|
"BERMADU dengan wanita sakitnya sampai ke lulur hati, tapi saya bermadu dengan rakyat, ada sakit, ada nikmat," sebaris dialog yang dilontarkan tersirat makna yang sangat mendalam.
Dilontarkan dengan penuh emosi bersama jiwa teguh oleh pendukung peranan utama Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali iaitu Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja secara puratanya berjaya membawa penonton menyelami perasaan negarawan itu.
Tribute Teater Tun Siti Hasmah: Dari Hati Seorang Perempuan yang telah memulakan pementasan di Istana Budaya Kuala Lumpur pada 9 hingga 19 November memberikan gambaran jelas mengenai kisah isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Feminisme
Bukan saja menampilkan sisi seorang suri kepada pemimpin negara bahkan juga sebagai seorang wanita secara menyeluruh dari sisi kerjaya dan sosial.
Secara tidak langsung, teater biografi itu berjaya mengangkat elemen feminisme atau kebebasan berfikir seseorang wanita secara sosial, gerakan politik dan falsafah moral dengan berkesan.
Sepanjang pementasan berlatarkan era 1950-an hingga kini yang berlangsung selama dua jam itu, hal yang harus diakui teater ini tidak menjemukan malah, pengarah faham untuk menyeimbangkan perjalanan plot demi plot.
Bukan senang sebenarnya untuk mengarah sebuah teater biografi apatah lagi apabila subjek yang ingin ditonjolkan masih hidup.
Pentas dibuka dengan babak Dr. Siti Hasmah pertama kali bersua dengan Dr. Mahathir ketika sedang belajar di King Edward VII College of Medicine dan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Singapura.
Kemudiannya, bibit perkenalan yang menjurus ke arah percintaan dan akhirnya ke jenjang pelamin.
Plot dan set yang seakan sama sebenarnya pernah dipentaskan oleh Teater Muzikal Tun Mahathir sekitar hujung tahun lalu. Tapi, memandangkan peristiwa itu merupakan fakta, pastinya persamaan itu tidak dapat dielakkan.
Babak pasangan itu membuka Klinik Maha di bandar Alor Setar, Kedah juga pernah ditampilkan dalam naskhah teater sebelum ini cuma kali ini dialognya dikurangkan agar tidak terlalu meleret.
Bagaimanapun, kisah Siti Hasmah dihantar ke pedalaman untuk merawat penduduk di sana sebelum ini jarang diketahui ramai. Begitu juga kisahnya berjuang dalam misi perubatan di Iraq.
Plot berakhir melalui babak pengunduran Dr. Mahathir daripada menerajui UMNO yang meletakkan Siti Hasmah sebagai tulang belakang dan sokongan utama suaminya ketika itu.
Teater itu hakikatnya tidak boleh lari daripada huraian watak Dr. Mahathir yang melengkapi peranan Siti Hasmah sebenarnya. Mungkin masih ada nilai-nilai tokoh wanita negara itu yang belum dikupas dengan mendalam.
Jika hanya berkisar kehidupan seorang ikon wanita negara saja pasti tidak cukup, maka disebabkan itu karakter-karakter seperti anak-anak pasangan itu serta kakak kepada Siti Hasmah iaitu Siti Saliha diwujudkan.
Teknikal
Peranan Siti Hasmah ketika muda dilakonkan oleh aktres Lisa Surihani manakala untuk karakter Dr. Mahathir dihidupkan oleh aktor Nazim Othman.
Peralihan zaman menampilkan kedua-dua watak berserta emosi lebih sarat itu diambil alih oleh Eja dan Esma Daniel yang juga sebelum ini pernah melakonkan watak Mahathir dalam pementasan Teater Muzikal Tun Mahathir 1 & 2 tahun sudah.
Jika dilihat dari sudut pemberat elemen muzikal teater tersebut, penonton boleh merasai perasaan dan emosi menerusi pemilihan lagu-lagu syahdu serta mendayu-dayu dalam beberapa babak.
Pasti tidak dapat lari daripada serpihan muzik latar yang penonton biasa dengar daripada telefilem atau drama memandangkan pengarahnya merupakan seorang sutradara drama yang sukses.
Pada awal permulaan plot terutama detik pertemuan dan percintaan Siti Hasmah dan Dr. Mahathir, tarian dan nyanyian membanjiri awal pementasan 30 minit.
Kali ini, penonton berpeluang melihat Lisa Surihani dan Nazim Othman beraksi comel dengan menari dan menyanyi (walaupun sekadar lip sync atau gerakan bibir).
Daripada segi pertukaran prop dan set, secara kasarnya transisi babak ke babak tidak kelam-kabut dan berlangsung dengan sempurna malah, bunyi set bertukar juga ditenggelamkan dengan muzik latar atau dominasi pentas oleh pelakon yang mengalihkan pandangan.
Pujian harus diberikan kepada sistem audio yang jelas dan tidak mencacatkan persembahan memandangkan produksi itu tidak menggunakan ensembel muzik secara langsung. Beberapa montaj juga disusun dengan kemas sepanjang pementasan.
Emosi dan mood karakter tidak dinafikan mampu dizahirkan menerusi permainan lampu yang sempurna, dan ciri itu berjaya merealisasikan beberapa babak penting.
Karakter
Lisa Surihani pertama kali beraksi di pentas teater, melihat arena baharu yang diceburinya sebagai medan menguji kemampuan diri seperti kenyataannya sebelum ini.
Oleh kerana itu, ujian yang ditempuhi oleh Lisa untuk melakonkan watak tokoh wanita yang disegani itu dilalui dengan fasa yang nampak sedikit kekok sebenarnya.
Mungkin pelakon jelita itu tidak biasa menari sambil menyanyi dan adakalanya berlakon, hal itu menampakkan Lisa kaku dan tidak selembut individu asal.
Nazim pula kelihatan selesa. Mendominasi pentas dengan bijaksana, ruang yang seimbang dan emosi yang lengkap.
Menjadi pilihan orang ketiga untuk menggalas peranan utama, Eja bagaimanapun dilihat telah berusaha menyampaikan watak itu sebaik mungkin. Walau tidak sesempurna Erra Fazira yang sebelum ini pernah memainkan watak yang sama.
Bagi Esma Daniel, cabaran dan tanggungjawab untuk sekali lagi membawakan peranan Dr. Mahathir kelihatan amat mudah baginya, dengan bahasa badan, ton suara dan ekspresi yang seakan-akan subjek asal, watak itu berjaya!
Peranan pelakon pembantu lain seperti Siti Saliha (Azizah Mahzan), Anne Abdullah, Radhi Khalid, Syanie, Mahmud Ali Basha, Dira Abu Zahar serta keseluruhan kumpulan pelakon berhasil membawa penonton ke era yang dikehendaki selain berjaya melakonkan peranan masing-masing.
Turut mencuri tumpuan, pengarah teater itu yang turut sama turun padang melakonkan watak setiausaha Dr. Mahathir iaitu Datuk Badariah.
Ralat
Ralat apabila nyanyian beberapa pelakon hanyalah sekadar lip sync sahaja berbanding lebih baik dibuat secara langsung. Seandainya aspek itu sedikit lagi ditumpukan pastinya rasa itu lebih sampai kepada penonton.
Mengutip beberapa pandangan penonton, ada yang beranggapan skrip yang mencerminkan diri seorang Siti Hasmah tidak mencukupi dan hanya beberapa bahagian hidupnya saja yang disingkap.
Pasti ramai yang ingin mengetahui latar belakang keluarga Siti Hasmah termasuk tiga orang adik-beradiknya yang bukan calang-calang nama - Tan Sri Hashim, Tun Ismail dan Datuk Ahmad Razali.
Berdepan dengan pelbagai kekangan pada peringkat awal antaranya pengunduran pengarah asal Adlin Aman Ramlie, pertukaran tarikh sebanyak tiga kali (30 Ogos, 14 September dan 9 November) serta penarikan diri dua pelakon hebat Erra Fazira dan Sofia Jane bukan halangan untuk menampilkan yang terbaik.
Penonton yang berminat boleh mendapatkan tiket bermula dengan harga RM38 hingga RM308 di kaunter tiket Istana Budaya. Pertanyaan lanjut hubungi 03-4026 5558 atau layari www.ticket2u.biz.
Walau apa pun, Tribute Teater Tun Siti Hasmah: Dari Hati Seorang Perempuan berjaya secara keseluruhan dan syabas diucapkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: