Cedera tiga anggota polis
Tertuduh diiringi dua anggota pengiring penjara keluar dari kamar mahkamah selepas didakwa atas kesalahan menyebabkan kecederaan tiga anggota polis di Mahkamah Majistret Kuantan
KUANTAN - Seorang banduan yang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan kerana kesalahan memiliki dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, semalam, bagi menghadapi tiga tuduhan kerana mendatangkan kecederaan parah kepada tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu yang mengiringinya ke Penjara Penor, dekat sini, 18 September lalu.

Tindakan tertuduh, Ruslan Ismail, 32, dari Felda Bukit Banding, Ajil, Hulu Terengganu menyerang seorang anggota polis yang sedang memandu kereta menyebabkan kenderaan yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Datuk Rashid, di sini, mengakibatkan tiga anggota polis parah, manakala dia melarikan diri di kawasan hutan berhampiran.

Tertuduh yang kini sedang menjalani hukuman kerana kesalahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 turut didakwa atas tuduhan cuba melarikan diri daripada tahanan sah ketika kejadian.

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah atas kesemua tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Jessica Diamiss.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang sudah berumah tangga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada Koperal Rashid Ahmad, 51, Konstabel Zulkhairi Ramli, 24 dan pemandu kereta, Lans Koperal Filyx Saver, 25, dalam cubaannya melarikan diri dari tahanan yang sah.

Tertuduh  didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 11.45 pagi, 18 September lalu sebelum melarikan diri, bagaimanapun dia berjaya ditahan polis awal pagi hari berikutnya hasil kerjasama penduduk.

Tuduhan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda itu dibacakan secara berasingan dalam mahkamah sama mengikut mangsa yang terlibat.

Bagi kesalahan cuba melarikan diri daripada tahanan sah, Ruslan didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Memandangkan tertuduh kini menjalani hukuman penjara, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan, manakala 6 Disember depan ditetapkan sebagai tarikh pra bicara kes terbabit.

Dalam kejadian yang pernah menggemparkan penduduk Kuantan September lalu, tiga anggota polis parah selepas kereta yang dinaiki mereka dalam perjalanan menghantar lelaki itu ke Penjara Penor, dekat sini, terbabas sebelum merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di tepi jalan.

Tertuduh yang terlepas dari kawalan akibat kejadian berjaya meloloskan diri dengan tangan bergari di kawasan hutan berhampiran.

Dalam kejadian itu, Lans Koperal Filyx Saver patah paha kanan manakala anggota pengiring, Konstabel Zulkhairi Ramli cedera di leher dan Koperal Rashid Ahmad cedera di pergelangan tangan serta pinggul.
Pemandu lori, Mohd Zamri Abdul Kadir, 25  yang sedang membaiki tayar lorinya di tepi jalan cedera di bahagian betis akibat kemalangan tersebut.