Sunday, February 13, 2011

Asma penyakit paru-paru kronik

PERLU STAMINA...   ibu bapa  yang mempunyai anak menghidap asma sering melarang  anak mereka menyertai aktiviti cergas seperti bersukan.
PERLU STAMINA... ibu bapa yang mempunyai anak menghidap asma sering melarang anak mereka menyertai aktiviti cergas seperti bersukan.

“EH...tulis pasal asma, menarik ni! Saya pun ada asma sejak kecil,” kata rakan sekerja yang agak terkenal sebagai ‘kaki jogaton’ kerana jarang dia menolak pelawaan menyertai acara larian anjuran mana-mana pihak; sehingga ada yang tidak percaya dia menghidap penyakit kronik ini.

Masih ramai yang menganggap pesakit asma tidak boleh terbabit dalam kegiatan aktif, bimbang mereka akan ‘semput’. Malah ada ibu bapa yang meminta doktor memberi surat supaya anak mereka dikecualikan daripada program tertentu khususnya jika ia membabitkan banyak aktiviti fizikal.

  • Foto

  • Foto

    PERANGKAP HABUK... kanak-kanak yang menghidap asma perlu jauh daripada permaidani.

Asma adalah antara penyakit kronik kanak-kanak yang paling lazim di seluruh dunia sehingga ada pakar perubatan menganggapnya sebagai wabak. Di Amerika Syarikat saja dianggarkan ada 22.2 juta pesakit asma dan 6.5 juta daripadanya adalah remaja di bawah 18 tahun (data 2005). Asma dihidapi kira-kira 8.9 peratus kanak-kanak di seluruh dunia.

Kajian menunjukkan 85 peratus kes asma di kalangan pesakit kanak-kanak yang tinggal di bandar adalah tidak terkawal. Manakala di kalangan pesakit yang kerap mendapat serangan asma, hanya 20 peratus yang berjaya mengawal penyakit mereka.Keadaan di negara kita juga tidak jauh berbeza. Kajian pada 1995 mendapati 14 peratus remaja berusia 13 hingga 14 tahun di Lembah Klang menghidap asma. Hasil kajian juga menunjukkan pertambahan kes asma kanak-kanak dan dalam masa 10 tahun kemasukan pesakit kanak-kanak ke hospital akibat asma meningkat 20 kali ganda!Menurut Perunding Paediatrik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Azam Mohd Nor, asma adalah penyebab utama kepada masalah kesihatan kanak-kanak yang menduduki tangga ketiga kepada punca kemasukan ke hospital di kalangan kanak-kanak bawah 15 tahun. Satu pertiga daripada keseluruhan kes kecemasan paediatrik adalah membabitkan kes asma.

“Asma juga menjadi punca utama ketidakhadiran kanak-kanak ke sekolah. Dianggarkan empat juta kanak-kanak yang mengalami sekurang-kurangnya satu serangan asma kehilangan 12.8 juta hari persekolahan akibat penyakit ini.

“Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang disebabkan keradangan pada saluran udara pada paru-paru. Apabila terdedah kepada bahan yang boleh mencetuskan keradangan (alergen), dinding saluran udara ke paru-paru menjadi tebal dan membuatkan saluran ini menjadi sempit. Akibatnya, pesakit asma mengalami gejala seperti sesak nafas, mengah, dada terasa sempit atau ketat serta batuk,” katanya.

Keberatan sesetengah ibu bapa membenarkan anak yang menghidap asma menyertai aktiviti cergas memang berasas kerana senaman atau sebarang kegiatan membabitkan banyak pergerakan adalah antara faktor pencetus serangan asma.

Untuk mengelakkan masalah ini, kanak-kanak asma selalunya diberi kelonggaran untuk duduk di tepi padang atau gelanggang ketika kawan-kawan bersukan. Kebanyakan kanak-kanak ini sebenarnya ingin merasai keseronokan itu tetapi kebimbangan ia akan mendatangkan mudarat menyebabkan mereka rela menjadi pemerhati.

Jadi tidak hairanlah jika pesakit asma sering dilabel sebagai orang yang lemah sedangkan mereka boleh hidup cergas dan aktif seperti orang lain jika penyakit mereka dikawal dengan baik.

Bagi kebanyakan orang, asma bermula sejak kanak-kanak. Biasanya masalah dapat dikesan ketika mereka berumur antara dua hingga lima tahun. Dalam kebanyakan kes, gejala asma hilang apabila kanak-kanak meningkat dewasa, tetapi ada juga yang berlanjutan sepanjang hayat, terutama jika pesakit tidak diberi rawatan sewajarnya.

Punca asma sukar ditentukan dengan tepat kerana ia disumbangkan banyak faktor seperti genetik dan persekitaran. Oleh kerana sehingga kini tiada ubat dapat menyembuhkan asma, ia dianggap penyakit sepanjang hayat. Ketiadaan serangan atau gejala bukan bermakna asma anda sembuh, tetapi ia dalam keadaan terkawal.

Keadaan ini membezakan kualiti hidup setiap pesakit. Asma yang terkawal dan stabil membolehkan pesakit menjalani kehidupan yang baik - sebaik individu sihat.

Bagi kanak-kanak asma, kualiti hidup dianggap baik jika dapat bermain, pergi ke sekolah dan tidak perlu ditahan di hospital untuk mendapat rawatan. Bagi orang dewasa pula, kualiti hidup dan prestasi kerja terjejas jika kerap mengambil cuti sakit.

Gejala dan faktor risiko

Gejala asma agak unik kerana ia:

  • Boleh bersifat ringan, sederhana atau teruk.

  • Berbeza dari semasa ke semasa dari satu episod ke episod serangan seterusnya sama ada dalam tempoh beberapa jam, hari, minggu dan bulan. Dalam masa beberapa jam, seseorang pesakit boleh menunjukkan gejala asma yang berbeza. Biasanya pesakit mengalami gejala lebih teruk pada waktu malam dan awal pagi.

  • Serangan asma boleh berulang pada bila-bila masa atau ‘hilang’ untuk satu jangka masa yang lama sebelum menyerang semula.

  • Gejala asma juga berbeza antara pesakit, walaupun kedua-duanya menghidap asma bagi tempoh sama.


    Menurut Dr Azam, ada banyak faktor risiko yang boleh menyebabkan seseorang menghidap asma seperti:

  • Sejarah asma atau alahan dalam keluarga (ini termasuklah ekzema dan alahan rinitis)

  • Pendedahan terutama ketika bayi terhadap bahan-bahan alergen seperti habuk kutu rumah, asap rokok dan bahan kimia domestik.


    Bagaimana anda boleh menentukan sama ada si kecil menghidap asma?

    Bukan semua pesakit akan menunjukkan gejala yang sama. Bagaimanapun antara gejala yang paling kerap dialami ialah batuk berterusan ketika bermain, ketawa atau menangis, dan lebih teruk pada waktu malam; nafas anak menjadi kasar, pendek dan cepat (tercungap-cungap); pernafasannya berbunyi kasar.


    Kuiz saringan asma

    l Adakah anak anda mengalami masalah pernafasan berbunyi kasar berulang kali?
  • Adakah anak anda kerap batuk sehingga mengganggu tidurnya pada waktu malam?

  • Adakah pernafasan anak anda menjadi kasar atau terbatuk-batuk selepas bersenam?

  • Adakah pernafasan anak anda menjadi kasar, sesak nafas atau batuk selepas terdedah pada alergen atau pencemaran udara?

  • Adakah selesema anak anda ‘sampai ke dada’ atau berlanjutan melebihi 10 hari?

  • Adakah gejala yang anak anda alami berkurang dengan rawatan anti asma tertentu?

    Jika anda mempunyai satu atau lebih jawapan ‘Ya’ kepada soalan di atas, ia mungkin menandakan anak anda menghidap asma. Untuk kepastian bawalah si kecil berjumpa doktor supaya pemeriksaan lanjut dapat dijalankan.

    Faktor pencetus serangan asma:

  • Selesema dan flu

  • Pencemaran udara

  • Kehadiran alergen (habuk kutu rumah, spora, debunga, bulu haiwan peliharaan, kulat)

  • Senaman atau aktiviti cergas

  • Sesetengah makanan (terutama makanan sejuk) dan bahan yang ditambah dalam makanan

  • Sesetengah ubat dan persediaan herba

  • Asap rokok

  • Cuaca sejuk


    Petua hidup sihat

    “Asma bukanlah penghalang untuk seseorang kanak-kanak menyertai aktiviti sukan jika penyakitnya terkawal. Rawatan asma boleh dibahagikan kepada dua iaitu rawatan penyelamat iaitu bronkodilator dan untuk mengelakkan keradangan seperti kortikosteroid (disedut) dan leukotrin antagonis.

    “Kini ada juga ubat dalam bentuk pil yang membantu memudahkan kawalan asma. Selain itu ada juga ibu bapa yang mencuba perubatan alternatif seperti teknik pernafasan dan rehat, akupuntur, homeopati, persediaan herba dan makanan tambahan,” katanya.

    Ada yang bertanya bagaimana hendak tahu sama ada asma anak anda terkawal? Asma terkawal apabila:

  • Anak anda memerlukan ubat pelega dua kali atau kurang dalam tempoh seminggu

  • Anak anda tidak lagi bangun tengah malam akibat asma

  • Anak anda tidak memerlukan atau hanya mengalami gejala asma dua kali atau kurang dalam masa seminggu

  • Anak anda boleh melakukan aktiviti fizikal tanpa masalah

  • Tiada tanda asma anak anda bertambah teruk

  • Fungsi paru-paru hampir normal

    Kaedah yang boleh mencegah anak mendapat asma iaitu:

  • Memberikan susu badan (secara eksklusif atau sepenuhnya sekurang-kurangnya selama enam bulan) dan diteruskan sehingga anak berusia dua tahun

  • Hadkan pendedahan terhadap bahan atau persekitaran yang boleh merangsang asma

  • Jangan benarkan sesiapa termasuk bapa merokok berhampiran anak. Asap rokok adalah pencetus serangan asma yang paling lazim.

  • Galakkan anak menjadi aktif

  • Berjumpa doktor apabila perlu

    Dari segi pemakanan, Dr Azam menyarankan supaya ibu bapa mengamalkan pemakanan seimbang dengan melebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain itu minyak ikan, penggunaan minyak zaitun, bawang merah dan putih serta pengurangan garam juga didapati boleh membantu mengurangkan gejala asma.

    Ibu bapa pesakit asma biasanya memang lebih peka terhadap penjagaan makanan tetapi adakala mereka terlepas pandang terhadap beberapa jenis makanan yang boleh mencetuskan serangan asma seperti:

  • Susu dan produk tenusu

  • Makanan yang menghasilkan mukus (coklat, makanan daripada tepung berwarna putih, gula)

  • Makanan mengandungi banyak garam - ini termasuklah kerepek, keropok, jeruk dan makanan ringan

  • Semua jenis makanan segera (yang sangat digemari kanak-kanak).

    Pada masa sama ibu bapa disaran melakukan beberapa perubahan pada gaya hidup dan kediaman iaitu menjadikan senaman atau aktiviti cergas sebagai rutin keluarga, memastikan anak mengambil rawatan setiap hari, udara dalam rumah tidak terlalu lembap, rumah sentiasa bersih dan tiada haiwan peliharaan di dalam rumah.

    “Jika anda mempunyai anak asma, perkara paling penting ialah berhenti merokok. Pada sesetengah kanak-kanak, bau asap rokok yang melekat pada baju juga sudah boleh menyebabkan mereka sukar bernafas. Inilah sebabnya sesetengah pesakit kecil lebih kerap mendapat serangan walaupun ibu atau bapa tidak merokok di dalam rumah,” katanya.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: