|
PETANG 10 November lalu, Mohammed Ussama Hassan Harara, 16, dan Ahmed Mustafa Khaled Harara, 17, seperti biasa keluar bermain bola sepak di taman permainan berdekatan rumah mereka di Al-Shoja'iya, timur Gaza.
Namun, tidak lama berada di taman itu tiba-tiba kedengaran siren dan jeritan kuat menyuruh mereka menyembunyikan diri.
Tatkala rakan-rakan mereka bertempiaran lari, namun langkah Mohammed Ussama dan Ahmed Mustafa ternyata tidak cukup pantas.
Bedilan meriam tentera Zionis Israel tepat jatuh di taman permainan itu dan meragut nyawa kedua-dua remaja berkenaan.
Berita kematian mereka hanya menjadi bisikan sepi dunia kerana ternyata ia bukanlah satu kisah asing.
Sebelum Mohammed Ussama dan Ahmed Mustafa, sejak tahun 2000 lebih 1,477 kanak-kanak Palestin sudah terbunuh di tangan Tentera Pertahanan Israel (IDF).
Pada 14 November lalu, Hamas melancarkan serangan ke atas Israel sehingga meragut tiga nyawa warga Israel yang merupakan orang awam. Berita tersebut dimainkan oleh media-media Barat pro-Israel. Atas alasan mempertahankan diri, Zionis kembali bermaharajalela sekali gus melancarkan operasi Pillar of Defence.
Namun pada asalnya, segala-galanya berpunca daripada serangan awal Israel yang mengorbankan Ketua Ketenteraan Gaza, Ahmed Jabari.
Sehari sebelum umat Islam menyambut Maal Hijrah, peluru berpandu dan meriam Zionis mula menghujani langit Palestin.
Genap seminggu Israel belum juga menunjukkan rasa belas kasihan. Setakat hari ketujuh kekejaman Israel (Selasa lalu), sudah 100 nyawa orang Palestin kecundang.
Persoalannya, di manakah perikemanusiaan masyarakat antarabangsa, di manakah keadilan untuk orang Palestin dan polis dunia seperti Amerika Syarikat (AS)?
Bagaimanakah dunia boleh menghalalkan dosa-dosa Israel yang sudah menjangkau lebih enam dekad sehinggakan darah-darah orang Palestin sudah tidak bermakna lagi?
Memetik kata-kata Presiden AS, Barack Obama: "Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri dan AS menyokong sepenuhnya tindakan Israel dalam mematahkan serangan yang dilancarkan pihak Hamas."
Mengulas kekejaman terbaharu Israel itu, Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (Just), Dr. Chandra Muzaffar menyatakan, Israel tahu bahawa AS sentiasa menyokong setiap keputusan yang dilaksanakan mereka.
"Walaupun Obama tahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ialah penyokong Mitt Romney yang tewas dalam pilihan raya lalu, beliau masih meletakkan kepercayaan kepada Israel.
"Keadaan ini tidak mengejutkan dunia kerana politik AS sebenarnya dikuasai oleh pihak-pihak asing yang digelar pelobi. Kebanyakan pelobi ini datang daripada kumpulan pro-Israel," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!.
Secara telusnya, penderitaan rakyat Palestin bermula sejak tahun 1946.
Berdasarkan statistik yang diperoleh daripada B'Tselem, sejak tahun 2000 sehingga September 2012, seramai 14,922 warga Palestin telah terkorban. Jumlah itu berbeza dengan kematian yang melibatkan rakyat Israel iaitu sebanyak 1,097 yang kebanyakannya merupakan tentera Israel.
Derita enam dekad
Dosa Israel ternyata bukan hanya membunuh, mereka juga merampas sedikit demi sedikit tanah Palestin, malah menyekat sumber air umat Islam.
Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan pada tahun 1946 Palestin mempunyai keluasan tanah 26,990 kilometer persegi, tetapi hari ini angka itu hanya tinggal 6,220 kilometer persegi (5,860 di Tebing Barat dan 360 kilometer persegi di Gaza).
Berkongsi lebih dekat penderitaan penduduk Palestin, Kosmo! sempat menemu bual Ketua Misi Bantuan Palestin anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, Muhammad Kamarulazizi. Beliau baru pulang ke tanah air Selasa lalu, selepas mengikuti rombongan ke Tebing Barat pada awal November lepas.
Ujarnya, keadaan di Palestin boleh dipecahkan pada dua kategori.
"Bandar-bandar penduduk Palestin kotor dan tidak dibersihkan majlis perbandaran sedangkan mereka membayar cukai yang tinggi. Kami hairan melihat kawasan orang Israel yang jauh lebih teratur dan diselenggara dengan baik walhal perumahan mereka hanya bersebelahan.
"Apa yang pasti, warga Palestin ibarat hidup terbuang di dalam negara sendiri. Lesen perniagaan dikenakan bayaran tinggi dan disebabkan itu ramai dalam kalangan mereka menjalankan urus niaga secara rahsia. Ekonomi dan sosiologi Palestin pada dasarnya diperintah Israel walaupun ia tidak terletak di bawah bidang kuasa mereka.
"Paling ketara ialah agihan bekalan air. Rakyat Palestin tahu pihak Israel akan melakukan sekatan air pada bila-bila masa, jadi setiap rumah menyediakan satu tangki simpanan air sebagai kegunaan pada waktu kecemasan," kongsi Muhammad panjang lebar.
Ujarnya, ketika umat Islam lelaki di seluruh dunia menjalankan ibadat solat Jumaat dengan tenang, warga Palestin berumur 14 hingga 40 tahun pula terpaksa bertarung nyawa bagi menunaikan tanggungjawab tersebut.
Menurut Muhammad, kumpulannya sendiri menyaksikan ketegangan yang berlaku antara orang Palestin dan tentera Israel yang berkawal di luar tembok Masjid al-Aqsa.
Penafian rejim Zionis terhadap orang Palestin yang ingin memasuki masjid menimbulkan kemarahan mereka dan bertindak membaling batu ke arah tentera-tentera tidak berhati perut itu.
Akibatnya, warga Palestin yang bertindak sedemikian ditangkap tanpa diberi ruang membela diri.
Selama sembilan hari di Palestin, rombongan Muhammad turut berkesempatan melawat dua buah sekolah yang terletak di pekarangan masjid al-Aqsa dan Baitulmuqaddis.
Gencatan senjata
"Suasana pembelajaran sama seperti negara lain. Namun, kanak-kanak Palestin perlu melepasi pintu pemeriksaan yang dikawal tentera Israel setiap kali mereka ingin ke sekolah. Ia menunjukkan betapa ketatnya pergerakan rakyat Palestin meskipun berada dalam kawasan sendiri.
"Bagaimanapun, semangat kanak-kanak Palestin dalam memperjuangkan kebangkitan semula negara mereka sangat tinggi," cerita Muhammad.
Daripada 22 negara yang menyertai Liga Arab (termasuk Palestin dan Libya), hampir semua memilih jalan selamat untuk tidak mencetuskan pertikaian dengan Israel.
Mesyuarat dalam kalangan menteri luar negeri ahli Liga Arab yang diadakan pada Sabtu lalu di Kaherah, Mesir tidak mencapai sebarang penyelesaian terhadap penderitaan yang sedang dialami Palestin. Rata-rata bersetuju dengan cadangan gencatan senjata berbanding menentang kekejaman Zionis.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Ahmad Jassim dalam mesyuarat tersebut menyatakan, kesemua negara Arab takut untuk mengeluarkan rancangan konkrit terhadap Palestin kerana mahu menjaga hubungan baik dengan AS dan Israel.
"Sebarang rancangan yang teliti memerlukan keputusan serius yang akan menyinggung Israel dan AS," ujar seorang diplomat Liga Arab pada mesyuarat tersebut.
Kenyataan yang dikeluarkan pegawai rasmi dari Mesir pula secara jelas meneguhkan prinsip mereka untuk membantu dalam pergolakan Palestin. Mesir enggan memulakan sengketa dengan Israel atau AS memandangkan negara itu sedang dalam proses permohonan pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa.
Persoalannya, jika kuasa besar seperti Liga Arab dan PBB hanya mampu melontar pandangan tanpa sebarang tindakan agresif terhadap Israel, mampukah Palestin menamatkan konflik dan membina negara merdeka dengan kaki sendiri?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: