MASIHKAH anda ingat kepada lagu hip ‘Beautiful Girls’? Sean Kingston yang juga popular dengan lagu ‘Take You There’ dan ‘Me Love’ akan menggegarkan pentas Shout! Awards yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Julai ini!
Sean Kingston, penyanyi muda berusia 19 tahun yang dilahirkan di Miami dan dibesarkan di Jamaica ini bukanlah wajah baru di dalam industri muzik. Dia telah mencipta sebuah genre baru yang agak luar biasa di mana genre rap, reggae, pop, ‘doo-wop’ dan penulisan lagu yang yang menarik digabungkan menjadi sebuah produk yang cukup unik.
“Beautiful Girls” telah mencipta sejarah kerana merupakan antara lagu yang telah memanjat carta lagu dengan pantas. Kejayaan Sean tidak hanya terhenti di situ kerana penyanyi/rapper turut menyenaraikan “Me Love”, “Take You there” dan “There’s Nothin” di dalam senarai ‘Top Ten’.lagu-lagu popular.
Album kedua Sean, Tomorrow yang diterbitkan oleh Epic Records dijangka berada di pasaran bulan Ogos ini. Sean yang kini sedang hangat dengan “Fire Burning” terus mencetus fenomena dalam liga tersendiri.
Julai ini peminat-peminat Sean Kingston pastinya tidak sabar untuk bertentang mata dan meraikan penyanyi ini yang akan menghiburkan peminat semua di pentas Shout! Awards.
“Kami berasa amat gembira dan teruja untuk mengumumkan bahawa Sean Kingston akan menghadiri dan membuat persembahan di Shout! Awards nanti,” kata Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV.
“Shout! Awards pastinya lebih meriah dengan kemunculan artis antarabangsa ini. Saya berharap, acara ini akan menjadi sebuah rancangan anugerah pertama di Malaysia yang paling banyak diperkatakan pada tahun ini!”.
“Jika anda ini ingin menyaksikan Sean Kingston dan ramai lagi artis terkemuka membuat persembahan di Shout! Awards, anda berpeluang mendapatkan pas-pas percuma di siri jelajah Shout! Awards yang akan diadakan di lokasi-lokasi terpilih,” tambah Izham.
Peminat Sean Kingston juga haruslah menantikan pengumuman untuk sesi bertemu denga peminat bersama artis luar negara in tidak lama lagi. Nantikan pengumuman ini di 8TV atau layari www.shoutawards.com.my atau www.8tv.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Shout! Awards akan berlangsung pada 17 Julai 2009 di Stadium Putra, Bukit Jalil. Ini merupakan sebuah rancangan anugerah baru yang akan disiarkan secara langsung di 8TV tepat jam 8.30 malam.
Shout! Awards akan dimulakan dengan acara karpet merah yang akan diserikan dengan ketibaan selebriti-selebriti terkenal dalam industri hiburan Malaysia.
Shout! Awards diadakan untuk memberi penghargaan kepada mereka yang telah banyak mempengaruhi industri Muzik, Filem, TV dan Radio tanahair.
Rancangan yang akan berlangsung selama 2 ½ jam ini akan menyaksikan penganugerahan bagi mereka yang telah memberi revolusi baru dalam industri hiburan tempatan.
Ia juga merupakan satu platform yang baik untuk peminat memilih dan melihat ke mana arah tuju industri hiburan Malaysia.
Shout! Awards merangkumi anugerah khas untuk TV, Filem, Radio dan Muzik dan turut menyelitkan persembahan-persembahan bertenaga dari artis dan band tempatan dalam kolaborasi yang cukup menarik dan menghiburkan!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: