Sunday, November 18, 2012

Sako bebas merayap dalam rumah



JIKA pengacara Dangerous Encounters di saluran Nat Geo Wild, Dr. Brady Barr terkenal dengan kebolehannya menjinakkan semua spesies reptilia, kepakaran Phang Joon Siong, 52, melayan ular sawa yang rupa dan saiznya seakan-akan ular anakonda juga tidak kurang hebatnya.
Joon Siong boleh disamakan dengan Barr, pakar reptilia dari Indiana, Amerika Syarikat, kerana dia turut mempunyai pengetahuan saintifik dan minat yang mendalam terhadap haiwan eksotik berbahaya.
Percaya atau tidak, ahli perniagaan itu memiliki hubungan istimewa dengan ular sawa batik belaannya yang diberi nama Sako. Sako juga dipanggil 'Abang Ular' memandangkan ia sudah dianggap seperti anak kandung Joon Siong sejak 22 tahun lalu.
Malah, bapa kepada empat orang anak yang digelar pakar menjinakkan haiwan eksotik oleh orang ramai itu kadangkala membiarkan Sako yang sepanjang 7 meter dengan berat mencecah 80 kilogram itu bebas 'bermain-main' di dalam rumah mereka yang terletak di Stutong Baru, Kuching, Sarawak.
Bukan omongan kosong kerana ketika penulis datang ke kediamannya baru-baru ini, rumahnya sentiasa dipenuhi pengunjung. Mereka juga kelihatan begitu selesa membelai dan bergambar bersama Sako yang bukan sahaja manja bahkan mesra.
Tidak cukup dengan itu, ada pengunjung yang tidak pernah mendekati dan memahami kehidupan sebenar reptlia itu sebelum ini terkejut melihat Joon Siong mencium dan mengusap Sako sambil kepala ular itu diletakkan di tapak tangannya.

KATA Joon Siong, ular akan bertindak agresif semasa bersalin kulit.


Joon Siong juga menunjukkan demonstrasi cara menghadapi seekor ular sawa gergasi seperti Sako yang sedang mengawal sarangnya.
Joon Siong berkata, beliau sentiasa merendah diri meskipun mempunyai pengalaman berdepan dengan reptilia berbadan licin dan bersisik berkenaan.
Bapa kepada empat orang anak itu mengakui pengetahuannya mengenai ular adalah berdasarkan pembacaan selain kecintaannya terhadap haiwan sejak kecil. Semua itu mendorongnya untuk belajar berkomunikasi dengan Sako.
Bercakap
"Selepas memahami Sako dan berkomunikasi dengannya, saya lebih mudah menjaganya. Setakat ini, saya boleh bercakap dengan Sako sahaja dan bukan dengan ular-ular lain memandangkan saya sudah biasa berkomunikasi dengannya.
"Mungkin ramai yang menganggap ia sekadar cakap-cakap kosong, tetapi inilah bakat yang saya ada," katanya kepada penulis.
Mengetahui tidak mustahil dirinya boleh menjadi makanan terbaik ular sawa jantan belaannya itu, Joon Siong memberitahu, dia menyedari ancaman itu.
Katanya, sesiapa sahaja yang membela haiwan oportunis itu sebenarnya terdedah kepada bahaya ditelan hidup-hidup. Ular sawa sering bertindak agresif semasa sebelum mahupun selepas bersalin kulit.
"Namun, bagi saya Sako berbeza daripada ular sawa lain. Ia sangat jinak malah mampu mengenali tuannya. Lebih-lebih lagi ia langsung tidak menunjukkan ekspresi muka seperti sakit, marah dan lapar.
"Sako semakin jinak apabila kerap dibelai dan disentuh. Berdasarkan pengetahuan saya, kehangatan tubuh manusia menjadi salah satu faktor mengapa ular berasa selesa dan manja, bahkan tidak menganggap manusia yang menjadi tuannya sebagai ancaman," ceritanya.
Mengimbas kembali ketika dia mula-mula membela Sako pada tahun 1990, Joon Siong mengakui hatinya berbelah-bahagi untuk meneruskan hasrat itu kerana terlalu sibuk bekerja di sebuah warung selain berdepan masalah kewangan.
Selepas dua bulan membelanya, Joon Siong menyerahkan Sako kepada seorang kawannya.
"Bagaimanapun, empat bulan kemudian warung tempat saya bekerja gempar apabila seekor ular sawa muncul secara tiba-tiba di situ. Tidak sangka, rupa-rupanya ular tersebut adalah Sako yang lari dari rumah rakan saya tadi.
Tidur

AKSI mencium dan membelai ular sawa sudah menjadi kebiasaan ahli keluarga Joon Siong.


"Jadi saya memutuskan untuk membelanya semula. Sejak itu, nasib saya berubah menjadi lebih baik termasuk murah rezeki sehingga mampu memulakan perniagaan sendiri," katanya.
Menurut Joon Siong, dalam tempoh sembilan tahun pertama membela Sako, adakalanya mereka tidur bersama menyebabkan haiwan itu menjadi terlalu jinak kerana sudah kenal dengan bau badan tuannya.
Menjaga Sako tidak sesukar mana kerana ia cuma makan tiga ekor ayam hidup setiap dua minggu.
"Tetapi saya juga perlu menyediakan sangkar besar sebagai kediamannya. Sako tahu had kawasannya. Jika dia bermain-main hingga ke pintu, ia pasti berundur sendiri seolah-olah tahu kawasan di luar rumah tidak selamat untuknya," katanya.
Perkara paling menarik perhatian ialah apabila mendengar cerita Joon Siong yang mengambil inisiatif untuk tidak mengurung haiwan kesayangannya itu ketika dia berada di rumah.
Katanya, haiwan bukan untuk dikurung kerana keadaan itu akan menyebabkanya mengalami tekanan.
"Seperti manusia, apabila tertekan, haiwan berkenaan tidak akan makan dan menjadi murung. Justeru, haiwan peliharaan saya bebas di rumah. Sako ada bilik sendiri. Kadangkala mereka akan dibiarkan bebas di ruang tamu.
"Paling lucu, anjing dan kucing peliharaan saya yang nakal suka mengusik Sako. Jadi mereka selalu main sorok-sorok di bawah kerusi," ceritanya.
Selain Sako, Joon Siong juga ada memelihara seekor anak ular sawa yang diberi nama Sa Chiek.
Joon Siong perlu memperbaharui permit untuk memelihara haiwan seperti Sako yang dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Sarawak kepada Jabatan Hutan Sarawak dengan bayaran RM10 setahun.
Selama 22 tahun membela Sako, haiwan itu dipercayai banyak membawa tuah sehingga orang ramai datang menziarahinya setiap hari sambil memberikan derma.

ANAK Joon Siong, Phang Lee Cheng, 13, gemar bermain-main dengan Sako.


Malah, ada beberapa individu mahu membeli Sako dan menawarkan wang tunai sehingga RM10,000 namun dia tidak sekali-kali akan menjualnya.
"Saya pernah menerima tawaran harga yang tinggi daripada peminat ular dari luar negara dua tahun lalu, tetapi saya enggan berbuat demikian semata-mata untuk mendapatkan duit segera.
"Bagi saya, haiwan juga ada perasaan. Saya tidak akan menjualnya kerana saya tidak sampai hati kecuali haiwan itu dibiak untuk dipelihara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: