Thursday, February 10, 2011

Kak Engku, Adzmin pegang tangan demi anak


RAJA AZURA dan bekas suaminya, Adzmin sewaktu masih lagi bergelar suami isteri. Gambar ini dirakam pada tahun 2009.


TEKA-TEKI kontroversi penyampai radio popular, Raja Azura atau mesra dengan panggilan Kak Engku berpimpin tangan dengan bekas suaminya pada Januari lalu kini terjawab apabila perkara itu diakui sendiri oleh beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Aksi intim berkenaan dilihat ketika Kak Engku bersama bekas suaminya, Adzmin Tan Sri Osman berjalan-jalan di sebuah kompleks beli-belah di ibu kota.

Walaupun kedua-duanya mengenakan kaca mata hitam, kelibat penyampai radio Sinar FM dan pasangannya itu tetap dikenali ramai.

Semasa diajukan pertanyaan mengenai aksi berpegangan tangan, tiba-tiba penyampai radio slot Sinar Pagi yang pada mulanya begitu riang dengan keramahannya bertukar sayu.

Sambil mengesat air mata yang mula membasah kelopak matanya, dia berterus-terang mengatakan sejak perceraiannya tahun lalu sehingga saat ini, Kak Engku dan bekas suami masih berpura-pura mesra di hadapan anak-anak.

Tambah pilu apabila tidak seorangpun daripada ketiga-tiga anaknya mengetahui perpisahannya dengan bekas suami disebabkan mereka terlalu kecil.

“Saya perlu berlakon dan ketepikan ego di depan anak-anak kerana itu janji saya bersama bekas suami setelah berpisah secara baik.

“Sampaikan televisyen dan surat khabar mengenai kisah perceraian kami pun tidak didedahkan kepada anak-anak disebabkan mereka terlalu cerdik bertanya pelbagai soalan,” katanya yang mengaku sudah terbiasa hidup solo sekarang.

Dia ditemui selepas majlis meraikan Top 5 kategori Pelakon Komedi Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011) anjuran jenama perhiasan, Mandalay di ibu negara baru-baru ini.

Terdahulu, Raja Azura dan Adzmin menggemparkan dunia hiburan tanah air dengan berita perceraiannya sejak Ogos lalu dan disahkan bercerai talak satu melalui satu prosiding tertutup pada 28 September lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor .

Kak Engku berkahwin dengan Adzmin pada Mac 2001 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Haqim, 7 dan Puteri Mia Maizura, 4 tahun.

Rujuk

Menurutnya, setiap minggu dia akan melayan bekas suaminya seperti biasa malah anak-anak mereka tidak merasai sebarang perubahan kerana mereka tahu Adzmi bekerja di Alor Setar dan akan pulang ke Kuala Lumpur pada hujung minggu.

“Dia (Adzmin) pun banyak bertanya khabar saya malah baru-baru ini kami beramai-ramai ditemani pembantu rumah pergi bercuti ke Cameron Highland, Pahang.

“Walaupun baru saja habis edah tetapi terus-terang saya katakan saya masih sayangkan bekas suami saya. Kalau dia boleh kembali pada saya, Alhamdulillah,” katanya yang mengharapkan sinar baru pada dirinya dan anak-anak.

Ujar Kak Engku, dia masih menyimpan harapan untuk kembali bersama Adzmin kerana anak-anak yang dikurniakan ini merupakan zuriat bekas suaminya.

“Saya menganggap pergolakan ini sebagai dugaan daripada Allah. Cuma apa yang saya harapkan agar semuanya kembali dengan lebih baik selepas ini.

“Pada masa ini memang susah untuk saya memberitahu perkara sebenar kepada anak-anak. Mungkin jika kami bertemu jodoh masing-masing baru perkara ini diperjelaskan kepada anak-anak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: