Sunday, November 18, 2012

AIM tidak selesaikan kualiti industri muzik


NOMINASI AIM tahun ini dilihat tidak sampai ke tahap yang membanggakan.


TENGGELAM timbul masalah dalam industri muzik. Jika tidak kelihatan pada mata kasar ia tetap berkocak dalam kalangan pemain industri. Itu hakikatnya.
Dahulu, industri muzik diserang lanun cetak rompak. Hilang cerita jenayah paling besar dalam industri muzik tersebut, polemik kini beralih dalam industri itu sendiri. Bukan hendak menuding telunjuk namun masalah yang masih ada dalam industri muzik menuntut penyelesaian segera serta menyeluruh.
Contoh terdekat masalah industri muzik tempatan ketara tersingkap melalui pencalonan Anugerah Industri Muzik yang diumumkan baru-baru ini. Produk yang ditonjolkan tidak sekuat, seperti yang terlihat dan terdengar pada zaman-zaman yang sudah.
Pengulangan nama dan kekurangan naskhah segar juga ketara dalam senarai akhir AIM yang diumumkan semalam.
Tiada orang lama
Jika diteropong melalui pembabitan artis di luar penganugerahan mahupun di kaca televisyen, terdapat percambahan produk dalam pelbagai genre.
Bukan tidak ada pencalonan naskhah hebat tetapi ia sekadar eksperimentasi.
Begitu juga kekeringan hasil kerja orang lama industri yang diharapkan dapat menamatkan kemarau lagu-lagu berkualiti yang sehingga kini tampak semakin membarah.
Nama-nama pemenang besar seperti Datuk Sheila Majid, Pak Ngah, Datuk M.Nasir, Roslan Aziz atau mungkin Farihin Abdul Fatah sudah lama tidak memonopoli anugerah.
Untuk satu kebaikan, mereka ini memberi jalan kepada bakat-bakat baharu namun dalam satu perspektif yang lain, suara dan naskhah mereka ialah kehidupan bagi industri muzik tempatan.
Berbicara dengan sang arif dalam industri muzik iaitu Datuk Ramli MS yang juga menjadi Pengarah Muzik di pentas AIM, dia memberikan pandangan yang wajar dikongsikan bersama.
Menurut Ramli, masalah dalam industri muzik tempatan bukan berpunca daripada AIM tetapi kandungan yang diberikan oleh artis itu sendiri. Kandungan produk yang dihulurkan oleh penggiat seni mengizinkan keadaan atau polemik terjadi dalam industri.
"Syarikat rakaman sudah tidak mahu keluarkan duit untuk berbelanja membuat sebuah album yang baik. Artis keluarkan belanja sendiri tetapi bagaimana dengan hasil akhir produk itu. Penapisannya kurang," jelas Ramli sebelum menambah hasil pemerhatiannya.
"Lebih teruk lagi, tugasan penting dalam sesebuah organisasi muzik iaitu Artist and Repoirtaire (A&R) serta penerbit eksekutif sudah tidak wujud lagi. Sedangkan jawatan ini penting dalam penentuan hala tuju produk," hurainya yang menganggap hasil kerja sekarang ibarat sebuah demo sahaja sewaktu zaman analog dahulu.
"Dahulu semua kandungan muzik, produk lebih berkualiti. Naik turunnya kualiti ini datangnya bukan sekadar daripada pemuzik sendiri tetapi syarikat rakaman perlu pantau. Syarikat rakaman juga perlu keluarkan belanja yang sewajarnya untuk pembikinan album," luah Ramli lagi.
Menurutnya artis-artis baharu berlumba-lumba mahu mengeluarkan produk namun dilakukan tanpa fikir panjang. Penegasan perlu diberikan kepada kualiti kandungan dan hasil seni yang akan ditadahkan kepada pembeli atau telinga pendengar.
"Sekarang pembeli diutamakan. Sesiapa sahaja pun boleh jadi produser mahupun komposer. Memang kita perlukan komposer baharu cuma mereka ini perlu ada integriti kerja mereka," luah Ramli lagi.
Kualiti mengecewakan
Berlapik kata, Ramli mahu agar kata-katanya tidak menjadi isu yang membuatkan karyawan muzik lain terasa hati. Namun, buah fikiran dan pandangan orang lama yang melihat dan terlibat dalam 19 tahun penganugerahan AIM harus diambil kira dalam situasi ini.
Ditanya terus kepadanya tentang tahap AIM dan kualiti produk artis baharu, Ramli diam sebelum menjawab.
"Nilai sendiri profil pencalonan AIM. Apa yang boleh saya katakan, lagu-lagu terkini yang kita dengar hari ini, mungkin kita tidak mahu dengar lagi pada hari esok. Hasil yang terbaik sekarang sebenarnya tidak sebaik sewaktu dahulu," terang Ramli bersungguh-sungguh.
"Dahulu semua kandungan dalam AIM berkualiti. Jujurnya, daripada AIM pertama hinggalah ke AIM pada tahun 2005, saya rasakan semua kandungannya berkualiti," tambahnya lagi.
Ramli yang sudah mengabdikan diri dalam industri muzik lebih dua dasawarsa mendakwa, AIM adalah satu penghormatan.
"Muzik perlu pembaharuan, itu bukan saranan, itu ialah (arahan yang) wajib (dibuat). Idea baharu memang diperlukan," ujar Ramli mengatur penilaian tentang konflik yang entah bila berpenghujung.
AIM harus bertahan
Lantas, atas segala polemik, kecelaruan antara ketelusan penjurian serta percaturan naskhah yang dipertandingkan, kembara hayat AIM terus menjadi persoal.
"Apa jua skeptikal, sentimen atau penilaian, AIM itu tetap satu majlis penghormatan kepada karyawan muzik. Cuma, janganlah ia sekadar ada, tiada persaingan antara komposer baharu atau lama," kata Ramli.
"Apabila dengar semula karya-karya itu, ia membuatkan minda saya berfikir ligat dan kena kerja keras untuk hasilkan satu bunyi baharu dalam bentuk orkestra.
"Satu perkara lagi, ini memang kerja saya. Saya ada pilihan tapi mandat itu cukup buat saya. Saya boleh berikan sentuhan baharu dan angkat karya itu ke tempat sepatutnya," tutupnya sambil melenturkan pesanan akhir.
Kata Ramli, seburuk mana pun penilaian mana-mana individu terhadap cara penjurian dan kaedah penjurian AIM tahun ini, sistem muzik itu harus diterima.
"Pemenang akan tetap pemenang kerana seni itu tidak menipu," tutupnya tanpa emosi prejudis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: