Thursday, March 22, 2012

Zaiton Sameon Adakan Konsert Sebagai Bukti Masih Waras

KUALA LUMPUR: Penyanyi Zaiton Sameon akan membuktikan kepada masyarakat dirinya masih mampu menyanyi walaupun dituduh kononnya dia tidak waras selepas kemalangan ngeri 22 tahun lalu.

Zaiton, 55, yang popular dengan lagu Menaruh Harapan berkata, dia akan membuktikan keupayaannya itu pada Konsert Amal Kebajikan Zaiton Sameon yang akan diadakan di Dataran Sungai Kerang, Pantai Remis, Perak pada 7 April depan.

"Selepas mengalami kemalangan ngeri pada 21 Februari 1990 yang menyebabkan kematian anak saya, ramai pihak tidak mempercayai kepada kebolehan saya menyanyi dengan baik.

"Melalui konsert ini saya akan buktikan bahawa saya masih mampu menyampaikan lagu dengan baik," ujarnya kepada mStar Online pada majlis sidang media konsert itu di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Zaiton memberitahu, selama ini dia menampung kehidupan dengan menyanyi di majlis kahwin dan hanya dibayar sebanyak RM100 hingga RM200 selain mengadakan beberapa persembahan di kelab.

Ujar Zaiton, dia terpaksa menerima tawaran itu kerana tidak mendapat kepercayaan daripada pihak penganjur untuk mengundangnya sebagai artis jemputan.

"Saya terpaksa buang rasa malu demi menampung kehidupan dengan menyanyi di majlis orang kahwin kerana tidak mendapat kepercayaan daripada penganjur. Itu pun jarang-jarang orang panggil.

"Bagaimanapun saya tidak boleh merungut kerana itu adalah rezeki saya," ujarnya.

Bercakap mengenai konsert itu nanti, Zaiton berkata, dia akan menyampaikan sebanyak 10 buah lagu pada konsert itu nanti.

Tambahnya, antara lagu yang bakal disampaikan adalah Siti Payung, Perigi Biru, My Way, Black Magic Women dan Kabut Serangkai Mawar.

Antara artis yang bakal turut serta dalam konsert itu nanti adalah Ali (Terra Rossa), Baggio (Damasutra) dan Farhana Jalil.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Fredie Fernandez berkata, konsert tersebut dibuka kepada umum secara percuma dan penonton boleh menghulurkan derma kepada Zaiton menerusi tabung yang disediakan.

Freddie memberitahu, usaha itu adalah sebagai membantu penyanyi itu meringankan bebannya yang semakin dilupakan oleh peminat.

"Idea asal bagi mengadakan konsert ini adalah dari salah seorang daripada ahli Karyawan iaitu Azmi Zahari yang sentiasa prihatin terhadap nasib golongan artis di negara ini.

"Kehadiran khalayak ke konsert itu terutama peminatnya amat dialu-alukan kerana sudah lama Zaiton tidak mengadakan persembahan di hadapan peminat. Sambil berhibur peminat boleh menderma," ujarnya.

Freddie berkata, artis-artis yang ingin sama-sama menjayakan konsert berkenaan boleh berbuat demikian dengan menghubunginya.

Dalam perkembangan sama, Freddie berkata, selain Pantai Remis konsert itu turut akan diadakan di Raub, Pahang, Pulau Pinang, Rembau, Negeri Sembilan dan Tanjung Karang, Selangor.

Bagaimanapun tarikh untuk persembahan di lokasi tersebut masih belum ditetapkan.

Kepada peminat dan individu yang ingin membantu Zaiton mereka boleh menderma terus ke akaun peribadi atas nama Zaiton Sameon menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 14192-41-00003343-0.

Sebarang pertanyaan mengenai konsert berkenaan juga boleh menghubungi Azmi 019-2280479 atau Ahmad 014-7176276 untuk keterangan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: