
HUJUNG minggu lalu, penyanyi Deja Moss yang kini terbabit dalam teater Terima Kasih Cinta secara lantang meluahkan perasaan kurang puas hati terhadap ketidakadilan pihak produksi yang mencicirkan namanya dalam agenda promosi mereka.
Sebagai peneraju utama yang membawa watak Dian, apa yang berlaku ke atas dirinya dianggap sebagai satu hal yang mengecewakan. Apatah lagi ada sesi promosi yang hanya membawa pelakon tambahan, tetapi pemain utama sepertinya ditinggalkan.
Bukan dia 'lapar' publisiti. Sebagai orang lama dalam industri, dia sudah faham benar permintaan media. Tetapi yang mengecewakannya adalah kerana dia begitu komited untuk mempromosikan teater yang dianggap sebagai yang terbaik ini. Sebagai peneraju utama, dia turut berasa bertanggungjawab untuk turun padang melakukan promosi agar teater ini penuh panggung kelak.
Mengaku selepas kelantangannya bersuara, keadaan menjadi sedikit tegang dan keruh namun dia tidak gentar. Tegasnya, perlu ada seseorang yang lantang menyuarakan hak sebagai pelakon.
Dia juga tidak bimbang, andai dilabel sebagai pelakon bermulut lantang dan menyebabkan pihak produksi lain takut untuk mengambilnya sebagai pelakon.
"Saya tidak berbuat jahat, rezeki itu datang daripada Allah. Saya tidak serik berlakon teater jika produksi itu profesional. Saya lantang bersuara kerana saya suka berlakon teater. Ada juga pelakon lain yang terasa seperti saya tetapi mereka memilih untuk berdiam diri," katanya serius.

Beritahunya lagi yang sebelum ini pernah berlakon di pentas teater menerusi teater Inggeris Hello Dolly, ramai peminatnya memberi sokongan padu dan bertanyakan tentang teater Terima Kasih Cinta di laman sosial Facebook miliknya.
"Ramai yang bertanya macam mana untuk dapatkan tiket dan sebagainya. Jadi, saya jalankan tanggungjawab saya untuk memberi promosi kepada peminat. Saya tidak kisahlah andai mereka (produksi) tidak menghargai saya," katanya yang sedang dalam perbincangan untuk mengeluarkan album duet bersama penyanyi Safura.
Bagaimanapun kata pemilik nama sebenar Sharifah Hadijah Wan Moss ini, kelantangannya bersuara bukan bermakna dia cemburu. Tetapi dia mahu pihak produksi berlaku adil kepada semua pelakon yang telah diberi kepercayaan untuk menjayakan teater yang bakal dipentas di Istana Budaya bermula 17 Februari hingga 6 Mac ini.
Katanya: "Saya tidak kisah jika mahu beri publisiti kepada pelakon pembantu tetapi biarlah secara adil. Ada pelakon yang tidak mahu pergi sesi promosi, baik bagi pelakon yang mahu jayakan sesi promosi. Saya pun pelakon dalam teater ini, sebelum ini pihak produksi menjanjikan promosi hebat secara besar-besaran, apa yang saya boleh cakap mana janji-janji manismu itu."

Melepaskan ketegangan dicicirkan daripada promosi dengan bercerita tentang wataknya sebagai Dian, Deja nyata teruja untuk berkongsi pengalamannya.
Dian, menurut Deja adalah seorang wanita tabah yang terlalu mengharapkan cinta daripada suami orang. Mengakui sukar untuk menyesuaikan diri dengan wataknya, kata Deja pengarah Pat Ibrahim banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.
"Teater ini sangat istimewa kerana ia muzikal dan drama. Jika drama sahaja mungkin saya tidak akan terima. Saya sendiri terkejut kerana Pat berjaya mengeluarkan bakat yang saya rasa saya tidak miliki sebelum ini, dia yang memberi motivasi kepada saya.
"Walaupun bayaran tidak tinggi dan latihan yang lama, kepuasan yang diperolehi daripada teater amat berbeza dengan nyanyian. Saya perlu buktikan kepada diri sendiri yang saya mampu melakonkan watak Dian dengan baik," katanya yang juga sibuk membantu persatuan ibu tunggal Shuhadah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: