|
|
Berbunga hati Sari Sulastri, 28, (bukan nama sebenar) ketika namanya dipilih untuk bekerja di satu-satunya spa di dalam Penjara Wanita Kajang.
Memang dia tidak pernah menyangka latihan yang diterima di bengkel kemahiran ketika pada masa sama menjalani hukuman penjara, melayakkannya menjadi ahli terapi kecantikan terlatih.
Bertugas di spa di bawah pengawasan pegawai bertugas bukanlah menjadi satu masalah bagi Sari kerana yang penting dia dapat memanfaatkan kemahiran yang diperoleh lebih-lebih lagi apabila dibebaskan enam bulan lagi.
Pada dasarnya Sari bukanlah penjenayah yang boleh mengancam nyawa orang lain.
Ibu kepada seorang anak berusia sembilan tahun itu, menghuni sel tirai besi itu atas kesalahan masuk ke negara ini secara tidak sah.
"Saya bangga sebab terpilih mempelajari kemahiran seperti mengurut, cara mandi lulur, rawatan kuku dan pembersihan wajah.
"Kalau dulu saya langsung tidak mempunyai kemahiran ini dan alhamdulillah saya kini berjaya melakukan perkhidmatan yang terbaik buat pelanggan di sini," jelas wanita kelahiran Indonesia ini.
Tambah Sari lagi, di samping keinsafan yang diterima di penjara dia bersyukur kerana ilmu yang diperoleh boleh digunakan untuk mencari peluang pekerjaan kelak.
Seorang lagi banduan, Hanizah, 37, (bukan nama sebenar) kini mengikuti bengkel jahitan sejak enam bulan lalu.
Dia yang dihukum atas kesalahan mengedar dadah, berazam untuk menjadi tukang jahit apabila dibebaskan.
"Terus terang saya katakan, saya amat seronok. Dulu saya langsung tak tahu menjahit. Te tapi sekarang saya sudah boleh menghasilkan uniform pegawai penjara," katanya yang bakal mendapat Sijil Kemahiran MARA (SKM) selepas tamat latihan.
Bagi V. Parimala, 52, (bukan nama sebenar) pula, dia memilih untuk mengikuti bengkel kraf tangan.
Bekas peguam yang menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan pecah amanah, kini melalui fasa ketiga bagi tempoh hukumannya.
"Saya seronok kerana diberi kebebasan idea untuk menghasilkan kraf-kraf baru. Ramai juga yang memuji hasil kerja tangan saya.
"Latihan kemahiran ini sebenarnya amat memberikan kelegaan terutama untuk menghilangkan tekanan," kata ibu kepada dua anak ini.
Ketiga-tiga banduan wanita tersebut merupakan sebahagian daripada statistik Jabatan Statistik Negara yang menganggarkan 6.66 juta rakyat negara ini diklasifikasikan dalam kategori latent workforce - merujuk kepada kumpulan yang berpotensi untuk berada di pasaran pekerjaan.
Antara yang termasuk dalam kumpulan tersebut ialah bekas banduan, suri rumah, pesara, Orang Kurang Upaya (OKU), bekas penagih dan warga emas.
Golongan banduan misalnya merupakan antara yang sukar untuk memasuki pasaran pekerjaan kerana kesilapan silam mereka itu.
Rekod peribadi itu menyebabkan para majikan begitu berhati-hati untuk mengupah golongan tersebut walaupun sesetengahnya memiliki kemahiran tertentu.
Malah pihak Jabatan Penjara sendiri memastikan para banduan itu dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran supaya apabila dibebaskan mereka dapat berdikari dan tidak menyusahkan masyarakat.
Sebab itu banduan yang melalui fasa ketiga dalam hukuman mereka diberi peluang bekerja di bengkel kemahiran mengikut minat mereka.
Malah mereka turut dibayar gaji menerusi sistem gaji berperingkat.
Dan ramai juga yang tidak sedar bahawa di sebalik tembok tinggi penjara terdapat satu 'perusahaan' khas yang 'pekerjanya' adalah para banduan.
Daripada memproses makanan sejuk beku, menjahit baju kurung, kemeja hinggalah kepada produk kraf tangan.
Ketika mula-mula melangkah kaki masuk di penjara golongan ini langsung tidak memiliki sebarang kemahiran.
Tetapi di dalam penjara mereka bukan sahaja menjalani hukuman tetapi turut dididik dan diajar supaya menjadi manusia lebih bertanggungjawab termasuk di
Banduan-banduan itu dilatih oleh pegawai yang dilantik khas oleh pihak penjara bagi menyediakan mereka untuk kembali ke dalam masyarakat apabila dibebaskan.
Di Penjara Wanita Kajang misalnya, terdapat beberapa bengkel kemahiran khas seperti memasak, jahitan, lukisan batik, kraf tangan, kemahiran spa dan salun.
Apa yang jelas penjara bukan sekadar institusi di mana pesalah jenayah menjalani hukuman, Ia juga merupakan pusat kemahiran yang memberikan banduan peluang menambah ilmu sekali gus membentuk jati diri sebagai insan yang bukan saja berguna pada diri sendiri bahkan masyarakat.
Matlamatnya ialah supaya ilmu itu digunakan sebaik mungkin selepas mereka bebas.
Termasuk memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan. Malah ada majikan yang sudi mengambil pekerja yang terdiri daripada bekas banduan menerusi kemahiran yang telah mereka terima semasa di penjara.
Stigma oh stigma
Bekas banduan bermakna mereka telah kembali ke pangkuan masyarakat dan sama seperti kita.
Cuma bezanya mereka telah dihukum di sebalik tembok dan besi yang dinamakan penjara dan masyarakat pula seperti mempunyai satu stigma terhadap golongan ini.
Semua manusia di muka bumi ini pernah melakukan kesilapan, tidak kira sama ada kesalahan besar atau kecil kita semua tidak dapat lari dari melakukannya.
Jadi. janganlah kita terlalu menganggap diri kita baik dan tidak layak disamakan dengan bekas banduan.
Kita seharusnya mempunyai sifat memberi peluang sesama manusia dan yakin setiap bekas banduan akan dapat dipulihkan sepenuhnya jika ada kerjasama dari ahli masyarakat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: