Sejak tiga tahun lalu penceraian itu dilakukan, Nor Aini Zakariya, 31, berkata, hidupnya kini ibarat seperti digantung tidak bertali.
Menurutnya, lafaz cerai bekas suaminya itu dilakukan bersaksikan ahli keluarganya sendiri dan perkara itu dirujuk untuk mendapatkan kepastian pihak tersebut, namun sehingga kini mereka gagal mengemukakan kesahihannya.
“Perkara itu turut dilakukan di hadapan hakim mengendalikan kes penceraian saya dan kemudian diarahkan membuka kes pengesahan penceraian itu kepada pihak terlibat.
“Sebanyak dua kali saya membuka kes menyelesaikan perkara itu, tetapi surat pengesahan tersebut masih belum dapat dikeluarkan,” katanya.
Katanya, disebabkan terlalu lama, dia bertindak merujuk permohonan pengesahan itu dan mendapati berlaku pertukaran hakim di organisasi tersebut.
“Saya kemudiannya diarahkan hakim tersebut melakukannya sekali lagi, namun perkara itu mendatangkan masalah kerana bekas suami gagal memberikan kerjasama.
“Saya bertindak mengemukakan saksi berhubung kejadian lafaz cerai sebelum itu, tetapi pihak terlibat menyatakan saksi tersebut tidak kuat imannya,” katanya.
Nor Aini berkata, sepatutnya perkara itu perlu dipermudahkan pihak berkenaan bagi menyelesaikan masalah rumah tangganya.
“Oleh itu, saya berharap pihak terlibat dapat menyelesaikannya segera supaya perancangan untuk mendirikan rumah tangga dapat dilakukan sebelum menerima pandangan buruk daripada masyarakat.
“Kalau nak berkahwin di Thailand, ia boleh dilakukan tetapi bakal menimbulkan masalah pula. Sekiranya boleh saya ingin menyelesaikannya dengan cara yang baik,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: