Wednesday, July 1, 2009

Sukar hidup tanpa Fauzi...Lisdawati





Tindakan Lisdawati yang menitiskan air mata ketika menyaksikan pratonton telefilem Buih-Buih Cinta mengundang tanda tanya

BEBERAPA kali manik-manik jernih dilihat mengalir di pipi mulus pelakon ini ketika menghadiri majlis pratonton telefilem Buih Buih Cinta arahan pengarah sedang meningkat naik Osman Ali. Tindak-tanduk Lisdawati Nazarauddin itu menjadi persoalan.

Adakah hatinya terusik kerana jalan ceritanya? Namun itu mustahil kerana air mata wanita ini sudah kelihatan beberapa saat sejurus tayangan drama yang menampilkan dirinya sebagai tonggak utama memegang watak wanita bernama Soraya bermula.

Takkan begitu mudah hatinya tersentuh? Mungkinkah kerana desas-desus mengenai rumah tangganya bersama aktor Fauzi Nawawi yang dibina hampir dua tahun lalu yang khabarnya bergolak mengusik hati wanita ini apatah lagi melihat bibit-bibit romantis di dalam telefilem khusus untuk produk Johnson's Baby Milk Bath, Buih-Buih Cinta yang mungkin hanya tinggal kenangan?

Lalu dirinya menjadi buruan sejurus tayangan selama satu jam itu berakhir. Tanpa Fauzi di sisi yang terpaksa bergegas pulang kerana terikat dengan komitmen kerja, ibu kepada seorang cahaya mata ini terpaksa berdepan dengan media sendirian.

Soal kami, kenapa dia kelihatan amat tersentuh? Jawab wanita itu, dia seorang yang sensitif. Ada getar di hujung suara Lisda tatkala menjawab soalan itu.



Katanya, dia tidak dapat membayangkan bagaimana sekiranya Fauzi tidak mempedulikannya seperti yang berlaku kepada Soraya yang makan hati kerana tidak dihiraukan suami berikutan berkahwin kerana paksaan.

"Alhamdulillah semua itu tidak berlaku dalam rumah tangga kami. Sampai ke saat ini dia masih suka berlawak sampai keluar air mata saya dibuatnya. Sepanjang berkahwin dengan Abang Fauzi hampir dua tahun, kami tidak pernah berdepan sebarang masalah besar, mungkin kerana kami bekerja dalam satu bidang.

"Abang Fauzi seorang yang ringkas, dia penuh dengan lawak jenaka. Perangainya tidak sejahat seperti dalam filem, sebaliknya dia seorang suami yang sangat romantis. Cuma dia kurang selesa menunjukkan sikap romantisnya di depan orang, hanya saya yang tahu bagaimana suami di rumah.

"Namun ada juga ketikanya kami berselisih faham, tetapi biasanya kami akan menyelesaikan masalah secepat mungkin. Jika bergaduh, kami lebih senang menggunakan SMS saja untuk menyelesaikan masalah. Ketika awal perkahwinan lagi, saya sudah ingatkan Abang Fauzi, marah macam mana sekali pun dia kena balik rumah. Tak kiralah lambat hingga ke Subuh sekali pun supaya pergaduhan tidak berpanjangan ,"katanya.

PENGARAH Pemasaran Johnson & Johnson Sdn Bhd, Standfard Goh (tiga dari kiri), Osman Ali (kiri) dan Lina Tan bersama Lisda serta Fauzi pada majlis pratonton telefilem Buih Buih Cinta.

Soalan mengenai rumah tangganya yang dilaporkan bergolak tidak terlepas kami tanyakan. Biar agak berat bertanyakan soalan itu memandangkan terdahulu Lisda dan Fauzi kelihatan cukup romantis ketika beraksi di depan kamera, namun soalan itu perlu diajukan juga demi mendapatkan kepastian.

Dengan lancar Lisda menjawab, tuduhan mengenai pergolakan rumah tangganya itu hanyalah usikan media semata-mata. Bagi dia dan Fauzi, lebih baik mereka berdiam diri kerana percaya perkara yang tidak betul akan lenyap dengan sendirinya.

"Saya amat gembira dengan kehidupan sekarang. Kebahagiaan kami bukan dibuat-buat, apa yang penonton lihat dalam Sehati Berdansa, itulah kami di dalam dunia realiti. Kami tidak berlakon. Seperti saya katakan, Abang Fauzi seorang yang sangat romantis. Jika di rumah dia sebolehnya tidak mahu saya melakukan kerja berat-berat. Kain baju dia akan hantar ke dobi, malah ada masanya dia yang masak untuk saya.

"Jadi saya dan abang terkejut bagaimana boleh timbul cerita rumah tangga kami berantakan? Kami pelik bagaimana orang luar lebih tahu mengenai rumah tangga kami daripada diri kami sendiri? Saya kurang selesa apabila isu ini ditimbulkan kerana orang yang tidak tahu apa-apa mereka akan keliru. Sementara orang yang tidak suka dengan saya dan abang tentu akan bertepuk tangan mendengar cerita ini," katanya yang tidak mahu melayan perkara negatif seperti ini.

Bawa dua watak berbeza

SELAIN Soraya wanita yang makan hati kerana tidak dihiraukan suami, Lisda turut membawakan watak wanita gila-gila bernama Lolly. Ternyata pelakon ini berjaya membawakan watak Lolly dengan berkesan hingga berjaya membuatkan kami yang menghadiri majlis pratonton Buih Buih Cinta tidak kering gusi.

Kata Lisda, itulah pengalaman pertamanya membawakan watak gila-gila kerana sebelum ini penerbit lebih cenderung memberikannya watak wanita kampung serta watak serius. Bagi menghidupkan watak Lolly, Lisda menjadikan karakter gila-gila Sarimah Ibrahim sebagai panduan, tetapi dia menjadi lebih tiga kali ganda daripada Sarimah.

"Lapan tahun dalam bidang lakonan, produser melihat kemampuan saya lebih ke arah watak wanita lemah lembut. Memang pada mulanya agak takut juga untuk membawakan watak Lolly, tetapi mujur Osman Ali banyak membantu.

"Lagi pun peluang seperti ini tidak selalunya datang, jadi bagi saya tidak ada salahnya jika saya mencuba. Saya tidak sangka pula Osman suka dengan lakonan saya," katanya.

Selain Lisda, drama sebanyak tiga episod yang jalan ceritanya dihantar oleh peserta peraduan Johnson's Baby Milk Bath, Suami & Si Manja Semakin Sayang, turut dibintangi pasangan suami isteri Vanidah Imran dan Rashidi Ishak.

Menurut Osman, dia bersama penerbit Red Comm Sdn Bhd, Lina Tan sepakat memilih dua pasang suami isteri ini kerana bukan saja mereka dikenali, bahkan kedua-duanya juga berkebolehan berlakon dengan baik. Bagaimanapun, keputusan memilih dua pasang suami isteri ini tidak dicapai dengan mudah, mereka adalah dua pasangan bertuah daripada lima nama yang disenarai pendek.

Osman yang juga pengarah Anak Halal berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah ketika sesi penggambaran. Cuma dia perlu kreatif menonjolkan produk keluaran Johnson's agar tidak keterlaluan kelihatan seperti iklan komersial.

"Kriteria yang kita mahukan adalah pelakon yang bersih dan pasangan sebenar serta berkebolehan berlakon. Kami melihat kedua-dua pasangan ini mempunyai 'chemistry' yang sangat baik. Kali ini kita tampilkan kedua-dua pelakon wanita ini dalam karakter berbeza daripada yang pernah mereka lakonkan sebelum ini.

"Sepanjang 10 hari penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Hulu Langat, kita tidak menghadapi sebarang masalah besar kecuali dengan pelakon kanak-kanak Puteri Qiestina Nisrien yang memegang watak anak Lisda dalam cerita ini kerana dialah diva paling besar. Penggambaran hanya dapat dilakukan bergantung kepada dia, sekiranya dia tidur kami terpaksa tunggu sehingga dia bangun dan bergantung juga kepada moodnya. Selebihnya tiada sebarang masalah," katanya.

Sementara itu, Lina Tan pula berkata, dia memilih Osman Ali selaku pengarah kerana percaya dengan kredibiliti pengarah itu. Baginya Osman berupaya menyelami dasar hati seorang wanita, perkenalan yang terjalin sejak sekian lama juga memberi keyakinan kepadanya memilih Osman sebagai pengarah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: