Wednesday, July 1, 2009

Flop Poppy di Australia

Sekumpulan pelajar-pelajar Malaysia yang kini menuntut di Australia akan menganjurkan majlis amal ‘With Love, Down Under Charity Gig’ yang berkonsepkan pertandingan muzik berkumpulan di antara pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Australia. Acara ini dianjurkan untuk mengutip dana kebajikan bagi Pertubuhan Penyayang Raudhah, sebuah pertubuhan yang memberi bantuan dan sokongan kepada anak-anak kurang bernasib baik termasuklah anak-anak yatim di seluruh pelusuk Selangor dan Kuala Lumpur.

Majlis amal ini akan berlangsung di University of New South Wales (UNSW) di Sydney, Australia pada 11 Julai 2009 dan akan direalisasikan dengan kerjasama semua kelab-kelab UMNO di Australia serta UNSW Malaysian Students Organization (MSO).


“Walaupun kami berada jauh di perantauan, rasa cinta terhadap tanah air masih lagi tersemat di hati, dan dengan itu kami anak muda ingin sama-sama memupuk kesedaran dalam diri pelajar-pelajar Malaysia di luar negara untuk berbakti kepada tanah air melalui projek ini”, kata Cik Erina Zahara Ellias selaku pengarah projek.

Apa yang lebih menarik ialah Charity Gig ini akan menerima sambutan dan sokongan istimewa daripada Flop Poppy. Air Asia selaku penaja utama bersetuju menyokong projek ini dengan menerbangkan mereka ke Australia. Flop Poppy selaku artis undangan majlis ini akan semestinya memeriahkan lagi suasana malam itu.

Dengan hanya membeli tiket yang berharga AUD15.00, para jemputan dapat berhibur dengan pelbagai aneka muzik, pameran dan ruang niaga fesyen dan kraftangan daripada Malaysia serta variasi juadah tempatan.

With Love, Down Under Charity Gig bergantung kepada sumbangan derma dan tajaan untuk merealisasikan projek ini. Dengan itu, mereka memerlukan derma ikhlas daripada pihak umum untuk menolong mencapai impian mereka.

Ini adalah projek WLDU yang kedua; projek pertama (With Love Down Under –Charity Dinner) berjaya mengutip RM 32,255.80 untuk Persatuan Kebajikan Anak Pesakit AIDS/HIV Nurul Iman Malaysia’ (PERNIM) dua tahun lepas.

Kejayaan projek pertama mereka telah berjaya memberi motivasi kepada anak- anak muda ini untuk meneruskan usaha murni sebegini.

Di kala ini, Pondok Penyayang Raudhah hanya mempunyai dua bilik tidur untuk sejumlah 90 orang anak-anak yang kurang bernasib baik. Keadaan anak-anak ini perlu diberikan perhatian masyarakat dan diharap mereka akan mendapat tempat di mata rakyat Malaysia agar sumbangan berterusan dapat terus disalurkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: