JABI - Walaupun tidak mempunyai sebarang sijil kemahiran, namun bukan halangan buat seorang petani tempatan menggunakan kreativiti sendiri untuk menaik taraf dan mengubahsuai sebuah mesin membajak.
Zulkarnain Deraman, 43, dari Kampung Kerandang, boleh digelar sebagai ‘MacGyver Jabi' kerana mempunyai idea tersendiri untuk mereka dan mengubah suai jentera membajak untuk kegunaan di kebunnya.
Menurutnya, idea menaik taraf mesin membajak mini itu timbul setelah dia mengalami kesukaran untuk mengangkut hasil tanaman seperti tembikai dan keledek, kira-kira dua tahun lalu.
“Kebetulan saya ada sebuah jentera jenis Jentani yang pada asalnya hanya ada dua tayar utama (tayar getah) di bahagian depan dan satu satu tayar kecil di bawah kerusi tempat duduk pemandu, tanpa stereng. Semua dikendalikan dengan tangan termasuk brek.
"Dari situ, saya dapat ilham untuk mengubah suai mesin itu kepada empat tayar, selain turut dilengkapi stereng dan brek kaki," katanya.
Menurut Zulkarnain, kerja pengubahsuaian jentera membajak yang hampir keseluruhan menggunakan barangan terpakai itu bermula pada tahun lepas.
“Saya beli besi terpakai di kedai barang lusuh untuk buat rangka dan badan jentera, selain alat ganti terpakai. Walaupun nampak senang, tetapi kerja ubah suai ini perlu kreativiti. Bahagian belakang guna tayar kereta biasa, sementara tayar utama ditukar kepada tayar besi yang sering digunakan mesin pembajak sawah.
“Mesin ini masih boleh berfungsi untuk menggemburkan tanah, di samping menarik treler bagi memudahkan kerja mengangkut hasil tanaman. Paling penting, pengendali dapat duduk dengan selesa, tambahan jentera ini dapat digunakan di kawasan sawah, kebun sawit dan kebun sayur yang mempunyai permukaan tidak rata,” katanya.
Zulkarnain berkata, jentera pertama ciptaannya dibeli rakan sebaik selepas disiapkan kira-kira dua tahun lalu dan kini dia mula mengubahsuai kenderaan kedua dengan konsep sama sejak sebulan lalu.
Menurutnya, kos ubah suai termasuk harga mesin membajak dan treler mencecah RM6,000 disebabkan harga jentera membajak mahal sekarang.
“Jentera yang saya ubah suai ini bukan saja menjimatkan kos penyelenggaraan, tetapi juga dapat menjimatkan bahan api, lasak dan membolehkan kerja di ladang lebih cepat serta lancar,” katanya.
Menurut Zulkarnain yang kini mengusahakan tanaman jagung, sekarang ramai yang berminat dengan traktor mini ciptaannya itu, termasuk menawarkan untuk membeli jentera tersebut
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: