Monday, February 7, 2011

Ada berminat himpun artis 80-an

Azlina Aziz

Selepas selesai menonton konsert Fran di Istana Budaya Sabtu lalu, Kita bersembang-sembang dengan beberapa orang industri muzik yang turut sama menontonnya. Rata-ratanya memuji kemampuan Fran yang kali pertama diberi kepercayaan mengadakan konsert.

Dalam sembang-sembang itu satu orang lama membuka cerita yang dia sedang berusaha menghimpunkan artis era 80-an untuk mengadakan sebuah konsert istimewa. Kalau dapat pentaskan di Istana Budaya lagilah meriah katanya.

Nassier Wahab

Antara nama yang ada dalam senarai bayangannya ialah Azlina Aziz, Dayangku Intan, Nassier Wahab, Razis Ismail dan beberapa lagi. Dia tak mahu ramai, cukup tiga lelaki dan tiga wanita yang masih mempunyai vokal yang baik dan banyak lagu popular. Nama-nama itu antara yang pernah bekerja dengannya dulu.

Dayangku Intan

Setakat ini ia masih dalam perancangan dan sedang mencari pihak yang sedia menaja. Maklumlah mengadakan konsert memerlukan belanja yang besar. Apatah lagi orang itu pernah bekerja sebagai tulang belakang promosi beberapa pementasan muzikal sebelum ini.

"Aku ada tonton persembahan Azlina Aziz baru-baru ini, vokalnya masih merdu macam dulu," kata seorang lagi teman bila mendengar usul tersebut.

Sememangnya muzik era 80-an masih dekat dengan peminat hari ini. Malah penyanyinya juga masih aktif menyanyi di sana-sini cuma mereka jarang dapat peluang mengadakan persembahan besar. Bila lihat Fran berjaya, hasrat orang industri itu semakin berkobar-kobar.

Ramai nama penyanyi 80-an yang masih aktif antaranya Siti Fairuz, Rohana Jalil, Shidee, Jay Jay, Fauziah Latiff dan lain-lain. Jangan lupa kumpulan Alleycats juga popular pada era yang sama.

Kita: Tunggu dan lihat perkembangannya. Kalau berjaya pasti ramai peminat yang suka dan tak sabar menanti pengumuman konsert itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: