Sunday, February 13, 2011

Pemain negara jagoan Asia

MINAT...wanita juga gemar bermain foosball.
MINAT...wanita juga gemar bermain foosball.

MUNGKIN ramai tertanya-tanya apa itu foosball atau fussball, manakala golongan yang tahu pula menganggap ia sebagai sukan ‘pub’ dan berkait rapat dengan minuman keras.

Konsep permainannya yang juga dikenali sebagai bola sepak meja lebih kurang sama dengan cara bola sepak biasa yang memerlukan seseorang pemain menjaringkan gol mengikut peraturan ditetapkan.

  • Foto

    CEMERLANG...Zayd bersama piala yang dimenangi.

  • Foto

    KAWAL...fokus dan ketepatan menjadi ciri penting dalam foosball.

Permainan itu dimainkan pada meja khas berukuran 120 sentimeter (sm) panjang dan 61 sm lebar. Pemainnya yang dikenali sebagai ‘foos’ biasanya diperbuat daripada plastik, logam, kayu atau kadangkala serat karbon yang dipasang pada batang logam melintang.

Ia boleh dimainkan secara solo atau beregu dengan mengawal empat baris foos untuk setiap pasukan.Mengikut sejarahnya, permainan itu dikatakan pertama kali dimainkan oleh Harold Searles Thornton pada 1922 dan dipatenkan setahun kemudian. Konsep itu menjadi kenyataan selepas Harold menyaksikan perlawanan membabit­kan pasukan kegemarannya iaitu Tottenham Hotspur.Ketika itu dikatakan dia mendapat idea untuk mengaplikasikan permainan bola sepak yang boleh dimainkan sesiapa saja di rumah tanpa memerlukan ruang besar.

Permulaannya dia hanya menggunakan kotak dan batang mancis sebagai alat permainannya, kemudian bapa saudaranya Louis P Thornton yang tinggal di Amerika melawat Harold dan melihatnya bermain lalu mengambil inspirasi permainan itu kembali ke Amerika Syarikat serta dipatenkan pada 1927 sebelum ia terus berkembang hingga sekarang.

Pada 2002, International Table Soccer Federation (ITSF) ditubuhkan di Perancis dengan misi mempromosi sukan itu sebagai badan sukan mengatur, menetapkan pertandingan antarabangsa dan membina permainan dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Persatuan Umum Persekutuan Sukan Antarabangsa (GAISF).

ITSF sekarang mengatur pelbagai pertandingan, termasuk Kejohanan Dunia dan Piala Dunia. Piala Dunia pada awalnya bertujuan mengikuti Piala Dunia iaitu empat tahun sekali, tapi sejak Januari 2009 ia dilangsung­kan setiap tahun.

Buat masa kini permainan­nya mempunyai beberapa gaya mengikut jenis meja dimainkan, tetapi permainan yang sering digunakan di Kejohanan Dunia ITSF adalah gaya Perancis yang dikenali sebagai Bonzini; Tornado (Amerika), Roberto dan Garlando (Itali) dan Tecball (Jerman).

Sebenarnya, ada beberapa lagi jenis permainan foosball seperti Fireball, Kicker, Deutscher Meister, Rosengart, Jupiter Goldstar, Eurosoccer, Lowen-Soccer, Warrior, Lehmacher dan Leonhart, tetapi kurang popular walaupun kerap dimainkan di peringkat antarabangsa.

Di Malaysia, sukan itu mungkin kurang dikenali dan tidak ramai terbabit dengannya, tetapi sebenarnya ia satu permainan yang dilihat semakin berkembang sejak kebelakangan ini hingga wujud pertandingan.

Pembabitan Malaysia dalam sukan itu juga sebenarnya menyerlah apabila ketika ini mempunyai pasukan terkuat di kalangan negara Asia serta bersaing sengit dengan pemain Jepun, China, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Permainan itu bertapak di Malaysia pada penghujung era 1990-an dan mula berkembang dari saat itu hinggalah tertubuhnya Foosball Community Malaysia pada 2004.

Orang kuat di sebalik penubuhannya adalah Cyrus Foo bersama beberapa rakannya, bertujuan mengembangkan permainan berkenaan supaya diterima masyarakat negara ini.

Menurutnya, kini perkemba­ngannya ketara, terutama penerimaan orang ramai terhadap permainan berkenaan.

Katanya, permainan itu kini tidak lagi menjadi kegilaan ‘kaki pub’ saja tetapi diminati pelbagai lapisan masyarakat dari usia 16 tahun hingga 30-an.

“Kita lakukan pelbagai cara untuk mempromosi sukan ini dan cuba menjadikannya sebagai permainan keluarga dan juga persahabatan, sekali gus cuba mengikis pandangan orang ramai bahawa foosball adalah permainan pub.

“Sebab itu kami cuba mempromosinya dengan membawa ke pusat membeli-belah supaya orang tidak lagi mengaitkannya dengan pub serta minuman keras,” katanya.

Menurutnya, menerusi Foosball Community Malaysia juga, permainan berkenaan menjadi satu landasan peminatnya tanpa mengira bangsa menjalin persahabatan untuk berkongsi kemahiran dan minat.

Zayd Mohd Nor, juga antara individu yang turut mempromosi permainan berkenaan menerusi Foosball Community Malaysia berkata, sukan berkenaan sungguh menarik, terutama kepada sesiapa yang mengenalinya lebih mendalam.

Menurutnya, ia mempunyai cabarannya tersendiri dan memerlukan seseorang itu mencapai tahap kemahiran tinggi untuk bersaing dengan pihak lawan.

“Saya terbabit dalam sukan ini sejak 2004 selepas tertarik dengan keunikan permainan itu dan menyertai pertandingan pertama pada 2005.

“Kini pasukan Malaysia dalam persiapan menyertai Terbuka Shanghai pada April depan, namun masalah penajaan antara aspek yang membataskan penyertaan pemain negara kita,” katanya.

Muhammad Zaiham Hamdan pula yang pernah menyertai pertandingan di peringkat ting­gi berkata, kemahiran dimiliki pemain Malaysia diakui antara yang terhandal di sekitar Asia.

Namun, katanya, banyak perlu dipelajari untuk bersaing dengan peserta dari Eropah atau negara Barat, terutama mengutip pengalaman dalam perlawanan lebih kompetitif.

“Kekurangan dana menyebab­kan pemain kita tidak dapat menyertai pertandingan besar yang ada kerana kurang soko­ngan daripada segi dana.

“Tidak seperti negara lain, ter­utama UAE atau Jepun yang sememangnya disokong kerajaan mereka, begitu juga India yang kini semakin berkembang dalam permainan ini.

“Namun semua itu tidak melemah­kan semangat saya untuk terus aktif dalam permainan ini kerana bukan hanya mengejar nama dalam pertandingan, tetapi ia juga landasan untuk mencari kenalan yang mempunyai minat sama.

“Saya galakkan sesiapa yang berminat supaya bersama-sama menceburi permainan ini kerana ia mencabar kemahiran sese­orang,” katanya.


PROFIL

NAMA: Muhammad Zaiham Hamdan
UMUR: 26 tahun
LAHIR: 6 Julai 1985 di Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Curtin University
KERJAYA: Pelumba profesional drift
PENCAPAIAN: Kedua perseorangan Terbuka Kebangsaan (2005), kedua Kejohanan Amatur Dunia di Las Vegas, Amerika (2008), juara perseorangan Terbuka Kebangsaan (2008 dan 2009) dan juara beregu Terbuka Kebangsaan (2008)


PROFIL

NAMA: Cyrus Foo
UMUR: 30 tahun
LAHIR: 5 Disember 1981 di Pulau Pinang
PENDIDIKAN: William Angliss, Australia
KERJAYA: Pemain, penganjur dan promoter Foosball
PENCAPAIAN: Juara berpasukan kebangsaan (2001), juara perseorangan State Of Origin Australia di Adelaide (2004), juara beregu State Of Origin Australia di Adelaide dan Melbourne (2004) dan kedua beregu 3000 Terbuka Vita
Asia (2006)


PROFIL

NAMA: Zayd Mohd Nor
UMUR: 25 tahun
LAHIR: 26 November 1986 di Selangor
PENDIDIKAN: Diploma di Kolej Damansara Utama
KERJAYA: Pengurus acara
PENCAPAIAN: Juara beregu Rookie Kebangsaan (2005), juara perseorangan Rookie Kebangsaan (2005), FCM Classies Hall Of Fame (2009), juara beregu Terbuka Kebangsaan (2009), juara beregu Terbuka FCM Kick Off (2010) dan juara Pro-Am FCM Kick Off (2010)



INFO

  • Ada beberapa jenis pergerakan iaitu Pull Push, Snake, Front-pin, Back-pin, Push-kick dan Pull-kick

  • Barisan pertama foos dikenali sebagai penjaga gawang (kadangkala ada dua atau tiga, bergantung kepada jenis meja)

  • Barisan kedua pertahanan ada tiga foos, tetapi ada juga dua

  • Barisan ketiga atau tengah mempunyai lima foos (ada juga empat atau enam)

  • Barisan keempat pula bertindak sebagai penyerang mempunyai tiga foos (ada juga hanya dua)

  • Sesiapa yang berminat mengetahui permainan Foosball boleh layari www.foosball.com.my
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: