SETIAP anak yang dilahirkan pasti ingin dilihat berjaya dan menjadi insan yang berguna kepada keluarga serta bangsa.
Namun seorang ibu, Salasiah, (bukan nama sebenar) terpaksa menanggung
sengsara apabila tiga daripada empat anaknya terlibat dengan najis
dadah yang akhirnya telah memusnahkan seluruh kehidupan dan keluarganya.
Sudahlah ditinggalkan suami tanpa berita dan nafkah, kerunsingannya
bertambah melihat satu persatu anak-anaknya 'mati' dalam dunia khayalan
ciptaan mereka sendiri.
Namun begitu, ibu ini tetap cekal dan tabah menerima apa yang terjadi sebagai takdir Tuhan.
Anak-anaknya iaitu seorang lelaki dan dua orang perempuan terbabit
dengan dadah sejak 12 tahun lalu dan lebih menyayat hati, apabila salah
seorang daripadanya telah meninggal dunia akibat HIV/AIDS.
Biarpun begitu, kehilangan anak perempuannya lebih 10 tahun lalu itu
tidak pernah memberi sebarang keinsafan kepada dua lagi anak Salasiah
yang terlibat dengan masalah yang sama.
Menceritakan pengalaman sewaktu mula-mula mengetahui anak sulungnya,
Ahmad, 40, (bukan nama sebenar) mula berjinak-jinak dengan dadah,
Salasiah tidak dapat menahan rasa sedihnya apabila melihat anak
lelakinya itu menghisap dadah di dalam rumah mereka sendiri.
"Perasaan saya sangat sedih bercampur marah apabila melihat anak saya
membuat perkara bodoh seperti itu. Saya nekad merampas dan membuang
dadah itu.
"Namun kerana ketagih, dia tetap berdegil untuk terus menagih dadah," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Apabila bercerita mengenai anak bongsunya yang dikenali sebagai Mira,
30, (bukan nama sebenar), Salasiah mengaku anaknya itu terpengaruh oleh
arwah kakaknya dan dia menagih ketika berumur belasan tahun lagi.
Derita Salasiah berlarutan apabila, sepanjang anak-anaknya
terpengaruh najis dadah, dia kerap menjadi mangsa ugutan anak-anaknya
untuk mendapatkan duit bagi membeli dadah.
"Barangan rumah habis dijual anak sendiri apabila saya tidak
memberikan mereka wang. Wang simpanan saya juga dicuri, sehinggakan ke
mana jua saya pergi, beg tangan harus dibawa termasuklah ketika masuk ke
tandas, di dalam rumah," tambahnya.
Diugut dengan pisau
Apa yang menakutkan, Salasiah pernah diugut dengan pisau oleh
anak-anaknya untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah untuk melepaskan
gian.
Derita Salasiah memuncak apabila dia juga turut disisihkan
jiran-jiran akibat perangai anak-anaknya sehinggakan dia tidak sanggup
pulang ke rumah kerana tidak mampu menahan perasaan sedih berdepan
situasi anak-anaknya itu.
"Kadangkala mereka akan datang ke rumah kawan-kawan mencari saya
apabila mereka memerlukan wang dan ada yang mengadu mereka berbuat
begitu dengan keadaan yang kasar dan menakutkan.
"Namun, perangai anak-anak saya ini sedikit pun tidak menjejaskan
hubungan persahabatan dengan rakan-rakan baik yang sanggup menolong dan
menjadi pendorong semangat kepada saya," ujarnya yang bekerja sebagai
pencuci pejabat.
Namun, biar sebanyak mana pun hatinya terluka akibat perangai anak-anak, kasih sayang seorang ibu itu tidak pernah padam.
Berteraskan tulang empat keratnya, Salasiah terus bekerja bagi
menyara diri dan anak-anaknya, biarpun usianya kini telah mencecah lebih
60 tahun.
Begitupun, pada suatu hari, akibat rasa tidak sanggup menghadapi
kerenah anak-anaknya, Salasiah memutuskan untuk merelakan anak-anaknya
dihantar ke pusat serenti.
Pihak polis telah dipanggil untuk menahan anak-anaknya ketika mereka sedang melepaskan gian dalam rumah.
"Biarpun memang agak tertekan apabila mendengar maki hamun ketika
mereka ditahan, namun, saya tahu, itu adalah perkara terbaik yang
dilakukan demi masa depan mereka.
"Ahmad yang kini berada di salah sebuah pusat serenti di Johor
dijangka akan keluar pada tahun hadapan dan diharapkan menjadi manusia
yang lebih baik daripada sebelum ini," katanya.
Ahmad yang disifatkan oleh Salasiah sebagai anak yang baik berubah
wajah akibat pengaruh kawan yang terdedah dengan masalah ketagihan dadah
ketika menginjak remaja.
Salasiah juga sangat mengharapkan anak perempuannya, Mira akan
berubah sepenuhnya apabila turut sama diletakkan di bawah pengawasan
pusat serenti di pantai timur Semenanjung.
Bagi Salasiah, sekiranya terjadi perkara yang melibatkan
penyalahgunaan dadah kepada anak-anak, ibu bapalah yang kerap
dipersalahkan.
Namun bagi pihaknya sendiri, ibu bapa mana yang mahu melihat masa depan anak-anak mereka musnah akibat najis dadah.
"Saya sentiasa memberi yang terbaik kepada anak-anak dan doa juga tidak pernah putus saya panjatkan pada Allah.
"Namun apabila berlakunya perkara seperti ini terhadap anak-anak,
saya anggap sebagai ujian Allah yang sentiasa menguji hambanya yang
dikasihi.
"Kepada anak-anak, saya menasihati, mereka perlulah berfikir
sebaiknya memilih jalan agar masa depan tidak disia-siakan di kemudian
hari.
"Kenikmatan yang diperoleh daripada najis dadah ini hanyalah bersifat
sementara yang memberi kesengsaraan yang mungkin memusnahkan kehidupan
selama-lamanya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: