BANGUNAN
 Anggerik Mall yang berada di tengah-tengah pusat bandar Shah Alam mempunyai tarikan tersendiri dalam kalangan masyarakat di sini.
Mempunyai lot tempat kereta yang banyak dan pelbagai kedai, apatah lagi dengan kehadiran Mara Digital yang kedua, menarik lebih ramai pengunjung berkunjung ke situ.
Menariknya mengenai bangunan ini, tarikan utama adalah bahagian foodcourt atau medan selera yang cukup dikenali dengan harga yang jauh lebih murah berbanding di luar.
Malah, masakannya pula mempunyai pelbagai variasi menu dan sering mendapat pujian ramai kerana kesedapannya.
Menurut pelanggan tetap di situ, kakitangan kerajaan, Idaraiyati Che Hassan berkongsi pendapat yang sama mengenai harga dan rasa makanan di situ.
“Sejak bekerja di bangunan berdekatan dengan Anggerik Mall, saya selalu berkunjung ke sini.
“Lokasinya sangat dekat, hanya berjalan kaki sahaja. Lagipun di sini kemudahan tempat letak kereta juga bagus,” katanya.
Menurutnya, sepinggan nasi dengan lauk dan sayur, dia hanya membayar RM5 sahaja berbanding di luar yang harganya jauh lebih mahal.
Makanan pula memenuhi cita rasa dan lokasi tersebut sering menjadi pilihan dia dan dua rakannya, Hasani Jaafar serta Suhaila Yunos untuk menikmati makanan di situ.
“Setiap minggu kami pasti berkunjung ke sini untuk makan dan makanan kegemaran saya adalah ayam goreng celup tepung,” katanya.
Manakala bagi Hasani pula, dia menggemari kari ikan dan harga makanan itu sekitar RM10 hingga RM15 di situ.
“Sangat berbaloi. Boleh dikatakan setiap hari, gerai makanan di sini dipenuhi pelanggan terutamanya pada hari bekerja.
“Saya sememangnya kerap ke sini kerana lokasinya dekat dengan tempat kerja, malah harga juga murah,” katanya.
Bagi Suhaila pula, dia menyukai sup yang dijual di situ dan ia sering menjadi pilihannya setiap kali berkunjung ke situ.
“Harganya boleh tahan dan tidak terlalu mahal bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
“Biarpun harga barangan basah meningkat, namun harga masakan di sini tidak berubah secara mendadak dan masih mengekalkan tradisi harga murah,” katanya.
Kekal harga berpatutan
Sementara itu, pemilik gerai Selera Utara, Noriah Che Hassan berkata, sebanyak 40 jenis menu disediakan setiap hari.
“Alhamdulillah, hampir semua lauk-pauk yang dihidangkan habis setiap hari dan pelanggan sentiasa ramai mengunjungi gerai ini.
“Sekiranya pelanggan baharu, kebanyakan mereka adalah pengunjung Anggerik Mall yang menghadiri program atau majlis anjuran di sini,” katanya.
Menu istimewa menjadi tarikan gerainya adalah seperti kari ikan, ayam goreng celup tepung dan sup yang sentiasa habis setiap hari.
Walaupun harga sesetengah barang basah naik mendadak, contohnya ayam, Noriah tidak menaikkan harga makanan sewenang-wenangnya.
Dia tetap mengekalkan harga sebelum kenaikan berlaku kerana berpegang kepada prinsip sendiri.
“Biarlah untungnya sedikit daripada hilang pelanggan tetap yang sentiasa berkunjung ke kedai kami.
“Pelanggan tertarik dengan hidangan kedai ini kerana terkenal dengan nasi campur dan harga lebih murah berbanding di luar sana.
“Saya ingin mengekalkan kualiti dan harga untuk membantu pelanggan mendapat makanan terbaik daripada kami,” katanya.
Noriah menetapkan harga bagi nasi putih, ayam atau ikan termasuk sayur berharga dalam lingkungan RM4.50 hingga RM5.
Jika pelanggan mengambil lauk lebih daripada satu jenis, maka harga lebih mahal mengikut pengambilan lauk-pauk.
Manakala bagi harga kari ikan pula, bergantung kepada berat dan jenis ikan yang diambil pelanggan.
“Tidak dinafikan harga ayam meningkat ketika perayaan lalu menyebabkan kerugian kepada peniaga masakan panas, namun ia merupakan cabaran dalam dunia perniagaan.
“Kenaikan harga adalah perkara biasa dan saya tidak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga makanan,” katanya.
Harga bagi seketul ayam goreng kekal RM2.50 hingga RM3.
Jus buah tarikan utama
Bukan sahaja gerai makanan menjadi pilihan ramai, gerai air dan buah potong antara gerai paling popular di situ.
Dengan harga RM3.50, pelanggan boleh menikmati air bersama buah potong dan sedap dinikmati ketika cuaca panas.
Menurut pekerja gerai air, Ayob Khan, air mangga sangat laris dijual dan sentiasa habis setiap hari.
“Dalam banyak air buah di sini, air mangga menjadi pilihan ramai kerana mempunyai keunikan tersendiri.
“Selain air, kami turut meletak buah potong sebagai satu kelainan dengan harga sangat berpatutan,” katanya.
Malah setiap hari, bekalan 10 kilogram buah mangga habis dalam tempoh beberapa jam sahaja.
 Selain mangga, gerai itu juga menyediakan air tembikai, lobak merah, laici dan sebagainya
.