Tuesday, May 31, 2016

Kontroversi Tidak Jejaskan Kerjaya Ruhainies



Ruhainies menjelaskan kariernya tidak terjejas ekoran kontroversi yang melandanya baru-baru ini.
PETALING JAYA: Pelakon Ruhainies menjelaskan karier seninya tidak terjejas ekoran kontroversi yang melandanya baru-baru ini.

Ruhainies atau nama sebenarnya Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, berkata, sepanjang isu melibatkan dia dengan aktres Janna Nick panas diperkatakan dia masih melakukan kerjanya seperti biasa selain tidak menerima tekanan daripada penerbit atau pengarah.

"Alhamdulillah karier berjalan seperti biasa dan tidak tekanan daripada mana-mana pihak mungkin kerana kontroversi adalah perkara biasa dalam kehidupan seorang selebriti.

"Malah saya sendiri tidak membawa masalah ke tempat kerja kerana ingin bersikap profesional," katanya.
Ruhainies tidak mahu dikenali kerana artis kontroversi.
Ruhainies berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran salon Amyssrite Hairdressing Ampang dekat sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ruhainies berkata, dia berharap kontroversi berkenaan adalah yang pertama dan terakhir melibatkannya kerana dia tidak mahu dikenali disebabkan cerita-cerita kurang enak sebaliknya dia mahu dikenali kerana pencapaiannya dalam bidang seni.

"Jujurnya saya sendiri tidak pernah menyangka nama saya akan terpalit dengan cerita-cerita kurang enak tetapi perkara itu sudah pun berlaku.

"Tetapi ia pengajaran baik untuk saya dan berharap selepas ini dikenali kerana kejayaan sebagai pelakon seperti memenangi anugerah dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Ruhainies berkata, dia tidak mahu lagi mengungkit pergeserannya dengan Janna kerana isu berkenaan sudah pun selesai.

Malah tegasnya, mereka tidak pernah bergaduh dan kontroversi berkenaan berlaku kerana salah faham dan perasaan terasa hati.

"Apa yang boleh saya katakan semuanya sudah selesai dan tiada apa lagi yang boleh saya komen kerana tidak mahu sebarang salah faham timbul.

"Saya tidak mahu ungkit lagi perkara itu dan saya sedia untuk bekerjasama dengannya dalam mana-mana projek drama pada masa hadapan," ujarnya.
Janna Nick.
Dalam perkembangan lain, Ruhainies berkata, dia teruja untuk menyambut Ramadan pada tahun ini kerana dapat merasai pengalaman berpuasa sebagai selebriti.

Jelasnya, meskipun jadualnya padat dengan aktiviti seni namun dia akan cuba mencari ruang untuk melakukan ibadah seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

"Bulan Ramadan adalah yang paling dinanti-nanti kerana ini adalah peluang kita sebagai umat Islam untuk membuat ibadah dan beramal.

"Walaupun sibuk Alhamdulillah ada beberapa projek memberi peluang kepada saya untuk beribadah dan beramal bersama golongan kurang bernasib baik dan gelandangan pada bulan puasa nanti," jelasnya.

Pelakon itu juga bakal muncul dalam beberapa drama bersiri iaitu Menantu Ting Tongmenerusi slot Dahlia di TV3 selain telefilem berjudul Pujaan Malaya.

Khai Bahar Tidak Bimbang Gagal Bertahan Lama



Khai Bahar bakal melancarkan single terbaharunya selepas sambutan Aidilfitri pada Julai depan. 
PETALING JAYA: Penyanyi Khai Bahar menyedari populariti yang diterimanya ketika ini iaitu disebabkan faktor viral di laman sosial adalah sesuatu perkara yang tidak akan bertahan lama.
Khai atau nama sebenarnya Muhamad Khairul Baharudin, 22, berkata, dia tidak takut, malah percaya bahawa perkara tersebut merupakan rezeki yang sudah ditentukan oleh Allah.

"Ramai yang mengingatkan saya bahawa populariti yang saya dapat ini hanya mampu bertahan sebentar sahaja, namun saya tidak bimbang tentang itu.

"Saya berada di sini pun disebabkan oleh rezeki yang Allah berikan untuk saya. Mungkin lepas ini giliran orang lain pula," ujarnya.
Khai percaya rezekinya telah ditentukan oleh Allah.
Khai ditemui pada sesi fotografi bersama mStar Online yang diadakan di Menara Star, di sini, Selasa.

Penyanyi ini tiba-tiba mencetuskan fenomena di laman sosial apabila klip videonya berduet dengan penyanyi Siti Nordiana dengan lagu Memori Berkasih menerusi aplikasi Smule menjadi viral di laman sosial.

Lagu berkenaan yang turut dimuatkan di YouTube turut mencecah lebih 1 juta tontonan.

Dalam pada itu Khai Bahar berkata, peluang yang diterima pada hari ini disebabkan populariti berkenaan adalah satu platform yang berjaya membuka jalan kepadanya menceburi industri seni.

"Syarikat rakaman saya sudah menyediakan perancangan iaitu menghasilkan sebuah single yang bakal dilancarkan selepas Aidilfitri nanti.

"Lagu ciptaan gitaris kumpulan Khalifah itu sudah siap dirakam, namun belum mempunyai tajuk sesuai lagi.

Buat masa ini segala keputusan tentang lagu dan hala tuju saya dibuat sepenuhnya oleh NAR Records," ujarnya.

Nama Khai menjadi sebutan apabila video duetnya bersama Siti Nordiana menjadi viral.
Sementara itu, ditanya tentang kehidupannya dalam sebulan menjadi artis, Khai berkata, dia agak penat, namun seronok melakukan perkara-perkara baru dalam hidupnya.

Jelasnya, dia juga reda dan menganggap sebagai sebuah bayaran sebagai artis apabila kehidupan peribadi mendapat perhatian dan sering dikritik terutama pengguna laman sosial.

"Sebulan ini jadual saya agak penuh dengan undangan nyanyian, fotografi dan program televisyen. Saya seronok dan tidak rasa menyesal memilih jalan ini.

"Selain itu, sekarang dapat juga beri keluarga duit belanja. Tentang kritikan itu perkara biasa hingga sekarang ramai sahaja yang tidak suka saya nyanyikan lagu penyanyi lain.

"Mereka menganggap saya hanya menumpang populariti daripada lagu-lagu yang saya nyanyikan. Saya terima sahaja pendapat sama ada positif atau negatif," ujarnya. 

Ana Dahlia Bataskan Hubungan Dengan Lelaki Kerana Enggan Kecewa



Ana Dahlia tidak mahu dikecewakan lelaki.
PETALING JAYA: Pelakon Ana Dahlia memberitahu belum terbuka hati untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki selepas kegagalan dalam rumah tangga enam tahun lalu.

Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 33, berkata, dia lebih berhati-hati dalam menerima salam persahabatan terutama daripada lelaki yang ingin mengenalinya dengan lebih rapat.

"Saya masih solo dan setakat ini belum lagi ada perancangan atau calon yang sesuai untuk dijadikan suami.

"Setelah kegagalan hubungan lalu saya akui agak berhati-hati dan meletakkan limit dalam hubungan, jika saya mengenali lelaki itu ketika urusan pekerjaan, maka saya pastikan hanya berurusan dengannya ketika bekerja sahaja," ujarnya kepada mStar Online.

Ana berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan kerjaya dan peribadinya yang agak lama menyepi.

Ana pernah berkahwin dengan Chef Riz yang juga anak kepada tukang masak terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan pada 11 Disember 2011 sebelum bercerai hanya selepas 11 bulan berkahwin.

Tambah Ana, langkah tersebut adalah bagi mengelakkan rasa kecewa apabila hubungan yang dibina itu tidak kesampaian.

"Saya tidak berusaha ke arah itu kerana saya tidak mahu berasa kecewa sekali lagi atau saya mengecewakan hati orang lain pula.

"Lagi pula soal jodoh ini biar Allah sahaja yang menentukannya saya hanya berserah," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangan kerjaya, Ana berkata dia kini sedang menjalani penggambaran drama Tribute P Ramlee bersama Suhan Movie di Melaka.

Kata Ana, dia bersyukur perjalanan kerjaya lakonan masih sama seperti dahulu biarpun sudah bertudung.

"Alhamdulillah selepas setahun berhijap saya masih berdiri sebagai pelakon dan menerima tawaran seperti dahulu.

"Orang kurang nampak saya mungkin kerana saya jarang muncul di majlis-majlis hiburan atau terlalu menonjol kerana sekarang ramai pelakon-pelakon baru," ujarnya. 

Artis Keluar Jenama Pakaian Sendiri Jejas Bisnes Pereka Fesyen - Ezuwan Ismail



Nasha Aziz membuat penampilan sebagai 'Muse' untuk koleksi Paloma by Ezuwan Ismail.
PETALING JAYA: Pereka fesyen Ezuwan Ismail mengakui trend artis-artis muncul dengan rekaan baju jenama mereka sendiri sedikit sebanyak memberi persaingan sengit kepada bisnes yang sebelum ini dipelopori pereka fesyen tanah air.
Ezuwan berkata, ia sedikit sebanyak memberi kesan dan menjejaskan perniagaan mereka yang sebelum ini banyak menggunakan khidmat selebriti tanah air.
"Secara jujurnya ia memang memberi persaingan sengit kepada pereka fesyen kerana semua artis ada produk pakaian atau tudung jenama mereka sendiri.

"Ia mengecilkan skop bisnes kami yang mana ingin mencari duta untuk produk kami sangat susah sekarang, tidak seperti dulu mereka membantu promosi untuk rekaan kami," ujarnya.

Ezuwan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Paloma by Ezuwan Ismail di Hotel Sheraton Imperial, di sini, baru-baru ini.

Ezuwan (kanan) lancar 40 koleksi Paloma by Ezuwan Ismail.
Bagaimanapun, Ezuwan berkata, dia terpaksa memikirkan sesuatu yang berlainan yang membezakan rekaannya dengan produk keluaran artis.
"Kalau diukur dengan populariti sudah tentu peminat mereka mahu membeli pakaian yang dijual oleh artis-artis kesayangan mereka. Namun saya yakin bagi pereka fesyen pula mereka mempunyai kekuatan dengan tampil rekaan yang berbeza dan unik.
"Apa yang saya lihat rekaan yang dijual oleh artis selalunya rekaan yang diambil daripada mana-mana pereka lain dan hanya sekadar mengikut trend semasa," ujarnya yang mendapat khidmat pelakon dan model Nasha Aziz sebagai penampilan istimewa majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Ezuwan berkata, dia sudah tiga tahun tidak bekerjasama dengan artis dalam membuat persiapan untuk majlis-majlis anugerah.
Antara koleksi Palamo by Ezuwan Ismail.
Katanya, ia disebabkan artis baharu kini yang semakin cerewet dalam mendapatkan khidmatnya untuk menempah baju yang bersesuaian.

"Sekarang memang sudah jarang taja baju artis untuk majlis anugerah, kalau ada pun dengan artis-artis lama yang selalu bekerjasama sahaja.

"Artis baru sekarang banyak hal dan susah beri komitmen, ada juga yang menghubungi saya untuk buat baju tapi tiada masa untuk ukur dan sebagainya," ujarnya.
Sementara itu, sempena Aidilfitri, Ezuwan melancarkan pakaian siap pakai Paloma by Ezuwan Ismail dengan menampilkan 40 rekaan eksklusif dengan harga berpatutan.

Baju-baju tersebut berharga RM299 hingga RM699 sehelai boleh didapati di www.palomasari.com bermula 27 Mei 2016.

Jue Aziz Rasa Tersisih Kemunculan Pelakon Baharu



Jue Aziz mengakui sedikit sebanyak berasa tersisih dengan kemunculan pelakon-pelakon baharu dalam industri hiburan tanah air.
PETALING JAYA: Pelakon Jue Aziz mengakui sedikit sebanyak berasa tersisih dengan kemunculan pelakon-pelakon baharu dalam industri hiburan tanah air.

Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abdul Aziz, 33, berkata, stesen televisyen terlalu memberi perhatian kepada muka-muka baharu dengan bersandarkan kepada wajah yang cantik semata-mata.

"Itulah kesilapan pihak tertentu yang berada di atas yang memilih lebih daripada rupa berbanding kualiti lakonan mereka.

"Mereka meletakkan harga yang rendah dan boleh buat itu dan buat ini, jadi perkara itu beri kesan kepada pelakon seperti kami.

"Bukan bermaksud pelakon lama seperti saya mahal, harga yang kami beri adalah bayaran kepada pengalaman dan kualiti kerja kami," ujarnya kepada mStar Online.

Jue berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan kerjaya lakonannya.

Dalam pada itu, Jue berkata, imej bertudung tidak memberi kesan kepada kerjaya dan tawaran lakonan yang diterima, sebaliknya kemunculan pelakon-pelakon baharu membuatkan dia dan pelakon seangkatannya kurang mendapat perhatian.

Bagaimanapun, Jue berkata dia reda dengan perkara yang dianggap sebagai lumrah dalam industri hiburan tanah air.

Katanya, selain itu, pelakon baharu mudah untuk berada di puncak dengan bantuan media sosial yang penting bagi mereka.

"Mereka dibantu dengan media sosial yang kuat dan terlalu mudah untuk berada di atas.

"Kalau dulu sangat susah, tapi kesannya populariti yang mereka kecapi tidak lama dan digantikan dengan orang baru pula," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Jue berkata, dia baharu selesai penggambaran filem berjudul Mat Moto Otai yang diarahkan oleh Ahmad Idham.

Filem tersebut turut mengumpulkan pelakon-pelakon lama seperti Sasha Saidin, Wan Sharmila, Cat Farish dan Maznah Zulkifli.

Nick Jonas Mengaku Gagal Goda Rihanna




Nick Jones
PENYANYI Nick Jonas mengakui pernah cuba mengoda penyanyi terkenal Rihanna dalam sebuah acara hiburan.
Biarpun Rihanna tidak termakan godaan tersebut, Nick berkata, dia sangat gembira dapat berbual kosong dengan penyanyi wanita itu.

"Saya pernah cuba menggoda Rihanna dalam sebuah majlis hiburan. Sayangnya tidak berhasil, namun saya gembira dapat berbual dengannya," ujarnya seperti dipetik Sun Newspaper.

Tambahnya, dia juga mengakui bau wangian dipakai wanita tersebut terlalu harum membuatkan dia berasa selesa ketika berbual.

Nick Jonas sebelum ini pernah menggoda artis terkenal seperti Kate Hudson dan Lily Collins.

Kendall Jenner Sering Curi Pakai Baju Kylie Jenner




MODEL terkenal Kendall Jenner mendedahkan dia sering mencuri pakai baju milik adiknya Kylie Jenner berikutan saiz badan mereka sama.
Gadis 21 tahun yang juga model pakaian dalam Victoria's Secret ini mendedahkan perkara ini menerusi laman sosial miliknya.

"Saya sering mengambil baju Kylie ketika dia tiada di rumah. Baju-baju miliknya selalu sesuai dengan badan saya juga.

"Kylie juga sebenarnya suka mengambil baju saya jika saya tiada di rumah.

"Saya tahu kalau dia ambil baju saya hingga almari berselerak," ujarnya.

Tambah Kendall dia mengambil baju Kylie secara sembunyi dan tidak diketahui oleh adiknya itu.

Kai (EXO) Dikatakan Buat Pembedahan Hidung




PENAMPILAN ahli kumpulan EXO, Kai dengan rambut berwarna perang di acara bertemu peminat baru-baru ini tidak menarik perhatian peminat-peminatnya.
Sebaliknya ramai lebih bertumpu kepada benjolan kecil di bahagian batang hidungnya yang tidak lagi kelihatan.

Walaupun menjadi kegilaan peminat kerana wajah kacak, penari utama EXO itu tidak lepas daripda diperkatakan tentang hidungnya yang kelihatan seperti tidak lurus akibat benjolan kecil terbabit.

Menerusi gambar-gambar yang diambil ketika sesi bertemu peminat itu, jelas menampakkan hidung Kai kini lurus tanpa sebarang benjolan.

Hal itu juga mencetuskan spekulasi bahawa pelantun lagu Unfair itu baru sahaja menjalani prosedur pembedahan kosmetik.

Seohyun (SNSD) Raih 3 Juta Pengikut Instagram





AHLI kumpulan Girl's Generation, Seohyun meraih seramai 3 juta pengikut di laman sosial Instagram miliknya @seojuhyun_s.
Penyanyi ini membuka akaun tersebut sejak Oktober 2014 dan sekitar setahun dia berjaya meraih sejuta pengikut di serata dunia.

Di akaun Instagramnya, Seohyun sering memuat naik pelbagai aktiviti sehariannya sebagai artis. Dia juga sering memuat naik gambar bersama ahli-ahli kumpulannya yang lain.

Selain itu, foto-fotonya sering mendapat komen positif netizen dan mendapat pujian terhadap kecantikannya.

Dia turut menerima ucapan tahniah daripada pengikut Instagram kerana berjaya meraih jumlah pengikut yang ramai.

'Kelentit Rindu' Bukanlah Nama Lucah - Ahya Rosli



Ahya Rosli
PETALING JAYA: Pelakon Ahya Rosli menjelaskan kedai shisha miliknya iaitu Kelentit Rindu diambil sempena nama tumbuhan liar iaitu sejenis cendawan Kelentit Kering atau saintifiknya Microparus Xanthopus.
Ahya, 29, yang juga anak kepada aktres Normah Damanhuri itu berkata, dia mengambil nama tersebut selepas mendapati salah satu perasa shisha yang paling mendapat perhatian di kedai miliknya itu laris.

"Saya sudah gunakan nama berkenaan sudah lama sejak dibuka pada sepuluh tahun lalu dan ia adalah nama tumbuhan.

"Orang hanya tahu mengecam kerana berfikiran negatif sahaja dan saya sudah beritahu kepada ibu juga tentang ini dan dia tiada halangan," ujarnya.

Ahya berkata demikian ketika diminta mengulas tentang nama kedai shisha miliknya yang dikatakan menggunakan nama kurang sopan iaitu satu perkataan yang turut dikaitkan dengan kemaluan wanita.
Inilah jenis tumbuhan yang menggunakan nama Kelentit Kering.
Kedai shisha tersebut beroperasi di Jalan Genting Klang, Setapak, dekat sini.

Sementara itu, Ahya berkata, dia sentiasa berfikiran positif dan memikirkan nama tersebut adalah nama yang mampu menarik pelanggan ke kedainya.

"Saya sentiasa positif dan tidak fikir ia bermaksud lucah. Hanya orang-orang yang negatif sahaja selalu nampak perkara buruk yang saya lakukan.

"Tidak kisah apa orang ingin fikir yang penting bisnes tersebut berjalan lancar dan menerima ramai pelanggan," ujarnya.

Dalam pada itu Ahya yang juga jurulatih peribadi seni mempertahankan diri Kick Boxing berkata, dia kini dalam perancangan untuk membuka sebuah gimnasium.

"Saya sekarang menjadi pelatih peribadi dan membuka kelas Fitwithahya bagi membantu orang yang ingin kurus dengan cara sihat.

"Insya-Allah, saya dalam perancangan untuk buka gim sendiri yang memudahkan saya membuat kelas tersebut," ujarnya.

Perjalanan seni Idris Khan



Perjalanan seni Idris Khan
PENGLIBATAN bintang baharu ini dalam industri seni boleh diibaratkan sebagai tidak sengaja.
Masakan tidak, jejaka berusia 28 tahun ini terlebih dahulu melibatkan diri dalam dunia peragaan selama sembilan tahun dan sering menolak tawaran lakonan.
Namun tawaran lakonan dari A. Aida Production pada tahun lalu menerusi naskah Puteri Gunung Ledang telah membuka sedikit pintu hatinya untuk melangkahkan kaki dalam bidang seni.
Akui Idris Khan Abdul Ghaffar, biarpun pada mulanya dia menyangka drama itu adalah sebuah karya epik, namun drama itu juga menjadi titik tolak bercambahnya minat dia dalam bidang lakonan.
“Ketika mula-mula mendapat tawaran itu, saya sangka ia adalah sebuah karya epik, saya terfikir mungkin saya menjadi Hang Tuahnya dan kerana drama itu juga, saya mula berjinak-jinak di dalam bidang seni.
“Sejak itu jugalah saya mula melibatkan diri di dalam bidang seni dan diam tak diam dah setahun saya di dalam bidang ini.
“Kalau artis lain, mereka menyertai industri seni kerana minat yang mendalam, saya pula menyertai industri secara tak sengaja dan dari situ timbulnya minat,” ujar anak kelahiran Libya ini.
Antara naskah lain yang pernah dibintangi Idris adalah Abang Sado Jemur Kain, Cinta Hati Abah, Uda & Dara, Bodyguard dan terbaharu Duda Terlajak Laris yang telah menaikkan lagi namanya dalam industri seni.
Tambah Idris, dia bersyukur kerana lakonannya di dalam drama itu telah memberi kesan dan berterima kasih kepada pengarah drama berkenaan, Fairuz Loy serta rakan baiknya, Pekin Ibrahim yang telah banyak membantunya.
“Alhamdulillah saya menerima banyak komen positif mengenai lakonan saya di dalam drama berkenaan.
“Tapi ini bukan bermakna saya sudah boleh mendongak langit atau terlalu memilih tawaran berlakon. Cuma saya lebih berhati-hati dalam membuat pilihan, sebabnya lagi kerap kita berlakon tanpa memikirkan kesesuaian, lebih banyak kita mendedahkan kelemahan kerana kita masih belajar.
“Prinsip saya secara peribadi, biar sedikit demi sedikit, asalkan kita kekal lama dan semakin lama semakin bagus. Bukan hanya bergantung pada satu drama, terkenal dan kemudian hilang begitu sahaja,” katanya.
Tolak kontroversi
Bukan itu sahaja, lelaki yang mempunyai ketinggian 185cm ini juga tidak gemar mengambil jalan mudah untuk popular.
Jika sesetengah artis baharu melihat kontroversi boleh membantu menaikkan nama mereka di dalam industri, tidak bagi Idris.
“Tidak dinafikan kontroversi memang boleh membantu. Tapi saya tidak suka. Lagi-lagilah seperti kontroversi yang berlaku pada saya sebelum ini.
“Bagi saya sangat mengarut dan memalukan. Sebagai individu yang mementingkan profesional dalam bekerja, saya memang menolak kontroversi dan berharap orang kenal saya kerana hasil kerja saya,” katanya.
Sibuk selepas raya
Berkongsi perkembangannya, Idris berkata, dia kini sibuk menguruskan beberapa event di bawah syarikatnya, KL Event yang ditubuhkan bersama Pekin dan dua rakan kongsi.
Selain itu, menerusi syarikat produksi KL Media House, mereka juga kini dalam proses penggambaran rancangan dokumentari dan filem KL Wangan.
“Insya-Allah kami mempunyai beberapa perancangan untuk direalisasikan iaitu penggambaran dokumentari melibatkan pulau-pulau di Sabah dan saya sendiri akan mengendalikan rancangan itu.
“Pada masa sama, kami juga akan memulakan penggambaran filem pertama kami, KL Wangan iaitu sebuah filem mengenai kereta yang telah diubah suai, idea dari Pekin. Tapi pelakonnya masih dalam perbincangan.
“Selain itu, saya ada beberapa tawaran drama dan filem yang masih dalam pertimbangan. Pada masa sama, saya sibuk dengan penggambaran drama 13 episod tayangan Hypp TV yang dijangka selesai sebelum Ramadan nanti,” katanya.

Mekanik cipta pelita bateri



Mekanik cipta pelita bateri
Juraimi (kiri) bersama Norazizan dan anaknya sedang menyiapkan pelita bateri di rumahnya.

LABIS - Seorang mekanik di Pekan Air Panas, di sini, mencipta kelainan pada bulan puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini dengan menghasilkan pelita yang dijana daripada kuasa bateri.
Juraimi Palal, 47, berkata, dia terfikir untuk menghasilkan pelita bateri selepas mendapati kemeriahan dan suasana malam pada musim perayaan terutama di kawasan bandar semakin hilang, selepas tidak ramai berminat memasang pelita di sekeliling rumah.
"Melalui pemerhatian dan soal selidik dijalankan, saya mendapati mereka tidak berminat memasang pelita kerana terpaksa mengisi minyak setiap hari, selain terpaksa menutup pelita ketika hujan dianggap sesuatu yang rumit.
"Sebaliknya, mereka berminat kaedah lebih ringkas dan mudah seperti menggunakan lampu berkerlip untuk menghias rumah ketika musim  raya membuatkan saya tergerak hati mencipta pelita bateri ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut suami kepada Norzizan Saad, 47, dia mula menghasilkan pelita bateri sejak enam bulan lalu selain telah menyiapkan kira-kira 3,000 biji pelita untuk dijual kepada pelanggan pada Ramadan dan Syawal tahun ini.
Katanya, berbanding pelita konvensional dinyalakan menggunakan gasolin dan diesel, pelita buatannya tidak perlu penjagaan rapi dan boleh bertahan walaupun ketika hujan, selain jangka hayat baterinya mampu bertahan  sehingga dua minggu.
"Pelita saya lebih mesra alam kerana tak mengeluarkan asap seperti pelita biasa, yang penting tiada risiko kebakaran atau sebarang kejadian tidak diingini, selain penggunaannya selamat dan sesuai semua peringkat umur.
"Kebanyakan komponen untuk buat pelita bateri ini dibeli kedai perkakasan. Saya berusaha untuk buat sendiri beberapa komponen dan menambah baik ciptaan termasuk memasang sensor pada masa akan datang,” katanya.
Juraimi yang juga peserta 1Azam di bawah bimbingan Jabatan Veterinar Segamat berkata, dia juga mampu menyiapkan 100  pelita sehari sebelum dijual dengan harga RM56 bagi setiap pek mengandungi lapan pelita.
Bagi Norzizan, pada awalnya dia rasa ragu dan kurang yakin dengan hasrat suaminya itu untuk menghasilkan pelita bateri, namun dia percaya pelita ciptaan suaminya itu akan dapat sambutan menggalakkan.
"Setiap hari saya dan anak-anak akan memperuntukkan sekurang-kurangnya dua jam sehari untuk membantu buat pelita bateri dan rasa seronok melakukannya terutama ketika melihatnya menyala.
"Saya harap usaha ini akan memberi pulangan diharapkan kepada kami sekeluarga menjelang hari raya nanti, sekali gus sebagai bukti usaha kerajaan melalui agensinya membantu peserta 1Azam keluar daripada kepompong kemiskinan bukan sesuatu yang sia-sia," katanya
.

500 pelabur terpedaya janji manis



500 pelabur terpedaya janji manis
Zainol Abidin (tiga, kanan) bersama Zakaria (tengah) dan Ariffin (tiga, kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang telah dibuat.
JOHOR BAHRU - Lebih 500 pelabur jadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelaburan selepas terpedaya dengan pelbagai janji manis ditaburkan sepasang suami isteri.
Seorang pekerja swasta, Zainol Abidin Othman, 54, berkata, dia melabur RM3,500 pada Januari lalu kerana percaya janji imbuhan bulanan yang diterangkan seorang lelaki dikenali sebagai ustaz.
Menurutnya, konsep diperkenalkan dengan penggunaan nas dan hadis oleh pasangan suami isteri yang dikatakan pesara guru agama itu benar-benar meyakinkannya.
“Mereka berikan jadual bayaran imbuhan ikut pakej kita ambil. Jika saya telah bayar  RM3,500 akan peroleh RM1,000 pada bulan berikutnya selama tiga bulan dan RM4,000 bulan seterusnya.
“Malangnya selepas bayaran dibuat melalui akaun pengurus wilayah selatan pada Januari lalu, wang sepatutnya dimasukkan ke akaun saya pada bulan berikutnya tidak diterima dan dikatakan ditangguhkan ke tarikh lain, tetapi sehingga kini satu sen pun tak diterima,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Seorang lagi pekerja swasta, Zakaria Ismail, 50, berkata, dia membuka tiga akaun dengan pakej berbeza berjumlah RM9,000 selepas terpedaya dengan pengalaman pelabur lama menerima cek puluhan ribu ringgit ketika hadir seminar yang diadakan di sebuah hotel, Januari lalu.
Menurutnya, dia turut mengambil pakej untuk seorang anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dengan harapan dapat tampung wang perbelanjaan anaknya itu.
“Saya keluarkan modal, masukkan seorang anak yang tengah belajar di universiti dengan harapan dia dapat duit poket daripada imbuhan bulanan dijanjikan kerana pada peringkat permulaan, ambil pakej RM350 bayaran dibuat dengan betul.
“Saya memang tertarik dengan kejayaan pelabur lama yang hadir pada seminar berkenaan untuk menerima cek keuntungan berjumlah puluhan dan ratusan ribu ringgit, tetapi saya tertipu,” katanya.
Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Ariffin Abd Rahman, 59, berkata, dia mengambil pakej RM35,000 pada Januari lalu kerana mengakui tamak dengan imbuhan dijanjikan sebanyak RM110,000.
Menurutnya, dia memang tidak menyangka pembabitan golongan berlatar belakangkan agama yang tinggi sanggup terlibat dalam penipuan sedemikian rupa.
“Saya akui ini salah sendiri kerana cepat termakan dengan janji manis mereka yang sanggup main sentimen agama sehingga membuatkan kita begitu yakin, orang seperti ini tidak akan melakukan penipuan.
“Harapan saya agar masyarakat jangan mudah terpedaya dan jadikan pengalaman kami sebagai pengajaran sebelum terbabit dalam apa sahaja skim pelaburan," katanya selepas membuat empat laporan polis bersama rakan yang lain.

Baling sudah ada malim gunung



gunung pulai
Gunung Pulai. - Sumber Internet
BALING - Persatuan Malim Gunung Pulai menyediakan 34 orang malim bagi membantu orang ramai mendaki gunung tersebut.
Ketuanya, Mohd Nazri Hamid berkata, kesemua malim telah dilatih termasuk aspek keselamatan bagi membantu pendaki.
"Gunalah khidmat malim untuk mengelak daripada tersesat ketika mendaki gunung," katanya.
Gunung Pulai di sini adalah setinggi hampir 600 meter dengan mempunyai lapan gua yang boleh dimasuki.
Orang ramai yang ingin mendapat khidmat malim boleh menghubungi Mohd Nazri di talian 013-4558266

Musim buru ikan haruan kembali



Musim buru ikan haruan kembali
Shamsiah menunjukkan hidangan anak ikan haruan yang dimasaknya. Gambar kanan: Nazri menunjukkan ibu haruan yang dipancingnya. Gambar kecil: Anak ikan haruan yang berjaya disauk.
KUALA KURAU - Setibanya musim penanaman padi, penduduk kampung di sini khususnya kaki pancing pasti tidak akan melepaskan peluang memburu kumpulan ‘anak-anak’ ikan haruan bagi mendapatkan ibunya.
Pada waktu ini, terusan sawah dan parit padi mula dinaiki air, manakala ikan haruan mencari kawasan berumput rumpai sebagai tempat bertelur dan menetaskan anak-anak.
Pantau tali air
Di Kampung Parit Mat Ali di sini, seorang kaki pancing, Nazri Ismail 24, berkata, setiap kali bermula musim padi, dia akan memantau sepanjang tali air dan parit yang terdapat di kampungnya bagi mengesan kumpulan anak-anak haruan ini untuk menangkap ibunya.
Menurutnya, waktu sebegini mudah menangkap ikan haruan kerana sifatnya agresif dan akan menyambar apa sahaja benda yang jatuh ke dalam kumpulan anak-anaknya.
"Waktu menanam padi memudahkan kami menangkapnya, lebih-lebih lagi saiz ikan haruan ini lebih besar dan mampu mencecah dua kilogram seekor.
“Kalau bernasib baik, kita bukan sahaja mendapat ibu haruan, malah mungkin mendapat seekor lagi ‘penjaga’ anak-anak itu kerana kebiasaannya mereka hadir berpasangan.
“Cara menangkapnya juga sangat mudah hanya perlu ‘mengganggu’ dengan cara mencampakkan kail yang berumpan berulang kali dan hanya perlu menunggu penjaganya marah dan menyambar kail itu,” katanya.
Nazri berkata, umpan efektif menjerat ikan haruan adalah katak minyak yang boleh didapati di kawasan sawah padi.
“Tampak mudah tapi memerlukan kesabaran kerana ada di antara ibu haruan ini mengambil masa lama untuk memakan umpan.
“Paling didambakan kaki pancing adalah aksi tarik menarik sewaktu ikan haruan ini memakan umpan berikutan saiznya yang besar,” katanya.
Katanya, kebiasaannya haruan berjaya dikailnya dijadikan menu makanan utama keluarga selain turut menjualkan kepada penduduk kampung dengan harga RM10 hingga RM20 sekilogram.
Selain kenikmatan memancing ikan haruan, kaum hawa di kampung sekitar sini turut menjadikan tangkapan anak-anak ikan haruan dimasak menjadi menu kegemaran istimewa.
Hidangan istimewa anak haruan
Bagi Shamsiah Hashim, 50, dia yang berketurunan kaum etnik banjar didedahkan makanan berasaskan ramuan anak ikan haruan sejak kecil kecil.
Menurutnya, hidangan istimewa anak-anak ikan haruan hanya mampu diperoleh di kawasan kampung yang mempunyai terusan tali air dan sawah sahaja.
“Dari zaman sebelum merdeka lagi penduduk kampung khususnya kaum etnik banjar sering menjadikan makanan seperti ini sebagai menu utama keluarga.
“Anak-anak ikan ini hanya sesuai digoreng dengan campuran bawang dan lada selain dimasak dengan kaedah digelar ‘pais’ iaitu dibungkus dengan daun pisang lengkap campuran bawang dan cabai sebelum ianya dikukus,” katanya.
Shamsiah berkata, keenakan anak-anak ikan ini pasti menggamit nostalgia orang kampung terdahulu.
“Kini anak-anak ikan ini amat sukar diperoleh dan boleh dikatakan setahun cuma dua kali sahaja berikutan mengikut jadual musim penanaman padi.
“Keempat-empat anak saya masih sukakan masakan ini dan mereka pasti tidak melepaskan peluang untuk mencarinya setiap kali tiba musim penanaman padi,” katanya.

Penangan sijil cuti sakit palsu



Penangan sijil cuti sakit palsu
Ketiga-tiga tertuduh dibawa masuk ke dalam mahkamah oleh pihak polis. 
SEREMBAN - Tiga kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas tuduhan menggunakan sijil cuti sakit palsu untuk tidak hadir bekerja.
Bagaimanapun Mazlan Ahmad, 48, Rosyanizam Yahya, 38, dan Muhamad Hafiz Mohamad Sarpan, 32, yang diwakili Iwana Sakinah Mohd Lajis dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mazlan Ahmad didakwa berbuat demikian pada 2 November, 20 November dan 12 Disember 2015 manakala Muhamad Hafiz pada 27 Februari dan 7 Mei 2014, serta 20 Ogos dan 11 November 2015.
Rosyanizam pula dituduh mengemukakan sijil cuti sakit palsu antara 22 Disember 2014 dan 18 April tahun ini yang berjumlah 13 hari.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Majistret Rahimah Rahim membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dengan amaun RM1,200 bagi setiap pertuduhan kecuali pertuduhan bertarikh 19 Mac 2015 terhadap Rosyanizam yang ditetapkan sebanyak RM1,700.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Ainnan Mohd Rasid dan Siti Khadijah Mohd Pisol menawarkan jaminan antara RM3,000 dan RM4,000 bagi setiap pertuduhan.
Namun ketiga-tiganya menerusi Iwana merayu kepada mahkamah agar diberikan amaun paling rendah kerana mengambil kira faktor kewangan penjamin dan jumlah pertuduhan yang mereka hadapi.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes ini pada 21 Jun depan bagi menunggu laporan forensik.
Sinar Harian melaporkan sebelum ini, polis berjaya menumpaskan sindiket sijil cuti sakit palsu yang berlaku di sekitar daerah ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, sembilan individu termasuk pembeli dan pengedar berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Seremban dan Kuala Lumpur.

Pengantin diarak dengan trak tunda



Pengantin diarak dengan trak tunda‎
Pasangan mempelai yang diiringi konvoi 30 trak tunda dari Bukit Puchong ke Puchong Utama, hari ini.
PUCHONG - Meriah apabila dua pasangan mempelai dari Pangsapuri Court 1 Puchong Utama di sini diarak dan diiringi konvoi kira-kira 30 trak tunda sejauh hampir dua kilometer dari Bandar Bukit Puchong.
Muhammad Azril Zakaria, 25, dengan pasangannya Nur Afifah Muktar, 21, dan Noraziera Zakaria, 23, dengan pasangannya Mohd Rizal Ismail, 27, diringi kira-kira 50 kaum keluarga dan sanak saudara  yang turut menaiki truk tunda.
Kedua-duanya kemudian dirai di majlis resepsi di pangsapuri berkenaan oleh kira-kira 1,000 tetamu yang hadir.
Mohd Rizal berkata, dia terharu dengan kehadiran ahli kumpulan trak tunda yang sudi meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinannya.
“Rasa seronok dan teruja melihat deretan trak tunda mengiringi kami hingga ke khemah pengantin. Terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis hari ini (semalam),” katanya.
Muhammad Azril pula berkata, dia dan isteri seronok hari bersejarahnya dirai dengan penuh kelainan selain mencipta sejarah tersendiri.
“Memang kami gembira sangat…tak sangka majlis hari ini meriah sebegini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Satu Malaysia Tow Truck And Car Carrier, Mohd Yusof Yahya, 37, berkata, dia dan rakan-rakan berbesar hati dapat menggembirakan kedua-dua pasangan pengantin.
“Kami bangga menjadi sebahagian daripada sejarah yang dicatat dalam majlis perkahwinan ini. Ucapan selamat pengantin baru kepada kedua-dua pasangan mempelai dan semoga berbahagia ke anak cucu,” katanya.
Sementara itu, ibu pengantin, Rodziah Razali,48 berkata, rancangan berkonvoi mengiringi kedua-dua mempelai itu dibuat sejak dua mingu lalu.
“Hari ini (semalam) dua orang anak saya berkahwin serentak…kebetulan adik yang bekerja sebagai penunda kenderaan beritahu cadangan nak konvoi bersama rakan-rakannya, tak sangka… ia benar-benar direalisasikan.
“Syukur semuanya berjalan sempurna dan terima kasih kepada semua pihak yang  menjayakannya,” katanya.

Terkejut dapat berjalan semula



Terkejut dapat berjalan semula
Muhamad (tengah) menjalani rawatan yang dikendalikan Baharudin di Jalan Bahagia, semalam.
TEMERLOH - Seorang warga emas terkejut apabila mampu berjalan tanpa menggunakan tongkat selepas mendapatkan rawatan alternatif secara Islam di Jalan Bahagia di sini semalam.
Muhamad Mat Yon 80, berkata, sebaik sahaja bangun dari kerusi rawatan dia merasakan ada tenaga baharu yang membolehkannya melangkah kaki untuk berjalan.
“Walaupun perlahan-lahan tapi saya sudah boleh berjalan, tapi masa rawatan memang saya akui sangat sakit macam rasa nak terkencing, tapi sakit itu tak lama lepas rawatan saya boleh berjalan perlahan-lahan.
“Kaki saya mula rasa sakit dan tak mampu berjalan sejak lebih setahun lalu, hari ini ada rombongan dari Kampung Padang Lalang ke sini jadi saya ambil kesempatan untuk berubat dengan kaedah ini,” katanya.
Muhamad antara lebih 100 pesakit yang mendapatkan rawatan Islam yang dikendalikan secara percuma oleh Datuk Seri Baharudin Abu, pengasas Pusat Rawatan Islam al-Qalam di Jalan Bahagia di sini semalam.
Program Sentuhan Kasih anjuran Pertubuhan Rawatan Islam al-Qalam bersama Majlis Belia Daerah Temerloh itu bertujuan memberi rawatan secara percuma kepada warga emas kurang berkemampuan di daerah ini selain penyampaian sumbangan kepada pesakit yang hadir daripada golongan asnaf.
Program itu dirasmikan oleh Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Sementara itu, seorang lagi pesakit, Muda Salleh, 65, dari Taman Seri Kemuning di sini berkata, dia diserang angin ahmar sejak setahun lalu, mengakibatkan anggota badannya lemah dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat.
Menurutnya, selepas menerima rawatan semalam, dia mengakui terdapat sedikit perbezaan pada dirinya apabila pergerakan badannya semakin bertenaga dan kakinya lebih kuat untuk melangkah.
“Saya dapat rasa sedikit perbezaan selepas dirawat, walaupun kaki saya terasa sangat sakit apabila dipicit tetapi ia tidak lama.
“Memang saya akui kesakitan apabila jari kaki saya dipicit dan belakang badan saya ditepuk-tepuk tapi ia mungkin sebahagian daripada rawatan,” katanya.
Seorang lagi pesakit, Rashid Rahman 40, berkata, dia mengambil kesempatan untuk mendapatkan rawatan akibat sihir.
Menurutnya, semasa menjalani rawatan, dia dimaklumkan badannya terkena sihir dan ia diakui kerana beberapa pengamal perubatan Islam yang dikunjungi sebelum ini juga memaklumkan masalah sama dihadapinya.
“Saya perlu dapatkan rawatan susulan di Puchong iaitu di pejabat pusat rawatan Islam al-Qalam, untuk permulaan ini saya dapatkan beberapa rawatan awal,” katanya.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Nor Azmi Mat Ludin turut mendapatkan rawatan semalam.
Rata-rata pesakit hadir mendapatkan rawatan kerana mempunyai masalah saka, lumpuh, kencing manis, resdung, sakit mata dan pelbagai masalah kesihatan lain.
Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, program tersebut satu kaedah membantu orang ramai yang jarang dilakukan sebelum ini.
“Saya hargai usaha dilakukan Majlis Belia Daerah Temerloh yang mencetuskan idea untuk membawa program seperti ini yang ternyata mendapat sambutan amat menggalakkan, malah pesakit dari golonan asnaf turut diberikan sumbangan,” katanya.
Baharudin pula berkata, rawatan secara percuma itu dibuat untuk memudahkan warga emas beribadat.
Beliau berkata, sumbangan yang diberikan kepada golongan asnaf terbabit diterima daripada orang ramai yang menerima rawatan di Pusat Rawatan Islam al-Qalam di Puchong, Selangor.

Perhilitan rampas 18 burung ayaman




Perhilitan rampas 18 burung ayaman
Renjer Jabatan Perhilitan Terengganu, Hamzan Mohammad menunjukkan sebilangan burung Ayaman yang dirampas, dalam serbuan Rabu lalu.
KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu merampas 18 burung Ayam-Ayam (Ayaman) yang disyaki ditangkap sekumpulan lelaki, dalam satu serbuan di kawasan lapang di Kuala Ibai, di sini, Rabu lalu.
Pengarahnya, Mohd Hasdi Husin berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1.45 pagi itu merupakan hasil maklumat serta aduan daripada orang awam yang mendakwa tidak tahan dengan bunyi bising.
Menurut Mohd Hasdi, bagaimanapun, dalam serbuan itu, sekumpulan lelaki terdiri antara empat hingga lima orang berjaya melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa dengan meninggalkan semua peralatan termasuk hasil tangkapan.
“Pemeriksaan lanjut menemui 18 burung Ayaman di dalam tiga jaring uncang dipercayai hasil tangkapan kumpulan lelaki itu serta lapan utas jaring bersama 10 pancang kayu.
“Turut ditemui dua set peralatan disyaki digunakan sebagai alat memanggil burung termasuk dua unit pemain radio, dua unit bateri dan dua unit pembesar suara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Jelas Mohd Hasdi, bagaimanapun, pihaknya yakin ramai yang menjalankan aktiviti menangkap burung Ayaman masih tidak tahu bahawa aktiviti itu satu kesalahan yang melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Tahun 2010/Akta 716.

Air kolam bagaikan teh susu!



Air kolam bagaikan teh susu!
Air kolam bagaikan teh susu!
HULU TERENGGANU - Bagaikan air teh susu! Begitulah warna air di kolam tema serta kawasan air terjun di Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS), di sini, yang begitu keruh serta berlumpur sehingga menyebabkan pengunjung kecewa tidak dapat mandi-manda dan pulang hampa.
Difahamkan, keadaan tersebut sudah berlanjutan sejak tiga hari lalu berikutan hujan pada sebelah petang dan ia kejadian pertama berlaku di luar musim tengkujuh.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, pengunjung terutamanya yang datang berkeluarga terpaksa pulang semula setelah melihat keadaan air dan kerja-kerja membersihkan kolam tema juga giat dijalankan pekerja kebersihan.
Seorang pengunjung, Muhd Faiz Zaim,21, daripada Kuala Terengganu berkata dia terkejut melihat warna air begitu keruh dan turut terkilan kerana keinginannya mandi-manda di kolam tema tidak tercapai apatah lagi perjalanannya untuk sampai lebih daripada 50 kilometer.
“Mulanya saya hanya lihat dasar kolam tema dipenuhi  lumpur dan sedang dibersihkan sekali gus menghampakan saya kerana tidak dapat mandi. Setelah meninjau sekeliling, saya benar-benar terkejut melihat warna air di kawasan air terjun begitu keruh, macam air teh susu.
“Barulah saya tahu kerja membersihkan kolam tema dilakukan akibat air keruh berlumpur kerana setahu saya sumber air ditakung di sini adalah semulajadi daripada air bukit. Sebagai pengunjung, tentunya saya agak kecewa kerana terpaksa pulang hampa.
“Saya berkunjung ke sini sudah lebih 10 kali tetapi ini kali pertama melihat air jadi teh susu begini. Ralat memang ralat, tetapi apa boleh buat selain harapkan ia takkan berulang, jika tidak lama-kelamaan orang tidak berminat datang ke sini lagi,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi Atikah Hamdan, 21, daripada Panji Alam, Kuala Terengganu, sekiranya air keruh tersebut berpunca daripada  aktiviti manusia di kawasan hulu sungai dia mengharapkan agar pihak berkaitan dapat melihat perkara tersebut sekali gus ambil langkah sewajarnya.
“Akhir-akhir ini terutamanya di sebelah daerah Hulu Terengganu ini hujan hampir setiap petang. Warna air bertukar keruh juga berikutan hujan tetapi bila melihat ia begitu keruh begini saya tidak menolak kemungkinan ia turut berpunca dari kegiatan manusia.
“Sebagai pengunjung tentunya saya kecewa kerana datang ke sini untuk riadah dan mandi-manda tetapi tidak dapat berbuat demikian. Kalau
mandipun, saya khuatir keadaan air begitu akan beri kesan pada kesihatan kulit pula nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus TPNS, Mohd Amran Awang ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata kejadian air keruh sedemikian pertama kali berlaku di kawasan berkenaan di luar musim tengkujuh dan pihaknya sendiri tidak menyangka terjadinya keadaan itu.
“Kalau musim tengkujuh, ia perkara biasa kerana air besar mengalir turun dari bukit di kawasan Hutan Simpan Sekayu tetapi sekarang ini musim tersebut sudah berakhir, cuma kebelakangan ini hujan hampir saban petang.
“Sejak Jumaat lalu, kolam tema telahpun ditutup kepada pengunjung buat sementara waktu bagi kerja-kerja pembersihan. Cuma saya khuatir jika kejadian air keruh ini berlanjutan kerana ia kelak pasti akan beri kesan pada jumlah kedatangan pengunjung.
“Sebenarnya, TPNS ini baharu sahaja dibuka kembali 1 April lalu selepas ditutup akhir tahun lalu sepanjang musim tengkujuh dan sehingga kini kita telahpun terima jumlah kedatangan pengunjung kira-kira 15,000 orang.
“Berikutan air keruh begini ia pastinya akan menjejaskan jumlah kehadiran pengunjung, sedangkan sasaran kita pada tahun ini ialah 100,000 orang. Lagipun kolam tema dan kawasan air terjun lokasi tumpuan utama serta antara daya tarikan pengunjung di TPNS ini," ujarnya.
Tambah Mohd Amran, sebelum bertukar keruh warna air terlebih dahulu berwarna putih seperti susu dan kejadian berlaku minggu lepas itu turut menyebabkan hampir 50 ekor ikan termasuk patin, lampan dan talapia terdapat di dalam kolam hiasan telah mati.

Pesara ATM masih ada dua hari



Masih ada dua hari
Pesara tentera memegang kain rentang T5P ketika majlis taklimat akhir di Kampung Sat.
TANAH MERAH - Masih ada masa dua hari lagi untuk pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini menandatangani memorandum Tuntutan 5 Perkara (T5P) yang akan diserahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada Rabu ini.
Penyerahan memorandum tuntutan itu akan dibuat Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) cawangan negeri ini di Istana Balai Besar, Kota Bharu, untuk dipersembahkan kepada Sultan Kelantan.
Ketua Koordinasi T5P negeri, Datuk Rahimi Awang berkata, setakat ini, memorandum mengandungi lima tuntutan bagi membela dan mengiktiraf jasa veteran tentera itu hanya mengutip kira-kira 1,000 tanda tangan pesara tentera di negeri ini.
“Jumlah ini kecil berbanding jumlah keseluruhan kira-kira 30,000 pesara tentera di Kelantan. Saya harap lebih ramai dapat bersama Pahlawan dan hadir memberikan sokongan semasa penyerahan T5P kepada istana, 1 Jun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program taklimat akhir berhubung penyerahan memorandum T5P oleh Presiden Pahlawan, Asri Buang kepada kira-kira 50 veteran tentera di Kampung Sat, kelmarin.
Pahlawan sebelum ini meletakkan sasaran mengutip 100,000 tanda tangan daripada keseluruhan lebih 500,000 veteran tentera di seluruh negara bagi menyokong memorandum itu.
Penyerahan memorandum akan dibuat serentak pada hari sama kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu selepas Pahlawan mendakwa tuntutan mereka kepada kerajaan tidak mendapat maklum balas.
Tuntutan pertama ialah menuntut kenaikan pencen pesara tentera selaras dengan kenaikan gaji anggota tentera sedang dalam perkhidmatan yang mula berkuat kuasa Julai ini.
Katanya, bagi menjaga kebajikan veteran tentera tidak berpencen dari semua cabang perkhidmatan ATM, memorandum tersebut turut menuntut kerajaan memberikan imbuhan tahunan sebanyak RM6,000 kepada mereka.
“Pahlawan juga menuntut hak mewariskan pencen kepada waris terdekat terutama isteri selepas kematian pesara diberi untuk sepanjang hayat dan bukan untuk tempoh 20 tahun dari tarikh pencen seperti diamalkan sekarang.
“Untuk tuntutan keempat, kami tuntut kerajaan sediakan sebidang tanah atau sebuah rumah mampu milik untuk pesara tentera bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan mereka mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Tambahnya, terakhir, Pahlawan menuntut penyeragaman pencen, pencen hilang upaya (PHU) dan ex-gratia kepada semua veteran tentera hilang upaya (VTHU) akibat perang tanpa mengira tahun akhir perkhidmatan.
Katanya, pesara ATM di negeri ini yang ingin menandatangani memorandum atau mendapatkan penjelasan mengenai T5P boleh menghubungi Ketua Koordinasi T5P di daerah masing-masing.
Untuk Kota Bharu, mereka boleh hubungi talian 019-9364688, Tanah Merah (017-9226817), Machang (017-9423908), Bachok (017-91114194), Pasir Puteh (019-9243819), Pasir Mas (011-25715635), Gua Musang (0192525119) dan Kuala Krai (013-9806006).

Dakwa mampu rawat penyakit selepas bermimpi



Dakwa mampu rawat penyakit selepas bermimpi
Hakim menunjukkan hasil ciptaan ubat penawarnya.
PUSU 40 – “Jika diberi peluang dan jika diizinkan tuhan, saya yakin boleh rawat mana-mana penyakit termasuk Aids,” kata seorang remaja di Kampung Gual Kulim Lubok Jong.
Aimanul Hakim Kamaruddin, 17, berkata, dia diberi kebolehan merawat sekurang-kurangnya 17 penyakit selepas didatangi mimpi tujuh bulan lalu.
Memandangkan masih baharu, Hakim berkata, dia belum berkesempatan merawat penyakit tanpa penawar itu.
Selain pesakit HIV, dia mendakwa mampu mengubati penyakit sihir, santau, menyedarkan pesakit koma, dapat cahaya mata dan ubati penagihan dadah selain mendakwa mampu membuat air penawar bagi penyakit kronik.
Namun katanya, penyediaan ubat-ubatan tersebut memerlukan kos agak besar.
Tanpa mengenakan bayaran tinggi, katanya, dia menyerahkan soal upah perubatan kepada pelanggan mengikut konsep sedekah seikhlas hati.
“Walaupun, masih ramai meragui kebolehan saya, tapi ramai penduduk dan kenalan terdekat serasi dengan kaedah rawatan saya,” katanya.
Sementara itu, seorang pesakit dari Pasir Puteh yang mahu dikenali sebagai Nurul, 36, berkata, saka yang diwarisi menyebabkan dia sering sakit dan meracau.
“Pada mulanya saya risau kerana sekarang ramai sangat yang cuba menipu, tapi selepas berubat hampir seminggu, Alhamdulillah penyakit saya kian pulih,” katanya.
Pada masa sama, pesakit dari Pasir Mas, Mamat Abdullah, 54, berkata, dia mendapat tahu mengenai kebolehan Hakim selepas dimaklumkan anaknya.
Sejak beberapa tahun lalu Mamat memberitahu, hidup mereka sekeluarga sering dihantui bayangan hitam, malah dia sendiri lumpuh dari paras pinggang hingga kaki.
“Saya hampir putus asa kerana bukan sahaja doktor, malah ikhtiar menggunakan air penawar juga gagal mengubati penyakit kami ini. Alhamdulillah, dengan izin tuhan, selepas berubat dengan Hakim, rumah kami tidak lagi diganggu lembaga hitam dan penyakit saya semakin pulih,” katanya.

Demi ilmu, gunung sanggupku redahi...



Demi ilmu, gunung sanggupku redahi...
SICHUAN - CHINA. Demi menimba ilmu sekumpulan kanak-kanak yang berasal dari kampung Atule'er di wilayah Sichuan, sanggup merempuhi perjalanan sukar dan berbahaya setiap kali pergi dan balik sekolah.
Memetik laporan CNN, melaporkan kanak-kanak seawal usia enam tahun yang tinggal dikampung tersebut, akan  memanjat tangga di tepi cerun gunung untuk pergi dan pulang dari sekolah.
Kanak-kanak tersebut dikatakan terpaksa merempuhi perjalanan yang sukar itu untuk  ke sekolah kerana sekolah mereka terletak di kaki gunung berkenaan.
"Mereka akan mendaki 17 tangga pada cerun gunung, bersama mereka adalah beg sekolah yang berat...perjalanan itu (mendaki) akan mengambil masa selama dua jam,"  kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Chen Guji.
Perkampungan Atule'er terletak di puncak gunung setinggi 1,400 meter dari aras laut. Kampung itu begitu terpencil sehingga hanya 72 keluarga saja yang tinggal disitu, dan kebanyakkan mereka menyara kehidupan dengan menanam cili.
Setelah tiba di sekolah, lazimnya mereka akan tinggal di sana selama dua minggu sebelum pulang semula ke kampung.
Sebelum ini, perjalanan berbahaya itu dilaporkan sudah mengorbankan lapan nyawa.
Menurut seorang jurugambar Chen Jie yang terpanggil untuk merakamkan perjalanan itu pada 14 Mei lalu, berkata dia sangat tersentuh apabila melihat kanak-kanak tersebut.
"Perjalanan itu sangat berbahaya, saya tidak dapat bayangkan bagaimana mereka berjaya melaluinya," kata Chen kepada CNN.
China kini telah membina infrastruktur untuk menyokong ekonomi mereka yang semakin berkembang.
Namun berjuta-juta rakyatnya masih hidup di bawah garis kemiskinan, dan Beijing telah berjanji  ia akan menangani kemiskinan di kawasan paling mendesak termasuk di wilayah Liangshan.

Bayar RM102,908 untuk bermalam di rumah Puteri Diana



 Puteri Diana
Kediaman Puteri Diana
BAGI peminat Puteri Diana yang teringin untuk merasai pengalaman tidur di kediaman wanita itu ketika zaman kanak-kanak, anda boleh melakukan demikian.
Namun bukanlah secara percuma sebaliknya pengujung perlu membayar AS$25,000 (RM102,908) untuk menikmati hujung minggu di kediaman yang terletak di ladang Althorp di Northamptonshire, England.
Kediaman itu kini dimiliki abang Puteri Diana, Earl Charles Spencer dan isterinya, Countess Karen Spencer yang mencetuskan idea menawarkan penginapan 90 bilik untuk mengumpulkan dana kebajikan untuk Whole Child International.
"Saya selalu fikir rumah ini dapat memberi sumbangan," kata Earl Charles Spence kepada NBC News.
Sepanjang penginapan, pengunjung dapat melihat koleksi seni bertaraf dunia termasuklah karya Da Vinci dan Reynolds dan himpunan barangan yang dikumpulkan 18 generasi keluarga Spencers.
Pengunjung turut diberi akses bersiar di tanah berkeluasan 13,000 ekar dimana mereka turut dapat memberi penghormatan kepada memorial Puteri Diana yang dibina khas.
Mediang diraja itu disemadikan di sebuah pulau kecil di Tasik Oval yang kini menjalani pengubahsuaian reka bentuk yang dijangka siap sebelum ulang tahun kematiannya pada Ogos 2017.
Kediaman tersebut telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 1998 setahun selepas Puteri Diana maut dalam kemalangan kereta di Paris.

Sinar Harian tawar RM50,000 untuk PR1M



PR1M
SHAH ALAM - Sinar Harian bakal tampil dengan kelainan dalam penganjuran Peraduan Rakyat 1Malaysia (PR1M) bersempena dengan bulan Ramadan ini.
Jika sebelum ini para pembaca berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai bernilai RM1,000 setiap hari, kali ini mereka dapat merebut peluang untuk mendapat wang tunai bernilai RM5,000 bagi 10 orang pemenang terpilih.
Editor Sinar Harian, Lailatun Khalilah Nasir berkata, pembaca setia Sinar Harian hanya perlu menjawab lima soalan terkumpul yang akan disiarkan mulai 1 hingga 5 Jun ini.
“Mulai 1 Jun, akhbar Sinar Harian menganjurkan PR1M Ramadan khas untuk para pembaca akhbar cetaknya dengan menawarkan hadiah RM5,000 untuk 10 orang pemenang terpilih,” katanya.
Dalam pada itu, Lailatun berkata, PR1M yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM1,000 setiap hari untuk seorang pemenang akan tetap berjalan seperti biasa.
Untuk keterangan lanjut, dapatkan Sinar Harian anda esok untuk menyertai peraduan ini.

Ustaz apa hukum 'left group' WhatsApp?



Ustaz Azhar Idrus
Ustaz Azhar Idrus
SHAH ALAM - "Bila kita 'left group' bukan kita putus silaturahim...putus silaturahim ini haram dosa besar, berat sangat itu sebagai contoh kalau putus silaturahim ini ada bapa saudara buang bapa saudara 'left group' bukan sampai tahap begitu," demikian penjelasan pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus ketika ditanya mengenai hukum seseorang yang bertindak 'left group' WhatsApp.
Azhar Idrus berkata, oleh itu jika seseorang itu hendak 'left group' mereka disarankan agar memberitahu terlebih dahulu agar tidak menimbulkan sebarang andaian yang negatif.
"'Left group' ini ada pelbagai alasan, kadang-kadang sebab kita tidak suka keadaan orang yang berbual dalam itu, kadang-kadang kita rasa grup itu tiada faedah, dan kadang-kadang terlalu banyak grup.
"Cuma sebaik-baiknya kalau kita tidak nyatakan sebab biarlah orang tahu sebabnya, bila orang sudah tahu mereka tidak tertanya-tanya... Bila kita nak keluar minta maaf, nyatakan sebab, jadi boleh 'left group' tiada masalah," katanya  ketika menjadi panel dalam Program Bersama Ustaz Azhar Idrus, Aku, Ramadan dan Facebook  di Dewan Sultan Muhammad ke V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 Shah Alam.
Dalam pada itu, Azhar Idrus menyarankan agar pengguna media sosial menggunakan platform teknologi itu,  untuk menyebarkan dakwah dan perkara-perkara yang baik melaluinya.
"Bukan perkongsian hadis dan dakwah-dakwah sahaja, perkongsian tentang ilmu semasa seperti 'bagaimana untuk memasak dengan baik' juga boleh dikongsi di media sosial," katanya.

Koperal polis berhati mulia jadi perhatian



Koperal polis berhati mulia jadi perhatian
Koperal Ropi dilihat membantu lelaki OKU berkenaan untuk membonceng motosikalnya.
SHAH ALAM - Seorang anggota polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal mula menjadi viral di laman sosial selepas tindakannya membantu seorang lelaki kurang upaya (OKU) ketika sedang membat rondaan tersebar di media sosial.
Menerusi foto yang disebarkan tersebut, anggota polis berkenaan yang dikenali sebagai Koperal Ropi daripada Balai Polis Taman Tun Dr Ismail dilihat membantu lelaki OKU berkenaan untuk membonceng motosikalnya.
Tindakan Koperal Ropi tersebut turut mendapat perhatian daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar setelah beliau turut memuat naik foto berkenaan di laman sosial Facebooknya hari ini.
“Syabas Koperal Ropi dari Balai Polis Taman Tun Dr Ismail yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal kerana membantu seorang lelaki kurang upaya membonceng motosikal beliau semasa sedang membuat rondaan,” tulisnya.
Dalam pada itu, tindakan Koperal Ropi tersebut turut mendapat pujian daripada netizen di laman sosial.
Menurut seorang pengguna Facebook, Zahril Afiez berkata, “Tahniah!!!! Semoga Allah membalas jasa baik tuan polis,” tulisnya.
Selain itu, seorang pengguna Facebook lain, Shhaffieq Zaid berkata, “Polis macam ni kita mahu..boleh bagi award kat polis ni...biar dia tak mintak pun,” tulisnya.

Sunday, May 29, 2016

Cita Citata Rakam Lagu Dangdut Di Amerika Syarikat



Cita Citata.
SUBANG JAYA: Penyanyi Cita Citata bakal bekerjasama dengan beberapa komposer terkenal Amerika Syarikat bagi merakamkan lima buah lagu terbaharunya pada Ogos depan.

Cita atau nama sebenarnya Cita Rahayu, 22, berkata, dia menganggap peluang diberikan oleh pihak Yonder Music itu adalah satu pencapaian besar dalam kariernya untuk mengangkat muzik dangdut ke pasaran global.

"Alhamdulillah saya pada awalnya rasa seperti tidak percaya dengan peluang diberikan oleh pihak Yonder Music dan saya bakal menjadi artis dangdut pertama yang akan merakamkan lagu dangdut di Amerika Syarikat.

"Saya masih menanti lagu-lagu yang bakal dirakamkan dan pada masa yang sama berasa gementar kerana ini peluang saya untuk cuba menembusi pasaran global," katanya.

Cita berkata demikian ketika ditemui pada sidang media siri konsert jelajahnya yang dibawa oleh Yonder Music dan Xpax di sini, Sabtu.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Sakitnya Tuh Di sini itu bakal mengadakan konsert penutup di Johor Baru pada Ahad (hari ini) di Plaza Angsana.

Cita terdahulu mengadakan konsert di Ipoh, Perak dan Petaling Jaya.

Dalam pada itu, Cita berkata, walaupun dia bakal merakamkan lagu ciptaan komposer antarabangsa namun dia akan memastikan lagu-lagu itu nanti masih mengekalkan elemen dangdut.

Malah katanya, ketika di Amerika nanti dia akan mengadakan aktiviti promosi dan merakamkan muzik video bagi lagu terbaharunya.

"Apa yang saya diberitahu lagu-lagu yang bakal dirakamkan nanti masih irama dangdut tetapi mungkin ada penambahan elemen hip hop atau pun pop untuk memberi citarasa antarabangsa.

"Bagaimanapun saya ingin mengekalkan identiti saya sebagai penyanyi dangdut dan membawa muzik nusantara ini dikenali di seluruh dunia," jelasnya.