Wednesday, February 9, 2011

Cerita Azura Aziz, keluarga di Mesir

Berikanku kebebasan, lepaskan tanganku, Telah banyak kuberikan, Tiada lagi yang tinggal, Oh! Garimu membuatkan tanganku berdarah, Untuk apa aku simpannya, Sedangkan ia tidak bermakna buatku...

Tiada siapa pernah memikirkan yang suatu hari bait-bait sebuah lagu sentimental popular penyanyi legenda Mesir, Ummi Kalthum itu boleh menjadi lagi berunsur patriotik dalam menggambarkan apa yang sedang berlaku di Mesir hari ini.

Keluarga di Malaysia lega dapat khabar

Itulah gambaran yang diberikan oleh penyanyi nasyid keturunan Mesir yang pernah menghasilkan album di Malaysia, Cheb Ali. Cheb Ali, isterinya penyanyi Azura Aziz dan keluarga kini menetap di Mesir.

Mereka juga turut mengalami detik cemas semasa masyarakat Mesir memprotes mahu presiden Hosni Mubarak berundur daripada tampuk pemerintahan Mesir.

Sokong dalam hati

"Pada 25 Januari 2011, kami (orang Mesir) berjaya melakukan revolusi sebenar menentang pemerintah buat kali pertama sejak beribu tahun.

"Revolusi orang muda ini menerjah ke lubuk hati dan minda kebanyakan orang Mesir termasuk saya.

Anak-anak suka bersama bapa di rumah

"Saya tidak ke jalanan kerana menjaga keluarga, tapi semestinya saya menyokong apa yang dilakukan oleh pihak yang membuat protes," kata Cheb Ali melalui e-mel kepada Mangga Online hari ini.

Memang payah menamakan gerakan yang sedang berjalan. Apa sahaja yang dinamakan, sama ada pergerakan, demonstrasi, revolusi atau bantahan, Cheb Ali menganggapnya sebagai satu intifadha.

"Saya secara personalnya menamakan apa yang sedang berlaku sebagai intifadha bagi orang Mesir. Semacam aksi memukul parmaidani lama untuk membuang debu dan kotoran," katanya yang juga menamakan pemerintahan sedia ada sebagai diktator yang berselindung di sebalik demoktrasi palsu.

Anak suka bapa tak keluar

Cheb Ali dan keluarga juga melalui kepayahan apabila berlaku pergerakan tersebut. Namun mereka melaluinya dengan tenang kerana mahu melihat perubahan kepada Mesir secara keseluruhannya.

Intifadha orang Mesir... kata Cheb Ali

"Keseluruhan bandar hampir lumpuh dalam masa dua minggu, tak ada bisnes. Perintah berkurung membuatkan kita payah membuat apa sahaja aktiviti. Apatah lagi bila melihat tentera dan kereta kebal di jalan raya.

"Kedai utama dan hypermarket semuanya tutup, hanya kedai kecil beroperasi dalam masa singkat untuk membolehkan orang membeli makanan yang harganya naik melambung. Orang Mesir belum pernah lalui derik krisis seperti ini," kata Cheb.

Selama dua minggu tidak keluar rumah sebenarnya membuatkan anak-anaknya Bubu dan Totti gembira kerana itulah masa anak-anak bersamanya dalam tempoh yang panjang. Apatah lagi kanak-kanak belum faham masalah yang sedang berlaku.

Selama dua minggu mereka terputus hubungan apabila sistem komunikasi dipotong. Setelah pulih, perkara pertama yang dilakukan ialah menghubungi keluarga Azura di Malaysia.

"Bila komunikasi kembali pulih, kami menghubungi keluarga Zura di kampung dan memberitahu mereka yang kami selamat. Mereka yang pada mulanya bimbang kembali lega apabila mendengar suara kami," sambung Cheb Ali lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: