Saturday, November 3, 2012

'Saya jadi alat dendamnya kepada bekas isteri'

SIFAT berdendam membawa musibah dalam hidup suami isteri. Jika tidak dikawal, sifat itu akan menghancurkan impian pasangan suami isteri untuk hidup bersama hingga ke akhir hayat.
Demikian mukadimah kisah minggu ini yang ingin saya kongsi dengan pembaca. Ia dialami sendiri oleh seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Asmira (bukan nama sebenar).
Apa yang berlaku seterusnya? Kita ikuti cerita Asmira.
"Saya berusia lewat 20-an, bekerja sebagai pegawai di sebuah bank. Saya mempunyai seorang teman lelaki bernama Megat (bukan nama sebenar).
"Perkenalan kami berlaku secara kebetulan dan tidak dirancang. Macam cerita Melayu dulu-dulu, ibarat pantun, sapu tangan jatuh ke tangan, dalam tangan ada bunga, tepuk tangan terasa tangan, dalam tangan tiada yang berpunya.... Indah bait-bait ayat yang membuka lambaran perkenalan kami.
"Mungkin hati seorang wanita mudah terusik dengan madah-madah dan perhatian yang ditunjukkan. Tiada apa yang perlu dicurigai dan ketika itu mungkin Megat lelaki yang paling sempurna di mata saya.
"Apabila saya tanya, kenapa dia masih keseorangan, jawapannya, 'saya belum berjumpa yang berkenan di hati dan sedang mencari yang serasi dan boleh dijadikan suri hidup.
"Pengakuan Megat membolehkan saya terus berkawan dengannya kerana dia tidak 'terikat' dengan sesiapa yang istimewa. Pengalamannya yang pernah bertugas di luar negara sentiasa menjadi bahan bualan antara kami. Kisah-kisah silamnya juga dikongsi bersama untuk mengimbau kembali nostalgia yang terpahat dan terbuku di sanubarinya.
"Menurut Megat, dia bertugas hampir 10 tahun di luar negara. Di sana, dia berkenalan dengan gadis idaman dan dipendekkan cerita mereka bernikah di luar negara. Katanya, pernikahan mereka ringkas sahaja tidak seperti di tanah air yang meriah dan terikat dengan adat.
"Masuk tahun kedua, mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang kini berusia sembilan tahun. Ceritanya mereka bahagia dan tiada masalah yang merangkumi adat dan budaya kerana isterinya juga rakyat Malaysia.
"Setelah tamat tempoh bertugas di luar negara, mereka kembali ke tanah air, dan di sinilah segala yang tidak diduga terjadi. Isterinya Erin (bukan nama sebenar) kembali ke pangkuan kekasih lamanya. Kata Megat, dengan hati yang sangat berat, isterinya dilepaskan.
"Jika diturutkan hati...mati dan jika diturutkan kata... binasa, tetapi dia terpaksa akur dengan suratan takdir setelah gagal untuk menyelamatkannya. Itu kata Megat. Mereka mengambil giliran seperti yang telah dipersetujui bersama untuk menjaga anak.
"Dalam sibuk bercerita tentang dirinya, tiba-tiba dia bertanya saya, Cik Asmira masih belum berpunya ke? Saya terkedu seketika. Tapi dia inginkan kepastian untuk mahu lebih mengenali saya.
"Lalu saya berterus terang yang saya ditinggalkan tanpa berita, sehingga kini orang yang saya ingin sandarkan harapan hilang begitu sahaja, mungkin dia telah berubah hati atau telah bernikah.
"Lalu kata Megat, nasib kita serupa sambil menghulurkan kadnya dan berkata, Cik Asmira boleh menghubungi saya bila-bila masa sahaja. Terima kasih kerana sudi berkawan dengan saya.
"Selepas pertemuan itu, kami semakin kerap berjumpa dan seterusnya menjadi intim bagaikan merpati dua sejoli. Saya tidak syak apa-apa dengan niat Megat kerana percaya dia ikhlas dalam perhubungan kami.
"Sayangnya tekaan saya meleset, Megat bukan lelaki yang boleh saya sandarkan harapan. Hebat permainannya mengalahkan ahli silap mata yang bijak memukau penonton sehingga sukar untuk mengesan segala kepalsuan.
"Berjanji macam-macam tetapi semuanya hampa. Apabila bercakap mengalahkan ahli pidato, semua fakta dia tahu. Sayangnya dia seorang pendendam. Sampai bila harus sandiwara ini berterusan? Saya mula sedar sikap buruk Megat setelah enam bulan kami berkawan.
"Setiap kali keluar, saya yang keluarkan belanja, dia memberi pelbagai alasan tak bawa duit, tertinggal dalam kereta dan macam-macam lagi. Banyak lagi sikapnya yang saya nampak hanya memperalatkan saya.
"Akhirnya saya mula sedar yang dia menggunakan saya untuk membalas dendam terhadap bekas isterinya yang berlaku curang kepadanya.
"Inikah lelaki idaman aku? Selalu saya bertanya dalam hati. Saya mula sedar diri diperalatkan. Masih belum terlewat untuk bertindak meninggalkan Megat yang pandai menjerat mangsa. Lalu saya meminta untuk mengundur diri dengan alasan tiada keserasian antara kami.
"Keputusan saya telah menyelamatkan diri saya daripada menjadi mangsa seorang pendendam. Megat telah meracuni fikiran saya untuk melupakan hasrat bernikah. Katanya, pernikahan di era ini tiada jaminan untuk hidup bahagia, kesemuanya hanya palsu dan zalim.
"Mazhab apa yang Megat anuti, yang halal bertukar menjadi sebaliknya. Fahaman dan gaya hidup yang songsang seperti inilah yang akan meruntuhkan moral. Orang yang menganiaya dirinya sendiri dan diri orang lain adalah orang yang menarik dirinya kepada kebinasaan di dunia dan di akhirat.
"Menyedari tindakan saya untuk berpisah, Megat mula buat hal, macam-macam yang dia buat terhadap saya. Dia ganggu saya di pejabat, dia datang ke rumah dan ugut saya.
"Dia mula sedar akan dosa yang diciptanya kerana dendamnya terhadap bekas isterinya dilepaskan kepada saya. Puas dia merayu dan meminta maaf, tapi saya sudah tawar hati. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Lagipun mengenali dia dalam masa enam bulan, saya dapati dia seorang yang baran, tidak hairanlah kenapa isterinya tinggalkan dia.
"Saya cuba memujuknya supaya menerima keadaan dan kami tiada jodoh. Mulanya dia tidak boleh terima, lama-kelamaan dia kembali sedar kesilapannya, itu pun setelah saya mengaku telah bertunang.
"Walaupun itu tidak benar tetapi saya bersyukur kerana dia faham keadaan saya. Lagipun kami tidak bercinta dan saya tidak pernah memberi harapan apa-apa kepadanya. Kami sekadar berkawan.
"Apa pun saya bersyukur kerana saya tidak berjanji apa-apa kepadanya. Memang perempuan itu lemah, tetapi dengan keimanan yang ada pada saya, saya bersyukur kerana berjaya melepaskan diri daripada masalah yang dicetuskan oleh Megat.
"Saya berdoa agar dia bahagia dengan kehidupannya dan tidak lagi mengganggu saya.
"Syukur sangat-sangat kerana setelah tiga bulan berpisah, dia tidak mengganggu saya. Pun begitu, saya tetap berhati-hati dan berusaha mengelak daripada bertemu dengannya.
"Mudah-mudahan Allah melindungi saya dan memberi kebahagiaan untuk saya pada masa mendatang,'' begitu kata Asmira.
Apa yang berlaku kepada Asmira perlu diberi perhatian oleh wanita di luar sana supaya lebih berhati-hati dalam memilih calon suami.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: