Thursday, July 30, 2009

Mazuan berjaya sembunyi kesilapan


Pertandingan Juara Asyik 2009 menyaksikan kelahiran bakat-bakat baru berkaliber (dari kiri) Mazuan sebagai juara, bersama pemenang tempat kedua Maznah Majid (tengah) dan pemenang tempat ketiga, Wah Moliz.


SELEPAS berjaya mencungkil bakat nyanyian berkumpulan Keey-Looi pada pertandingan Juara Asyik 2007, kini pertandingan itu menyenaraikan juara baru, seorang remaja Orang Asli suku kaum Semai, Mazuan a/l Bah Gajah pada pertandingan akhir Juara Asyik 2009 hujung minggu lalu.

Berlangsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, kemeriahan malam kemuncak itu begitu dirasai.

Bahkan lebih separuh daripada penonton yang hadir memenuhi auditorium pada malam tersebut terdiri daripada pelbagai suku kaum Orang Asli yang sanggup mengharungi perjalanan sehari suntuk hanya untuk memberi sokongan buat rakan-rakan mereka yang bertanding.

Kemerduan suara remaja yang masih lagi menuntut di tingkatan enam, Sekolah Menengah Kebangsaan Tapah, Perak menerusi lagu Hanya Kau Di Hatiku ciptaan Anizan Rosli dan Penghujung Rindu yang dipopularkan oleh Jamal Abdillah membawa tuah kepadanya dan sekali gus dinobatkan sebagai johan.

Bertemu Mazuan yang membahasakan diri sebagai E-One sejurus selepas berakhir pertandingan, terpancar kegembiraan di wajahnya.

"Saya memang tidak sangka boleh menang sebab saingan semuanya hebat-hebat belaka. Yang pasti saya sangat gembira dengan kemenangan ini," ringkas jawapan Mazuan mengulas kemenangannya itu.

Bergelar juara melayakkan Mazuan membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi dan sijil penyertaan.

Lebih bermakna, kemenangan itu turut menawarkan kekosongan tempat untuknya melanjutkan pelajaran di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam bidang muzik.

Bercerita perancangan mengenai wang kemenangan tersebut, kata Mazuan, dia bakal mengadakan majlis kesyukuran dengan menjemput rakan-rakan dan sanak saudaranya sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan kepadanya.

Keyakinan

"Saya berasal dari keluarga yang bukan senang. Harapan saya dengan wang yang saya peroleh ini sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan harian keluarga.

"Selain itu, saya juga akan simpan sedikit dan gunakan untuk menyambung pelajaran saya nanti," kata Mazuan yang menyimpan hasrat bergelar pramugara.

Mula menyanyi secara suka-suka sejak darjah lima mendorongnya untuk lebih serius menyanyi.

Bagaimanapun, minatnya itu sedikit terbatas kerana tidak mempunyai asas dan teknik nyanyian yang betul.

Pun begitu, pengalaman menyertai bengkel pemantapan yang disediakan oleh RTM kepada para finalis Juara Asyik 2009 selama tiga hari bermula 17 Julai lalu diakuinya banyak membantu.

"Banyak yang didedahkan kepada kami termasuklah cara berpakaian, berkomunikasi, berhadapan dengan wartawan dan yang paling penting mempelajari tentang teknik vokal dan persembahan.

"Bengkel tersebut memang sangat membantu sebab sebelum ini saya tidak tahu langsung bagaimana nak menyanyi dengan betul dan cara terbaik berhadapan dengan orang lain.

"Banyak yang Cikgu Awang (guru vokal) ajar dan saya gunakan apa yang telah dipelajari itu dalam persembahan saya. Mungkin juga salah satu sebab saya menang adalah keyakinan dan cara nyanyian yang tidak mengikut penyanyi asal," kata Mazuan lagi.

Naib juara pertandingan itu pula menjadi milik ibu beranak tiga, Maznah Majid, 24, yang menerima hadiah berupa wang tunai RM8,000, trofi dan sijil.

Sementara di tempat ketiga ialah Wah Moliz a/p Bah Long, 18, yang menerima RM6,000 serta hadiah iringan trofi dan sijil.

Tuah lagu nyanyian Wah Moliz iaitu Bintang turut menyebelahi penciptanya, Long Exsan Along yang menerima RM3,000, ganjaran sebagai pencipta lagu terbaik Juara Asyik 2009.

Ketika ditemui, Long Exsan memberitahu, hasrat sekadar suka-suka mencipta lagu tersebut tiga tahun lalu bagaimanapun mencambahkan tuah kepadanya.

"Wah Moliz sudah buat yang terbaik dalam menyampaikan lagu ciptaan saya. Biarpun tidak banyak lagu yang saya cipta tetapi saya akan jadikan ini sebagai dorongan untuk saya terus mencuba pada masa akan datang," katanya.

Hadiah-hadiah kemenangan disampaikan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie.

Mazuan kurang buat silap - Jimmy Ali

Berbanding kali pertama pertandingan Juara Asyik yang mencari bakat kugiran di kalangan orang asli dua tahun lalu, kali ini fokusnya lebih kepada pencarian bakat penyanyi solo.

Sementara itu, Jimmy Ali selaku ketua juri pertandingan itu ketika ditemui memberitahu, Mazuan merupakan peserta yang paling kurang melakukan kesilapan pada malam tersebut.

"Kita melihat seberapa banyak kesilapan yang dilakukan oleh peserta dan ternyata Mazuan kurang buat silap. Pertandingan ini boleh saya katakan masih terlalu baru dan ini merupakan kali kedua diadakan selepas dua tahun lalu," katanya.

Bercerita tentang pretasi yang ditunjukkan oleh finalis Juara Asyik 2009, kata Jimmy, biarpun masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri namun mereka tetap dinilai dari pelbagai aspek.

Antara kriteria yang menjadi fokus utama penjurian ialah 50 peratus mutu suara, 30 peratus vokal dan penghayatan, manakala selebihnya (20 peratus) untuk gaya persembahan.

"Pertandingan ini saya lihat masih terlalu baru penganjurannya. Mungkin ramai di kalangan mereka yang tidak tahu kewujudan pertandingan ini. Harap-harap, akan datang lebih ramai lagi di kalangan mereka tampil menunjukkan bakat," katanya.

Mengulas tentang pemilihan lagu Bintang sebagai Lagu Terbaik Juara Asyik 2009, kata Jimmy, pencipta lagu tersebut bertuah kerana mendapat penyanyi yang mampu menyampaikan lagu tersebut dengan baik.

Selain Jimmy, juri lain yang terlibat ialah Helen Yap, A. Ali, Khoo Fook Sin dan Johari Teh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: