Sunday, November 4, 2012

Hasseenah pantang lihat jerawat


BERTUKAR fokus ke bidang rawatan jerawat dan jeragat menjadikan Hasseenah lebih puas dalam memberi khidmatnya kepada pelanggan.


BERDEPAN dengan masalah jerawat serius sehingga muka bengkak-bengkil dek nanah pastinya merisaukan apatah lagi jika keadaan itu mencuri tumpuan mata-mata liar tatkala berada di tempat awam.
“Kalau saya terserempak dengan golongan sebegini, saya jadi tidak sampai hati.
“Pasti saya akan menegurnya, hulurkan kad dan pelawa individu tersebut ke klinik untuk dirawat,” ujar pakar jerawat dan jeragat, Dr. Hasseenah Hassan, 46.
Tabiatnya itu sering mendapat reaksi berbeza daripada anak-anaknya apatah lagi jika mereka keluar bersama.
“Anak-anak sudah masak dengan dengan perangai saya. Bila kami keluar pada hujung minggu, awal-awal lagi mereka ingatkan saya supaya jangan suka-suka menegur muka orang yang berjerawat, barangkali anak-anak segan,” selorohnya.
Berbeza pula dengan suaminya, Mazuki Ibrahim, 46, yang sangat menyokong kerjayanya.
“Kalau saya diam, pasti suami bertanya, tidak kasihankah melihat muka orang yang penuh dengan jerawat itu? Mungkin juga mereka sudah buntu dan tidak tahu harus ke mana untuk dapatkan rawatan.
“Mulanya saya segan juga hendak menegur, takut disalah anggap.
“Lama-kelamaan, selepas melihat kesungguhan suami yang ingin saya membantu golongan berjerawat kronik, saya mula berani menegur dan menghulurkan kad.
“Alhamdulillah, selepas menerima respons positif, saya jadi lebih bersemangat untuk mendekati mereka walaupun ketika berada di tempat awam,” ujar anak kelahiran Kelantan ini.
Berpengalaman lebih 20 tahun sebagai pengamal perubatan bertauliah, Hasseenah percaya, keputusannya untuk bertukar bidang dan membuka klinik sendiri pada tahun 1997 tidak pernah silap.
Malah, graduan Perubatan dari Universiti Sains Malaysia ini optimis bidang rawatan jerawat dan jeragat sebenarnya sangat luas untuk terokai.
“Walaupun kedua-duanya merupakan masalah biasa yang dihadapi oleh kebanyakan orang, namun cara menanganinya berbeza.
“Ramai yang tidak tahu bagaimana cara mengurus jerawat dan jeragat dengan betul sebaliknya menganggap sebotol pembersih muka boleh menyelesaikan semua masalah di muka. Ini persepsi yang perlu diperbetulkan,” katanya yang tidak lagi menjadi pengamal klinik kesihatan awam tetapi lebih menumpukan kepada bidang jerawat dan jeragat.
Impiannya untuk fokus kepada rawatan jerawat direalisasikan dengan penubuhan Klinik Jerawat dan Jeragat pada tahun 2006 di Shah Alam, Selangor.
Pesakit
Sepanjang penubuhan klinik tersebut, beliau telah berjaya membantu seramai lebih 800 pesakit jerawat.
Untuk memantapkan lagi kepakaran beliau dalam kedua-dua bidang rawatan, Hasseenah turut mengikuti beberapa kursus seperti Sijil Dermatologi Kedoktoran Keluarga anjuran Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia dan diploma daripada Akademi Pemulihan dan Perubatan Estetik Amerika (AARAM).
“Selain itu, saya juga banyak mendapat tunjuk ajar daripada bekas pensyarah saya, Dr. Ranjit Singh yang juga seorang pakar kulit di Subang Jaya dan Dr. Ko Chung Beng, seorang pakar kulit dari Klang,” katanya yang melakukan beberapa kajian sendiri mengenai masalah jerawat dan jeragat.
Atas usaha dan kesungguhannya itu, Hasseenah kini bukan sekadar memberi rundingan dan rawatan bahkan beliau sudah berjaya mengeluarkan produk penjagaan, pencegahan serta rawatan bagi masalah jerawat dan jeragat.
“Produk-produk ini dihasilkan menggunakan formula saya sendiri. Untuk memastikan ia benar-benar selamat, saya akan mencuba produk ini terlebih dulu sebelum mengesyorkan pengambilannya kepada pesakit,” katanya.
Selain berkongsi pengalaman dan pengetahuan melalui sesi rundingan dan rawatan, Hasseenah turut menghasilkan buku elektronik berjudul Rahsia Jerawat Terbongkar yang menjelaskan tentang rawatan dan pencegahan jerawat.
“Sejujurnya, tugas saya tidak hanya membersihkan muka pelanggan tetapi meningkatkan keyakinan dalam diri mereka.
“Ada pelanggan yang datang dengan muka bengkak-bengkil kerana nanah jerawat.
“Mereka bukan sahaja malu untuk berdepan dengan orang ramai tetapi terpaksa menanggung kesakitan lebih-lebih lagi apabila nanah tersebut pecah ketika mencuci muka.
“Sesiapa sahaja yang berada dalam keadaan sebegitu pastinya merasa tertekan, enggan melihat cermin, tidak mahu keluar rumah malah ada yang enggan menghadiri temu duga kerja gara-gara tidak yakin dengan penampilan diri.
“Namun, selepas menjalani beberapa siri rawatan dan mereka fokus kepada rejim penjagaan wajah seperti yang disyorkan, keadaan mereka bertambah baik, malah ada yang sudah boleh tersenyum di hadapan kamera. Lapang hati saya,” kata ibu kepada Muhammad ‘Izzat Amir Mazuki dan Nurin Batrisyia Mazuki ini.
Biarpun rutinnya sebagai ibu bekerjaya menuntutnya untuk meluangkan lebih banyak masa di klinik berbanding di rumah, Hasseenah tidak berkompromi tentang waktu hujung minggunya.
“Kalau diikutkan, memang ramai pelanggan yang ingin datang ke klinik pada hujung minggu, tetapi saya juga perlu masa bersama keluarga sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu.
“Tiba sahaja hari Ahad, saya akan jadi isteri, ibu dan suri rumah. Saya akan ke dapur dan mengemas rumah memandangkan kami tidak mempunyai orang gaji.
“Saya juga akan tunggu pembantu rumah datang untuk menggosok baju kami anak beranak. Kalau nak tahu, dalam banyak-banyak kerja rumah, menggosok pakaian adalah kerja yang paling saya tidak suka,” selorohnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: