Sunday, January 1, 2017

MBI Tidak Pernah Terima Permohonan Panjat Papan Tanda 'Ipoh'



IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk memanjat papan tanda 'Ipoh' daripada mana-mana pihak, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.
Beliau berkata, dakwaan sekumpulan remaja bahawa MBI meluluskan permohonan mereka untuk memanjat papan tanda di Jalan Kuala Kangsar adalah satu penipuan.
"Saya sudah semak, tidak ada satu kelulusan pun yang diberi oleh semua ketua jabatan termasuk MBI. Sekiranya ada yang buat permohonan pun kita tidak akan benarkan," katanya kepada pemberita pada sambutan ambang tahun baharu dan majlis pelancaran Tahun Melawat Perak 2017 di sini, Sabtu malam.
Gambar memanjat itu menjadi viral sejak empat hari lalu antaranya di laman sosial Instagram dan YouTube menunjukkan sekumpulan remaja lelaki serta perempuan memanjat papan tanda dengan ketinggian lebih 20 meter itu.
Selain itu, kumpulan remaja berkenaan juga merakamkan aksi baring di dalam buaian yang dipasang pada kerangka tiang papan tanda tersebut.
Zamri berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan kebenaran kepada orang awam untuk memasuki kawasan tersebut mahupun memanjat papan tanda itu kecuali kepada kontraktor penyelenggara.
"Kontraktor yang melakukan kerja-kerja selenggara pun kita pastikan mereka mengikut ciri-ciri keselamatan yang lengkap dengan memakai tali keselamatan selain menggunakan kren," katanya.
Tegas Zamri, aksi remaja terbabit dengan baring di dalam buaian yang dipasang pada kerangka tiang papan tanda tersebut boleh dikategorikan sebagai vandalisme.
"Kerangka tiang papan tanda itu boleh rosak dan menimpa pengguna jalan raya kerana struktur yang didirikan itu bukan untuk menampung beban tambahan seperti berat individu," katanya.
Ditanya sama ada pihaknya akan berjumpa dengan sekumpulan remaja terbabit, Zamri berkata, kemungkinan pihaknya akan berjumpa dengan mereka dan pada masa yang sama meminta pihak polis menjalankan siasatan.
Pihak MBI telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 12.45 malam tadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: