Wednesday, February 9, 2011

Kad debit-I berkonsep syariah diperkenalkan



Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) menyasarkan permohonan kad debit-I, Orchid yang dilancarkannya semalam mencapai 75,000 pemegang, menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, sasaran itu didorong oleh keunikan ciri-ciri dan kemudahan yang ditawarkan oleh kad Orchid tersebut kepada pelanggannya.

Menurutnya, kad debit tersebut menggunakan konsep syariah wakalah dan ujrah dalam transaksinya, dan orchid dalam konteks tersebut merupakan akronim kepada One Retail Cash Islamic Debit Card.

“Kad Orchid ini lahir daripada inspirasi gaya hidup para pelanggan bank masa kini yang lebih mementingkan keselesaan di samping keselamatan dalam sebarang urusan perbelanjaan seharian.

“Bank Rakyat juga bekerjasama dengan Mastercard Worldwide untuk membolehkan pengguna kad Orchid menjalankan transaksi pembelian runcit, pembelian di internet mahu pun pengeluaran tunai di mesin ATM di seluruh dunia,” katanya semasa pelancaran kad debit-I Bank Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Datuk Dr. Syed Jalaluddin Syed Salim dan Naib Presiden merangkap Pengurus Kanan Negara Malaysia & Brunei Mastercard Worldwide, Jim Cheah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: