Thursday, July 2, 2009

Foto tanpa kompromi

Ia adalah revolusi dalam dunia fotografi. Tidak mahu dikategorikan sebagai kamera kompak atau DSLR, Olympus E-P1 tetap menghasilkan kualiti imej yang bukan calang-calang.




PAGI itu, ruang makan di tingkat satu, restoran Delicious di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dipenuhi ramai tetamu dan wakil media. Kemeriahan suasana seperti itu bukanlah sesuatu yang pelik. Namun, ia mungkin satu indikasi berita baik.

Lebih menariknya, tugasan pada pagi itu melibatkan satu prosedur di luar jangkaan iaitu semua wakil media dikehendaki menandatangani satu borang khas. Borang khas itu sebenarnya hanya satu prosedur yang memerlukan persetujuan semua agar bersabar.

Bersabar kerana maklumat penting tentang gajet yang bakal dilancarkan itu hanya akan didedahkan tepat pukul 11 pagi, seiring dengan pelancaran global! Begitu berahsia sekali!


E-P1 dianggap revolusi dalam industri fotografi hari ini.


Prosedur itu sekali gus juga menandakan gajet yang akan didedahkan kepada umum ini semestinya cukup hebat. Ya, kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR) keluaran Olympus ini sememangnya cukup unik dalam kategorinya.

Hanya pada keluasan dan saiz sekitar ukuran satu tapak tangan, ringan serta lebih kompak, Olympus PEN E-P1 nyata bakal menyuntik pengalaman baru kepada para pencinta fotografi di seluruh dunia. Baik untuk yang amatur mahupun profesional, PEN E-P1 dijangka menjadi pilihan kegemaran dan ideal bagi semua.

Sebagai sebuah produk yang bersifat revolusi, ia juga dibangunkan dengan standard sistem Micro Four-Third. Biarpun pada saiz tubuh yang lebih kecil, PEN E-P1 tidak mengecewakan pengguna dari segi aspek rakaman imej.

Pengarah Urusan Olympus (Malaysia) Sdn. Bhd., Tan Tick Boon berkata, pelancaran Olympus PEN E-P1 sekali gus mencetuskan era baru dalam industri fotografi pada abad ke-21 ini.


KAMERA hibrid ini lengkap dengan sensor MOS langsung 12.3 megapiksel.


Direka berasaskan konsep PEN, E-P1 diyakini dapat memuaskan pengguna Malaysia menerusi empat aspek penting.

"Saiz kompak dan kualiti imejnya setanding dengan kamera DSLR lain. Rakaman video berdefinisi tingginya (HD) juga dilengkapi dengan ciri-ciri Art Filter dan mudah dikendalikan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Antarabangsa Olympus Corp., Tommy Nagashim, berkata, pihak Olympus tidak akan sesekali berkompromi dengan isu kualiti.


REKA bentuk E-P1 yang klasik, selain lebih ringan dan mudah dikendalikan.


Tidak ingin mengelaskan E-P1 sebagai kamera kompak mahupun SLR, beliau berkali-kali menekankan produk terbaru ini adalah PEN. PEN merupakan kamera kompak legenda filem bingkai separuh yang diperkenalkan pada tahun 1959.

Katanya lagi, E-P1 juga dikelaskan sebagai sebuah kamera hidrid kerana sifatnya yang berada di tengah-tengah antara konsep sebuah kamera kompak dan SLR.

"Kamera dengan sistem Micro Four-Thirds ini disasarkan untuk pengguna kamera kali pertama yang inginkan gajet bagi tujuan santai. Golongan ini mungkin ingin menaik taraf status penggunaan kamera kompak kepada DSLR.


ANDA boleh merakam imej video dan pada masa yang sama mengambil foto pegun dengan hanya menekan satu butang pada E-P1.


"Namun, mereka sama ada tidak mampu atau tidak inginkan gajet yang terlalu berat, kompleks dengan pelbagai butang, mahal dan besar saiznya. Jadi, E-P1 boleh menjadi pilihan ideal," jelasnya yang diterbangkan khas dari ibu pejabat Olympus di Jepun.

Selain itu, standard sistem Micro Four-Thirds juga membolehkan E-P1 tampil dengan tubuh ringan dan kompak tanpa cermin dalaman berbanding dengan kamera lain seanteronya.

Menggunakan sensor MOS langsung 12.3 mega piksel berkelajuan tinggi, E-P1 juga didatangkan dengan enjin pemproses imej terkini, TruePic V. Sensor itu membolehkan imej-imej beresolusi tinggi dirakamkan dan secara tepatnya menghasilkan semula komposisi imej dengan warna yang lebih natural serta terperinci.


TOMMY NAGASHIMA (dua dari kiri) dan Tan Tick Boon (dua dari kanan) menunjukkan kamera Olympus Pen E-P1 semasa pelancaran kamera tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tambahan pula, ciri-ciri terbaik dalam kamera SLR Olympus Siri-E seperti sistem pengurangan habuk dan penstabil imej bina dalam turut disertakan. Mekanisme penstabilan imej elektronik bina dalam itu boleh berfungsi tanpa mengira jenis lensa yang digunakan.

Mengenai aspek mengasah kreativiti pengguna pula, enam pilihan kesan Art Filter turut ditawarkan. Kesan-kesan Art Filter yang terdiri daripada pilihan Pop Art, Soft Focus, Pale & Light Colour, Light Tone, Grainy Film dan Pin Hole juga boleh diaplikasikan pada imej-imej awal yang telah dirakamkan menerusi rakaman normal.

Lebih mempesonakan tetamu pada majlis pelancaran tersebut adalah ciri- ciri rakaman video HD yang boleh ditamatkan dengan hanya satu tekanan butang.

Ciri rakaman imej pegun dan video juga membolehkan pengguna menyimpan imej pegun secara berterusan. Ini bagi membolehkan rakaman video dilakukan sementara menunggu peluang tepat menekan shutter.

Tidak sekadar gambar, imej pegun ini turut boleh dimainkan semula bersama bunyi latar yang dirakamkan terus daripada kamera.

Belum bersedia untuk memperkenalkan bekas dasar laut (underwater casing), Olympus bagaimanapun terlebih dahulu ingin mengeluarkan E-P1 yang kalis cuaca tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: