Ahmad Husni Zaim Ahmad Suhaimi
Ahmad Husni Zaim dibawa keluar dari kamar bicara selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan dan denda RM1,500.
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dihukum penjara selama 15 bulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam kerana mengugut bapa saudaranya menggunakan sebilah kapak dan merosakkan kereta, Ahad lalu.
Majistret Rozianti Mohamed membuat keputusan tersebut selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh yang berdepan dua pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Husni Zaim Ahmad Suhaimi, 24, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menggunakan sebilah kapak terhadap Mohd Kamal Abdullah, 56, pada 4 November, jam 1 tengah hari di Bukit Besar.
Bagi kesalahan itu, dia dihukum penjara selama 12 bulan dan denda RM1,000 atau tambahan dua penjara lagi jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Pertuduhan kedua pula, Ahmad Husni Zaim turut didakwa melakukan perbuatan khianat iaitu dengan membaling bata ke arah sebuah kereta Toyota Vios milik Hazliana Razak, 36, hingga menyebabkan wanita itu kerugian sebanyak RM500.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 November lalu jam 10 pagi di sebuah rumah di Jalan Ibrahim, Bukit Besar dan dia dihukum penjara selama tiga bulan serta denda RM500 atau tambahan penjara sebulan jika gagal lunaskan denda.
Berdasarkan fakta kes, semasa adik ipar pengadu berada di rumah pada jam 10 pagi, Ahmad Husni Zaim telah meminta wang daripada adik ipar pengadu, namun tidak dihiraukan.
Dengan rasa tidak puas hati, tertuduh telah mengambil seketul bata dan melemparkan bata tersebut ke kereta Toyota Vios hingga menyebabkan bonet belakang kenderaan berkenaan kemek.
Tiga jam kemudian, tertuduh telah datang ke rumah pengadu dan meminta wang daripada abang pengadu yang merupakan orang kurang upaya (OKU) tidak mampu berjalan.
Ahmad Husni Zaim secara tiba-tiba menuju ke dapur dan mengambil sebilah kapak dan menghentak senjata itu di atas meja luar rumah hingga mendatangkan ketakutan kepada abang pengadu.
Bimbang diapa-apakan, abang pengadu akhirnya memberikan wang sebanyak RM6 kepada Ahmad Husni Zaim sebelum tertuduh berlalu pergi. Tertuduh kemudian ditahan polis pada jam 9.12 malam keesokan hari.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainuddin Abd Ghani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.