jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Thursday, September 30, 2010

Ejen Kena Tipu Wan Nor Azlin!

PETALING JAYA: Seorang ejen hartanah yang mendakwa ditipu pelakon drama terkenal, Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain,42, sudah menerima pembayaran sebanyak RM16,000 yang telah dibuat oleh pelakon tersebut, Isnin lalu.

Eksekutif Kanan Harta, Asian Land Realty, Khaliah Abas, 42, (gambar) itu juga memberitahu pembayaran tersebut telah dibuat melalui cek yang disampaikan oleh peguam pelakon itu dari Tetuan Azaine & Fakhrul selepas satu perbincangan di luar mahkamah dilakukan.

"Saya sudah menerima cek pembayaran sebanyak RM16,000 Isnin lalu melalui Tetuan Azaine & Fakhrul. Pembayaran dibuat selepas mereka menganggap saya serius untuk mengambil tindakan terhadap Wan Norazlin.

"Saya sudah serahkan semua dokumen kepada peguam saya iaitu Tetuan Kc Lim & Co untuk difailkan ke mahkamah, namun kemungkinan peguam saya sudah berbincang dan mahu perkara ini diselesaikan secara baik di luar mahkamah," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, semalam.

Wan Nor Azlin

Mangsa, Khaliah telah membuat pendedahan kepada mStar Online pada 2 September lalu selepas beberapa kali gagal menghubungi artis berkenaan dan peguamnya bagi menuntut komisen sebanyak 2 peratus dari hasil jualan rumah yang berjumlah RM16,000.

Menurutnya, artis wanita itu gagal menunaikan janji untuk memberikan komisen sebaik sahaja harta iaitu sebuah rumah miliknya dan suami itu berjaya dijual.

Bagaimanapun, Khaliah berkata pelakon tersebut masih tidak menghubunginya bagi menjelaskan perkara sebenar kelewatannya membuat pembayaran tersebut, malah mengeluarkan kenyataan kepada media sebelum ini bahawa dia tidak mengenalinya Khaliah.

"Selepas urusan jual beli itu saya banyak kali cuba hubungi dia tetapi tidak berjawab sehinggalah saya terpaksa mengambil tindakan berjumpa media.

"Semasa membuat pembayaran ini juga tiada sebarang pesanan daripada dia kecuali sepucuk surat daripada peguamnya sahaja. Saya lebih kesal apabila dia beritahu kepada pihak media bahawa saya cuba mengaibkannya," katanya.

Dalam pada itu, Khaliah memberitahu peristiwa tersebut benar-benar mengajarnya agar lebih berwaspada untuk berurusan dengan golongan selebriti.

"Sebelum ini saya cuba untuk bantu dia tapi ini balasanya terhadap saya. Bukan dia seorang sahaja selebriti yang mengunakan khidmat saya, ada beberapa orang lagi tetapi semuanya tiada masalah," katanya.

Aku Masih Dara

SELEPAS tiga tahun putus cinta dengan pelakon dan pengarah muda, Pierre Andre, hingga kini Norliana Samsudin atau Yana belum bertemu pengganti.

MERIAH...Yana bersama anggota keluarga dan rakan artis yang hadir.
MERIAH...Yana bersama anggota keluarga dan rakan artis yang hadir.

SAYANG...emak dan ayah menyuapkan kek ke mulut Yana. SELAMAT HARI JADI...Yana ketika meniup lilin sempena sambutan hari jadinya yang ke-26 tahun sambil diperhatikan anggota keluarganya.


Yana yang menyambut ulang tahun ke-26 pada 25 September lalu mengakui, masih belum bertemu pengganti Pierre sampai hari ini. Bukan tiada lelaki cuba mendekati­nya namun kerana kesibukan dengan lakonan membuatkan perkara itu bukan keutamaannya kini.

Kata Yana yang juga pengarah filem Selamat Pagi Cinta (SPC), kriteria lelaki idamannya adalah matang, bertanggungjawab, beriman dan dari keturunan keluarga yang baik. Si dia juga mestilah berpakaian kemas dan tidak selekeh.

“Buat masa ini memang saya sibuk sangat dengan lakonan hingga tidak menang tangan terima tawaran berlakon. Saya bertuah kerana pengurusan MIG Talent Sdn Bhd memberi kepercayaan kepada saya menjayakan pelbagai drama dan filem terbitan MIG Productions.

“Bukan saja soal kekasih belum bertemu pengganti, malah saya tidak ada masa untuk mengarah filem baru buat masa ini. Saya akur dengan rezeki saya yang murah dalam bidang lakonan ketika ini. Saya juga anggap setiap tawaran yang datang itu rezeki yang sukar ditolak.

“Saya juga bersyukur dengan pencapaian dalam bidang seni setakat ini. Pada masa sama, saya akan tingkatkan prestasi lakonan sedia ada dari semasa ke semasa,” katanya.Agenda seninya yang padat menyebabkan sesi fotografi Rap bersama Yana terpaksa dibuat di lokasi penggambaran drama bersiri terbaru lakonannya, Siti Kelembai di Hulu Langat, Selangor pada Ramadan lalu.


Dalam drama itu, Yana beraksi sebagai watak utama, Siti Ratna bergandingan dengan pelakon kacak, Fizo Omar. Drama itu mula disiarkan di TV3 pada 20 September lalu dan diulang tayang di TV9.Ditanya lakonannya sebagai Siti Ratna dalam cerita arahan Bob Ismail itu, Yana berkata, Siti Ratna adalah cucu kepada Dewa Kelembai yang lahir ke bumi mempunyai kuasa menyebabkan orang yang disumpah­nya menjadi buta.


Apa yang membanggakan Yana wataknya sebagai Wawa dalam filem Adnan Sempit dan Lulu dalam telefilem Lu’lu meninggalkan kesan mendalam pada penonton.

Malah, ke mana saja Yana pergi, orang tidak memanggilnya Yana sebaliknya Wawa dan Lulu.

Kata Yana, sebagai pelakon, sudah pasti dia gembira kerana lakonannya mendapat maklum balas cukup positif daripada peminat.

Baginya, sambutan penonton menaikkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik dalam drama dan filem selepas ini.

“Saya sudah tujuh tahun berkecimpung dalam seni dan diberi peluang menjayakan pelbagai watak. Sebelum ini, saya berkampung di lokasi penggambaran drama bersiri 26 episod, Adnan Sempit untuk siaran Astro selama tiga bulan.

“Saya juga menjayakan filem Kongsi arahan Farid Kamil. Dalam filem aksi dan komedi yang diterajui Shaheizy Sam dan Fizo Omar, saya bawa watak pembantu sebagai Inspektor Olla. Penggambaran sudah selesai dan saya baru saja selesai memasukkan suara untuk filem itu.

“Saya juga tidak ada masalah bekerja dengan Farid kerana kami sudah kenal lama dan paling senior di MIG,” katanya yang pernah menjadi penolong pengarah filem V3 Samseng Jalanan dan Syurga Cinta.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Layar (Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, filem lakonannya akan ditayangkan akhir tahun ini ialah Aku Masih Dara arahan Ahmad Idham yang menggandingkannya dengan pelakon Diana Amir dan Raja Farah.

Yana membawa watak gadis kena rogol, Alisha dalam filem ini.

Kata Yana, dia terima tawaran berlakon dalam filem ini kerana ia menyampaikan mesej mendalam pada masyarakat.

“Selain gadis kena rogol, saya juga pernah bawa watak lesbian dalam filem Histeria,” katanya.

Mengenai bidang pengarahan pula, kata Yana, dia tidak berani menerima tawaran produser MIG, David Teo untuk mengarah filem SPC sebelum ini.

Bagaimanapun selepas berfikir masak-masak, dia sedia menyahut cabaran itu kerana tidak ingin lepaskan peluang depan mata.

“Apapun, saya gembira kerana ramai pengarah muda muncul di persada seni tanah air selepas saya mengarah filem SPC. David juga ada menawarkan projek filem baru tahun ini tetapi saya tidak boleh terima tawaran itu kerana agenda seni pula padat tahun ini.

“Saya bersedia kembali mengarah filem baru apabila tidak terbabit dengan mana-mana projek drama dan filem,” katanya.

Dalam majlis ulang tahunnya yang diadakan di Restoran Lemon, Kajang, baru-baru ini, acara dimulakan dengan bacaan doa selamat, disusuli dengan memotong kek hari jadinya.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran anggota keluarga Yana dan artis MIG seperti Shaheizy Sam dan Eddie.

PROFIL
NAMA SEBENAR: Norliana Samsudin
TARIKH LAHIR: 25 September 1984
ASAL: Yong Peng, Johor
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Seni Layar, UiTM Shah Alam
STATUS: Bujang
KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan pengarah
FILEM: Selamat Pagi Cinta, Histeria, Shh... Dia Datang, 7 Perhentian, MamiJarum Junior, Main-Main Cinta dan Adnan Sempit
DRAMA: E-toyol.com, Bionik, Lu’Lu dan 3 Janda, Suri Bakawali
ALBUM: Yana Ceria (2004)

'Kami mahu keadilan'

PUTRAJAYA: Pasangan suami isteri yang kematian anak berusia sembilan bulan pada 20 September lalu, dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan di pusat asuhan di Presint 18, di sini, mahu pengusaha pusat yang tidak berdaftar itu dikenakan tindakan tanpa mengira ‘bulu’ walaupun dia anak seorang kenamaan bergelar ‘Datuk’.

SEDIH...Shahrul Nizam dan Mazliana bersama anak sulung menunjukkan gambar Noramirah.
SEDIH...Shahrul Nizam dan Mazliana bersama anak sulung menunjukkan gambar Noramirah.
Pasangan terbabit, Shahrul Nizam Reihan, 36, dan isterinya, Mazliana Nordin, 27, masih trauma apabila ‘kehilangan’ anak kesayangan Noramirah sembilan bulan, dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaaan pusat asuhan terbabit.

Bukan itu saja, pasangan terbabit kecewa kerana tidak ada sebarang tindakan tegas terhadap pengusaha pusat berkenaan walaupun insiden sama membabitkan bayi tersedak susu pernah berlaku pada Julai tahun lalu.

“Saya hairan mengapa tidak ada sebarang tindakan dilakukan walaupun kejadian sama pernah berlaku di pusat itu tahun lalu.

“Saya tidak tahu sama ada ia ada kaitan dengan pengusaha terbabit sebagai anak kepada seorang kenamaan menyebabkanya ‘kebal’ sehingga tidak ada sesiapa berani tampil bertindak terhadapnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Presint 9, semalam.

Difahamkan, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah mendapatkan maklumat berkaitan insiden berkenaan daripada Mazliana, pagi semalam.Shahrul berkata, dia bukan mahu menimbulkan sebarang masalah, tetapi mahu keadilan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang membabitkan ibu bapa yang masih menghantar anak mereka di pusat asuhan berkenaan.


“Saya difahamkan, pusat asuhan itu hanya mempunyai tiga pengasuh bagi melayani kanak-kanak berusia antara dua bulan hingga empat tahun,” katanya yang membayar RM600 bagi dua anaknya yang dihantar ke pusat itu sebelum ini.Malah, katanya dia juga mengakui sebelum kejadian itu, pengasuh hanya membenarkan ibu bapa menghantar anak di depan pintu masuk saja dengan alasan ia adalah peraturan yang ditetapkan dan perlu dipatuhi ibu bapa.


Shahrul berkata, dia masih berbincang dengan keluarga bagi mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya menghantar anak saya ke pusat asuhan ini kerana diberitahu ia adalah antara pusat asuhan terbaik di Putrajaya tanpa menyedari ia pusat yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Tanpa berselindung, Shahrul berkata, dia berharap tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pengusaha pusat berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang kepada ibu bapa yang masih menghantar anak mereka ke pusat tidak berdaftar itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam, Datuk Dr Maamor Osman, berkata tindakan bersepadu perlu dilakukan bagi memastikan tindakan terhadap pengusaha pusat asuhan yang degil bagi mendaftarkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, isu pusat asuhan tidak berdaftar memang pernah menjadi perbincangan ‘hangat’ satu ketika dulu, tetapi ia masih sukar untuk ditangani, walaupun membabitkan kematian bayi atau kanak-kanak yang dihantar di pusat berkenaan.

“Jangan biarkan pusat ini beroperasi tanpa kawalan pihak berkuasa kerana ia boleh membahayakan penghuni yang kebanyakan kanak-kanak yang dijaga di pusat berkenaan.

“Undang-undang sedia ada yang diperuntukkan mengikut Seksyen 6, Akta Pusat Asuhan Kanak-kanak 1984 perlu dikuatkuasakan tanpa memilih bulu,” katanya, semalam.

Selain itu, katanya, pihak berkuasa perlu memastikan pengusaha dan pengasuh di pusat asuhan memiliki kelayakan sepatutnya sebelum dibenarkan membuka pusat asuhan itu bagi mengelak ada nyawa yang melayang berikutan kecuaian mereka.

Katanya, ibu bapa juga perlu menyiasat pusat asuhan itu sama ada berdaftar atau tidak bagi mengelak mereka menyerah ‘nyawa’ anak mereka untuk dijaga oleh pengasuh yang sifar asas penjagaan kanak-kanak.

Amuk gila talak

KUANTAN: Mungkin akibat gila talak, seorang pembantu perubatan sebuah hospital di sini, bertindak ganas apabila membuat kecoh pada majlis akad nikah bekas isterinya dengan membelasah seorang anggota tentera yang bakal menikahi wanita berkenaan di Medan Warisan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 30-an dan bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang di sini, dikatakan sudah berjabat tangan dengan kadi untuk dinikahkan di rumah pengantin perempuan sebelum bekas suami bakal isterinya tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menyerangnya menggunakan topi keledar.

Kejadian itu menyebabkan mangsa patah kaki kanan selain cedera di kepala, muka dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh suspek yang berusia 37 tahun. Suspek dipercayai tidak puas hati dengan tindakan bekas isterinya berkahwin lain sedangkan mereka baru setahun bercerai.

Suspek turut memijak kaki mangsa yang dikatakan belum sembuh sepenuhnya akibat kecederaan lama menyebabkan kaki lelaki berkenaan cedera semula.

Selain itu, suspek turut bertikam lidah dengan bekas isteri dan keluarga wanita berkenaan sebelum dileraikan beberapa tetamu. Dia kemudian ditahan polis yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima laporan.

Difahamkan, majlis akad nikah itu tetap dilangsungkan selepas suspek ditahan. Biarpun kakinya patah dan mengalami kecederaan lain, mangsa masih mampu menggagahkan diri menyempurnakan pernikahannya.Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai tidak puas hati dengan bekas isterinya yang bakal melangsungkan perkahwinan, lalu menyerang bakal suami wanita itu dengan topi keledar.Katanya, lelaki terbabit sudah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.


Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan sebelum dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tinjauan Harian Metro di rumah pengantin perempuan di Medan Warisan, semalam mendapati ia kosong manakala jiran tidak mengetahui di mana keluarga wanita berkenaan berada.

Peneraju sektor kewangan

MALAYAN Banking Berhad (Maybank) menyasarkan menjadi peneraju sektor perkhidmatan kewangan di rantau ini dalam tempoh lima tahun lagi.

PENJELASAN...Abdul Wahid (kiri)  menerangkan pelan Maybank sambil disaksikan Megat Zaharuddin (tengah) dan Khairussaleh.
PENJELASAN...Abdul Wahid (kiri) menerangkan pelan Maybank sambil disaksikan Megat Zaharuddin (tengah) dan Khairussaleh.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, untuk itu pihaknya menyasarkan peningkatan keuntungan operasi luar negaranya kepada paras 40 peratus menjelang 2015 berbanding 21 peratus ketika ini.

Beliau berkata, bagi merealisasikan matlamat itu, Maybank mengatur pelbagai strategi ampuh antaranya melancarkan Pusat Kecemerlangan serantau yang disasar untuk mengembangkan aktiviti perdagangan antarabangsanya terutama membabitkan produk berstruktur.

Katanya, Maybank mempunyai jenama yang kukuh di rantau Asean sehingga dianggap sebagai bank tempatan keempat oleh pelanggan di Singapura dan mempunyai kedudukan besar di Indonesia selain mula bertapak di Filipina, Kemboja, Vietnam dan Brunei.

“Bagaimanapun, kami mahu mengembangkan lagi perniagaan ke negara terbabit dan merancang menembusi pasaran semua negara Asean serta rantau Timur Tengah, China dan India. Selain itu, kami melihat antara perniagaan yang mampu memberi sumbangan besar bagi mencapai matlamat itu perkhidmatan pinjaman untuk sektor automotif di Singapura dan perkapalan di Indonesia.

“Pada masa ini, satu daripada lima pemilik kereta di Singapura membuat pinjaman menggunakan perkhidmatan Maybank Singapura dan kami mempunyai perancangan ampuh bagi mengukuhkan jenama BII (PT Bank Internasional Indonesia Tbk) terutama membabitkan industri perkapalan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Maybank ke-50 di Kuala lumpur, semalam.Hadir sama, Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dan Timbalan Presiden merangkap Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Khairussaleh Ramli.Mengulas lanjut, Abdul Wahid berkata, Maybank yang ketika ini menerajui industri perbankan Islam di Malaysia, menyasarkan menjadi penyedia perkhidmatan terbesar bagi sektor berkenaan di Asia Tenggara (Asean) menjelang 2015.“Bagi mencapai matlamat ini, kami perlu meningkatkan dua kali ganda aset Islamik berbanding aset konvensional,” katanya.

Beckham mahu derma wang Irma

LONDON: Meskipun Victoria dan David Beckham berikrar menyaman pelacur Irma Nici, namun mereka tidak akan mengambil wang tuntutan itu.

BECKHAM, Victoria dan tiga anak mereka.
BECKHAM, Victoria dan tiga anak mereka.
IRMA didakwa menipu.
IRMA didakwa menipu.
Pasangan berkenaan yang mengemukakan tuntutan saman malu £16 juta (RM80 juta) ke atas Irma akan menyalurkan wang itu ke Tabung Amanah Victoria dan David Beckham. Seorang teman rapat pasangan itu mendakwa Irma ‘pembohong besar’ dan mengesahkan tuntutan kerugian akan disalurkan untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik.


“David tidak mahu walau sesen pun wang perempuan kotor itu,” komen teman rapatnya.


“Bagaimanapun, itu tidak bermakna ia tidak boleh digunakan untuk tujuan kebajikan,” kata rakan itu lagi.


Beckham, 35, berazam untuk membuktikan penipuan pelacur itu di mahkamah dan bersedia mendedahkan kisah kehidupan peribadinya di hadapan juri di Amerika Syarikat (AS). Pada Isnin lalu, peguam pasangan itu memfailkan saman terhadap Irma yang dituduh melakukan fitnah ke atas Beckham untuk kepentingan peribadi.


Majalah In Touch edisi AS yang menerbitkan kisah dakwaan Irma, editor majalah, Michelle Lee dan penerbit majalah, Bauer yang beribu pejabat di Jerman dinamakan sebagai defendan kedua. Pemilik syarikat penerbitan Bauer, Heinz Bauer dikatakan sudah menerima surat saman daripada peguam Beckham.


Dalam tuntutan itu, syarikat penerbitan terbabit diminta memberi penjelasan mengapa penerbitan majalah diteruskan walaupun sudah mendapat amaran yang pelacur berketurunan Bosnia itu berbohong.


Jurucakap ibu pejabat syarikat penerbitan itu di Hamburg berkata: “Majalah In Touch hanya melaporkan skandal seks David Beckham secara terperinci.”

Anugerah Inspira Tupperware

DALAM sebuah keluarga, wanita atau ibu memainkan peranan yang sangat penting. Mereka menjadi ‘ketua’ yang sangat baik di rumah, menguruskan suami, menyiapkan persediaan anak ke sekolah juga keperluan lain yang mungkin kurang mampu dilakukan suami.


KUALITI...produk Tupperware bukan saja berkualiti tetapi selamat serta memudahkan penggunaan wanita.
KUALITI...produk Tupperware bukan saja berkualiti tetapi selamat serta memudahkan penggunaan wanita.
Malah kebahagiaan keluarga sangat ditentukan oleh kasih sayang serta kemampuan seorang wanita mengendalikan rumah tang­ganya. Kekuatan seorang wanita bukan hanya mampu mengubah kehidupan dirinya menjadi lebih baik malah keluarga juga orang yang rapat dengannya.

Justeru, apa yang boleh dilakukan wanita untuk mengubah hidupnya menjadi lebih baik? Sudah tentu peluang, motivasi dan sokongan berterusan yang diperoleh dan dimanfaatkan, seterus­nya mewujudkan kerjaya yang akan membantu semua pihak yang rapat dengannya.

Hal ini sangat disedari oleh Tupperware Brands Malaysia dengan slogan 3E iaitu Enlighten, Educate, serta Empower. Sejak 46 tahun lamanya produk berkualiti seisi rumah ini berjaya mengubah kehidupan 19,000 wanita yang menjadikan Tupperware Brands sebagai punca mata pencarian mereka.

“Tupperware bukan hanya wadah plastik berkualiti terbaik, tetapi membuka peluang pekerjaan kepada suri rumah serta menjadikan wanita lebih berdikari serta membantu meningkatkan ekonomi keluarga,” jelas Pengarah Urusan dan Naib Presiden Tupperware Brands Malaysia dan Asia Tenggara, David Wong.

Menurut Wong, sejak dulu lagi Tupperware membuka peluang kepada wanita untuk merealisasi impian mereka. Jika dulu mereka menjadi wanita yang sangat pemalu kini selepas menceburi perniagaan Tupperware, mereka semakin berkeyakinan malah boleh berkongsi pendapat di pentas.Ada pula yang menjadi mangsa penderaan kini bangkit dan memulakan hidup baru lebih menggembirakan. Ada juga wanita yang disahkan menghidap penyakit kronik seperti kanser mampu hidup bahagia sekali gus menghalang sel kanser merebak. Secara tidak langsung golongan ini akan memberi inspirasi kepada wanita lain untuk lebih berjaya.


“Kami akui kejayaan wanita akan memberi inspirasi kepada wanita lain untuk lebih berjaya. Misalnya kejayaan seorang pensyarah Leny Masayu yang berjaya membina perniagaannya dengan pendapatan melebihi puluhan ribu.“Begitu juga kejayaan seorang penghidap kanser di Kuching, Sarawak yang dapat mengharungi penyakitnya walaupun doktor mengesahkan yang peluang untuk hidup hanya 50 peratus saja. Namun sehingga ke saat ini dia masih hidup serta menjadi usahawan Tupperware paling berjaya,” katanya.


Selain memperoleh pendapatan sampingan, ramai wanita mengakui perniagaan ini memberi mereka lebih masa bersama keluarga kerana mereka yang mengatur jadual bekerja, lebih disayangi suami dan anak-anak. Mereka turut memperoleh keseronokan dan ketenangan jiwa berpanjangan dengan peluang melancong setiap tahun serta memenangi hadiah kereta sekiranya berjaya mencapai sasaran jualan.

Tambahnya, sesiapa juga boleh menikmati kemewahan serta keseronokan ini. Ini kerana Tupperware sentiasa memastikan ahlinya tidak berseorangan ketika bekerja.

Menerusi slogan 3E iaitu Enlighten, ia memberi kesedaran kepada wanita mengenai peluang perniagaan. Educate - memberi khidmat nasihat dan latihan dari semasa ke semasa. Akhir sekali, Empower iaitu mereka diberi kuasa untuk memastikan perniagaan ini menjadi milik mereka. Dalam erti kata lain, Tupperware Brands tidak akan membiarkan ahlinya berseorangan dalam memajukan perniagaan.

Sejak dulu lagi, jenama terbabit terkenal dalam penghasilan produk isi rumah yang masih menjadi produk terbaik dan pilihan ramai, produk kesihatan dan kecantikan yang mula mendapat perhatian kerana kualitinya.

“Tupperware bukan hanya berkualiti tinggi tetapi selamat, tahan lama dan lasak serta memberi penyelesaian kepada cara hidup yang lebih mudah kepada wanita sehingga menerima anugerah The Brand Laureate Jenama Terbaik Pelanggan 2010 untuk kategori produk rumah serta Anugerah Reddot Design untuk reka bentuk terbaik 2009,” jelasnya.

Berdasarkan kisah kejayaan wanita yang memberi inspirasi kepada wanita lain, bermula September 2009 Tupperware Brands Malaysia mengadakan Anugerah Inspira Tupperware Brands yang memberi peluang kepada semua ahli mencoretkan kisah inspirasi mereka sama ada kisah kejayaan dalam perniagaan Tupperware serta kisah lain yang tidak berkaitan.

Pada akhir pertandingan, hanya 12 cerita dipilih, lapan daripada Tupperware manakala empat kisah luar. Kedua-dua kategori pemenang akan diadili oleh panel penilai.

Hanya dua pemenang bagi setiap kategori dengan pemenang utama kedua-dua kategori akan menerima hadiah percutian ke Korea serta produk Tupperware bernilai RM1,000 manakala pemenang kedua akan menerima produk Tupperware. Untuk maklumat lanjut hubungi wakil terdekat Tupperware Brands anda.

Tidak Sehaluan Punca Fara Asyikin Putus Tunang

PETALING JAYA: Penyanyi, Farah Asyikin,31, mengakui hubungan yang tidak sehaluan menyebabkan dia mengambil keputusan nekad untuk mengakhiri ikatan pertunangan pada dua bulan lalu.

Jelas Farah, keputusan dibuat selepas memikirkan secara rasional perhubungan tersebut dan tidak mahu peristiwa penceraiannya dengan bekas suami Dr Fariz Yahya berulang kembali.

"Kami berkawan setahun tetapi bertunang hanya bertahan selama sebulan sahaja. Saya banyak berfikir dan menilai perkara-perkara yang saya nampak berlaku sepanjang kami berkawan.

"Pada mulanya saya boleh terima apa sahaja yang datang dan menganggap ia sebagai dugaan dalam sesebuah perhubungan, namun semakin hampir pada tarikh perkahwinan, saya seperti dapat petunjuk dari Allah untuk buat keputusan ini," katanya.

Farah Asyikin yang mengikat tali pertunangan dengan jejaka dari Singapura pada Jun lalu sepatutnya mengakhiri zaman jandanya pada Julai lalu dan menetap di Macau, China.

"Persiapan kahwin memang saya dah buat serba sedikit memandangkan kami merancang untuk bertunang sekejap sahaja.

"Malah yang paling ralat, saya terpaksa menolak tawaran berlakon dalam Muzikal Tun Mahathir kerana pada mulanya merancang untuk ikut dia yang bekerja di Macau," katanya.

Bagaimanapun, menurut Farah, dia reda dengan ketetapan yang telah ditentukan oleh yang maha esa, namun begitu dia tidak pernah sekali-kali menutup pintu hatinya kepada lelaki.

"Saya pasrah dan reda dengan apa yang terjadi, semuanya sudah tertulis. Saya tidak serik tetapi lebih berhati-hati setelah berbagai-bagai dugaan yang datang kepada saya.

"Bagaimanapun saya tidak sekali-kali menutup pintu hati untuk berkawan dengan mana-mana lelaki, jika ada jodoh Insya-Allah ia akan dipermudahkan," katanya yang bakal muncul dengan single terbaru yang mana dia berduet dengan Shamrin Fotograf berjudul Kamu Aku Satu.

Bekas Isteri Halang Ash (Bau) Jumpa Anak

Ash dan Dira, di saat-saat bahagi dalam program Sehati Berdansa 3.

PETALING JAYA: Gitaris kumpulan Bau, Ash, bengang gara-gara bekas isterinya, pelakon Dira Abu Zahar dikatakan mengelak untuk menemukan Ash dengan anak mereka, Anggun Deandra.

Beritahu Ash, walaupun Dira telah bersetuju sebelum ini untuk membenarkan dia bertemu anak mereka yang berusia 3 tahun itu setiap dua minggu sekali, malangnya Dira telah memberikan pelbagai alasan supaya Ash tidak bertemu dengan anak sulungnya itu.

"Dia sedang bermain tarik tali dengan saya. Nak diikutkan, kami memang tidak ada sebarang masalah dan dari segi hak penjagaan juga kami tidak membuat sebarang "hitam putih", sekadar cakap-cakap mulut sahaja. Jadi kami bersetuju yang saya boleh jumpa Anggun setiap hari dan bawa keluar setiap dua minggu sekali.

"Tapi, bila tiba masa saya bertemu dengan anak, dia langgar perjanjian itu. Ada saja alasan yang dia reka.

"Sedangkan saya memberitahu pembantu rumahnya bila gagal menghubunginya. Itu pun dia mahu jadikannya sebagai isu.

"Biasalah, kadang-kala bila kita sibuk, ada kalanya masa kita sedikit berubah. Saya pun mestilah rindukan anak dan pastinya saya teringin mahu berjalan dengan Anggun.

"Kalau saya tak hubungi dia, dia akan buat tak tahu saja apabila tiba giliran saya menjaga Anggun," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Dakwa Ash lagi, dia juga diugut Dira untuk membawa masalah hak penjagaan anak ke mahkamah jika Ash tidak mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu, Ash mesti menghubungi Dira untuk mendapatkan Anggun tanpa menggunakan pihak lain.

"Setiap kali berbincang tentang hal ini, mesti dia akan ugut saya untuk membawa masalah ini ke mahkamah. Bila dah kerap sangat diugut, saya pun panas juga.

"Sekarang ini saya mahu keadilan dari dia sahaja. Kalaulah sumber kewangan saya kukuh sepertinya, sudah lama saya selesaikan masalah ini di mahkamah, cuma sekarang ini kehidupan saya agak susah sedikit," ujarnya yang sedang dalam proses menyiapkan studio syarikat rakamannya.

Tambahnya, kenyataan yang dikeluarkan ini bukan kerana mahu memalukan Dira, sebaliknya Ash bengang dengan tindakan bekas isterinya itu.

Malah Ash juga teringin unutk meluangkan masa bersama anaknya dalam dua hingga tiga hari memandangkan dia sempat bersama dengan anaknya sehari sahaja iaitu pada Hari Raya kedua baru-baru ini.

Anak Sakit, Bicara Kes Ameng Tangguh

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini Rabu, menangguhkan perbicaraan vokalis kumpulan Spring, Ameng selepas dimaklumkan anaknya sedang sakit.

Tahap kesihatan anak Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, dibawa ke pengetahuan mahkamah oleh peguamnya, Kamarul Zaman Abdul Rahman.

"Anak tertuduh yang berusia dua tahun telah dimasukkan ke Hospital Besut, Terengganu bagi menerima rawatan penyakit asma sejak empat hari lalu.

"Tertuduh memerlukan sedikit masa kerana mengalami kesukaran untuk hadir ke mahkamah," kata Kamarul Zaman di sini, Rabu.

Ini kerana Ameng terpaksa berada di sisi anaknya di Terengganu dan bimbang tidak dapat hadir ke mahkamah jika perbicaraan diteruskan.

Majistret Zaki Asyraf Zubir kemudiannya menetapkan 12 Oktober ini untuk Ameng membela diri atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Ameng yang popular dengan lagu Sampai Hati kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung.

Pada 7 September lalu, Zaki Asyraf memerintahkan dia untuk membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan telah menimbulkan prima facie terhadapnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut semasa ditahan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul di sini, pada pukul 3.45 pagi, 2 April lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Sebutan Kes Cerai Zakiah Anas 26 Oktober

PETALING JAYA: Permohonan cerai secara baik personaliti TV3, Zakiah Anas terhadap suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib akan disebut semula di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 26 Oktober ini.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Syarie, Ghazali Ahmad pada Rabu, selepas beliau tidak berpuas hati dengan laporan yang dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Pendamai yang dilantik dalam kes tersebut.

Ghazali yang telah menyemak laporan yang disediakan oleh pengerusi jawatankuasa mendapati, laporan itu tidak memenuhi kehendak mahkamah.

"Saya dapati proses dalam jawatankuasa tidak berjaya kerana pengerusi dan pihak berkenaan tidak memahami dan menggunakan kaedah lain," katanya.

Justeru itu, Ghazali memerintahkan wakil-wakil dalam AJKP untuk hadir semula ke mahkamah pada tarikh akan datang.

"Saya akan cuba jelaskan dan beri kefahaman kepada mereka," tambah beliau.

Prosiding itu hanya dihadiri oleh Zakiah, 43, yang pernah mengacarakan rancangan berbentuk kepolisan 999.

Zakiah diwakili peguam syarie Abdullah Anuar Sahri manakala Mohamad Yusof tidak diwakili peguam.

Pada 30 Jun lalu, mahkamah secara rasmi melantik dua wakil untuk mewakili jawatankuasa itu di mana Zakiah memilih anak saudaranya, Affendi Yusoff.

Mohamad Yusof, 48, seorang ahli perniagaan pula diwakili oleh sepupunya, Md Hairi Md Salleh.

Pelantikan dua wakil itu adalah mengikut Seksyen 47(5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 selaras dengan permohonan cerai secara baik.

Zakiah yang telah berkhidmat di TV3 selama 20 tahun memfailkan cerai secara baik pada Januari lalu.

Dia dan pasangannya telah berkahwin selama 17 tahun dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aiman Muzammil, 16, dan Amir Muzhaffar, 14 tahun.

Sebelum ini, Zakiah pernah memfailkan permohonan cerai secara fasakh sebelum menukarnya kepada cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, dekat sini.

Bagaimanapun, permohonan itu ditarik semula pada 1 September 2009 tanpa memberikan sebarang alasan lanjut.

Ahmad Dhani Tiada Hasrat Rujuk Dengan Bekas Isteri

VOKALIS kumpulan Dewa, Ahmad Dhani tidak mahu hubungan baiknya dengan bekas isteri, Maia Estianty dalam menguruskan ketiga-tiga anak mereka disalah anggap.

Menurut penyanyi dan komposer itu, hubungan baik yang dijalinkan bukan bertujuan untuk mereka rujuk semula tetapi sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai ibu-bapa kepada ketiga-tiga orang cahaya mata mereka.

"Kami berbaik kerana tidak mahu anak-anak akan berasa kehilangan salah seorang dari kami," ujarnya.

Katanya, hubungan baik dengan bekas isterinya itu bukan sesuatu yang istimewa, malah dia kini memberi kelongaran kepada Maia untuk bertemu dengan anak-anak mereka.

"Saya sudah permudahkan dia untuk berjumpa dengan anak-anak cuma belum mengizinkan dia untuk mengambil mereka keluar berjalan-jalan," katanya seperti dipetik Vivanews.com.

Bagaimanapun, Maia menghormati keputusan yang dibuat oleh Dhani dan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan mereka.

Rossa Bawa Kekasih Jumpa Keluarga

PENYANYI popular dari Indonesia, Rossa (gambar) akui tidak akan berkahwin senyap-senyap sekiranya dia mahu menamatkan zaman jandanya nanti.

Walaupun telah mempunyai kekasih, penyanyi lagu Tegar itu tidak mahu terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga.

Bekas isteri Yoyo (Kumpulan Padi) itu berani mengaku telah mempunyai kekasih. Malah dia juga sudah memperkenalkan kekasih yang dicintai itu kepada orang tuanya.

"Saya tidak akan sorok berita tentang perkahwinan saya. Orang tua saya sudah mengenali kekasih saya tetapi saya tidak terlalu mengenali keluarganya," katanya menurut detikhot.com, Rabu.

Bagaimanapun, Rossa masih menyembunyikan identiti kekasihnya itu kerana tidak mahu terlalu mendedahkan kehidupan peribadinya. Alasannya, dia tidak mahu popular kerana kehidupan peribadi.

Astro Oasis Perkenal Kuiz Islam "Famili Sarjana"

ASTRO Oasis (saluran 106) buat pertama kalinya memperkenalkan sebuah program berkonsepkan kuiz kekeluargaan Islam berjudul Famili Sarjana yang akan ditayangkan mulai 27 November ini.

Program Famili Sarjana merupakan sebuah rancangan kuiz yang menyaksikan dua buah keluarga akan bersaing setiap minggu untuk menjawab soalan-soalan keagamaan meliputi lima perkara yang terkandung dalam rukun Islam iaitu syahadah, solat, puasa, haji dan zakat.

Sebuah keluarga akan dinobatkan sebagai juara di peringkat akhir dan sebagai pendorong, hadiah utama berbentuk pakej umrah ke Tanah Suci Mekah disediakan untuk mereka.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, Astro sentiasa akur dengan permintaan para pelanggan yang mahukan pengisian berbentuk rohani di televisyen.

“Program Famili Sarjana merupakan sebuah rancangan kuiz kekeluargaan terbaru yang membawa pendekatan berlainan berbanding program-program kuiz sedia ada.

“Program ini membawa pendekatan perkongsian ilmu dalam keadaan santai dan hiburan ringan, tetapi mencabar peserta dengan pelbagai soalan yang berkaitan lima perkara utama yang terkandung dalam Rukun Islam. Secara tidak langsung, penonton di rumah turut memperoleh ilmu daripada soalan yang dilontarkan,” jelas Izelan lagi.

Izelan turut menambah: “Kejayaan program realiti terunggul Imam Muda dengan liputan meluas media tempatan dan antarabangsa telah meletakkan Astro Oasis pada kedudukan yang tersendiri.

“Jadi, tanggungjawab kami juga semakin bertambah untuk memastikan setiap program yang ditawarkan oleh saluran ini berada atau lebih daripada paras itu.

"Walaubagaimanapun, tanggungjawab yang lebih utama adalah untuk mendidik keluarga dan masyarakat menerusi program-program yang berkualiti," katanya.

Setiap keluarga akan bersaing dalam lapan saringan setiap minggu sebelum empat yang terbaik akan bersaing di peringkat separuh akhir.

Dua buah keluarga terbaik akan berjaya berentap di peringkat akhir sebelum satu keluarga dinobatkan sebagai juara Famili Sarjana.

Semua keluarga Islam yang berminat untuk menyertai program Famili Sarjana dijemput hadir ke sesi uji bakat di Astro, Bukit Jalil pada 2 dan 3 Oktober 2010, pukul 9 pagi.

Setiap keluarga perlu dianggotai lima orang ahli keluarga iaitu peserta dewasa lelaki atau wanita (datuk atau nenek), dewasa lelaki (bapa), dewasa wanita (ibu), remaja (13 hingga 18 tahun) dan kanak-kanak (7 hingga 11 tahun).

Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta sekeping gambar keluarga berukuran 4R. Peserta yang hadir juga perlu memakai pakaian yang sopan sewaktu sesi uji bakat itu nanti.

3,000 Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Media Prima

Lebih 3000 tetamu yang hadir di rumah terbuka Media Prima

PETALING JAYA: Kira-kira lebih 3,000 tetamu hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Media Prima Berhad.

Tetamu terdiri daripada kenalan dari kalangan korporat, pengiklan, selebriti terkenal dan media. Ia diadakan di perkarangan Sri Pentas di sini, Selasa.

Ketua Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan berkata, majlis yang dianjurkan setiap tahun ini bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara warga kerja Media Prima dan rakan niaga.

"Alhamdulillah, jumlah tetamu datang mengunjungi rumah terbuka Media Prima semakin meningkat setiap tahun dan sebagai tuan rumah, kami berbangga kerana dapat meraikan mereka sempena Aidilfitri kali ini," katanya.

Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan (kanan)melayan tetamu yang hadir

Majlis yang berkonsepkan "Raya Sepanjang Zaman" ini dihiasi dengan dekorasi gerai, penyediaan juadah dan persembahan diatur mengikut ciri-ciri era 50-an dan 80-an yang bermula dari pukul 5 petang sehingga 8 malam.

Majlis diceriakan dengan persembahan artis-artis popular tanah air seperti Faizal Tahir, Black, Aizat dan ramai lagi.

Tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Nazri Aziz dan Timbalan Menteri di JPM, Datuk Ahmad Maslan.

Turut hadir Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar, Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Amrin Awaluddin.

Kristen Stewart Kecewa Dengan Emma Watson

AKTRES Hollywood, Kristen Stewart (gambar) dikhabarkan kecewa dengan Emma Watson kerana wanita itu mendekati kekasihnya, Robert Pattinson.

Emma dan Robert sudah berkawan sejak sekian lama. Kedua-duanya juga turut membintangi filem Harry Potter and the Goblet of Fire pada tahun 2005. Kristen seolah-olah berasa terancam dengan keakraban hubungan mereka.

"Seperti semua gadis, Kristen sangat cemburu dan menganggap Emma seperti ancaman," ujar sumber yang dipetik dari Showbiz Spy, Rabu.

Ternyata bukan hanya Emma yang dicemburui Kristen. Bintang filem The Runaway itu juga tidak menyukai persahabatan Robert dengan Stephanie Ritz.

"Rob dan Stephanie selalu rapat dan Kristen tidak senang dengan hubungan itu," jelas sumber.

Perkim rai saudara Muslim


Shahidan Kassim menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim, anak saudara Muslim dan kanak-kanak Islam Rohingya.


BARU-baru ini Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menganjurkan Majlis Rumah Terbuka sempena Aidilfitri. Ia diadakan di pekarangan rumah rehat Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD), Persiaran Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur.

Majlis itu dihadiri oleh 3,500 orang terdiri daripada saudara Muslim berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh, Sikh, Indonesia, Filipina, Nigeria dan juga tetamu agensi-agensi kerajaan dan swasta.

Ia diserikan dengan kehadiran Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Wanita Perkim, Kelab Perkim Universiti, Sahabat Perkim, Pusat Pemulihan Kesihatan Perkim, Perkim bahagian dan cawangan.

Naib Yang Dipertua Perkim 1, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, rumah terbuka Aidilfitri itu bertujuan memupuk persefahaman di kalangan masyarakat bersama saudara Muslim yang baru memeluk Islam.

Secara tidak langsung, ia juga memperkenalkan Perkim sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam berdakwah, kebajikan dan pendidikan saudara Muslim.

“Kehadiran Aidilfitri menjanjikan suatu nikmat besar yang menjadi tunggak kepada perpaduan, keharmonian dan kesepakatan dalam masyarakat Islam serta kebahagiaan dunia dan akhirat sejajar konsep 1Muslim, Dakwah Didahulukan Saudara Muslim Diutamakan,” kata beliau.

Menurut Shahidan, Aidilfitri ini lebih bermakna sekiranya melakukan ibadah puasa sunat enam dalam bulan Syawal kerana ganjarannya seperti berpuasa sepanjang tahun.

Pada masa yang sama, Shahidan berkaat, seluruh Perkim bahagian dan cawangan harus memainkan peranan menganjurkan kelas agama harian seperti yang dilakukan Perkim Kebangsaan kepada saudara muslim agar mereka tidak ketinggalan dalam mendalami ilmu akidah, ibadah, hadis, sirah nabi dan sebagainya dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Beliau turut menyeru masyarakat Islam membantu Perkim mendekatkan diri mereka kepada saudara Muslim dengan membimbing dan memberi tunjuk ajar mereka di mana sahaja walaupun surau, masjid atau di tempat-tempat awam.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim, kanak-kanak Islam Rohingya dan saudara muslim.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua 2 Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi berkata, sebagai organisasi Islam yang berperanan menyemarakkan usaha dakwah dan penyebaran syiar Islam, Perkim menyediakan khidmat kaunseling dan bimbingan bagi membantu saudara baru.

“Perkim hanya sebagai badan dakwah. Perkim hanya berdakwah dan membantu mereka yang mahu memeluk Islam,” tegas beliau.

Pelbagai juadah yang disediakan antaranya adalah ketupat, lemang, rendang, nasi himpit, sate, kuetiau goreng, laksa, mee goreng, nasi bukhara, cendol, buah-buahan, kuih muih dan sebagainya.

Majlis diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang cabutan nombor bertuah yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman.

Jaga imej baik jemaah Malaysia


JAGA DISIPLIN... Nasir Sakaran (kiri) diringi Tengku Aziz Raja Abdullah (dua kiri) bersalaman dengan sebahagian 600 bakal haji pada kursus Haji Perdana peringkat Negeri Sabah 1431/2010 bagi kawasan Pantai Barat di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu, baru-baru ini.


BAKAL-BAKAL haji Malaysia khususnya dari Sabah diingatkan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan kerajaan Arab Saudi dan Tabung Haji Malaysia semasa mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci Mekah.

Ini penting untuk menjaga nama baik Malaysia sebagai negara Islam yang disegani dan jemaah hajinya yang bersopan santun dan berhemah.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Nasir Sakaran berkata, sebab itu Kerajaan Arab Saudi seringkali memuji jemaah haji Malaysia sebagai jemaah haji yang mempunyai akhlak terpuji.

Oleh itu katanya, bakal-bakal haji negeri Sabah diharap terus mengekalkan rekod terbaik yang dipegang selama ini demi menjaga imej baik Malaysia.

"Pelaksanaan ibadat haji memerlukan kekuatan jasmani atau fizikal yang baik.

"Ia memerlukan pergerakan yang banyak seperti mengerjakan tawaf, saie, melontar jamrah. Justeru, jemaah haji hendaklah sentiasa menjaga kesihatan," katanya.

Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah berkata demikian semasa merasmikan Kursus Haji Perdana Musim haji 1431H/2010M Peringkat Negeri Sabah bagi kawasan Pantai Barat di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Hadir sama sempena majlis itu, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri Dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri merangkap Ahli Majlis Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji Sabah, Mokthar Yassin Ajam; Pengurus Besar bahagian Bimbingan (Haji), Tengku Aziz Raja Abdullah dan Pengarah Tabung Haji Sabah, Mohd. Norber Kassim.

Kursus Haji selama dua hari bermula 18 September itu disertai lebih 600 bakal haji dari kawasan Pantai Barat Sabah.

Antara lain ia bertujuan melahirkan jemaah haji yang mempunyai pengetahuan yang mantap dalam sudut ibadat, khususnya ibadat haji sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah.

Ia juga bagi mendedahkan para peserta kepada suasana dan persekitaran jemaah yang ramai semasa melaksana ibadat haji di samping memberi maklumat mutakhir berhubung pengurusan haji sama ada di tanah air atau di tanah suci Mekah.

Zakat sebagai bantu loncatan


Hasil ketekunan dan usaha gigih ditambah dengan bantuan LZS, ramai golongan asnaf kini sudah menjadi pembayar zakat. - gambar hiasan


DALAM Islam, zakat adalah instrumen ekonomi dan sosial sekali gus. Ia bukan sekadar berperanan sebagai pemacu dan indikator ekonomi; tetapi sekali gus mampu menyeimbangkan keadilan sosial ummah.

Atas premis itulah, zakat kekal berperanan sebagai elemen penting dalam kehidupan umat Islam sampai bila-bila.

Di Malaysia, kutipan zakat sentiasa meningkat tahun ke tahun. Berdasarkan statistik tahun 2009, di Selangor sahaja, kutipan zakat mencecah RM283.6 juta.

Kutipan kedua tertinggi adalah di Wilayah Persekutuan (RM248.8 juta) diikuti Johor sebanyak RM109.2 juta. Keseluruhan kutipan zakat di Malaysia adalah RM1,196,871,798.60 tahun lalu.

Daripada lapan asnaf zakat itu pula, asnaf fakir dan miskin mestilah menjadi prioriti. Polisi ini sejajar dengan saranan Islam, justeru fakir dan miskin sememangnya asnaf muqaddam (awal) sebagaimana tertera di dalam ayat 60 surah at-Taubah.

Di sisi amalan nabi, baginda juga mengutamakan golongan ini. Sabda nabi: Harta itu hijau dan manis. Sebaik-baik harta kepunyaan seorang muslim ialah yang diberikannya kepada orang miskin, anak yatim dan orang dalam perjalanan... (sebahagian hadis riwayat Bukhari)

Dengan keutamaan inilah, asnaf fakir dan miskin mempunyai hak yang lebih ke atas dana zakat. Wang dan dana zakat hendaklah diberi keutamaan membangunkan asnaf fakir dan miskin terlebih dahulu.

Di Malaysia, amalan zakat secara umumnya bertambah baik. Ditokok dengan usaha pemerkasaan institusi zakat, misalnya menerusi pengkorporatan institusi zakat dan juga penggubalan enakmen dan akta yang bersesuaian (contohnya akta cukai yang membenarkan rebat daripada pembayaran zakat), maka umat Islam berpeluang lebih luas untuk menjadikan zakat sebagai batu loncatan memajukan potensi umat Islam.

Dalam hal ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya telah melakukan transformasi hampir menyeluruh ke atas operasi zakat yang melibatkan aspek kutipan dan agihan.

Dalam aspek kutipan, pelbagai inovasi diterokai sehingga menjadikan urusan pembayaran zakat begitu mudah akses sehingga ke hujung jari.

Dalam aspek agihan zakat pula, dua asnaf utama iaitu fakir dan miskin telah diberikan peluang seluas-luasnya untuk merubah keadaan diri mereka.

Menerusi mekanisme program pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan dan penjanaan modal insan, maka para asnaf fakir dan miskin ini telah dibekalkan 'modal' yang cukup untuk mentransformasikan diri mereka sendiri dengan lebih efektif.

Menerusi Program Pembangunan Pendidikan misalnya, anak-anak asnaf diberikan kemudahan meluas demi memastikan mereka mampu mencipta kecemerlangan yang konsisten.

Aspek pendidikan diberi keutamaan, kerana ia menjadi aset kekal kepada asnaf. Penjanaan dana pendidikan itu pula, meliputi aspek seperti penyediaan yuran, wang saku, kelas tambahan, penyediaan peralatan persekolahan sehinggalah mengikuti pelbagai kursus motivasi dan pembelajaran. Ia bermula, seawal tahap pra sekolah sehingga ke universiti dalam dan luar negara.

Untuk golongan dewasa, mereka turut didedahkan kepada pelbagai kursus seperti kemahiran keibubapaan dan juga kekeluargaan.

Solat misalnya diperelokkan, menerusi tahsinul ibadah di samping upaya mendekatkan diri kepada al-Quran menerusi tahsinul qiraah. Semua ini dilaksanakan di bawah pakej penjanaan sosial dan pembangunan insan.

Begitu juga dalam aspek penjanaan ekonomi asnaf, institusi zakat cuba sedaya mungkin menyediakan dana yang optimum. Mereka yang mempunyai kebolehan, bakat dan potensi akan digilap.

Modal diberi dan perniagaan akan dipantau rapi, demi membolehkan para asnaf fakir dan miskin ini memula dan menjalankan perniagaan dengan yakin. Kini, sudah ramai mampu berdikari dan menjadi pembayar zakat pula.

Jelas, bahawa zakat adalah suatu komponen penting yang dianjurkan oleh Islam untuk membela fakir dan miskin. Namun, zakat bukanlah penyelesaian total kepada kemelut kemiskinan yang melanda.

Zakat hanya berperanan sebagai pelengkap kepada usaha mereka sendiri untuk berkerja dan seterusnya mengeluarkan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.

Oleh itu, dalam konteks semasa, bekerja dan berusaha dalam Islam adalah suatu yang fundamental.

Bekerja adalah punca kepada pendapatan, yang dengannya mampu menjadikan umat Islam hidup sejahtera.

Bahkan bekerja memungkinkan seseorang menjadi kaya sehingga mampu berzakat atas kekayaannya.

Pernah nabi memerintahkan seorang pemuda Ansar agar berkerja dan tidak sekadar meminta-minta.

Anas bin Malik r.a meriwayatkan suatu kisah yang agak panjang di antara seorang pemuda Ansar bersama Rasulullah SAW. Pemuda berkenaan mendatangi Rasulullah bertujuan mahu meminta sedikit makanan.

Namun Nabi SAW tidak terus memberikannya makanan, melainkan ditanya terlebih dahulu apakah masih ada sesuatu di rumahnya, yang mungkin boleh dijual.

Lantas pemuda Ansar itu menyatakan: "(Ya) ada, (iaitu) pakaian yang kasar, (yang) setengahnya kami pakai dan setengahnya lagi kami hamparkan, juga sebuah bekas yang kami (gunakan untuk) meminum air dengannya".

Nabi SAW seterusnya meminta pemuda itu pulang dan membawakan kedua-dua barangan itu. Pemuda itu pun pulang dan datang semula.

Kemudian, Rasulullah SAW segera mengambil barang-barang itu daripada tangannya dan menawarkannya kepada sesiapa yang ada bersama mereka, seandainya mereka mahu membelinya.

Lalu, seorang lelaki yang berada di situ telah membeli kedua-dua barangan itu dengan harga dua dirham.

Daripada dua dirham itu pula, nabi menyerahkan satu dirham kepada si pemuda untuk kegunaan keluarganya, manakala satu dirham lagi telah diminta oleh Nabi SAW agar pemuda itu membeli sebilah kapak.

Rasulullah SAW berpesan: "Beli makanan satu dirham dan segera kembali (ke rumahmu) dan berikannya kepada isterimu. Dan gunakan satu dirham lagi untuk membeli kapak, dan bawakannya ke mari".

Tidak berapa lama, orang Ansar itu kembali bertemu nabi bersama sebilah kapak. Kemudian baginda segera memasang kayu pada kapak itu (sebagai hulu) lantas menyatakan: "Ambil kapak ini, dan pergilah kamu mencari kayu, kemudian kamu jual kayu itu dan kamu datanglah lagi selepas 15 hari".

Pemuda Ansar itu benar-benar mematuhi arahan Nabi SAW. Diberitakan, selepas 15 hari, dia datang menemui nabi SAW dan kali ini di tangannya tergenggam 10 dirham hasil jualan kayunya.

Dengan wang itulah, sebahagiannya dia gunakan untuk membeli pakaian dan sebahagiannya lagi untuk makanan keluarganya.

Lalu sabda Nabi SAW menuntaskan: "Cara begini adalah lebih utama bagi kamu daripada meminta-minta, sebab meminta-minta itu akan meninggalkan tanda di muka kamu di akhirat nanti". (Sayid Sabiq dalam kitabnya 'Anasirul Quwati fil Islam).

Pentingnya menjaga kesihatan


Adalah penting bakal haji menjalani pemeriksaan kesihatan yang rapi untuk mengelak kesulitan semasa di Tanah Suci. - Gambar hiasan


SEPERTI tahun yang sudah-sudah, pada ketika menjelang kedatangan bulan Ramadan yang mulia, ramai bakal jemaah sibuk membuat persiapan untuk ke tanah suci. Sama ada sibuk menghadiri kursus ibadah haji ataupun sibuk membuat pemeriksaan kesihatan untuk mendapatkan kelulusan bagi ke tanah suci.

Semua maklum bahawa perjalanan ke Mekah untuk mengerjakan haji adalah salah satu perkara yang ditunggu-tunggu oleh semua orang Islam.

Ia merupakan kemuncak kepada perancangan dan persediaan yang dibuat selama beberapa tahun. Bagi kebanyakan bakal jemaah dan ia merupakan rukun Islam yang ke lima dan wajib dikerjakan bagi orang Islam yang mampu dari segi kewangan dan berupaya secara fizikal dan mental.

Berdasarkan pengalaman, ramai bakal jemaah takut menjalani pemeriksaan kesihatan dan menyembunyikan penyakit mereka. Tidak kurang juga ada yang mempertikaikan sejak bila pemeriksaan kesihatan menjadi salah satu dari syarat wajib haji.

Ramai yang lupa bahawa maksud: Allah mewajibkan mengerjakan haji bagi yang mampu dan berkuasa mengunjungi Baitullah. (ali-'Imran: 97) sangat luas.

Kemampuan itu bukan hanya dari sudut perbelanjaan tambang pergi balik dan untuk keluarga yang ditinggalkan tetapi juga dari segi kesihatan tubuh yang merangkumi komponen fizikal dan mental.

Artikel ini akan perkatakan kepentingan pemeriksaan kesihatan bagi bakal jemaah haji, persediaan yang perlu dilakukan sebelum berangkat ke tanah suci dan apakah cabaran yang bakal dihadapi di sana.

Persekitaran di tanah suci

Bakal haji perlu memahami keadaan di tanah suci. Ia sangat berbeza dengan keadaan di negara kita. Perbezaan paling ketara adalah dari segi perubahan cuaca.

Hawanya berdebu dan kering berbanding cuaca kita yang lembap. Perubahan suhu juga amat ketara dan ekstem. Purata suhu pada waktu siang adalah 30°C dan pada waktu malam adalah 18°C.

Perubahan suhu ekstrem dan keadaan berdebu itu mendedahkan bakal jemaah kepada jangkitan saluran pernafasan. Bakal haji dinasihatkan supaya menyemak keadaan suhu di media massa sebelum berangkat ke tanah suci.

Bila kita teliti ibadah haji itu sendiri memerlukan kekuatan fizikal seperti saie, tawaf dan melontar. Jemaah terpaksa berjalan beberapa kilometer untuk menunaikan ibadah-ibadah tersebut, terpaksa bermalam di Arafah, Mina dan Mudzalifah dengan kelengkapan tempat tidur dan tandas yang paling asas serta perlu berjalan untuk ibadah melontar untuk empat hari berturut-turut. Oleh kerana bilangan jemaah yang ramai, maka untuk melaksanakan sesuatu ibadah itu akan mengambil masa yang panjang.

Jemaah juga terpaksa berulang-alik ke masjid di mana jarak tempat penginapan dengan masjid adalah di antara 50 meter ke 700 meter. Ringkasnya jemaah haji terpaksa berjalan kaki ke mana saja sama ada untuk menunaikan ibadah atau urusan peribadi ketika di tanah suci.

Semasa musim Haji, populasi di Mekah mencecah hampir tiga juta orang yang datang dari segala pelosok dunia. Dengan bilangan jemaah yang ramai itu, banyak masalah kesihatan mungkin timbul yang disebabkan oleh kuman di bawa oleh jemaah negara lain.

Tambahan pula cuaca yang berlainan di tanah suci berbanding cuaca kita di sini. Justeru, amat penting bagi bakal jemaah menyiapkan diri untuk menjamin kesihatan diri dan seterusnya memudahkan kelancaran perjalanan haji.

Pentingnya pemeriksaan kesihatan

Lulus pemeriksaan kesihatan dan mendapat akuan doktor adalah salah satu peraturan haji kerajaan Arab Saudi sebelum visa haji diluluskan.

Bakal jemaah dinasihatkan tidak menyembunyikan penyakit yang mereka hidapi semata-mata untuk mendapatkan kelulusan kesihatan.

Dengan pemeriksaan kesihatan yang sempurna maka penyakit boleh dikesan lebih awal dan boleh pastikan ia mendapat rawatan yang sepatutnya. Apa yang diharapkan ialah segala penyakit yang dikesan mendapat rawatan yang optimum di tanah air supaya bakal jemaah sihat semasa di tanah suci dan dapat melakukan ibadah haji dengan sempurna.

Bakal haji yang menghidap penyakit-penyakit yang berisiko tinggi seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan lelah hendaklah memberitahu doktor supaya dicatatkan semua penyakit dan rawatannya ke dalam Buku Rekod Rawatan untuk rujukan semasa di tanah suci.

Dalam hal ini, eloklah bakal jemaah sendiri meminta atau memperingatkan doktor supaya merekodkan segala butir-butir mengenai penyakit kerana perkara itu mustahak, khususnya di waktu kecemasan di Tanah Suci.

Pastikan buku rekod rawatan anda lengkap diisi oleh doktor dan segala tambahan atau perubahan dos ubat-ubatan dicatit dalam buku.

Jemaah dinasihatkan membawa bekalan ubat yang mencukupi bagi sepanjang musim haji. Buku rekod rawatan hendaklah sentiasa berada di dalam beg galas dan di bawa bersama-sama. Ini untuk memudahkan urusan sekiranya berlaku kecemasan.

Perlu dinasihatkan bagi bakal haji yang menghidap penyakit jantung atau penyakit-penyakit lain dan memerlukan ubat khas yang diambil dari doktor pakar swasta atau Institut Jantung Negara, ubat-ubat itu hendaklah dibawa ke tanah suci secukupnya.

Ini kerana dikhuatiri ubat-ubat 'khas' tersebut tidak dapat diperolehi dari Klinik Malaysia atau farmasi di tanah suci.

Vaksinasi yang diambil juga mesti dicatitkan di buku rekod rawatan kerana tanpa vaksinasi wajib iaitu vaksinasi meningococcal, jemaah tidak dibenarkan masuk ke tanah suci.

Amat menekankan agar buku rekod rawatan diisi dengan lengkap dengan ubat-ubat dan dos yang terkini kerana hanya buku itu sahaja yang menjadi alat/media penghubung antara doktor di Malaysia dan doktor yang akan bertugas di tanah suci.

Jika buku tidak mempunyai maklumat lengkap maka doktor yang bertugas di tanah suci akan menghadapi kesulitan memberi rawatan yang sebaik mungkin.

Qistina, Izuddin serasi bersama


Izuddin Salleh dan Qistina Mohamad Nazri semakin serasi sebagai suami isteri.


KERIANGAN serta kegembiraan jelas terpancar pada wajah pasangan naib juara Peraduan Gerbang Cinta MEGA-Utusan Malaysia musim pertama, Izuddin Salleh, 26, dan Qistina Mohamad Nazri, 26.

Selepas tujuh bulan melayari kehidupan berumah tangga, pasangan tersebut ternyata semakin serasi dan kini bersama-sama membantu antara satu sama lain dalam menguruskan rumah tangga.

Ketika ditemui baru-baru ini, pasangan tersebut ternyata masih tidak dapat melupakan apa yang telah berlaku sepanjang mereka menyertai Peraduan Gerbang Cinta musim pertama malah sepanjang bersama mereka hampir satu jam, ucapan terima kasih kepada penaja-penaja serta Utusan Malaysia tidak lekang daripada bibir masing-masing.

‘‘Dengan kemenangan tempoh hari, sedikit sebanyak ia telah membantu meringankan beban kami di samping menjimatkan kos untuk mengadakan majlis persandingan.

‘‘Sebenarnya segala persiapan telah pun dilakukan sedikit demi sedikit tetapi apabila memenangi peraduan ini sekali gus mendapat tajaan, kiranya tercapai jugalah impian kami untuk bersanding dalam satu majlis yang penuh meriah.

‘‘Bagaimanapun kami bersyukur dengan kemenangan tersebut dan apa-apa pun kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para penaja serta Utusan Malaysia kerana tanpa mereka rasanya persandingan impian kami mungkin tidak sehebat dan semeriah yang berlangsung pada Februari lalu,’’ ujar Qistina.

Meskipun tidak terlalu dibebani soal kewangan dan persiapan majlis kerana hampir semua persiapan majlis ditanggung para penaja, namun Qistina dan Izuddin masih perlu menyediakan hantaran serta menyediakan cenderahati kepada para tetamu pada malam majlis perkahwinan mereka.

Pasangan eksekutif di sebuah syarikat swasta di ibu negara ini menyifatkan kemenangan tersebut adalah rezeki yang datang ketika mereka sedang merancang untuk mendirikan mahligai suci pada awal tahun lalu.

Kemenangan pasangan itu juga bermakna mereka merupakan pasangan paling bertuah daripada lebih 10,000 peserta lain yang turut menyertai peraduan anjuran Utusan Malaysia melalui sisipan MEGA, yang bermula sejak 20 Ogos 2009.

Malah mereka juga berjaya mengatasi 10 finalis yang berjaya sehingga ke peringkat akhir selepas memperoleh markah kedua tertinggi hasil pengundian melalui laman web syokkahwin.com dan markah juri.

Bercerita lanjut mengenai kehidupan hari ini, mereka yang baru sahaja berpindah ke kawasan Wangsa Maju mengakui di awal menjalani kehidupan berumah tangga, terasa agak kekok.

Maklumlah sebelum ini masing-masing hanya menguruskan diri sendiri tetapi apabila tinggal bersama, apa yang dilakukan perlu difikirkan juga pasangan masing-masing.

Menurut Qistina, memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri serta menguruskan rumah tangga tidak banyak bezanya jika dibandingkan ketika zaman bujangnya.

Cuma menurut anak kelahiran Kota Bahru itu, sekarang apa yang dilakukan pastinya perlu berbincang bersama suami di samping sikap toleransi antara satu sama lain.

‘‘Alhamdulillah Din seorang suami yang ringan tulang kerana dia rajin menolong Qis dan boleh dikatakan kerja rumah kami sama-sama buat.

‘‘Saya gembira dengan kehidupan hari ini dan walaupun kami sudah bergelar suami isteri, kami masih lagi menjalani proses suai kenal kerana kami boleh diibaratkan pasangan yang bercinta selepas kahwin,’’ tambah Qistina lagi sambil tersenyum.

Juadah 1Malaysia di Amsterdam


Phang Man Wai (KANAN) tersenyum melayan RAKYAT MALAYSIA YANG MENGUNJUNGI RESTORANNYA.


SEORANG warga Malaysia yang berjalan-jalan sekitar bandar raya Amsterdam di Belanda pada hari yang lembap dan sejuk pasti teringin menghirup segelas teh tarik panas bersama roti canai.

Keinginan itu bertukar menjadi kenyataan di Restoran Nyonya Malaysia dengan 35 tempat duduk di Jalan Kloveniersburgwal yang menghidangkan juadah enak dan menarik mengikut selera mana-mana warga Malaysia. Restoran yang dibuka setiap hari menjadi kebanggaan Phang Man Wai, 44, warga Malaysia yang berasal dari Kuantan.

Dia menyajikan juadah 1Malaysia seperti rendang, kangkung belacan, tomyam, sambal petai udang, sate, nasi lemak, char kway teow dan banyak lagi. Restoran, yang dibuka pada September 2005, itu kini menyaksikan lebih 120 pelanggan setiap hari dari semua lapisan masyarakat dan pelbagai warganegara.

MEMPERKENALKAN MASAKAN MALAYSIA

“Saya berusia 22 tahun apabila membuat keputusan untuk datang ke sini. Abang saya bekerja di sini pada ketika itu. Saya bekerja di restoran-restoran Cina selama beberapa tahun sebelum membuka restoran sendiri di pusat perniagaan masyarakat Cina (Chinatown) pada 1998,” kata beliau kepada penulis yang singgah di restorannya semasa berada di Amsterdam baru-baru ini.

Bagaimanapun, Phang memilih untuk memperkenalkan masakan Malaysia dan berpindah ke jalan lain dengan menyewa sebuah kedai kecil di sebuah bangunan milik kerajaan dengan kadar sewa 850 euro sebulan (1 euroRM3.90).

Phang dibantu oleh isterinya Lisa yang berasal dari Hong Kong dan tiga lagi pembantu.

Beliau tidak menghadapi kesukaran dalam mendapatkan bahan mentah untuk masakan Malaysia kerana semuanya boleh didapati di pasar oriental di Amsterdam.

Salsa di Sepang Goldcoast


Rosalind Lim bersama Pengurus Resort Golden Palm Tree, Bill Vincent menunjukkan poster Kejohanan Tarian Antarabangsa Golden Palm Tree 2010.


TARIAN Latin seperti salsa dan tango semakin menjadi fenomena terutama di kalangan penghuni kota ketika ini.

Sebahagiannya menjadikan ia sebagai riadah menyihatkan badan dan mengisi masa lapang, namun ada juga yang terbabit secara serius sehingga ke tahap menyertai pertandingan dalam dan luar negara.

Memenuhi minat penggemar tarian tersebut, buat julung kalinya Resort Golden Palm Tree, Sepang, Selangor, bakal menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Tarian Antarabangsa Golden Palm Tree 2010 (GPTIDC).

Pertandingan yang akan berlangsung selama dua hari bermula 28 Oktober ini mendapat penyertaan dari para penari amatur dan profesional dari seluruh dunia.

Wakil penganjur kejohanan, Rosalind Lim berkata, pertandingan itu akan menyaksikan 100 pasangan yang akan membuat persembahan dengan pelbagai jenis tarian.

‘‘Melalui pertandingan ini, kita bukan sahaja dapat menyaksikan keindahan tarian ini tetapi juga satu platform untuk mencungkil bakat penari-penari tempatan dan mempopularkan tarian sebagai aktiviti yang sihat untuk orang ramai,’’ ujarnya baru-baru ini.

Beliau yang juga mempunyai pengalaman dalam bidang tarian selama 10 tahun, menjelaskan penyertaan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan biarpun pertama kali dianjurkan.

‘‘Dalam penganjuran ini, kami menerima penyertaan dari lebih 18 buah negara termasuk dari Itali, Russia dan England,’’ ujarnya lagi.

Tambah Rosalind lagi, dalam pertandingan itu pelbagai jenis tarian akan dipersembahkan termasuklah salsa dan tango Argentina.

Jelasnya lagi, pada persembahan tersebut, penonton akan di hidangkan dengan pelbagai jenis tarian yang akan diadakan di dewan besar resort mewah ini yang mampu memuatkan lebih 1,300 penonton.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, penonton yang berhasrat untuk menyaksikan pertandingan tersebut boleh memilih untuk menyaksikan pertandingan tersebut pada siang hari mahu persembahan yang berlangsung pada malam.

‘‘Bagi yang ingin kedamaian serta ketenangan mereka boleh menempah tiket pada sebelah malam yang bermula seawal 6.30 petang sehingga 11.30 malam,’’ ujarnya lagi.

Ceritanya lagi, penonton bukan sekadar berpeluang untuk menyaksikan keunikan tarian tersebut tatapi turut disediakan dengan hidangan makan malam.

Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan pertandingan tarian tersebut boleh menempah tiket yang berharga RM300 seorang sehingga 800 atau menghubungi terus Golden Palm Tree.

Nur Iman tingkat harga diri anak yatim


Ada peserta Program Nur Iman Di Tanah Suci terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak ketika di Kota Mekah.


UTEH, 10, (bukan sama sebenar) begitu bersemangat mengheret tubuh kurus yang menampakkan tulang selangka setiap kali azan berkumandang dari hotel penginapannya, Safao Taamiz, lebih kurang 150 meter dari Masjidil Haram, Mekah.

Ditemani saudara lebih tua dari keluarga besar Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV-AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM) dan Pusat Perlindungan PERNIM Bhd., anak kecil yang disahkan positif virus yang membawa maut itu tampak sihat, cergas dan sedaya upaya berusaha melawan penyakit di bawah panas terik mencapai kepanasan lebih 40 darjah celsius.

Keadaannya itu nyata jauh berbeza sehari sebelum berangkat menunaikan umrah baru-baru ini apabila dia Uteh, tiba-tiba mengadu penat dan merebahkan tubuh lesu menyebabkan suasana di rumah hiba dengan esakan dan tangisan.

Air mata Yang Dipertua PERNIM, Norlina Alawi, 39, yang digelar mama oleh 50 anak-anaknya mengalir deras dan dia pasrah jika ‘kehilangan’ Uteh kerana anak kecil itu menurut pihak hospital berada di perjalanan terakhir seorang pesakit HIV/AIDS.

Namun kuasa Allah, semangat yang tidak pernah berhenti ditiupkan Norlina kepada tujuh anak kandung dan 43 anak angkatnya turut meresap dalam sanubari Uteh yang menumpang kasih di rumah perlindungan itu hampir empat tahun lalu.

Dengan segak memakai jubah dan berkopiah ketika menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Lapangan Terbang Jeddah selama lapan jam, Uteh kekal cergas.

Begitu juga ketika menaiki bas dari Jedah menuju ke Madinah, perjalanan hampir enam jam menjelang subuh itu dilalui Uteh dengan semangat yang berkobar-kobar dan semakin nampak kubah masjid Nabawi yang memancar cahaya, Uteh semakin ‘sihat’.

Di sebalik semangat dan kekuatan Uteh tersisip perasaan bangga Norlina yang menjadi tunggak kepada PERNIM sejak ditubuhkan secara rasmi pada 17 Mac 2004 yang sentiasa menitip kekuatan di dalam jiwa anak-anak yang kehilangan ayah dan ibu.

Sukar menggambarkan jiwa penyayang wanita itu. Setiap sudut dan ruang hatinya dipenuhi kasih sayang sehingga tidak berbeza layanan antara anak kandung dan anak angkat.

‘‘Mereka semua anak saya dunia dan akhirat. Walaupun 43 daripadanya tidak lahir dari rahim sendiri namun mereka anak-anak kurniaan ilahi yang menuntut perhatian lebih daripada hanya seorang penjaga makan dan minum.

‘‘Anak-anak perlukan kasih sayang, belaian dan perhatian seorang ibu dan ayah yang benar-benar ikhlas untuk membentuk menjadi manusia berguna. Saya tidak berkompromi tentang itu,” katanya.

Merealisasikan kata-katanya itu, Norlina menjadikan anak-anak PERNIM sebagai anak angkat yang sah mengikut undang-undang. Namun istilah angkat tidak ada dalam kamus hidupnya.

‘‘Uteh dan anak-anak lain adalah ‘nyawa’ saya yang memerlukan sokongan dan kekuatan mental dan fizikal untuk membesarkan mereka.

“Justeru, dalam setiap hati penghuni juga begitu, bangga memiliki sebuah keluarga besar dan lengkap dengan kehadiran ibu dan ayah,” ujarnya.

Namun keikhlasan Norlina sering berbayar dengan tanggapan negatif sesetengah pihak. Malah lebih teruk lagi ada yang sanggup mengembalikan kenangan pahit anak-anak yatim yang melarat dan terbiar sebelum ini merobek hati keibuannya.

Cerita Norlina, awal tahun ini misalnya, dia mengeluarkan kesemua anak-anaknya yang belajar di sebuah sekolah tahfiz di sekitar Kuala Lumpur gara-gara penganjuran malam amal yang seolah-olah mempersenda mereka.

‘‘Niat mereka mungkin ikhlas mahu mengumpul tabung untuk sekolah berkenaan. Namun penganjur terlepas pandang perasaan anak-anak yang selama tinggal di PERNIM telah ditingkatkan harga diri dan dididik memelihara maruah diri.

‘‘Cukup dikesalkan, apabila dalam satu majlis, anak-anak ini diperolok-olok dengan penampilan yang mengundang belas kasihan sambil menyanyikan lagu ‘tolong kami, bantu kami’ dan memegang peti kosong dari satu meja ke meja yang lain,” katanya.

Hampir semua yang ada di dewan menangis simpati. Namun hati Norlina dan suami, Roslan Zakaria, hancur luluh menyaksikan peristiwa itu. Lebih-lebih lagi apabila seorang anak kecilnya bertanya sambil teresak-esak, katanya: ‘‘Mama pernah bagi tahu, kami tidak perlu mengemis untuk makan, tapi malam ini...,”

Sejak hari yang dianggap ‘malang’ itu, Norlina ligat memikirkan untuk memartabatkan harga diri anak-anak yang tercalar itu dengan mempelbagaikan program motivasi dan secara tidak sengaja timbul idea membawa anak-anaknya menunaikan umrah di kota suci Mekah.

‘‘Anak-anak saya datang daripada latar belakang berbeza, ada yang kematian ayah ibu kerana positif HIV/AIDS, dibuang saudara mara kerana malu menyimpan anak bekas penagih dadah, disisih keluarga dan terpaksa mengutip sampah sarap untuk mencari sesuap nasi malah ada yang menyaksikan ibu sendiri mati membunuh diri.

‘‘Tidak mudah melupakan tragedi hitam yang tertanam dalam fikiran anak-anak ini ditambah pula kurang kasih sayang. Jiwa mereka halus dan sensitif. Mudah tersentuh dan paling dibimbangi tidak memiliki keyakinan diri,” ujarnya.

Katanya, melalui Program Nur Iman di Tanah Suci diharap membantu meningkatkan motivasi anak-anak yatim itu supaya lebih cemerlang dalam kehidupan.

‘‘Mereka pernah melalui pelbagai penderitaan, bertukar agama atas kehendak orang yang sanggup membela sedangkan keluarga sendiri tidak mahu menanggung beban dan enggan menanggung risiko kerana anak menghidap AIDS sering menjadi bualan orang sekeliling,” katanya.

Tambahnya, melalui program seumpama itu, ia membuka minda masyarakat dengan memaparkan perjalanan serta pengalaman kumpulan anak-anak yatim ini ke tanah suci agar memberi keinsafan kepada orang ramai dan mereka juga mempunyai ruang di dunia ini.

Pemergian Uteh dan 20 jemaah dari PERNIM yang terdiri daripada penghuni PERNIM, orang kurang upaya (OKU), pesakit kanser dan beberapa pengiring untuk menjayakan Program Nur Iman Di Tanah Suci berjaya dilaksanakan baru-baru ini dan ia bakal ditayangkan di kaca televisyen sebelum musim haji akan datang.

Ini merupakan pemergian ke tanah suci kali kedua bagi anak-anak tersebut. Pada 2009 Norlina membawa anak-anaknya mengikuti ibadah umrah dengan pembiyaan sendiri. Kos sebanyak RM 70,000 dibayar secara ansuran dengan kerjasama sahabatnya dari Harmony Excellent, Hashim Abdullah.

Solekan naikkan seri pengantin


Afidah Khamis mengadakan perbincangan dengan pemenang ketiga Peraduan Gerbang Cinta musim pertama, Ainul Farha Ali Mohd. Ramli (kanan) .


CANTIK itu subjektif. Namun perumpamaan seperti ‘hidung mancung bak seludang’, ‘bibir bak delima merekah’, ‘pipi pauh dilayang’ dan sebagainya diperakui sebagai satu penanda aras rupa paras yang cantik sejak zaman berzaman.

Beruntung mereka yang dilahirkan jelita. Namun, bagi yang kurang sempurna, solekan menjadi sandaran agar tampil seperti yang diimpikan.

Apatah lagi menjelang hari pernikahan, si dara pasti mendambakan penampilan serba sempurna. Justeru, kehadiran jurusolek amat penting dalam industri perkahwinan.

Antara yang turut mewarnai kemeriahan industri perkahwinan tempatan ialah AfidahKhamis Make Ups & Stuff yang hadir dengan falsafah, ‘solekan adalah biasan perasaan dan apa yang anda ingin tampilkan’.

Mula ditubuhkan sejak setahun lalu, pasukan jurusolek yang diterajui oleh Afidah Khamis, 37, ini dianggotai oleh beberapa orang jurusolek yang berpengalaman menyolek bagi majlis-majlis perkahwinan, pertunjukan fesyen, persembahan pentas, sesi fotografi iklan, majalah dan banyak lagi.

Sinonim dengan gaya solekan semula jadi, Afidah yang berpengalaman dalam bidang solekan selama tujuh tahun amat menitikberatkan kesinambungan solekan dengan konteks majlis yang dihadiri terutama bagi seorang bakal pengantin pada hari pernikahannya.

Menurut Afidah, sebuah majlis perkahwinan berkonsepkan majlis dalam taman misalnya lebih berseri dengan penampilan pengantin perempuan dengan gaya solekan romantik yang menyerlahkan kelembutan wajah dengan warna-warna pastel yang mengasyikkan.

Untuk itu, Afidah amat menggalakkan perbincangan sebelum hari majlis supaya pelanggan berpuas hati dengan gaya solekan yang dipersembahkan.

Khidmat konsultasi solekan yang diberikan ini adalah percuma di mana beliau turut memberi pandangan dengan mengambil kira konsep majlis, kesesuaian pakaian, personaliti pelanggan dan adakalanya status dan kerjaya pelanggan serta pasangannya.

Selain menawarkan perkhidmatan solekan, AfidahKhamis Make Ups & Stuff tidak ketinggalan memberi kelas-kelas solekan kepada sesiapa juga yang berminat.

‘‘Di AfidahKhamis Make Ups & Stuff, saya turut menawarkan kelas-kelas solekan bagi sesiapa yang berminat mempelajari teknik solekan pengantin mahu pun solekan peribadi yang merangkumi teknik-teknik solekan ke pejabat dan solekan ke majlis keraian.

‘‘Kelas ini boleh diikuti secara perseorangan atau berkumpulan dengan yuran serendah RM50 seorang.

‘‘Bagi kelas solekan pengantin pula diadakan secara perseorangan bagi 10 sesi pembelajaran yang fleksibel diikuti dengan sesi latihan secara percuma dengan kadar yang sangat rendah iaitu bermula dari RM1,500 yang meliputi sesi pembelian/pemilihan produk, solekan pengantin, dandanan rambut dan pemakaian tudung,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai kelas yang diadakan, dalam usaha memenuhi mereka yang ingin menceburi di dalam bidang solekan, pihaknya turut menyediakan pembayaran yuran secara ansuran berdasarkan sukatan pelajaran.

Sementara itu, kepada yang berminat mengikuti kelas solekan ataupun menambah jaringan rangkaian niaga, Afidah boleh dihubungi di talian 012-9040066 atau e-mail afidah.khamis@yahoo.com dan laman sesawang www.afidahkhamis.com atau www.afidahkhamis.blogspot.com.

Avon warnai hidup Normita


Normita Mat Jilis (kiri) berbincang dengan kakitangan Avon tentang produk yang dipesan oleh pelanggannya.


KETIKA di sekolah menengah, Normita Mat Jilis sudah didedahkan dengan penjualan barangan Avon oleh ibunya. Sedia maklum dengan keseronokan menjadi peniaga jualan langsung yang diteladani daripada ibu sendiri, dia telah mengambil keputusan untuk menjadi ahli Avon sejurus tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Tahun 1995 menjadi titik tolak permulaan saya dalam bidang yang menguntungkan ini," imbas wanita berusia 33 tahun itu tentang pembabitan awalnya dalam Avon.

Pengalaman tersebut dikongsi dalam satu pertemuan khas Mega dengan Normita bertempat di pusat stokis Avon Balakong, Selangor.

Normita yang ketika itu hadir ditemani tiga dari lima anaknya, teruja berkongsi pengalaman dan menghurai kejayaannya dalam bidang jualan langsung Avon.

Seperti kebanyakan orang, penglibatan Normita dalam jualan langsung bermotifkan untuk pendapatan sampingan.

Resam anak muda mencari rezeki di kota, Normita turut mengambil keputusan meninggalkan kampung halamannya di Bahau, Negeri Sembilan dan berhijrah ke Selangor.

"Selepas mendapat keputusan SPM saya mendapat pekerjaan di sebuah kilang di Balakong. Saya mula menjual barangan Avon kepada rakan-rakan wanita di kilang. Tak sangka respons yang diterima amat baik. Ramai rakan dan juga pelanggan saya mengulang beli dan mencari saya.

"Dari situ saya mula sedar yang saya tidak perlu lagi menunggu tarikh gaji untuk membayar segala keperluan. Duit dalam akaun sentiasa ada hasil komisen jualan langsung yang saya mula di kilang," jelas penerima anugerah Top One Group Sales District bagi kawasan Balakong, Semenyih, Mines, Kajang dan Bangi itu.

Selepas bekerja di kilang, Normita ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu tadbir di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Perdana, Selangor. Di sini pelanggannya bertambah di kalangan para guru.

"Pelanggan saya kebanyakannya suka dengan barangan Avon kerana ia dihasilkan untuk wanita Asia. Saya paling banyak menerima tempahan pakaian dalam wanita dan wangian yang terbukti berkualiti dan harganya juga berpatutan," katanya yang kini telah mencapai tahap pengurus unit di peringkat Golden Circle Avon.

A Moment in English 2010 menyeronokkan


Sebahagian daripada para pelajar yang menyertai Program A Moment in English 2010 di Taman Budaya Negeri, Kuala Ibai, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 29 Sept. - Sama ada mahu menerima atau tidak, dalam tuntutan kehidupan masa kini, penguasaan bahasa Inggeris ternyata begitu penting dan tidak boleh terus dikuis ke tepi.

Ia salah satu bahasa utama bagi mendalami ilmu-ilmu duniawi, bahasa untuk jaringan perniagaan antarabangsa dan perhubungan diplomasi antarabangsa.

Dalam konteks kehidupan individu, dengan penguasaan yang mantap ia bukan sahaja membantu mengangkat pencapaian pelajaran tetapi juga dalam soal komunikasi dan lapangan kerjaya yang penuh persaingan.

Itulah kenyataannya dan di peringkat sekolah dan bagi mengukur prestasi anak negeri dalam mengejar kecemerlangan, pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris menjadi penentu.

Dengan penguasaan dwibahasa sekurang-kurangnya, ia menambahkan keyakinan seseorang individu terhadap diri dan keupayaan yang perlu diterap semasa di bangku sekolah.

Kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak bersama dengan pihak kementerian Pelajaran berusaha untuk melonjakkan pencapaian ini ketika bahasa Inggeris masih belum dipertuturkan meluas oleh pelajar di luar bilik darjah.

Program A Moment in English merupakan salah satu langkah yang diambil dengan kerjasama syarikat ExxonMobil sejak 2002 dan program tahunan itu disertai lebih 800 pelajar tahun ini, pertambahan sekali ganda berbanding tahun lalu.

A Moment in English 2010 berlangsung di Taman Budaya di sini kelmarin dengan para pelajar penuh yakin dan bersemangat menunjukkan bakat dalam pelbagai persembahan berteraskan bahasa Inggeris.

Program anjuran Jabatan Pelajaran yang dibiayai oleh syarikat minyak itu bertujuan meningkatkan kemahiran berbahasa dan menyemaikan kesukaan mereka untuk mengamalkan penggunaannya.

Ia menyaksikan mereka memperagakan bakat termasuk pengucapan awam, koir, drama, nyanyian beraksi, choralsical dan bercerita.

Para pelajar dari 17 buah sekolah termasuk lima sekolah menengah di samping 12 sekolah rendah dari pelosok negeri turut mempersembahkan deklamasi puisi, sketsa dan nyanyian.

Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran negeri, Zubir Embong.

Turut hadir Pengurus Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Exxonmobil, Grace Choo Sor Mooi dan Penasihat Hubungan Komunitinya, Ida Ruzaini Altahari.

Zubir berkata, program tahunan kali kesembilan itu diadakan untuk meningkatkan kefasihan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar melalui pendekatan kreatif dan menghiburkan.

Katanya, ia memperagakan bakat pelajar dalam seni artistik dan bahasa di samping memberi peluang kepada para pelajar dan guru-guru berkongsi pendekatan untuk meningkatkan kemahiran dan kreativiti.

''Ia juga bagi mempersembahkan kepada semua jemputan, acara-acara ko-akademik bahasa Inggeris yang telah dimenangi para pelajar Terengganu di peringkat kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Grace berkata, pihaknya sentiasa menyokong program-program berbentuk pendidikan termasuk dalam menanam dan menerapkan bahasa Inggeris di negeri ini.

''Saya juga terpesona dengan kemampuan yang ditunjukkan oleh para pelajar negeri ini dalam membuat persembahan yang kreatif," katanya.

Baginya, program itu unik kerana ia dirangka bagi menjadikan pembelajaran Bahasa Inggeris lebih menarik, lebih menawan hati dan menyeronokkan bagi pelajar.

''Ia dirangka bagi memboleh penggunaan bahasa sentiasa dilatih dan dijadikan amalan kerana para pelajar perlu menghasilkan persembahan terbaik bagi sekolah dan persiapan untuk menyertai mana-mana pertandingan," kata beliau.

Beliau berkata, bagi menyatakan sokongan berterusan syarikat terhadap program berkenaan, pihaknya meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM100,000 pada tahun ini berbanding RM80,000 tahun lepas.

Selain menyokong perkembangan program itu, ExxonMobil juga telah membiayai penubuhan 'English Theme Park' dalam usaha melahirkan lebih ramai kalangan yang fasih berucap dalam bahasa itu.

''Kita juga telah membantu menubuhkan Terengganu English Resource & Information Center (TERIC) bagi membantu guru-guru mata pelajaran itu untuk mendapatkan maklumat-maklumat baru berhubung teknik pengajaran secara inovatif," katanya.

Berhari raya di perbatasan


Zulkifeli mohd. zin menyertai pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi banding mengerjakan solat sunat Aidilfitri baru-baru ini.


KETIKA umat Islam meraikan Aidilfitri dalam suasana gembira, sebahagian besar anggota keselamatan tabah melaksanakan tanggungjawab mereka bagi memastikan kedaulatan negara terus terbela.

Belantara tebal juga merupakan antara kawasan operasi pasukan keselamatan bagi memastikan sempadan negara tidak dicerobohi oleh anasir-anasir berbahaya.

Walaupun beraya jauh di perbatasan tanpa keluarga tersayang, anggota terlibat tetap setia menjalankan tugas yang diamanahkan.

Sungguhpun begitu, jauh di sudut hati setiap petugas keselamatan negara yang berada di kawasan operasi jauh di tengah belantara, pasti terdetik kesayuan tatkala takbir raya bergema di corong telinga.

Apa yang pasti, wajah-wajah insan kesayangan akan terlintas di benak fikiran satu persatu sekali gus menambah kesyahduan di pagi lebaran yang mulia.

Namun tanggungjawab adalah keutamaan bagi mereka dalam memastikan negara tetap teguh, aman dan sejahtera daripada anasir-anasir luar.

Bagi pegawai dan anggota yang sedang bertugas di Operasi Banding ketika lebaran, mereka sedikit pun tidak menyesal atau mengeluh walaupun terpaksa meninggalkan keluarga tercinta.

Malah, mereka berbangga dengan pengorbanan yang dilakukan demi memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara.

Itulah erti pengorbanan seorang satria dan perwira negara yang mencurahkan keringat tidak kira masa dan jarak demi untuk mempertahankan kesejahteraan dan keamanan yang dinikmati kini.

Sambutan Aidilfitri pada tahun ini ternyata cukup istimewa bagi anggota yang terlibat dalam Operasi Banding kerana menerima kunjungan tampuk pemerintahan tertinggi Tentera Darat (TD) iaitu Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zain dan barisan pegawai kanan ke kawasan Operasi Banding untuk meraikan lebaran bersama pegawai dan anggota yang bertugas.

Turut hadir, Panglima Medan Tentera Darat (PMTD) Lt. Jen. Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi dan Panglima 2 Divisyen, Mej. Jen. Datuk Mohd. Noor Daud.

Kehadiran delegasi pimpinan tertinggi TD cukup bermakna apabila mereka turut berbesar hati berbuka puasa bersama anggota tentera pada hari terakhir Ramadan seterusnya bersama-sama semua warga Tentera Darat yang menjalankan operasi, melaungkan takbir Aidilfitri di surau MK Taktikal 749.

Zulkifeli juga membantu menyediakan juadah hari raya seperti ketupat, membakar lemang, mengacau dodol dan beberapa menu lain.

Warga Batalion Ketiga Rejimen Sempadan yang terdiri daripada pelbagai kaum turut bergotong-royong menyediakan menu ala 1Malaysia seperti capati, roti canai, char kue tiau, tahu sumbat dan ikan bakar untuk dinikmati pada malam raya.

Sesungguhnya, keprihatinan dan pengorbanan kepimpinan tertinggi TD yang sanggup meninggalkan keluarga tercinta untuk bersama-sama pegawai dan anggota yang sedang menjalankan operasi di perbatasan negara amat dihargai.

Pada awal pagi Syawal, kesemua tetamu, pegawai dan anggota menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama dan disusuli dengan Majlis Jamuan Aidilfitri.

Pada majlis itu, Panglima Tentera Darat turut menyampaikan bungkusan kuih raya serta sumbangan khas daripada kerajaan negeri Perak dan sumbangan kepada warga TD yang bertugas.

Dalam ucapannya, Zulkifeli menyifatkan keikhlasan dan pengorbanan yang dipamerkan oleh semua pegawai dan anggota untuk bertugas di hari lebaran begitu besar kerana mereka sanggup meninggalkan keluarga demi melaksanakan amanah mempertahankan negara tercinta daripada sebarang ancaman keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia dan Thailand.

Di atas kesedaran itu, beliau terpanggil mengorbankan kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga untuk meraikannya bersama semua anggota yang sedang menjalankan operasi di sekitar kawasan utara Semenanjung Malaysia.

Beliau bersama pegawai kanan TD turut melawat di beberapa lokasi hadapan iaitu di kawasan Ban Di Ba, Ban Dee Sameo, Kem Gubir, Kem Batu Melintang, Pos Tiang Bendera dan beberapa lokasi lain.

Zulkifeli turut menyerahkan sumbangan bungkusan raya dan sumbangan peribadi untuk anggota yang bertugas di setiap lokasi.

Jika dahulu kawasan sempadan negara dikawal untuk mengelak daripada ancaman tindakan sabotaj dan kekejaman gerila Parti Komunis Malaya (PKM), kini senarionya telah berubah sama sekali.

Tugas tentera bukan lagi memburu serta menggempur komunis tetapi lebih kepada membendung kes-kes penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurut Ketua Kompeni Bravo, Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja PARA (17 RAMD Para) Mejar Mohd. Syafik, 34, ancaman komunis mungkin telah lama berlalu tetapi ia tidak bermakna anggota tentera boleh bergembira dan bersikap sambil lewa terhadap tugas mereka.

"Jika dahulu saban malam anggota tentera diburu keresahan diserang hendap oleh gerila komunis, tapi kini kami terus memikirkan tentang keamanan yang perlu dipertahankan untuk negara terus maju dan membangun ke arah Wawasan 2020.

"Tugas dan beban yang dipikul sejak dahulu hingga kini tetap sama kerana elemen-elemen yang boleh mengancam kedaulatan negara sentiasa berubah-ubah," katanya.

Konsert amal: Artis dan sedia

Alyah hiburkan penonton.

Penyanyi yang terlibat dalam Konsert Simfoni Amal Diraja: Harmoni Itu Indah sudah bersedia untuk menghiburkan pengunjung konsert di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dijadualkan pada 2 Oktober ini.

Konsert yang dibawakan oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan itu membariskan Yasin, Jay Jay, Fazli Zainal, Alyah dan Farhan. Sarimah Ibrahim akan mengacarakan majlis tersebut.

Konsert yang diuruskan oleh Hadgente Event Management dengan kerjasama Teroka Sdn. Bhd. milik komposert ternama Manan Ngah memuatkan lagu-lagu malar segar dan lagu-lagu terkini.

Yayasan tersebut ditubuhkan untuk masyarakat dan menyokong serta membantu usaha pengekalan identiti seni dan budaya bangsa dalam membela nasib anak-anak yatim, ibu tunggal, petani dan pihak yang memerlukan.

Manan menambah, bukan bersandarkan faktor populariti yang menjadi batu pengukur pihaknya memilih 4 penyanyi berkenaan, sebaliknya ia bersangkut paut dengan keupayaan mereka mendendangkan pelbagai jenis lagu dengan baik.

Antara segmen menarik yang dimuatkan dalam konsert tersebut ialah nostalgia lagu-lagu malar segar ciptaan Manan Ngah seperti Ku Keudara Lagi, Sekadar Di Pinggiran dan banyak lagi.

"Latihan bermula sejak kelmarin. Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar," kata Alyah ketika ditemui di studio latihan di Keramat Permai, Kuala Lumpur malam tadi.

Sila Kritik Lakonan dan Nyanyian Saya - Diana Danielle

Buat pertama kalinya peminat dapat melihat kebolehan dan bakat sebenar selebriti jelita ini. Filem arahan Edry KRU, Magika membuka mata peminat sekaligus membuktikan Diana Daniella mampu berlakon dan menyanyi dalam filem muzikal ini.

Tidak dinafikan, watak yang dipegang itu amat sukar untuk direalisasikan, lebih-lebih lagi menuntut risiko besar apabila diminta menyumbangkan suara dalam filem tersebut.

"Saya bukannya penyanyi sebenar dan bakat saya hanyalah pada lakonan. Saya tak pernah masuk kelas vokal dan apa yang ditonjolkan pada watak Ayu, itulah yang terbaik mampu dilakukan.

"Ini merupakan filem muzikal saya yang pertama dan penglibatan bersama produksi ini benar-benar dapat mencabar keupayaan. Sangat sukar untuk berlakon sambil menyanyi dan takut jika saya tak dapat sampaikan mesej sebenar kepada penonton. Dan saya alu-alukan kritikan," ujarnya.

Teruja Dengan Mawi

Satu pengalaman baru yang sukar dilupakan apabila digandingkan dengan Mawi. Baginya walaupun agak sukar untuk mencari keserasian, namun kedua-duanya berjaya membawakan watak dengan baik.

"Saya segan dengan Mawi dan tidak begitu selesa dengannya. Namun itulah yang harus ditonjolkan dalam Magika. Ayu dan Badang harus kelihatan janggal ketika bersama.

"Pada waktu itu, Mawi merupakan satu fenomena dalam industri dan membuatkan saya lebih gugup untuk berlakon dengannya," katanya yang bakal muncul dalam filem Dalam Botol arahan Khir Rahman.