Saturday, November 17, 2012

Tolak label artis bermasalah


EMI SUFFIAN (lima dari kiri) bersama barisan pelakon drama bersiri arahannya, Cinta Itu Milikku.


MENYUSULI perjalanan tragis kisah Julia menerusi drama rantaian menerusi slot Akasia TV3, buah tangan terbaharu arahan Emi Suffian Sabhe, Cinta Itu Milikku mengisi ruang waktu pukul 7 malam setiap hari Isnin hingga Khamis.
Drama yang telah mula disiarkan di kaca televisyen sejak 12 November lalu itu membariskan bintang-bintang baharu tempatan Emma Maembong, Fazreen Rafi, Erry Putra, Ana Dahlia dan Karl Shafek sebagai teraju utama.
Selaku pengarah drama 24 episod, cabaran utama selain menggalas tanggungjawab rating slot Akasia yang sentiasa mendapat jumlah penonton paling tinggi, dia mengakui berdepan cabaran daripada segi kreativiti lokasi.
“Drama ini banyak tertumpu di latar tempat yang sama dalam banyak plot iaitu di sebuah kediaman mewah dan faktor itu yang sebenarnya banyak menguji keupayaan kami mencari sudut pandangan berbeza agar tidak membosankan.
“Sampai ada satu tahap kami turut membuat penggambaran di dalam tandas untuk beberapa babak,” ujar Emi Suffian yang ditemui ketika sesi ramah mesra drama Cinta Itu Milikku di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Cinta Itu Milikku mengisahkan Rania (Emma Maembong) iaitu anak kedua daripada tiga beradik yang bercinta dengan Zafril (Fazreen Rafi) namun, hubungan itu tidak direstui oleh belas tunang Zafril iaitu Dini (Ana Dahlia) kerana beranggapan Rania telah merampas haknya.
Dini mula menyimpan dendam sehingga sanggup berkahwin dengan Ridzuan (Karl Shafek) iaitu adik kepada Zafril semata-mata untuk mendekati keluarga itu.
Malang tidak diduga apabila Zafril terkorban dalam nahas kapal terbang dan hal itu menyebabkan Rania berkahwin dengan doktor peribadi keluarganya, Doktor Shafiq (Erry Putra). Jalan cerita menjadi lebih kompleks apabila Zafril sebenarnya masih hidup.
Berkongsi pengalaman berlakon bersama beberapa nama besar industri antaranya Datuk Aziz Singah, Liza Abdullah, Mustapha Kamal dan Ridzuan Hashim, pelakon muda Emma Maembong meletakkan harapan tinggi terhadap drama pertama yang menampilkan dirinya untuk watak utama itu.
“Takut, gemuruh dan teruja semua bercampur-baur sekarang. Saya menantikan reaksi penonton menerusi lakonan saya sebagai watak utama iaitu Rania.
“Saya masih mencuba untuk melakukan yang terbaik dan pastinya penonton akan meletakkan harapan tinggi terhadap slot Akasia ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, Emma yang baru-baru ini dilanda beberapa kontroversi antaranya masalah disiplin dan gambar-gambar sosial bersama teman lelakinya menjelaskan dia enggan dilabelkan sebagai seorang pelakon bermasalah apatah lagi mencipta perhatian menerusi kontroversi murahan.
“Saya tidak mahu naik disebabkan kontroversi yang memalukan atau boleh menjatuhkan maruah saya dan keluarga. Saya akui terdapat khilaf dalam hidup saya sebelum bergelar pelakon tapi biarlah perkara itu tidak dibincangkan lagi sampai sekarang.
“Namun, saya anggap itu semua cabaran untuk menjadi survival dalam industri ini. Masing-masing akan cuba melepaskan diri sendiri dan saya mengambil itu semua sebagai pengalaman baharu,” katanya yang berjanji untuk menjaga diri, sikap dan tutur kata sebagai artis baharu.
Emma dalam perkembangan lain akan memulakan penggambaran sebuah filem arahan Ahmad Idham yang masih belum dimaklumkan judulnya tidak lama lagi.
Cinta Itu Milikku yang diterbitkan oleh Orangetree Production itu kini ditayangkan setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam di TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: