Friday, February 18, 2011

Kad kahwin istimewa


Mohd. Rosdi Saleh bersama salah seorang pembantunya di Gedung Kad Kahwin di Puchong Perdana, Selangor, baru-baru ini.


DALAM mengatur majlis perkahwinan banyak perkara yang perlu diberi perhatian terutama urusan menempah kad jemputan perkahwinan untuk dihantar kepada tetamu.

Malah, kad jemputan itu juga boleh menjadi lambang kepada status keluarga pengantin berkenaan berdasarkan kepada keunikan kad yang ditempah.

Pereka kad kahwin yang juga pemilik Gedung Kad Kahwin, Mohd. Rosdi Saleh, 33, berkata, kad jemputan perkahwinan mempunyai nilai sentimental tinggi dan boleh disimpan untuk kenangan.

''Tidak kira sama ada majlis perkahwinan itu berlangsung dalam skala kecil atau besar dengan lokasinya di kampung atau bandar ataupun di hotel. Kad jemputan tetap menjadi keutamaan kerana ia merupakan medium utama untuk memaklumkan kepada tetamu berkaitan majlis yang akan diadakan pada tarikh dan tempat yang tertentu,'' ujarnya yang lebih sepuluh tahun terlibat dalam bidang percetakan.

Jelasnya, walaupun perubahan zaman menyebabkan dunia teknologi maklumat semakin berkembang yang membolehkan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) atau mel elektronik (e-mel) digunakan untuk menjemput tetamu tetapi tradisi menghantar kad jemputan tidak pernah pupus, malah terus berkembang maju dengan kreativiti yang terkini.

Bermodalkan RM1,000 bersama rakan kongsi, Zulfahmi Yatim, semasa menceburi bidang ini, Mohd. Rosdi memberitahu, kad jemputan ditempah berdasarkan jumlah tetamu yang ingin dijemput dan ini berkait pula dengan jumlah makanan yang akan dihidangkan untuk mereka.

''Sebab itu, kad ini penting kerana selain memaparkan nama dan nombor telefon tuan rumah, pengantin, tarikh, masa dan lokasi majlis perkahwinan serta peta bagi memudahkan tetamu datang, ia juga boleh memberi maklum balas tepat berhubung jumlah sebenar tetamu yang akan hadir ke majlis itu, sekali gus dapat merancang bajet makanan yang akan disediakan," katanya ketika ditemui di kedai miliknya yang terletak di Kompleks Puchong Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya mengenai rekaan pula, Mohd. Rosdi menjelaskan, pelbagai rekaan yang terdapat di kedai miliknya bermula dengan rekaan klasik seperti tepak sireh sehingga yang paling moden yang menggunakan manik, gambar pengantin dan juga rekaan kartun.

"Mengikut trend sekarang, ramai pasangan pengantin mahu meletakkan gambar mereka pada kad jemputan. Malah ada yang mengadakan sesi fotografi khas seakan majlis persandingan sebenar. Gambar itu kemudian dicetak pada kad jemputan kahwin mereka," katanya.

Bagaimanapun kebiasaannya, kad jemputan itu selari dengan tema majlis perkahwinan yang diadakan termasuk pemilihan corak, warna dan saiznya.

Dibantu dengan 10 kakitangan, Mohd. Rosdi berkata, dalam menghasilkan rekaan kad jemputan kahwin yang menarik, ia memerlukan kreativiti.

Ditanya mengenai harga, dia menjelaskan yang paling murah ditawarkan di gedungnya ialah 0.35 sekeping. Pakej kad kahwin itu disertakan dengan kotak telur dan juga bunting.

Bagi mereka yang berminat untuk melihat kreativiti kad kahwin bolehlah berkunjung terus ke Gedung Kad Kahwin di FF11-12 Tingkat 1, Kompleks Puchong Perdana, Puchong, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: