|
"APA yang berlaku antara kami dan Anzalna Nasir tidak perlu dipanjangkan. Semuanya telah selesai," tutur Izzue Islam sewaktu diminta untuk memberikan penjelasan terhadap sengketa yang tercetus antara dia, isterinya dan pelakon itu sewaktu dia sedang menjalani penggambaran untuk drama bersiri Aku Isterinya beberapa bulan lalu.
Ketika berkesempatan bertemu dengannya usai persembahan pentas bersama kumpulan Forteen di Life Center, Kuala Lumpur baru-baru ini, Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan menjelaskan, sikap profesionalisme perlu ada bagi menjamin kelangsungannya sebagai seorang pelakon dalam bidang yang mula diceburinya sejak tahun 2011 itu.
"Sebagai seorang pelakon, saya perlu profesional dalam mendukung tanggungjawab yang telah diberikan. Tidak molek rasanya jika kami berdua dilihat terus memanjangkan perselisihan ini.
"Lebih-lebih lagi apabila kami berdua mungkin akan bekerjasama dalam satu penerbitan drama atau filem lain pada masa akan datang," ujarnya.
Menyorot kembali kisah tersebut, Izzue dan Anzalna dikatakan bermasam muka ketika berada di lokasi penggambaran akibat sifat cemburu isterinya, Nurinafilah Waharudin, 32, yang melarang dia melakonkan adegan intim bersama.
Malah, kelibat Nurinafilah atau lebih mesra dipanggil Awin Nurin yang sering berada di lokasi penggambaran bersama Izzue juga turut menyebabkan suasana pada waktu itu bertambah canggung.
Tidak mudah melatah dengan pertelingkahan dingin tersebut, Awin berkata, walaupun dia merupakan isteri kepada aktor yang mula meningkat naik menerusi drama berjudul Gemilang itu, namun tanggungjawab yang dipikul sebagai seorang pengurus menjadi keutamaan bagi dirinya.
Pengurus
"Saya menguruskan kerjaya Izzue sebelum kami mendirikan rumah tangga lagi. Seperti semua sedia maklum, apa sahaja yang berkaitan dengan kerjayanya perlu melalui saya terlebih dahulu.
"Jika terdapat babak yang intim mahupun terlebih romantis, sudah pasti saya akan tahu. Jadi, mustahil pula saya berasa cemburu," ujar Nurinafilah atau lebih mesra disapa Awin.
|
Pada masa yang sama, Awin memberi- tahu, menemani Izzue di lokasi penggamba- ran merupakan salah satu tanggungjawab yang wajib baginya saban hari.
"Saya memang mengikutinya ke setiap lokasi penggambaran. Tugas saya masih sama seperti dahulu. Apa yang berbeza ialah saya kini bergelar isteri kepada Izzue Islam," ujarnya lagi.
Sejak isu tersebut timbul, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2 Jun tahun lalu itu lebih selesa mengambil langkah untuk berdiam diri. Kata Awin, ianya perlu bagi menjaga hubungan baik sesama mereka pada masa akan datang.
"Kami memang gemar mengamalkan sikap sebegitu. Apa yang salah, kami perbaiki bersama dan apa yang benar, kami terima dengan lapang dada. Hubungan jangka masa panjang itu lebih penting," ujar Awin.
Tambah Awin, apa yang berlaku setakat ini memberikan banyak pengajaran kepadanya dan Izzue dalam melewati hari-hari yang mendatang sebagai pasangan suami isteri.
"Secara jujur, perkara seperti ini banyak memberikan kesedaran kepada kami supaya menjadi lebih matang dalam menyelesaikan masalah," ulasnya.
Kawan baik
Melanjutkan perbualan pada petang itu, Izzue yang pernah menjulang trofi bagi anugerah Pelakon Harapan Terbaik bagi Festival Filem Malaysia ke-25 tahun lalu dilihat tidak putus-putus membutirkan kata-kata pujian untuk isterinya.
Anak jati Kota Bharu, Kelantan itu menyifatkan hubungannya dengan Awin bukan sekadar sebagai sepasang suami isteri, malah lebih kepada dua sahabat baik yang sangat memahami perjalanan karier masing-masing.
"Kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak enam tahun lalu. Ketika itu, dia yang banyak memberi perangsang kepada saya untuk cuba sehabis baik dalam bidang lakonan.
"Di samping mengubah penampilan serta imej saya, dia juga banyak mengajar saya tentang selok-belok dunia hiburan, terutamanya cara yang betul untuk bertutur dalam bahasa Melayu.
"Mana mungkin untuk berlakon jika pelat Kelantan saya masih pekat," ujarnya yang mengakui sukar untuk meninggalkan dialek negeri kelahirannya itu walaupun telah lama berhijrah ke Kuala Lumpur.
Tambah Izzue, walaupun tugas hakiki Awin adalah sebagai seorang isteri tetapi selaku pengurus, dia juga banyak menjalankan tugas sebagai pembantu peribadi ketika dia sedang sibuk bekerja di lokasi penggambaran
"Di lokasi penggambaran, wataknya akan berubah. Daripada seorang isteri dia akan menjalankan tugasnya sebagai pengurus. Urusan skrip drama atau filem sehinggalah soal pakaian, semuanya dijaga dan dijalankan oleh isteri saya," ujar Izzue sambil tersenyum.
|
Anugerah
Berbicara mengenai dunia lakonan, nama Izzue mungkin sudah sedia terkenal sebagai seorang pelakon yang berbakat.
Menerusi drama-drama seperti Jangan Ambil Padang Kami, Duri, Sebenarnya, Saya Isteri Dia dan terbaharu Aku Isterinya, aksi pelakon itu di layar kaca begitu menggamit hati para peminatnya.
Justeru, tidak hairanlah jika dia berani mengambil risiko untuk beraksi di pentas teater di Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur menerusi teater Maduku Kalut pada tahun lalu.
Menariknya, percubaan pertamanya itu bukan sahaja mendapat perhatian umum, malah dia juga turut tercalon dalam 11th Boh Cameronian Arts Awards menerusi kategori Pelakon Utama Teater Terbaik baru-baru ini.
Ujar Izzue, walaupun pulang dengan tangan kosong, penglibatan serta pengalaman yang diraih di atas pentas teater lebih bermakna dalam membentuk dirinya sebagai seorang pelakon.
"Saya begitu terkejut apabila menerima berita tentang pencalonan saya dalam anugerah itu. Sejujurnya, saya berlakon dalam teater Maduku Kalut hanya kerana mahu memperbaiki diri sebagai seorang pelakon, tidak lebih daripada itu.
"Apatah lagi apabila pesaing-pesaing yang turut tercalon merupakan nama-nama besar dalam industri," ujar Izzue sambil menambah, kekalahannya dalam anugerah itu bukanlah penghalang untuk terus berusaha pada masa akan datang.
Izzue juga turut berkata, apa yang penting adalah pengalaman yang dikutip sepanjang penglibatannya dalam pementasan teater tersebut.
"Banyak yang saya belajar sepanjang berlakon di atas pentas teater. Dari segi lontaran vokal sehingga kerjasama yang melibatkan antara pelakon-pelakon.
"Ia bukan sahaja mencabar, malah memberikan saya ruang untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti dalam tempoh masa yang singkat secara langsung," ujarnya lagi.
Mengakui mempunyai rasa 'ketagih' untuk kembali beraksi di atas pentas teater, Izzue turut memberitahu, dia dan ahli kumpulan Forteen yang lain bakal beraksi di Panggung Sari, Istana Budaya pada Jun depan bagi pementasan teater Projek Kahwin.
"Ia bakal menjadi sebuah pementasan istimewa kerana saya dan ahli kumpulan Forteen bakal beraksi bersama-sama dalam teater yang diterbitkan oleh Mask Team itu," ujarnya.
Anak
Sementara itu, bercakap tentang perancangan keluarga, Izzue dan Awin memberitahu, mereka tidak menolak jika dikurniakan cahaya mata dalam masa yang terdekat ini.
"Saya dan Izzue tidak merancang tentang anak. Kami menerima apa sahaja rezeki yang telah Allah SWT tentukan.
"Selain itu, kami juga sudah bersedia jika diberikan rezeki dalam masa yang terdekat ini. Sama-sama kita berdoa," ungkap Awin sambil tersenyum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: