KERAJAAN Itali tidak akan mengikut jejak langkah Perancis yang mengenakan larangan ke atas pemakaian pakaian renang Muslimah burkini di pantai awam.
Sebaliknya kata Menteri Dalam Negeri, Angelino Alfano, kerajaan Itali telah merancang untuk mengetatkan lagi peraturan ke atas imam dan masjid di negara itu.
Antara peraturan baharu yang disebut termasuk kewajipan ke atas semua imam dilatih terlebih dahulu sebelum mengajar dan menyampaikan ceramah di masjid-masjid tempatan.
Menurut Alfano lagi, undang-undang baharu itu akan mula dilaksanakan September depan.
“Tanggungjawab kementerian dalam negeri adalah untuk menjaga keselamatan dan kami memutuskan respons kami terhadap isu ini tidak akan mengundang tindak balas yang negatif seperti serangan pengganas,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan portal antarabangsa, Focus News.com.
Dalam pada itu, Alfano turut menyifatkan tindakan kerajaan Perancis mengenakan sekatan ke atas pemakaian burkini sebagai langkah tidak produktif kerana ia boleh mencetuskan tidak balas yang negatif.
"Saya tidak fikir langkah itu akan membuahkan hasil untuk Perancis,” katanya lagi.
Terdahulu, Datuk Bandar Cannes, David Lisnard yang bimbang dengan keselamatan orang ramai mengeluarkan ketetapan melarang pakaian pantai yang tidak menghormati “akhlak yang baik dan sekularisme," lapor agensi berita AP.
Pakaian renang adalah gambaran yang mengaitkan agama dengan adab manusia yang suka mendedahkan, manakala Perancis dan tapak agamanya yang kini menjadi sasaran serangan pengganas, boleh menimbulkan risiko masalah kepada ketenteraman awam.
Alfano yang sudah menghantar pulang sembilan imam ke negara asal kerana  menyebarkan fahaman radikal sejak awal tahun ini turut menegaskan, beliau perlu bersikap praktikal kerana bilangan umat Muslim di Itali telah mencecah sehingga 1.5 juta.
“Saya tentu sekali tidak boleh menganggap mereka sebagai pengganas atau penyokong pengganas kerana itu agak keterlaluan,” katanya lagi.