|
Hasil ketekunan dan usaha gigih ditambah dengan bantuan LZS, ramai golongan asnaf kini sudah menjadi pembayar zakat. - gambar hiasan |
DALAM Islam, zakat adalah instrumen ekonomi dan sosial sekali gus. Ia bukan sekadar berperanan sebagai pemacu dan indikator ekonomi; tetapi sekali gus mampu menyeimbangkan keadilan sosial ummah.
Atas premis itulah, zakat kekal berperanan sebagai elemen penting dalam kehidupan umat Islam sampai bila-bila.
Di Malaysia, kutipan zakat sentiasa meningkat tahun ke tahun. Berdasarkan statistik tahun 2009, di Selangor sahaja, kutipan zakat mencecah RM283.6 juta.
Kutipan kedua tertinggi adalah di Wilayah Persekutuan (RM248.8 juta) diikuti Johor sebanyak RM109.2 juta. Keseluruhan kutipan zakat di Malaysia adalah RM1,196,871,798.60 tahun lalu.
Daripada lapan asnaf zakat itu pula, asnaf fakir dan miskin mestilah menjadi prioriti. Polisi ini sejajar dengan saranan Islam, justeru fakir dan miskin sememangnya asnaf muqaddam (awal) sebagaimana tertera di dalam ayat 60 surah at-Taubah.
Di sisi amalan nabi, baginda juga mengutamakan golongan ini. Sabda nabi: Harta itu hijau dan manis. Sebaik-baik harta kepunyaan seorang muslim ialah yang diberikannya kepada orang miskin, anak yatim dan orang dalam perjalanan... (sebahagian hadis riwayat Bukhari)
Dengan keutamaan inilah, asnaf fakir dan miskin mempunyai hak yang lebih ke atas dana zakat. Wang dan dana zakat hendaklah diberi keutamaan membangunkan asnaf fakir dan miskin terlebih dahulu.
Di Malaysia, amalan zakat secara umumnya bertambah baik. Ditokok dengan usaha pemerkasaan institusi zakat, misalnya menerusi pengkorporatan institusi zakat dan juga penggubalan enakmen dan akta yang bersesuaian (contohnya akta cukai yang membenarkan rebat daripada pembayaran zakat), maka umat Islam berpeluang lebih luas untuk menjadikan zakat sebagai batu loncatan memajukan potensi umat Islam.
Dalam hal ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya telah melakukan transformasi hampir menyeluruh ke atas operasi zakat yang melibatkan aspek kutipan dan agihan.
Dalam aspek kutipan, pelbagai inovasi diterokai sehingga menjadikan urusan pembayaran zakat begitu mudah akses sehingga ke hujung jari.
Dalam aspek agihan zakat pula, dua asnaf utama iaitu fakir dan miskin telah diberikan peluang seluas-luasnya untuk merubah keadaan diri mereka.
Menerusi mekanisme program pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan dan penjanaan modal insan, maka para asnaf fakir dan miskin ini telah dibekalkan 'modal' yang cukup untuk mentransformasikan diri mereka sendiri dengan lebih efektif.
Menerusi Program Pembangunan Pendidikan misalnya, anak-anak asnaf diberikan kemudahan meluas demi memastikan mereka mampu mencipta kecemerlangan yang konsisten.
Aspek pendidikan diberi keutamaan, kerana ia menjadi aset kekal kepada asnaf. Penjanaan dana pendidikan itu pula, meliputi aspek seperti penyediaan yuran, wang saku, kelas tambahan, penyediaan peralatan persekolahan sehinggalah mengikuti pelbagai kursus motivasi dan pembelajaran. Ia bermula, seawal tahap pra sekolah sehingga ke universiti dalam dan luar negara.
Untuk golongan dewasa, mereka turut didedahkan kepada pelbagai kursus seperti kemahiran keibubapaan dan juga kekeluargaan.
Solat misalnya diperelokkan, menerusi tahsinul ibadah di samping upaya mendekatkan diri kepada al-Quran menerusi tahsinul qiraah. Semua ini dilaksanakan di bawah pakej penjanaan sosial dan pembangunan insan.
Begitu juga dalam aspek penjanaan ekonomi asnaf, institusi zakat cuba sedaya mungkin menyediakan dana yang optimum. Mereka yang mempunyai kebolehan, bakat dan potensi akan digilap.
Modal diberi dan perniagaan akan dipantau rapi, demi membolehkan para asnaf fakir dan miskin ini memula dan menjalankan perniagaan dengan yakin. Kini, sudah ramai mampu berdikari dan menjadi pembayar zakat pula.
Jelas, bahawa zakat adalah suatu komponen penting yang dianjurkan oleh Islam untuk membela fakir dan miskin. Namun, zakat bukanlah penyelesaian total kepada kemelut kemiskinan yang melanda.
Zakat hanya berperanan sebagai pelengkap kepada usaha mereka sendiri untuk berkerja dan seterusnya mengeluarkan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.
Oleh itu, dalam konteks semasa, bekerja dan berusaha dalam Islam adalah suatu yang fundamental.
Bekerja adalah punca kepada pendapatan, yang dengannya mampu menjadikan umat Islam hidup sejahtera.
Bahkan bekerja memungkinkan seseorang menjadi kaya sehingga mampu berzakat atas kekayaannya.
Pernah nabi memerintahkan seorang pemuda Ansar agar berkerja dan tidak sekadar meminta-minta.
Anas bin Malik r.a meriwayatkan suatu kisah yang agak panjang di antara seorang pemuda Ansar bersama Rasulullah SAW. Pemuda berkenaan mendatangi Rasulullah bertujuan mahu meminta sedikit makanan.
Namun Nabi SAW tidak terus memberikannya makanan, melainkan ditanya terlebih dahulu apakah masih ada sesuatu di rumahnya, yang mungkin boleh dijual.
Lantas pemuda Ansar itu menyatakan: "(Ya) ada, (iaitu) pakaian yang kasar, (yang) setengahnya kami pakai dan setengahnya lagi kami hamparkan, juga sebuah bekas yang kami (gunakan untuk) meminum air dengannya".
Nabi SAW seterusnya meminta pemuda itu pulang dan membawakan kedua-dua barangan itu. Pemuda itu pun pulang dan datang semula.
Kemudian, Rasulullah SAW segera mengambil barang-barang itu daripada tangannya dan menawarkannya kepada sesiapa yang ada bersama mereka, seandainya mereka mahu membelinya.
Lalu, seorang lelaki yang berada di situ telah membeli kedua-dua barangan itu dengan harga dua dirham.
Daripada dua dirham itu pula, nabi menyerahkan satu dirham kepada si pemuda untuk kegunaan keluarganya, manakala satu dirham lagi telah diminta oleh Nabi SAW agar pemuda itu membeli sebilah kapak.
Rasulullah SAW berpesan: "Beli makanan satu dirham dan segera kembali (ke rumahmu) dan berikannya kepada isterimu. Dan gunakan satu dirham lagi untuk membeli kapak, dan bawakannya ke mari".
Tidak berapa lama, orang Ansar itu kembali bertemu nabi bersama sebilah kapak. Kemudian baginda segera memasang kayu pada kapak itu (sebagai hulu) lantas menyatakan: "Ambil kapak ini, dan pergilah kamu mencari kayu, kemudian kamu jual kayu itu dan kamu datanglah lagi selepas 15 hari".
Pemuda Ansar itu benar-benar mematuhi arahan Nabi SAW. Diberitakan, selepas 15 hari, dia datang menemui nabi SAW dan kali ini di tangannya tergenggam 10 dirham hasil jualan kayunya.
Dengan wang itulah, sebahagiannya dia gunakan untuk membeli pakaian dan sebahagiannya lagi untuk makanan keluarganya.
Lalu sabda Nabi SAW menuntaskan: "Cara begini adalah lebih utama bagi kamu daripada meminta-minta, sebab meminta-minta itu akan meninggalkan tanda di muka kamu di akhirat nanti". (Sayid Sabiq dalam kitabnya 'Anasirul Quwati fil Islam).