Wednesday, February 9, 2011

Di sebalik kemewahan Haq


ZUL Huzaimy dan Ady Putra menjadi seteru dalam filem Haq yang kini sedang ditayangkan di pawagam.


PELBAGAI perasaan yang timbul sebaik sahaja melangkah keluar dari panggung wayang selepas sesi pratonton filem Haq di GSC Signatures, The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Memang tidak dinafikan, penulis meletakkan sedikit harapan yang tinggi terhadap filem itu memandangkan sedutan filem itu yang pernah ditayangkan tidak berapa lama dulu begitu mengagumkan.

Apatah lagi, dengan kemenangan Haq bagi kategori Lakon Layar Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) yang lalu membuatkan hati ini begitu berkobar-kobar untuk melihat hasil keseluruhan filem arahan CL Hor dan Jumaatun Azmi ini.

Namun, benarlah kata orang. Sedutan filem atau kata mudahnya, trailer bukanlah satu jaminan sesebuah filem itu akan menjadi sebuah karya terbaik.

Sudah banyak kali, penulis ‘tertipu’ dengan trailer yang dilihat begitu gah dan hebat tetapi akhirnya, ia tidak menjadi sebuah karya yang diharap-harapkan.

Bukan hanya penulis, malah teman-teman media yang lain juga ‘pening’ dan mula tertanya-tanya apakah sebenarnya yang mahu ditonjolkan di dalam filem ini?

Pelbagai persoalan yang timbul sehingga sukar sekali untuk mencari jawapan di sebalik setiap karakter dan jalan cerita dalam filem yang dicanang sebagai sebuah karya hebat untuk tahun 2011.

Haq mempunyai premis yang baik iaitu tentang kisah dendam dan kuasa yang dimiliki oleh dua saudara yang memiliki ideologi berbeza sejak kecil.

Biarpun kedengaran agak klise dan sering kali ditonjolkan dalam filem dan drama tempatan yang lain, tetapi jika diolah dengan baik, Haq mampu memberi satu kelainan kepada industri perfileman tanah air.

Bukan mahu merendah-rendahkan filem tempatan, tetapi kesilapan yang sering dilakukan oleh karyawan seni kita adalah kegagalan untuk mengolah filem itu dengan baik.

Jika sebuah filem itu meninggalkan pelbagai tanda tanya sehingga mengerutkan dahi mereka yang menontonnya, itu merupakan satu petanda bahawa ia bukanlah filem yang baik.

Maaf cakap, Haq dikategorikan dalam kelompok itu walaupun ia ditunjangi oleh barisan pelakon yang cukup hebat dan kredibiliti mereka yang memang tidak dapat dinafikan lagi.

Zul Huzaimy misalnya, memang seorang aktor yang cukup disegani dan berada di landasannya tersendiri. Tetapi lakonannya sebagai Haq tiada apa yang boleh dibanggakan. Dia tetap Zul Huzaimy seperti mana watak-watak seumpamanya yang pernah dibawakan sebelum ini.

Begitu juga dengan Ady Putra. Watak antagonis memang dijayakan dengan baik. Tetapi masalahnya di sini, watak jahat itu sudah menjadi terlalu klise dengan pengucapan dialog secara berbisik dan mimik muka yang ada kalanya tidak begitu menyakinkan.

Watak Aina oleh Raja Farah juga mengundang pertanyaan kepada mereka yang menontonnya. Adakah kemunculan Raja Farah sekadar penyeri filem ini sedangkan lakonannya tiada apa yang boleh dibanggakan?

Tertanya juga di manakah kehebatan lakonan Raja Farah sebagai Aina sehingga tercalon sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM23? Memang pelik bin ajaib.

Memetik kata penerbit dan pengarahnya, Jumaatun yang mengatakan filem ini memiliki unsur Islamik tetapi di manakah terletaknya keislaman Haq kalau sebahagian besar plot ceritanya mampu mengundang seribu tanda tanya?

Sebagai contoh, kehidupan bebas dan kemewahan seperti amalan meminum wain serta adegan panas antara Zahra lakonan Nanu Baharudin dan Bad (Ady Putra) adakah satu tiket untuk Haq dalam menonjolkan keterbukaan Islam walaupun hidup dalam serba kemodenan?

Dalam masa yang sama, Haq juga dilabelkan sebagai sebuah filem aksi. Tetapi maaf cakap sekali lagi, menonton adegan aksinya tidak langsung menimbulkan keterujaan.

Semuanya dalam standard biasa dan tidak menepati genre aksi seperti mana yang dicanangkan sebelum ini.

Satu yang pasti, Haq memiliki kelebihan dari aspek sinematografi yang boleh dikatakan agak cemerlang dan cukup menyakinkan.

Selaku pengarah dan penerbit, Jumaatun cukup yakin dengan kemampuan Haq dengan pelbagai strategi yang sudah diaturkan untuk membawa Haq jauh berkelana sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Memang ada pihak yang mahu menayangkan Haq di beberapa buah negara Timur Tengah serta mendapatkan hak penayangan baik di pawagam mahupun televisyen.

“Selepas menayangkan filem ini kepada mereka, ternyata mereka yakin dengan kemampuan Haq dan tertarik dengan unsur Islamik yang ditonjolkan dalam filem ini,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar sejurus tayangan berakhir.

Bukan itu sahaja, Jumaatun juga mengkhabarkan pihaknya akan menjadikan Haq sebagai sebuah siri trilogi. Katanya, dengan adanya siri itu kelak ia akan menghuraikan segala kekusutan serta persoalan yang berlegar selepas menonton filem ini.

Ketika ditanya, apakah dia akan meneruskan projek berkenaan seandainya Haq tidak dapat mencatatkan kutipan pecah panggung, Jumaatun tetap mahu merealisasikan impiannya itu.

“Jika tidak siri trilogi sekalipun, memadailah kalau saya membikin sebuah sekuel atau prekuel untuk filem Haq ini. Saya sedar sebagai seorang yang cukup baru dalam bidang pengarahan dan penerbitan filem, masih banyak yang perlu saya belajar.

“Sebenarnya mengarahkan filem pertama ini memang banyak dugaannya dan barulah saya tahu bukan mudah untuk menjadi seorang pengarah filem.

“Tetapi kata orang, kita belajar daripada kesilapan dan begitu juga dengan diri saya. Segala kelemahan dalam filem ini, saya akan cuba perbaiki untuk filem-filem akan datang khususnya untuk sambungan Haq.

“Saya hanya berharap usahlah masyarakat atau sesiapa pun akan cuba membandingkan trilogi Haq ini kelak dengan francais filem antarabangsa yang lain kerana sememangnya ia jauh cukup berbeza,” ujarnya yang mengakui kesulitan yang dialami sewaktu mengarahkan Haq terutama aspek suntingan filem tersebut.

Selain Zul Huzaimy, Ady Putra dan Raja Farah, Haq turut dibintangi oleh Fatimah Abu Bakar, Nanu Baharudin, Zulkifli Ismail, Ammar Adli Mohamed Norin, Amirul Adli Mohamed Norin dan Kenji Sawahi.

Bagi mereka yang belum berkesempatan menonton Haq, masih belum terlewat untuk anda ke panggung untuk menyaksikannya ketika filem ini masih hangat diputarkan.

Apa pun kritikan dilemparkan kepada Haq, pastinya setiap individu mempunyai pandangannya tersendiri.

Adakala di mata pihak media atau pengkritik filem barangkali tidak sama dengan penerimaan khalayak yang mungkin merasakan Haq sebuah filem yang bagus.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: