
SELEMBUT namanya, begitulah personaliti Haruka Ayase, 26. Dia jelita dan tidak jemu dipandang. Menjadikan dirinya lebih terserlah, wanita berkulit putih gebu itu halus budi bahasanya dan tidak lekang dengan senyuman.
Tidak cukup dengan itu, Haruka atau nama sebenarnya Aya Tademaru mempunyai satu lagi pakej yang melengkapkan dirinya sebagai seorang wanita sempurna. Ramai bersetuju bahawa kejelitaan yang dimilikinya merujuk kepada kulit wajahnya yang bersinar bak kristal dan tampak bercahaya.
Pertemuan bersama Haruka secara eksklusif yang dibawa oleh jenama SK-II ke Singapura baru-baru ini memberi peluang kepada penulis untuk mencungkil rahsia penjagaan wajahnya.
Sambil membetulkan posisi duduknya di sofa empuk di bilik hotel, dalam nada gembira Haruka memberitahu: “Saya akan pastikan apa yang saya lakukan menggembirakan diri saya. Dengan cara itu, saya dapat mengekalkan keremajaan.”
Jawapan itu begitu holistik. Tetapi, adakah itu cukup dan memadai? Sambil menggelengkan kepala, wanita itu berkata, produk SK-II sebenarnya telah banyak membantu kejelitaannya.
Justeru, terpilih menjadi duta SK-II merupakan satu penghormatan besar kepada wanita yang dilahirkan pada 24 Mac 1985 di Asaminami, Hiroshima, Jepun itu.
Pengenalan Haruka, kata pihak SK-11, diharapkan dapat mengubah tanggapan pengguna bahawa produk itu bukanlah satu produk untuk golongan dewasa saja tetapi sesuai juga untuk orang muda.
“Jujur saya katakan, jenama inilah yang banyak menolong saya dalam banyak cara untuk mengekalkan kecantikan diri saya,” katanya dalam bahasa Jepun sambil diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh seorang penterjemah.
Haruka galak bercerita tentang SK-II tanpa perlu diasak dengan pelbagai soalan. Jelas duta SK-II paling muda itu, untuk mengelakkan kulitnya menjadi kering terutama pada musim panas, dia memilih untuk menggunakan penapis matahari.
“Saya amat peka terhadap kulit kering. Saya akan memastikan kulit mendapat nutrien yang cukup agar terus terhidrat. Kini rejim penjagaan wajah saya tampak lebih sempurna dengan menggunakan produk SK-II
“Ia bagaikan pelengkap harian saya. Segala-galanya bermula selepas saya diperkenalkan dengan topeng wajah SK-II oleh salah seorang jurusolek. Pada waktu itu wajah saya kelihatan pucat dan tidak bermaya gara-gara menjalani penggambaran di bawah pancaran matahari,” katanya yang turut mengamalkan berendam dalam tab mandi yang berisi air suam. Golongan wanita Jepun mempercayai mandian air panas dapat melembut dan mencantikkan kulit badan.
Digilai warga Jepun
Haruka yang ditemui pada satu sidang akhbar di Singapura baru-baru ini mengakui SK-II merupakan antara jenama yang digilai oleh warga Jepun. Semuanya kerana kandungan unik produk itu iaitu pitera.
Ketika menjelaskan kebaikan pitera, wanita itu nampak seperti sudah memiliki pengetahuan yang luas tentangnya.

Pitera katanya adalah sejenis kandungan yang kaya dengan nutrisi penting untuk kulit.
Penemuannya dikatakan bermula apabila saintis mendapati kandungan ragi di dalamnya mempunyai kuasa untuk mengembalikan kecantikan kulit. Ia juga difahamkan berupaya menjadikan kulit lebih muda dan bercahaya.
“Rumusan pitera juga berkemampuan melawan ketidakseimbangan setiap zon dengan kandungan vitamin, asid amino, mineral dan asid organik,” ujarnya dengan penuh keterujaan.
Hakura berkata, ke mana saja dia pergi hatta ke negara luar, dia tidak pernah lupa membawa produk SK-II.
Antara produk yang wajib dibawa ialah esen rawatan muka, krim pelembut dan topeng muka. “Itu semua merupakan asas membantu menjaga rejim kecantikan saya,’’ katanya.
Ada peringatan yang dititipkan oleh wanita jelita itu.
“Bagi yang menggunakan esen rawatan muka, pastikan kuantitinya mencukupi supaya ia mampu meresap masuk ke dalam kulit muka dan menampakkan hasil,” pesannya kepada semua pengguna SK-II.
Jelas Haruka, penggunaan esen umpama menggunakan penyegar muka sebenarnya.

Bagaimanapun, ujar Haruka, sebanyak manapun produk yang diaplikasikan, pengambilan air kosong adalah penting bagi tubuh badan termasuk menonjolkan seri muka.
Selain itu, nasihat duta baru SK-II, jangan tunggu kulit bermasalah baru hendak mencari penjagaan kulit untuk menjaganya.
Haruka merupakan seorang model, penyanyi dan aktres terkenal negara Matahari Terbit. Sebelum berkecimpung dalam bidang seni yang sarat dengan elemen glamor dan kecantikan, Haruka terlebih dahulu merasai dunia aktif dan bergelumang dengan peluh.
Ketika menuntut di sekolah menengah, wanita yang memiliki ketinggian 165 sentimeter (sm) itu pernah aktif dalam sukan bola keranjang. Pada masa yang sama dia juga mewakili sekolah dalam pertandingan Chu-goku (lari jarak jauh) wilayah Ekiden.
Bakat dan kredibiliti
Puas meneroka bidang sukan, Haruka yang memiliki darah jenis B itu beralih dalam bidang seni. Ini terbukti apabila dia berjaya melepasi sesi ujibakat dan menyertai pertandingan Horipro Talent Scout Caravan yang ke-25.
Pada peringkat awal, ibu bapa Haruka tidak bersetuju dengan keputusannya untuk bergiat aktif dalam dunia seni. Namun melihat kesungguhan Haruka, akhirnya minatnya direstui.
Hari ini nama Haruka Ayase semakin dikenali dan diminati ramai. Bukan kerana kejelitaan yang dimiliki semata-mata tetapi popularitinya memuncak kerana bakat dan kredibiliti.
Antara lakonan yang berjaya menambat peminat-peminatnya di Jepun menerusi drama Crying Out Love In the Center of the World. Lakonannya dalam drama Hotaru no Hikari telah melayakkannya dianugerahkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Nikkan.
Atas tiket sebagai seorang aktres, Haruka diberikan satu gelaran khas yang merujuk kepada kulit mukanya.
“Saya digelar mochi mochi tomago yang bermaksud kulit yang mulus.

“Saya berbangga dengan gelaran itu dan berterima kasih kepada SK-II yang telah mengubah kejelitaan wajah saya,” katanya.
Sentiasa dikelilingi lampu neon yang panas dan tidak terlepas daripada lensa kamera, produk SK-II adalah yang paling secocok dengannya.
Kunjungan Haruka ke Singapura, berbekalkan seribu harapan. Ujarnya, dia berharap jenama SK-II dapat dikembangkan secara lebih meluas.
“Saya mahu ia bukan sahaja diminati oleh pengguna dewasa tetapi orang muda tidak kira yang bekerjaya atau masih bergelar pelajar,’’ ungkapnya penuh kesungguhan.
Haruka kini bersama-sama duta SK-II bertaraf dunia yang lain seperti Cate Blanchett, Qiqi dan Lee Sinje diharap akan menjadi inspirasi kaum wanita dalam memiliki kulit wajah yang cantik, bercahaya dan berseri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: