Wednesday, February 9, 2011

AST temukan pelakon veteran


MOHD Mahyidin Mustakim (lapan dari kiri) bersama para penerima AST di Hotel Fairmont, Singapura baru-baru ini.


ANUGERAH Seri Temasek (AST) yang cuma mempunyai tujuh kategori boleh diibaratkan anugerah yang diadakan bagi mempertemukan para karyawan terutamanya pelakon popular era tahun 1950-an dan 1960-an di Singapura.

Selain bertanya khabar satu sama lain, anugerah anjuran Majlis Pusat Singapura dan Hann’s Entertainment itu juga mengimbau banyak nostalgia buat para karyawan filem Malaysia dan Singapura yang hadir memeriahkannya.

Momo Latiff, 90, atau Marfuah Abdul Karim yang merupakan pelakon paling senior hadir menerima Anugerah Seri Temasek bersama 13 lagi penerima lain gembira kerana turut serta pada anugerah itu biarpun dalam keadaan bertongkat.

Pelakon yang mempunyai 12 anak, 48 cucu dan 26 cicit ini berkata, biarpun kadang-kala pelupa tetapi apabila berjumpa semula dengan para pelakon seangkatannya pada AST kenangan silam sebagai pelakon kembali segar di hatinya.

“Saya gembira kerana ia peluang saya bertemu kawan-kawan lama sewaktu menjadi pelakon 50 tahun lalu. Kenangan berhijrah dari Medan, Indonesia ke Singapura pada usia 15 tahun juga masih segar.

“Selain itu, nama Momo yang diberikan oleh seorang tauke sarkis di Jakarta telah menjadi nama pentas saya hingga kini. Nama itu diberikan kepada saya kerana gaya dan pergerakan saya yang macam tomboy ketika itu,” ujarnya.

Ratu Airmata filem Melayu klasik, Neng Yatimah, 86, menitiskan airmata lantaran gembira dapat berjumpa dengan ramai pelakon seangkatannya pada malam itu dan menerima Anugerah Seri Temasek.

Menurut Neng yang mesra dengan panggilan Mak Neng dan kini menetap di Tampines, Singapura, biarpun namanya masih diingati ramai peminat tetapi dia terpaksa melupakan hasrat untuk berlakon kerana faktor usianya yang lanjut.

“Saya tidak rindu lagi pada bidang lakonan kerana sudah lama meninggalkannya. Saya masih sihat cuma ingatan saya kurang baik. Kalau berlakon saya mungkin lupa dialog.

“Kalau dulu saya boleh melakonkan adegan menangis dari pukul 10 pagi sampai 6 petang kerana hati saya mudah tersentuh,” ujarnya.

Penyanyi dan juga anak seniwati Allahyarham Siput Sarawak iaitu Anita Sarawak juga antara yang menerima anugerah kategori Anugerah Pencapaian Seri Temasek begitu teruja pada majlis penganugerahan tersebut.

AST yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu sekali gus menganugerahkan Anugerah Lagenda Seri Temasek kepada Allahyarham ibu penyanyi popular dari Singapura itu.

“Apabila menerima anugerah ini, ingatan saya mengimbas pesanan arwah ibu saya yang banyak memberi galakan supaya bekerja keras dan berdisiplin dalam bidang yang saya ceburi ini. Saya tidak sangka dapat anugerah ini.

“Sebelas tahun lalu saya pernah bercadang untuk bersara menyanyi tetapi kerana sokongan anda saya masih berada di sini. Malah, Abang Mahathir (suami) juga antara orang yang membawa saya semula dalam bidang ini,” katanya.

Penerbit MIG Production, David Teo yang menerima Anugerah Pencapaian Seri Temasek berharap lebih banyak filem terbitannya akan ditayangkan di Singapura kerana ia juga bertaraf antarabangsa.

“Filem terbitan saya, Jangan Pandang Belakang telah ditayangkan di Singapura dan mendapat kutipan tiket RM400,000 manakala filem Santau pula RM300,000.

“Ini menunjukkan filem-filem saya bukan sahaja berjaya di Malaysia tetapi di Singapura. Kalau ia tidak mendapat sambutan di Malaysia, mana mungkin ia diterima di Singapura,” jelasnya.

Selain penerima anugerah yang terdiri daripada para pelakon veteran, Syamsul Yusof merupakan penerima anugerah AST termuda menerusi Anugerah Harapan Seri Temasek menganggapnya sebagai galakan kepada kerjayanya.

Sebagai pelakon dan pengarah filem muda di Malaysia, anak penerbit filem terkenal Datuk Yusof Haslam ini berkata, dia berharap untuk mengatasi pencapaian bapanya sebagai penerbit yang berjaya dalam bidang perfileman.

“Saya berasa rendah diri dan seperti tidak layak menerima anugerah ini kerana terlalu baru dalam bidang ini. Kalau dulu filem Sembilu arahan bapa saya mengutip RM6 juta kerana ketika itu tiket wayang harganya sekitar RM5.

“Kalau ikutkan harga tiket sekarang jumlah itu sepatutnya RM12 juta. Cabaran saya bagaimana mahu mengatasi kutipan tiket bapa saya sekurang-kurangnya lebih daripada RM12 juta,” tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: