|
SEBUT sahaja diabetes, pasti ramai yang sudah maklum akan penyakitnya. Kebanyakan kita mengetahui bahawa ia merupakan salah satu penyakit tidak berjangkit yang kini semakin mengancam kehidupan berpunca daripada pengambilan gula yang berlebihan.
Percaya atau tidak, diabetes merupakan wabak yang terus menular di peringkat global. Pada masa kini, diabetes membelenggu hidup kira-kira 285 juta orang di seluruh dunia.
Dalam tempoh masa 20 tahun akan datang, dianggarkan bahawa bilangan pesakit akan meningkat sebanyak 50 peratus iaitu mencecah angka hampir 438 juta.
“Bilangan pesakit diabetes akan mencapai 500 juta di seluruh dunia menjelang tahun 2030. Setiap 8 saat akan berlaku satu kematian iaitu bersamaan 4 juta kematian setahun,” kata Pakar Endokrinologi Hospital Putrajaya, Dr. Zanariah Hussien.
Ujarnya, terdapat 2.6 juta pesakit diabetes di Malaysia. Satu daripada lima dewasa berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit ini.
“Penularan diabetes di Malaysia terus meningkat pada kadar yang membimbangkan. Setakat ini Malaysia telah mengatasi perangkaan unjuran kelaziman diabetes daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
“Berdasarkan Tinjau Selidik Kesihatan dan Penyakit IV 2011, bilangan dewasa Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas yang menghidap diabetes berjumlah 2.6 juta,” jelasnya.
Jangan diam diri
Peningkatan mendadak graf tersebut terjadi kemungkinan disebabkan pemahaman yang kurang mengenai penyakit yang semakin popular mengintai golongan muda kini.
Pesakit diabetes sering menderita dalam diam. Dek kerana berat hati untuk mendedahkan ketidakselesaan atau gejala luar biasa yang dialami, penyakit mereka mungkin tidak dikesan untuk tempoh yang lama.
Seseorang itu mungkin menyembunyikan perasaan atau gejala penyakit sehingga berlaku kecemasan dan pada waktu itu segala-galanya mungkin sudah terlewat.
“Kelaziman diabetes di Malaysia amat membimbangkan.
“Kita perlu berusaha lebih gigih untuk membabitkan pesakit, penjaga kesihatan dan penjagaan kesihatan profesional untuk berbincang tentang diabetes supaya kefahaman lanjut tentang rawatan serta pengurusan boleh dipupuk,” kata Pakar Runding Endokrinologi di Pusat Penjagaan Diabetes Sau Seng Lum, Dr. Arlene Ngan.
Komunikasi merupakan kunci kepada usaha menjayakan pengurusan diabetes. Maka disebabkan itu sebuah program yang disusun khas dan ditaja oleh sebuah syarikat produk farmasuetikal, Lily Diabetes untuk golongan tersebut.
|
|
Ia dinamakan sebagai Peta Perbualan Diabetes dengan tujuan meningkatkan kefahaman pengguna, pengurusan diri dan menggalakkan interaksi antara pesakit dan penjagaan kesihatan profesional.
Menerusi program tersebut, Lily Diabetes berusaha mencari dan berkongsi kemajuan terkini dalam pendidikan diabetes.
Berbual tentang diabetes
Program Perbualan Diabetes merupakan usahasama antarabangsa selama tiga tahun dengan Healthy Interactions dan Persekutuan Diabetes Antarabangsa Eropah bersama tokoh pemikir lain.
Kesemuanya berganding bahu untuk menyusun dan mengetengahkan kaedah unik berasaskan perbualan dan berunsur pendidikan.
“Direka untuk digunakan dalam kumpulan kecil antara tiga hingga 10 pesakit, Peta Perbualan berfungsi sebagai visual atas meja yang menarik menggunakan soalan-soalan perangsang minda.
“Ia menggalakkan perbualan antara penghidap diabetes dan profesional penjagaan kesihatan bagi mewujudkan suasana yang terlindung serta mesra untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengurusan penyakit,” ujar Arlene yang juga merupakan jurulatih pakar Peta Perbualan Diabetes.
Peta Perbualan Diabetes tersebut amat berbeza daripada kaedah pendidikan diabetes yang lazim. Ia memberikan pengalaman pembelajaran berasaskan penemuan dan dilaksanakan dalam kumpulan kecil.
“Aktiviti ini menggalakkan proses perbualan dua hala mengenai penyakit dan memberi peluang kepada pesakit untuk berinteraksi dengan orang lain yang mengalami penyakit yang sama.
“Manfaat besar dapat diperoleh daripada perbualan dengan orang yang senasib. Ini kerana anda sedar bahawa anda tidak keseorangan mengharungi pengalaman dan emosi tersebut,” jelasnya.
Peta Perbualan Diabetes menggunakan prinsip pendidikan dewasa bagi mewujudkan proses pembelajaran.
Berpandukan peta tersebut, pesakit mempelajari maklumat relevan, belajar cara mengawal tingkah laku dengan lebih baik dan mendapatkan sokongan berterusan.
“Menerusi dialog dan perbualan peribadi, pesakit akan menyedari fakta penting mengenai diabetes, kepercayaan serta sikap utama yang mencorakkan persepsi tentang penyakit.
“Visual kreatif dan soalan menarik yang disediakan menghiburkan dalam masa yang sama memperkasakan pesakit untuk berbincang mengenai diabetes secara terbuka,” katanya.
Jelasnya, kaedah peta interaktif tersebut mampu mewujudkan suasana positif kerana pesakit boleh mendedahkan dan berkongsi pengalaman tanpa bimbang dengan tanggapan negatif.
Program Perbualan Diabetes akan dilancarkan di lebih 40 negara dalam lebih 25 bahasa berbeza.
Menerusi program tersebut, berjuta-juta orang yang menghidap dan menjalani rawatan diabetes akan memanfaatkan sumber inovatif untuk membantu mereka mengatasi cabaran kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: