SEJAK kebelakangan ini, Vivo dilihat menjadi antara jenama pilihan masyarakat yang mencari telefon pintar.
Vivo merupakan syarikat multinasional berteraskan teknologi yang mereka bentuk, membangun dan mengeluarkan telefon pintar, aksesori telefon pintar, perisian serta perkhidmatan dalam talian.
Diasaskan oleh Shen Wei di Dongguan, Guangdong sebagai sub jenama kepada BBK Electronics pada 2009.
Jenama itu memberi tumpuan kepada menyediakan pengalaman audio yang berkualiti tinggi untuk pengguna dengan menggunakan cip Hi-Fi di telefon pintar.
Antara perisian yang dibangunkan di bawah jenama itu termasuklah Vivo App Store, iManager, sistem operasi berasaskan Android yang dipanggil sebagai Funtouch OS.
Pada 2012, Vivo mengeluarkan model X1, telefon pintar yang paling nipis ketika itu.
Walaupun baru sahaja tujuh tahun bertapak di pasaran, jenama Vivo menjadi antara pemain utama dalam industri telefon pintar dengan menyertai 10 pembuat telefon pintar teratas.
Manakala pada suku pertama 2015, Vivo berjaya menguasai pasaran global sebanyak 2.7 peratus.
Syarikat itu turut mengupah 1,600 kakitangan pembangunan dan penyelidikan (R&D), untuk bekerja di pusat-pusat R&D Vivo, di Shenzhen dan Nanjing, Januari lalu.
Vivo menawarkan produk terdiri daripada tiga siri telefon pintar yang disasarkan kepada golongan pertengahan sehingga berpendapatan tinggi, iaitu model X, V dan Y.
Selain itu, Vivo turut menghasilkan fon kepala XE800 untuk digunakan dengan semua telefon pintarnya.
Sehingga kini, Vivo mendaftar di 100 buah negara, seluruh dunia ternyata satu kejayaan besar buat jenama dari China itu.
Vivo mula meneroka ke peringkat antarabangsa pada 2014, apabila ia memasuki pasaran Thailand.
Syarikat itu kemudian berkembang dengan pantas dengan pelancaran produknya di India, Malaysia, Indonesia, Vietnam, Myanmar dan Filipina.
Ini disebabkan kelainannya yang membezakannya dengan jenama lain dalam industri Hi-Fi dan Smart.
Jenama Vivo semakin kukuh di pasaran apabila syarikat itu bekerjasama dengan 20th Century Fox’s dalam filem pecah panggung, The Martian dan menjadi penaja rasmi Liga Perdana India (IPL) dalam liga kriket profesional tertinggi di India.