KAWASAN sekitar pusat beli-belah Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala
Lumpur pada pagi itu agak sesak. Kebetulan, ia merupakan cuti hujung
minggu, pastinya kesempatan itu digunakan warga kota untuk bersiar-siar
dan membeli-belah.
Di satu sudut kedengaran suara seorang lelaki berkerusi roda sedang leka memberi arahan.
“Rapat sikit lagi. Hai, dah kahwin pun takkan masih malu-malu lagi,”
usik Mohamad Firdaus Abdul Latif, 27, kepada pasangan di hadapannya.
Selepas beberapa ketika, lelaki yang mesra dengan panggilan Daus itu
pantas melihat skrin Lensa Refleks Tunggal Digital (DSLR) jenis Nikon
D300 miliknya.
Satu persatu gambar yang tersimpan rapi dalam memori kameranya
dibelek. Kepuasan jelas terpancar daripada riak wajahnya, ternyata sesi
penggambaran itu berjalan lancar seperti diharapkan.
“Seorang jurugambar memerlukan kreativiti dan imaginasi tinggi untuk
memastikan gambar yang diambil cantik dan mempunyai makna di sebaliknya.
“Saya mempunyai konsep tersendiri ketika mengambil gambar. Ia
mestilah mempunyai nilai dan menarik perhatian pelanggan,” katanya.
Tragedi menyayat hati
Sambil membetulkan kedudukan di atas kerusi roda, Daus, anak tunggal
kepada pasangan Abdul Latif Nordin, 60, dan Azizan Buyong, 57,
memulakan kisahnya.
“Jika tidak bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU) mungkin saya hanya
tahu membaiki penyaman udara seperti yang dipelajari ketika menuntut di
Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuala Lumpur dahulu,” ujarnya.
Memorinya pantas berputar mengingati kisah yang berlaku pada pagi 12 Disember 2004.
Dia yang berusia 19 tahun ketika itu sedang menuntut di IKM. Seperti
kelaziman, dua minggu sekali dia akan pulang bercuti hujung minggu ke
rumahnya di Bandar Behrang 2020, Tanjung Malim, Perak.
KECACATAN bukan penghalang untuk Daus menzahirkan rakaman foto yang cantik dan kreatif.
“Saya sengaja memilih laluan jalan lama, Kuala Lumpur-Rawang ke
Tanjung Malim kerana lebih dekat dan kurang sesak berbanding lebuh raya.
“Namun, takdir Tuhan sebaik tiba di sekitar kawasan Hutan Simpan
Templer, motosikal saya telah dirempuh oleh sebuah kenderaan dari arah
belakang.
“Akibatnya, saya tercampak bersama motosikal ke dalam gaung bersebelahan dan tidak sedarkan diri,” ceritanya.
Malang bagi Daus kerana pemandu kenderaan itu bertindak melarikan
diri. Tambah malang, lokasi tempat dia terjatuh yang dikelilingi gaung
sedalam 30 meter menyebabkan kejadian itu tidak disedari oleh pengguna
jalan raya yang lain.
Selepas 30 jam tidak sedarkan diri, kelibatnya hanya disedari oleh
pekerja pemotong rumput yang kebetulan melakukan kerja-kerja pembersihan
di kawasan itu.
Katanya, dia hanya tersedar selepas beberapa hari menerima rawatan di hospital.
“Ketika mahu bangun saya rasakan seluruh badan sakit, kebas dan sukar bergerak.
“Dalam keadaan mamai, saya diberitahu saya cedera parah. Kaki kiri
saya terpaksa dipotong sehingga ke paras atas lutut, lebih malang saya
juga disahkan lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat kecederaan
saraf tulang belakang,” katanya.
Pada peringkat awal, Daus sukar menerima kenyataan. Dia menjadi murung, suka menyendiri dan sering menangis.
Bagaimanapun, keadaan Daus berubah ketika menjalani rawatan susulan selama tiga bulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bangkit semula
Sepanjang di HKL, Daus menyaksikan keadaan pesakit-pesakit lain yang
menjalani rawatan. Ada kes sepertinya dan ada juga kes kritikal kerana
pesakit hanya mampu terbaring kaku di atas katil.
“Tidak semena-mena timbul rasa insaf dan syukur di dalam diri, sekurang-kurangnya nasib saya lebih baik berbanding orang lain.
“Lagi pun saya masih dikurniakan akal dan kudrat untuk bergerak,
malah kedua-dua belah tangan saya juga langsung tidak terjejas,” kata
lelaki yang masih bujang itu.
Enggan menoleh ke belakang, Daus menggunakan kemahiran yang dipelajari sebelum itu dengan mengambil upah membaiki telefon.
Seterusnya, dia mula bekerja di pusat siber dan kedai komputer. Di
situ dia mahir membaiki komputer sehingga mampu membuka perniagaan
sendiri, Filara Enterprise pada tahun 2009.
DAUS kini boleh berbangga kerana mampu memiliki perniagaan membaiki komputer sendiri di bawah syarikat Filara Enterprise.
“Pelanggan saya terdiri daripada jiran tetangga, kenalan dan pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Itulah punca pendapatan saya sekarang, setakat ini ia berjalan
lancar, malah jumlah pelanggan juga semakin meningkat,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Daus turut berjinak-jinak dalam bidang fotografi selepas seorang rakan meminjamkan kamera DSLR kepadanya.
Sejak itu, dia semakin meminati hobi baharunya itu. Jika ada
kelapangan, dia sanggup menghabiskan masa berjam-jam di sekitar
kampungnya untuk mengambil gambar.
Mengakui tidak mempunyai asas dalam bidang itu, Daus tekad berguru
dengan kenalannya yang dikenali sebagai Cikgu Zul, mengenai aspek
teknikal kamera termasuk mempelajarinya menerusi internet.
Daus mengubah fasa daripada hanya sekadar hobi kepada satu tugas
apabila dia diminta mengambil gambar perkahwinan salah seorang
sepupunya.
Sejak itu, dia bertekad meneruskannya sebagai kerjaya sampingan selain menguruskan perniagaan sedia ada.
Katanya, kecacatan bukanlah penghalang untuknya berjaya dalam bidang fotografi.
Biarpun pergerakannya agak terbatas berbanding jurugambar yang lain,
namun dia mampu menghasilkan gambar-gambar kreatif dan mempunyai nilai
seni yang tinggi.
“Saya tidak merasakan kelemahan dan kekurangan dalam diri saya sewaktu berada di lokasi penggambaran.
“Bagi saya kekurangan ini membuatkan saya ingin membuktikan kreativiti dan kemampuan diri,” katanya.
Di bawah kelab fotografi, Fotoshutter, Daus mengembangkan bakatnya,
malah dia kini semakin menjadi rebutan untuk majlis perkahwinan,
fotografi potret individu dan berkumpulan serta majlis-majlis korporat
di seluruh negara.
“Sebagai jurugambar, saya perlu melahirkan idea serta-merta ketika
merakam gambar. Ia terhasil daripada pengalaman dan persiapan awal yang
dilakukan sebelum sesuatu tugasan.
“Saya suka merujuk kepada gambar-gambar terbaik dalam media cetak dan
mengkaji teknik atau gaya fotografi terkini. Kemudian saya
menyesuaikannya dengan idea dan gaya sendiri,” katanya.
SELEPAS mempunyai lesen memandu, Daus berhasrat membeli kereta khas untuk golongan OKU sepertinya.
Adakah dia akan terus meneruskan minatnya di dalam bidang itu? Daus
berkata, fotografi adalah kerjaya yang benar-benar sesuai dan sebati
dengan jiwanya selain memberikan beliau kepuasan hidup,” ujarnya penuh
makna.