu yang lantas menetapkan misi untuk mencurahkan idea masing-masing secara serius.
Pembukaan MimpiKita berlangsung penuh meriah dengan barisan artis yang turut sama menggayakan busana mereka.
Antara artis yang hadir ialah Fauziah Gous, Marsha Londoh, Heliza, Aizat dan Farish Aziz.
Pakaian, beg tangan, kasut dan aksesori, semuanya adalah ilham mereka bersama dengan bantuan rakan perniagaan yang turut mempunyai kecenderungan dalam bidang yang sama.
“Kami bersyukur, berbangga dan sangat teruja dengan MimpiKita yang sudah pasti akan lebih dekat dengan pengunjung.
![]() |
| PEREKA fesyen dan pemilik butik MimpiKita yang terdiri daripada tiga adik-beradik, Syahira Zulkifli (kiri), Nurul dan Amirah. |
“Dengan kehadiran MimpiKita, saya amat berharap ia akan berjaya mengetengahkan jenama yang kami bawa agar dapat diterima oleh semua orang,” kata Nurul yang juga merupakan Pengarah Urusan MimpiKita.
Koleksi yang terdapat di MimpiKita tidak hanya terarah kepada wanita sahaja, malah koleksi untuk si jejaka iaitu kemeja juga boleh didapati di butik tersebut termasuk koleksi untuk kanak-kanak yang kini dalam perancangan mereka.
Meskipun tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang formal dalam bidang fesyen, kekangan itu tidak sekali-kali membataskan rekaan mereka untuk menghasilkan busana klasik dan terkini.
Lebih menarik, Butik MimpiKita bukan sahaja berlandaskan penghasilan baju kasual dan Muslimah, malah mereka turut menyediakan khidmat tempahan menjahit baju kurung, gaun dan persalinan untuk raja sehari.
Bukan itu saja, pengunjung juga tidak perlu bersusah payah mencari fabrik kerana pilihan fabrik turut disediakan. Pengunjung hanya perlu memberitahu rekaan yang dimahukan.
“Apa yang dimahukan semuanya berada di bawah satu bumbung,” katanya koleksi pakaian yang dijual bermula dari RM80.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: