|
SUDAH 25 tahun bergelar tukang jahit di Taman Bukit Mewah, Kajang, Selangor, Mullaichram Ramakrishnan, 49, melihat trend berfesyen dalam kalangan masyarakat India semakin berubah.
Jika dahulu orang lebih gemar membeli baju siap, sekarang biasanya orang akan membeli kain sahaja dan menghantarnya untuk dijahit.
Akui wanita yang mesra dengan panggilan Mullai itu, trend berkenaan yang semakin ketara sejak lima tahun lalu, sudah tentunya didorong oleh kuasa berbelanja atau taraf hidup yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat hari ini.
Hari ini, bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi Mullai sekiranya seorang pelanggan wanita akan datang ke kedainya dengan dua atau tiga pasang kain untuk dibuat blaus sari dan sut punjabi.
"Tahun ini sebagai contoh, ada seorang pelanggan datang dengan tujuh pasang kain untuk dijahit," katanya menggambarkan kesibukannya sebagai tukang jahit sempena Deepavali pada tahun ini.
Sejak lebih satu setengah bulan lalu, Mullai akan menghabiskan masa hampir 13 jam sehari hanya untuk memotong dan menjahit baju yang ditempah pelanggan. Dia hanya mengambil cuti pada hari Ahad untuk berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga.
"Saya berhenti menerima tempahan baju sejak sebulan lalu kerana terlalu banyak baju untuk disiapkan. Berbanding tahun lepas, tahun ini tidak menang tangan saya dibuatnya kerana menerima tempahan hampir dua kali ganda," kata Mullai yang akui mempunyai lebih 100 pelanggan tetap.
Cita rasa tinggi
Bercerita lanjut mengenai trend fesyen sempena Pesta Cahaya, katanya pelanggan hari ini mempunyai cita rasa yang jauh lebih tinggi berbanding apa yang kita saksikan di kaca televisyen daripada filem-filem Tamil.
"Mungkin kerana kita terdedah kepada filem Bollywood, Melayu dan Barat, ia memberikan pelanggan dan tukang jahit pelbagai idea dan kelainan," kata Mullai.
Jelasnya, bagaimanapun fesyen Bollywood dilihat sangat ketara apabila pelanggan tempatan gemarkan potongan seksi mengikut bentuk badan, banyak jemeki dan manik selain berwarna terang.
Untuk sehelai blaus sari, tukang jahit biasanya mengambil upah antara RM30 hingga RM35 mengikut rekaan manakala untuk sut Punjabi harganya boleh mencecah sehingga RM70.
Bagi adik-beradik, M. Chandrasuriyah, 34 dan M. Chandrakalai, 33, yang pada asalnya menjahit di rumah, kesungguhan untuk mendalami teknik jahitan dan perniagaan menyebabkan mereka kini memilih untuk bekerja di bawah seorang pemilik kedai jahit.
"Sebenarnya, bekerja menjahit dari rumah atau di kedai, sama sahaja. Mungkin di kedai, anda terikat dengan majikan, tetapi saya berpendapat ia selamat dan berpotensi mendapat lebih ramai pelanggan," kata mereka berdua yang bekerja di sebuah kedai menjahit di Taman Kinrara, Puchong, Selangor.
Lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan seperti Deepavali, mereka yang lebih senang dengan panggilan Suriyah dan Kalai begitu sibuk melayan pelanggan dan menjahit baju sedia pakai. Kedai jahit tersebut mula menerima tempahan untuk Deepavali sejak lebih dua bulan lalu.
"Ada seorang pelanggan kami dari Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini, singgah pada awal pagi sebelum kedai dibuka dan tinggalkan satu bungkusan di anak tangga. Apabila kami buka ikatan, ada kain siap dan kain untuk dijahit. Pagi yang sama, pelanggan itu menelefon meminta kami menjahit kain mengikut saiz kain ukur yang ditinggalkan," katanya merujuk kepada pelanggan tetap mereka itu.
Dalam keadaan tertentu, pelanggan akan mendesak dan ia menyebabkan dua beradik itu tiada pilihan lain. Bukan kerana wang, tetapi tempahan itu diterima juga kerana jalinan hubungan dengan pelanggan yang sudah terjalin sekian lama.
Semangat berkobar
Kedua-dua beradik itu memulakan bisnes menjahit dari rumah di kediaman ibu mereka, di Taman Kinrara sejak tahun 2007 dengan pengetahuan menjahit yang agak terhad. Kalai pernah menghadiri kelas menjahit tetapi mampu belajar selama dua bulan.
"Tidak lama selepas itu saya ke India untuk tujuan bercuti. Kembali dari India, melihat fesyen di sana yang sangat meriah, niat untuk menjahit kembali berkobar-kobar," katanya yang terpengaruh dengan fesyen dan trend pakaian di India.
Ceritanya lagi, demi menambahkan ilmu jahitan ketika itu, dia bekerja di sebuah kedai jahit di Puchong dengan gaji bulanan hanya RM450.
"Memang agak sedikit upah yang diberikan, tetapi demi memahirkan diri dalam bidang jahitan saya tidak kisah," katanya yang menimba ilmu di situ hampir setahun.
Berbeza cerita dengan adiknya, Suriyah pula mempunyai kisah berbeza dalam mendalami ilmu jahitan. Tidak mengambil kursus di mana-mana kolej, dia sebaliknya belajar memotong kain dan menjahit dengan seorang mak cik keturunan Cina selama beberapa bulan.
Berkat ilmu itulah, kedua-dua beradik berkenaan kemudian nekad mengambil upah menjahit baju dari rumah sebelum bersama-sama bekerja dengan sebuah kedai jahit.
"Lazimnya, menjelang musim perayaan, saya akan memotong kain dan Kalai akan menjahit. Itu rutin kami," kata Suriyah.
|
|
Banyak tempahan
Kedua-dua mereka memberitahu menjelangnya musim perayaan, dan diikuti musim perkahwinan selepas itu, mereka berdua pernah menjahit sehingga lapan pasang kain sehari.
"Biasanya kami menjahit sekitar tiga pasang kain sehari. Masa juga banyak diluangkan apabila berhadapan dengan pelanggan. Ada pelanggan yang akan meluangkan masa sehingga beberapa jam di kedai bukan sahaja mengukur dan menempah baju malah berbual mengenai pelbagai hal lain," kata Suriyah sambil tergelak apabila ditanya tentang cabaran dalam bidang itu.
Mengimbau mengenai cabaran beberapa tahun sebagai penjahit, Kalai dan Suriyah memberitahu, mereka pernah didatangi pelanggan yang mahu baju blaus sarinya disiapkan dalam tempoh masa satu jam. Pelanggan itu sanggup membayar harga dua kali ganda agar permintaannya ditunaikan.
Selain itu, ada juga pelanggan yang membawa kain yang sudah 'dirosakkan' oleh tukang jahit terdahulu. Sambil mengeluh Kalai mengakui, ia satu kerja yang sangat rumit.
"Tetapi, oleh kerana terdesak, pelanggan sanggup bayar harga penuh bagi menjahit kain yang hanya perlu diperbaiki," kata Kalai.
Menyentuh mengenai kebanjiran tukang jahit dari India, Kali memberitahu, ia berlaku kerana tidak ramai dalam kalangan wanita Malaysia yang gemar menceburi bidang itu.
"Tukang jahit dari India didekati kerana pelanggan tiada pilihan mendapatkan tukang jahit tempatan. Sebenarnya, bagi kebanyakan pelanggan, pilihan utama ialah tukang jahit tempatan kerana selain soal kepercayaan, tukang jahit Malaysia lebih peka dengan rekaan dan trend semasa," ulasnya.
Bagi seorang pelanggan, Mitra Devan, 40, tukang jahit tempatan mempunyai idea yang segar mengenai fesyen. Mitra yang juga seorang penjual baju tradisional India seperti kurtha, kurthi dan salwar kameez berkata, dia akan menghantar kain itu kepada dua beradik tersebut untuk menjahit baju-baju separuh siapnya.
"Saya menghantar lebih 100 kain kepada mereka. Ini tidak termasuk kain peribadi saya, lazimnya blaus sari dan sut Punjabi. Menjelang musim Deepavali, jumlah tempahan saya lebih dua kali ganda. Saya amat berpuas hati kerana jahitan mereka selalu menepati kehendak saya," kata Mitra juga dari Puchong yang mengenali kedua-dua tukang jahit itu sejak tahun 2007.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: