Monday, February 7, 2011

Leez terbeban dengan watak mencabar

pix_middle
GANDINGAN...Didie turut berlakon di samping Leez dan Sharnaaz.
GANDINGAN...Didie turut berlakon di samping Leez dan Sharnaaz.

MEREKA dipertemukan buat kali pertama ketika menjayakan penggambaran telefilem Pontianak Kampung Batu yang turut dibintangi Erra Fazira, Rashidi Ishak dan Didie Alias.

Meskipun jarang berbual, namun setiap kali memasuki set bagai wujud keserasian yang begitu luar biasa antara Rosliza Rosli (Leez), 24, dan Sharnaaz Ahmad (Sharnaaz), 26.

Atas dasar dan sebab musabab itu, pengarah, Michael Ang tertarik untuk menggandingkan mereka sekali lagi dalam telefilem arahannya, Ungunya Cinta terbitan syarikatnya, Cube Film Sdn Bhd.

Bercerita mengenai keserasian dan sejauh mana ia mempengaruhi kehidupan mereka, akui Sharnaaz, dia dapat merasai perasaan cinta terhadap Leez.“Tipulah kalau saya kata saya tidak rasa. Setiap kali berdialog perlu pandang ke mata Leez dan dia pula mengungkapkan dialog itu sepenuh hatinya.


“Tetapi hal itu hanya berlaku dalam set saja ketika babak kami dijayakan. Sedikitpun perasaan itu tidak pernah terbawa-bawa sehingga ke luar kerana kami berdua profesional,” katanya.

Akui Sharnaaz, hatinya sudah dimiliki seorang yang juga terbabit dalam dunia seni. Gadis itu bernama Ruzana, yang pernah menyertai program realiti, Gangstarz bersama kumpulan Luscious.

Leez pula mengakui, walaupun baru dua kali bergandingan, ternyata dia selesa berlakon di samping aktor meningkat naik itu yang turut tercalon dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 melalui kategori Artis Baru Lelaki yang menyaksikan saingan seperti Daus, Maulana, Shahir dan Shahz Jaszle.

“Bukan senang untuk mendapat pasangan yang serasi ketika berlakon. Pun begitu, saya akui Sharnaaz antara pelakon lelaki yang paling mudah untuk saya bekerjasama.

“Walaupun masih baru, tetapi dia faham tanggungjawabnya terhadap watak diberikan. Dia terbuka dan kami akan berbincang sebelum melangkah ke set dan ini melancarkan tugas kami,” katanya.

Ungunya Cinta bakal ditayang�kan pada 10 Februari 2011 (Khamis), jam 9.00 malam
di Astro RIA. Kisahnya bermula apabila Ungu terpaksa mengajar Andi (Sharnaaz Ahmad) juga anak kepada Datin Moon (Didie Alias), sahabat kepada ibu Ungu, Rubiah (Sharifah Shahira).

Andi mempunyai perangai ‘anak orang kaya’ yang panas baran dan perengus. Dalam melaksanakan tanggungjawabnya mengajar Andi, Ungu hampir putus asa dengan perangai Andi. Akibatnya dia mula membenci Andi lalu mula mengajar sambil lewa.

Disebabkan tidak tahan dengan sikap Andi, satu hari Ungu melepaskan segala perasaannya terhadap Andi lalu timbul konflik. Begitupun, sekian lama dia bersama Andi, Ungu mula menyedari bahawa Andi bersikap demikian kerana sering kesunyian dan tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapanya.

Selepas kejadian itu, Ungu mula menyayangi Andi dan Andi juga mula sedar yang dia menyintai Ungu. Namun satu hari, Ungu keliru apabila melihat Andi bersama perempuan lain.

Apabila ditanya mengenai hubungannya dengan perempuan itu, Andi mengambil pendirian berdiam diri. Ungu yang merasa terluka, membuat keputusan tidak mahu bertemu Andi lagi.

Leez berkata, Ungunya Cinta menampilkan jalan cerita ringkas, namun bebanan yang terpaksa dihadapinya mengenai watak Ungu itu sendiri.

“Ungu gadis remaja yang meminati muzik dan bercita-cita mahu menjadi penyanyi. Pada waktu sama, Ungu juga iaitu pelajar tahun pertama di universiti bekerja sebagai guru tuisyen sewaktu cuti semester bagi mencari wang saku.

“Jalan ceritanya ringkas, cuma cabaran dalam cerita ini terletak pada karakter Ungu sendiri. Wataknya digambarkan seorang yang lepas cakap, tetapi baik hati. Sebagaimana ibunya yang dilakonkan Sharifah Shahirah, begitulah sikap Ungu sebenarnya.

“Seseorang yang bercakap lepas selalu dikaitkan sebagai individu yang tidak disukai dan jahat hanya kerana kelantangan mereka walaupun orang seperti ini mereka biasanya jujur dan tidak berpura-pura.

“Untuk mengimbangi karakter seorang yang bermulut lepas tetapi pada masa sama perlu membuatkan penonton yakin Ungu seorang yang baik, menjadi cabaran utama saya.

“Jika dibuat secara berlebihan, ia akan mengundang salah faham terhadap karakter itu. Bagaimanapun, saya berasakan sudah memberikan yang terbaik untuk Ungunya Cinta,” katanya.

Sama seperti Leez, Sharnaaz juga mengalami kebingungan menghayati watak sebagai Andi pada mulanya.

“Terus terang saya menggemari watak yang membolehkan pelakon meluahkan emosinya. Contohnya, jika sedang marah saya boleh menunjukkan kemarahan itu.

“Berbeza dengan Andi, wataknya lebih kepada memendam rasa. Suka pada Ungu, tetapi perasaan itu tidak diluahkan. Sayang dan mahukan perhatian kedua-dua orang tuanya, tetapi tidak ditunjukkan. Menghidap barah otak tetapi dia berlagak sebagai seorang yang sihat dan tiada masalah.

“Segala beban ditanggung sendiri dan hanya mampu diluahkan perasaan itu melalui mata. Inilah yang menjadi cabaran besar bimbang isyarat mata tidak sampai pada penonton,” katanya.


Ditemui pada majlis makan tengah hari yang diadakan di Alexis, The Garden, Rabu lalu, pengarah merangkap Pengarah Urusan Cube Film Sdn Bhd, Michael Ang turut hadir untuk menceritakan keistimewaan telefilem ini.

Bicara Michael, sudah �menjadi tradisi Cube Film Sdn Bhd dalam mempelbagaikan karya �dihasilkan agar dapat memenuhi selera penonton filem dan �drama tempatan. Pada �pendapatnya, penerbitan drama dan filem tempatan perlu rombakan.

Dalam merencanakan Ungunya Cinta, Michael mempertaruhkan segala yang terbaik dari sudut teknikal sehinggalah subteks dan pada waktu sama berusaha menjadikan Ungunya Cinta sebagai antara karya cinta terbaik pernah ditonton.

“Pada saya, kekuatan drama Ungunya Cinta terletak pada skrip yang dihasilkan Amor Rizan. Selalunya kita lihat cerita cinta temanya agak sama.

“Namun pengisian dalam Ungunya Cinta menjadikan ia satu karya berbeza. Konflik yang ditimbulkan Amor menerusi skrip ditulis pasti menyentuh perasaan penonton.

“Pengisian dialog yang selamba, namun penuh makna membuatkan mereka yang menyaksikan kelak akan berasa ia dekat dengan mereka. Saya percaya ada beberapa babak ditampilkan dalam drama ini akan mencuit perasaan penonton seolah-olah kenangan manis itu berlaku dalam hidup mereka sendiri,” katanya.

Karier pengarahan Michael Ang bermula dengan Wasiat Anak Dara, Cinta Lelong dan 30 Hari Mengenali Cinta. Drama itu turut memperoleh rating tertinggi untuk siaran Astro ketika itu. Syarikat itu juga pernah menerbitkan filem Anak.


PROFIL

NAMA: Sharnaaz Ahmad
PANGGILAN: Sharnaaz
TARIKH LAHIR: 30 Ogos 1985
UMUR: 26 tahun
ZODIAK: Virgo
ASAL: Georgetown, Pulau Pinang
HOBI: Main ‘video game’, bermain muzik, mengembara, fotografi dan menaiki motor besar
KERJAYA: Pelakon
ANTARA DRAMA: Tari Tirana, Dottie, Kum Kum, Pontianak Kampung Batu dan Ungunya Cinta


PROFIL

NAMA: Rosliza Rosli
PANGGILAN: Leez
TARIKH LAHIR: 12 November 1987
UMUR: 24 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
ZODIAK: Scorpio
HOBI: Menyanyi, membaca dan bersukan
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon
ANTARA DRAMA: Astana Idaman, Sembilu Kasih, Pontianak Kg Batu dan Ungunya Cinta

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: