|
|
DRAMA bersiri Nur Kasih yang kini sedang ditayangkan menerusi TV3 pada setiap hari Jumaat pukul 9 malam mula meraih perhatian sejak mula menemui penonton setia saluran itu pada 29 Mei lalu.
Berbekalkan jalan cerita yang begitu berkesan serta ditambah dengan keberkesanan lakonan oleh para pelakonnya menjadikan Nur Kasih sebagai santapan nurani yang cukup menyentuh jiwa.
Bukan itu sahaja, pengarahnya Kabir Bhatia juga telah memberi satu sentuhan serta pendekatan yang baru dan berbeza dengan apa yang pernah dilakukannya sebelum ini menerusi drama Manjalara dan Kekasihku Seru.
Drama 26 episod ini mengangkat kisah pengorbanan dan kasih sayang dalam sebuah perhubungan keluarga sebagai tema keseluruhan.
Menyelami jiwa tiga pelakon utamanya iaitu Fizz Fairuz, Remy Ishak serta pendatang baru, Tiz Zaqyah, ketiga-tiga mereka ternyata begitu teruja dengan penghasilan Nur Kasih yang memberi pengalaman baru dalam karier masing-masing.
Watak yang cukup berat
Bertemu dengannya pada majis pelancaran drama Nur Kasih baru-baru ini, Fizz yang sememangnya sinonim dengan watak antagonis sebelum ini memberitahu Nur Kasih telah berjaya 'melarikan' imej hitam itu apabila membawakan watak Aidil.
Malah, Fizz juga mengakui, watak Aidil begitu berat untuk dibawakan apabila harus membawakan watak ini dengan penuh emosi dan penghayatan.
Biarpun pernah berlakon di bawah arahan Kabir sebelum ini menerusi Kekasihku Seru, jelas Fizz, ia adalah dua situasi yang cukup berbeza.
"Dalam drama ini saya tidak boleh berlebih-lebihan membawakan watak Aidil dan harus melakukannya seperti mana yang dikehendaki oleh pengarah.
"Saya memang sudah lama mendambakan watak seperti ini kerana inilah peluang saya untuk bermain dengan emosi dalaman dalam menghidupkan watak Aidil ini.
"Bukan itu sahaja, saya mahu lakonan saya berjaya menyentuh jiwa penonton dan memberikan impak yang besar dalam hidup mereka," katanya yang menafikan hubungan cintanya dengan pelakon Almy Nadia sudah berkubur.
Pertama kali bersama Kabir
Seperti mana Fizz, begitu juga pendirian yang diambil aktor yang membawakan watak Adam dalam drama Nur Kasih ini.
Memikirkan bilakah peluang akan hadir untuknya berlakon di bawah arahan Kabir, Remy juga menolak banyak tawaran berlakon semata-mata mahu fokus kepada Nur Kasih.
Menceritakan pengalaman pertamanya berlakon bersama Kabir, dengan jujurnya anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini memberitahu, komunikasi menjadi masalah utama baginya.
"Masalah yang timbul kerana saya tidak fasih berbahasa Inggeris dan Kabir kurang memahami bahasa Malaysia.
"Dengan bantuan orang di sekeliling, saya dapat lakukan seperti mana yang dimahukan pengarah. Malah, saya juga dapat memperbaiki skil komunikasi saya dalam bahasa Inggeris," jelas Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak ini bersungguh.
Tambah aktor yang semakin menempa nama ini lagi, sebagai pelakon baru penglibatannya dalam Nur Kasih adalah satu penghargaan baginya dan menganggapnya sebagai salah sebuah karya terbaik.
Diusik mengenai Ummi Nazeera yang turut berlakon dalam Nur Kasih, Remy menjelaskan, mereka bersikap profesional ketika bekerja.
Selepas mencuri perhatian menerusi watak Kak Ika dalam drama Impian Illyana dan Impian, Tiz tidak menoleh ke belakang lagi.
Tiz yang mengagumi primadona hebat Azean Irdawaty dan Ida Nerina berkata, peluang beraksi sebagai Nur Amina dalam Nur Kasih telah membuka matanya untuk menyelami maksud di sebalik gelaran pelakon itu.
"Watak Nur Amina bukanlah semudah yang disangka kerana ia perlu bermain dengan emosi yang kadang-kala saya rasa sukar untuk bawakan. Saya perlu selaraskan ekspresi dan nada suara untuk menghidupkan lagi watak ini.
"Pada minggu pertama di lokasi, saya agak kekok dan malu untuk berlakon tetapi dengan bantuan rakan pelakon yang lain, barulah saya dapat menjiwai watak ini dengan baik. Apatah lagi, Nur Amina seorang yang mudah rapuh jiwanya meskipun dia adalah seorang yang kuat dari segi personalitinya.
"Itu menjadikan saya begitu sukar membawakan watak ini. Tambahan pula, ia juga bertentangan dengan personaliti diri saya yang sebenar," kata pelakon berusia 21 tahun ini lagi.
Ditebak dengan soalan seandainya akan diberikan watak yang sama seperti Nur Amina selepas ini, dengan penuh yakin anak bongsu daripada dua beradik ini berkata, kalau boleh dia tidak mahu membawakan watak yang sama.
"Bukan apa. Bimbang penonton akan bosan pula nanti," kata empunya nama penuh Tiz Zaqyah Abdul Razak ini ringkas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: