Friday, November 16, 2012

APM2012 jadi platform bakat baharu


SEBAHAGIAN daripada artis yang tercalon dalam Anugerah Planet Muzik 2012.


SEJAK 10 tahun yang lalu, Anugerah Planet Muzik (APM) sememangnya menjadi medan pertembungan bakat muzik antara tiga negara iaitu Singapura, Malaysia dan Indonesia. Sebagaimana majlis anugerah yang lain, tujuan APM juga adalah untuk memberi pengiktirafan kepada para penggiat muzik.
Kini, APM bakal menggegarkan semula arena muzik tiga negara ini di mana penonton dapat menyaksikan persembahan dan penyampaian secara langsung yang akan disiarkan secara eksklusif oleh stesen televisyen satelit Malaysia di saluran Astro Ria (saluran 104).
“Sebagai penyiar rasmi APM2012, kami telah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan aspirasi, visi dan sasaran pihak penganjur mempromosi acara berprestij ini ke tahap yang lebih tinggi melalui wadah Astro.
“Ini untuk memastikan acara yang dinanti-nantikan ini mendapat tontonan yang meluas. Astro juga sangat berbesar hati kerana diamanahkan menjadi penyiar rasmi dan kami hargai tanggungjawab yang diberikan kepada kami ini,” ujar Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani pada sidang akhbar APM2012 yang bertempat di Hard Rock CafĂ©, Kuala Lumpur.
APM kali ini dianjurkan oleh stesen radio Melayu MediaCorp Singapura iaitu Ria 89.7FM dan Warna 94.2FM dan bakal diadakan di MAX Pavilion, Singapore Expo pada hari Sabtu, 15 Disember ini pukul 8.30 malam.
Setelah 10 tahun mempertandingkan kategori yang sama, buat julung-julung kalinya, APM 2012 bakal memperkenalkan beberapa kategori baharu seperti Anugerah Hits Radio, Anugerah Ikon Media Baru serta Anugerah Nova Media Baru.
Antara yang menarik perhatian ialah Anugerah Nova Media Baru. Ini kerana calon yang dipilih bukan bergelar penyanyi profesional dan antara syaratnya ialah mereka tidak boleh terikat di bawah mana-mana label produksi mahupun syarikat muzik.
“Dengan kemudahan muat naik video secara online, kita tidak dapat menjangka siapakah bintang baharu yang akan bersinar dan oleh kerana itu, kami memperkenalkan Anugerah Nova Media Baru yang mengiktiraf kemunculan bakat baharu paling popular menerusi online.
“Bagi Anugerah Ikon Media Baru pula, pengiktirafan diberi kepada artis yang mempunyai ramai pengikut di dunia siber,” tutur Naib Presiden Ehwal Rancangan Melayu, India & Ekspatriat, Radio, MediaCorp Pte. Ltd., Zakiah Halim.
Bagi kategori Nova Media Baru, antara 12 calon yang bertanding, empat daripadanya dari Malaysia iaitu Abdul Hamim Suleiman, Abdul Muttaleeb, Mohd Fairuz Selamat serta Muhammad Samsudian.
Bagi Hamim, Muttaleeb dan Fairuz, keterujaan jelas terserlah pada wajah mereka ketika melihat nama tercalon dalam kategori yang pertama kali dipertandingkan itu.
“Tidak sangka video saya terpilih dan setelah mengetahuinya, saya berasa sangat teruja dan gembira. Saya mula memuatnaik video nyanyian saya sejak tahun 2007 lagi. Ini kerana APM merupakan sebuah anugerah yang berprestij serta ia terbuka kepada tiga negara.
“Menjadi salah seorang daripada calon pun telah membuatkan saya bersyukur. Namun, saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang atau sebagainya. Jika menang, itu mungkin rezeki saya. Ini kerana nyanyian memang merupakan minat saya dan banyak juga ujibakat yang saya pernah sertai antaranya ialah Mentor dan Akademi Fantasia 7 (AF7),” tutur Hamim yang memuatnaik lagu Ombak Rindu nyanyiannya untuk ke APM2012.
Jika ingin sebarang butiran lanjut mengenai APM2012, sila layari www.xinmsn.com/warna942 atau www.xinmsn.com/ria897.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: