SEBERANG TAKIR – “Sejak dari kecil lagi, mak akan memasukkan RM5 setiap bulan ke dalam akaun kami adik beradik dan alhamdulillah hasil tabungan ini saya bersama adik bongsu serta ibu dan ayah terpilih untuk ke Tanah Suci Makkah pada tahun ini,” demikian kata Mohd Zamani Zahari, 29.
Tiada kata-kata yang dapat digambarkan Mohd Zamani sebaik menerima surat tawaran menunaikan haji itu dan lebih menggembirakan turut terpilih adalah ibunya, Tijah Daud, 62, ayah, Zahari Deraman, 60, dan adik bongsunya, Mohd Nazri, 21.
Menurut anak kedua daripada enam beradik yang menetap di Kampung Tanjung Demong, Besut, itu lagi, sememangnya telah menjadi impiannya sejak dari kecil untuk menunaikan haji bersama-sama kedua ibu bapanya.
“Alhamdulillah setelah sekian lama menanti, akhirnya ALLAH SWT memakbulkan doa saya, malah lebih menggembirakan lagi saya diberi kesempatan pada usia yang masih muda.
“Segala impian ini tercapai hasil dari usaha ibu yang menggunakan gaji bulanan untuk memasukkan RM5 ke dalam akaun kami adik beradik.
“Walaupun agak sedih kerana empat lagi adik beradik saya tidak turut serta kerana tidak tersenarai sebagai jemaah haji tahun ini, namun saya akan mendoakan mereka akan diberi peluang untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada usia muda,” katanya yang bertugas sebagai Juruteknik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
Jelas anak muda yang baru mendirikan rumahtangga tahun lalu itu, sejak bekerja pada 11 tahun lalu, dia pula mengambil alih dengan memasukkan RM100 sebulan ke dalam akaun kedua ibu bapanya.
“Saya berharap agar segala ibadah saya di Tanah Suci nanti akan diterima dan dipermudahkan, apatah lagi turut bersama adalah adik bongsu yang merupakan anak istimewa dan mengalami kecacatan disebabkan demam panas yang dialami ketika berusia tujuh tahun,” katanya ketika di temui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, malam kelmarin.
Tetap bersyukur meskipun tidak bersama suami
Seorang lagi jemaah yang ditemui, Nanbon@Fatimah Osman, 68, berkata, dia sepatutnya ke Tanah Suci bersama suami, Abdul Jalil Taib, namun tidak kesampaian apabila suaminya itu terlebih dahulu meninggal dunia pada Mac lalu akibat sakit saraf.
“Walaupun hasrat untuk menunaikan haji bersama suami tidak kesampaian, namun saya bersyukur kerana ALLAH SWT memberi peluang untuk saya menunaikan rukun Islam kelima.
“Ketika menerima surat tawaran Disember tahun lalu, hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu bertapa gembira hati kami, tetapi nyata ALLAH SWT lebih sayangkan arwah suami,” katanya yang memaklumkan segala persiapan awal telah dibuat sebelum suaminya pergi buat selama-lamanya.
Jelas ibu kepada 12 orang cahayamata itu lagi, arwah suaminya telah lama menghidap penyakit saraf, namun menjadi semakin teruk selepas terjatuh dan keadaan itu berlarutan sehinggalah dia pergi buat selamanya Mac lalu.
“Saya hanya mampu berdoa dan berharap agar saya dapat menunaikan sepenuhnya segala rukun dan amalan ketika berada di Tanah Suci nanti,” katanya.
Sementara itu, Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, berkenaan berangkat ke Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Jemaah Haji ke Baitulharam di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, semalam.
Penerbangan KT16T itu membawa 150 jemaah dari Kuala Terengganu dan dijangka berlepas ke Madinah dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) menaiki A380.
Dalam pada itu, secara keseluruhan seramai 1, 302 jemaah dari Terengganu membabitkan sebanyak enam penerbangan pada musim haji tahun ini.