Wednesday, May 7, 2014

Azri lupakan kontroversi Bali

JEJAKA kacak ini tidak putus harapan untuk terus mencari lagu yang sesuai dengan vokalnya.


SEBUT nama Azri Abdullah, pasti tertumpu pada kisah kontroversi aksi panas bersama rakan peserta Akademi Fantasia 9, Lena, di Pulau Bali, Indonesia sekitar tiga tahun lalu.
Benarlah bagai dikata bahawa kontroversi boleh memperkenalkan seseorang individu kepada masyarakat. Semakin buruk kisah dijaja, semakin mencanak nilai popularitinya.
Enggan membuka kembali kisah silam yang dilihat mengarut bagi Azri, kata penyanyi kelahiran Klang, Selangor itu, dia mahu terus melangkah ke depan.
“Kisah kontroversi itu sudah lama padam, biarpun orang akan kenal saya kalau ungkit balik cerita itu. Saya lebih selesa untuk tidak mengulas panjang kerana segalanya sudah diselesaikan tiga tahun lalu.
“Lagipun, cerita itu tidak benar dan Lena pun sudah mempunyai kehidupan peribadi yang baharu bersama keluarganya. Tidak manis kata orang tua-tua,” katanya yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Azri, 27, dan Lena, 24, pernah didakwa melakukan perkara sumbang di pulau peranginan tersebut ketika menjalani penggambaran untuk sebuah program televisyen selepas tamat rancangan Akademi Fantasia 9.
Bagaimanapun, kedua-duanya sudah menjawab situasi salah faham itu dan kontroversi tersebut lenyap daripada terus diperkatakan.
Persis Faizal Tahir
Azri kini membuka lembaran baharu dalam karier nyanyiannya. Selain baru melancarkan single ketiganya, Mahadewi baru-baru ini, dia turut membuka sebuah syarikat pengurusan artis, Eyecon Entertainment yang berpangkalan di Klang, Selangor.
“Saya tidak putus harapan untuk terus mencari lagu yang sesuai dengan vokal saya dan konsep yang kena dengan diri saya supaya puas hati.
“Kalau single terdahulu seperti Niskala dan Amarah lebih kepada lagu dengan jiwa yang memberontak, kali ini saya perlahankan sedikit rentaknya dan lebih bercerita mengenai cinta,” ujarnya mengenai lagu ciptaan Adah Kahir itu.
Sering disamakan dengan penampilan dan vokal Faizal Tahir sejak konsert mingguan Akademi Fantasia 9 lagi, Azri akui yang dia cuba lari daripada terus disamakan dengan penyanyi tersebut.
“Dia (Faizal Tahir) antara penyanyi yang saya kagumi karyanya dan meminati genre yang dibawa. Orang kata saya tiru dia, rasanya suara saya bercakap dan menyanyi sama saja.
“Apa yang membezakan kami adalah emosi dan cara kami membawa diri di pentas. Dia ada karisma tersendiri,” ujarnya yang turut berjinak-jinak dalam dunia lakonan beberapa tahun lalu.
Tiga pengurusan
Yakin dengan pengalaman yang ditimba selepas tiga tahun bergelar artis, penubuhan syarikat baharunya, Eyecon Entertaiment awal tahun ini adalah bukti dia serius dalam kariernya.
“Lebih selesa sebenarnya menguruskan diri sendiri dan penubuhan syarikat ini lebih kepada memfokuskan kerjaya diri sendiri. Apabila sudah stabil, saya mungkin akan menguruskan artis lain pula.
“Syarikat ini ditubuhkan atas usaha saya sendiri. Saya kumpul sedikit demi sedikit duit persembahan nyanyian untuk membuka syarikat ini dan Alhamdulillah setakat ini berjalan lancar,” jelas anggota kumpulan Breakfast Band itu.
Selepas tamat kontrak bersama Astro, Azri bernaung di bawah syarikat pengurusan Beaming Starz selama setahun sebelum singgah ke Runaway Production tahun lalu.
Bersama Beaming Starz single keduanya, Amarah dilancarkan manakala Runaway Production menerbitkan single ketiganya, Goodbye Goodbye yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Sementara itu, Azri kini sedang dalam proses mendapatkan sosok tubuh yang ideal sebagai salah satu strategi pemasaran kerjayanya.
“Lebih setahun saya berulang-alik ke gimnasium untuk mendapatkan bentuk badan yang diidamkan. Sebagai selebriti, rasanya ini langkah pemasaran paling proaktif. Ini diri saya yang baharu,” simpulnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: