Wednesday, July 1, 2009

Linda, Saleh selesa bersama




KEHADIRAN pengacara dan penyampai popular, Linda Onn pada majlis Parti Selebriti Kosmo! - One Drop Perfumes 2009 di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur minggu lalu bersama seorang lelaki kacak dan tinggi lampai menimbulkan tanda tanya banyak pihak.

Masing-masing berteka-teki. Bahkan kesimpulan mula dibuat satu demi satu daripada teman media dan pembaca Kosmo! yang hadir pada majlis berkenaan walaupun belum ada kata nokhtah yang dikeluarkan daripada bibir nipis Linda tentang lelaki 'misteri' itu.

Timbul cakap-cakap belakang. Barangkali itulah agaknya teman lelaki Inggeris yang disebut oleh penyampai radio Sinar FM itu semasa majlis meraikan media di kedai miliknya, My Asam Pedas Shop di Ampang, Selangor kira-kira tiga bulan lalu.

Kemunculan Linda dan jejaka itu tidak dinafikan meraih perhatian sedikit luar biasa. Masakan tidak, kedua-dua mereka kelihatannya sama tinggi dan sama padan. Malah mereka nampak romantis bermula sewaktu berjalan di karpet merah sehingga usai majlis gilang-gemilang Kosmo! itu.




Lantaran itu, tidak hairanlah apabila pasangan merpati dua sejoli itu berjaya mencuri tumpuan tetamu yang hadir manakala lensa kamera jurugambar tidak henti-henti merakamkan aksi menarik mereka.

Cuma sedikit pelik apabila lelaki yang berbaju putih dan bercelana hitam itu dilihat seolah-olah 'mat salleh celup'. Ada jugalah iras lelaki berbangsa asing namun apa yang dapat disimpulkan si dia lebih mirip kepada muka orang Melayu.

Bagi mendapatkan pengesahan tentang siapakah sebenarnya lelaki itu, Kosmo! cuba mendekati Linda atau nama sebenarnya Rozlindah Onn.

Seakan-akan tahu apa yang akan ditanya, wanita yang berusia 31 tahun itu bagaimanapun cukup terbuka berkongsi perihal terbarunya untuk didedahkan kepada khalayak di luar sana.

"Lelaki ini merupakan kawan yang baru saya kenali tidak sampai sebulan lalu," jawab Linda berterus-terang walaupun terdapat isyarat dia enggan membuka lebih banyak lembaran kisah tentang kawan barunya itu.

Terkejut tidak terkata kerana lelaki itu disangkakan teman istimewa yang pernah diceritakan oleh Linda kepada masyarakat beberapa bulan lalu.

Hakikatnya, pemilik nama penuh si lelaki berwajah tampan di samping Linda itu ialah Saleh Nor yang berusia 29 tahun dan berasal dari Selangor.

Menjelaskan situasi tersebut Linda memberitahu, hubungannya dengan jejaka kelahiran United Kingdom (UK) yang dikatakan bernama James Gibbs itu sudah terputus di pertengahan jalan beberapa bulan lepas.

"Terus-terang saya sudah tidak ada apa-apa dengan dia. Kalau ditanya kenapa kami berpisah, saya tidak mampu untuk memberikan sebarang jawapan.

"Tiada bersebab sebenarnya hubungan kami terhenti. Bukan ada salah faham atau pertengkaran besar yang cuba saya rahsiakan. Sebaliknya kami mengambil keputusan untuk tidak bersama atas alasan tersendiri.

"Cuma maaflah kerana saya tidak boleh bercerita kepada umum. Biarlah saya dan dia yang menyimpan kenangan lepas ini.

"Walaupun masing-masing sudah membawa haluan sendiri namun kami masih kekal sebagai sahabat. Saya tidak mahu bermusuhan dengan sesiapa dalam soal ini," ujar Linda dalam lontaran suara cukup matang.


LINDA dan Saleh mula berkenalan di rumah pengarah Rashid Sibir.


Tutup kisah lama Linda apatah lagi empunya diri sudah memulakan penghidupan baru yang lebih cerah berbanding sebelumnya dalam soal bercinta.

Ditanya tentang teman barunya itu, Linda mengakui dia cukup selesa berkawan dengan Saleh yang disifatkan sebagai seorang yang baik hati, berbudi bahasa dan tidak kasar seperti sesetengah lelaki lain.

"Kalau boleh saya tidak mahu komen atau cakap lebih-lebih tentang kawan baru ini. Kami baru saja kenal," jelasnya mohon dimengertikan.

Kalau sudah berani 'mengangkut' Saleh di tempat terbuka apatah lagi pada majlis yang diadakan Kosmo! yang rata-ratanya terdiri daripada golongan wartawan maka pasti ada 'sesuatu' di antara Linda dan Saleh. Atau ada cinta barangkali?

Andai tiada sebarang hubungan istimewa masakan Linda punya keberanian untuk mengajak Saleh ke majlis tersebut yang diketahui akan diajukan pelbagai pertanyaan daripada orang sekeliling. Bagai menjadi adat apabila orang ramai ingin mengetahui tentang perkara berkenaan.

Kepada Linda perkara itu dianggap tidak perlu diperbesar-besarkan. Selagi dia berada di landasan yang benar, tidak ada apa yang perlu dikhuatirinya terutama mempelawa Saleh ke satu-satu majlis rasmi atau tidak formal.

"Tidak ada benda yang perlu ditakutkan. Saya boleh keluar dengan sesiapa yang saya mahukan lebih-lebih lagi saya juga masih belum berpunya.

"Tiada istilah saya hendak sorokkan kawan baru ini kerana ia merupakan perkara baik. Bukan itu saja, kalau ada kawan lelaki atau perempuan saya yang lapang maka tiada salahnya saya ajak mereka ke majlis tertentu macam Saleh," terang Linda serius.

Tanpa lelah mengorek dengan lebih mendalam tentang hubungan tersebut, Kosmo! sengaja bertanya kepada Linda apakah dia sudah memperkenalkan lelaki bertuah itu kepada keluarganya?

Enggan berselindung Linda menjawab, sudah menjadi lumrah kepada dirinya untuk memperkenalkan lelaki tersebut (Saleh) kepada kedua orang tuanya.

"Sebagai anak yang rapat dengan keluarga, saya akan memberitahu kepada mereka tentang kawan lelaki atau perempuan saya.

"Sama ada baru dikenali mahupun individu yang sudah lama berkawan dengan saya, keluarga mengenali mereka termasuk Saleh," ungkap Linda bersungguh-sungguh.

Saleh temui keluarga Linda

Saleh berusia 29 tahun manakala Linda pula 31. Walaupun tidak jauh beza jaraknya namun tetap ada penyukat yang membezakan jarak umur tersebut.

Bertanyakan soal si lelaki yang berumur lebih muda, Linda memberitahu dia kurang selesa bercakap tentang perbezaan umur dalam sesebuah perhubungan.


INTIM. Linda mengusap rambut Saleh penuh mesra, ada apa-apa ke?


"Saya rasa macam tidak berapa elok untuk memperkatakan perkara ini," luah Linda ringkas lalu mematikan tajuk perbualannya setakat di situ.

Dalam pada itu, Saleh memberitahu dia mula mengenali Linda pada bulan lalu sewaktu berada di rumah pengarah terkenal, Rashid Sibir.

Saleh dengan malu-malu memberitahu dia cukup selesa bersahabat dengan Linda yang disifatkan ada kualiti tersendiri sebagai seorang wanita moden.

"Dia pandai berdikari, bijak mengendalikan bisnes dan mudah diajak berbincang jika berdepan dengan sesuatu perkara.

"Setakat ini saya okey saja berkawan dengan dia. Selain itu saya juga tidak kisah untuk bersahabat dengan orang popular ibarat Linda.

"Contohnya kalau ada pihak media yang ingin mewawancara, saya akan cuba beri sepenuh kerjasama. Mula-mula memanglah tidak biasa tetapi lama-kelamaan saya sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan ini," jelasnya yang turut mengakui sudah menemui keluarga Linda sebelum ini.

Bercakap soal jodoh, Saleh tidak berani menjanjikan sebarang keputusan muktamad untuk waktu sekarang apatah lagi hubungan itu baru terjalin dalam waktu singkat.

"Semuanya bergantung kepada jodoh. Biarlah kami mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu sebelum bercakap untuk mendirikan rumah tangga.


MEREKA kini dalam fasa mengenali hati budi antara satu sama lain.


"Masih terlalu awal untuk membicarakan perkara ini," akui Saleh ringkas sambil tersenyum manis.

Dalam waktu sama, Linda yang berdiri jauh sedikit daripada kedudukan Saleh dilihat seperti mencuri-curi dengar pertanyaan yang dilontarkan. Sambil tersenyum simpul, Linda memasang telinga.

Bukan itu sahaja, semasa Saleh ditemu ramah untuk siaran sebuah program televisyen, Linda sempat memandang butir bicara lelaki itu yang direkodkan menerusi video kamera.

Begitulah akrabnya perhubungan yang baru hendak berputik itu. Sejauh mana kebenarannya, hanya Linda dan Saleh yang mengetahuinya.

Biarpun begitu, pasangan itu tetap kelihatan secocok dan sempurna. Semoga berbahagia hendaknya kepada Linda dan Saleh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: