KLUANG 2 Mac - Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) akan bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam menjalankan projek sekolah angkat bagi dimantapkan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.
Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya sedang mengenal pasti sukarelawan peguam terutamanya daripada Sukaguma, penuntut dan tenaga pakar UTHM untuk terlibat menjayakan projek itu.
"Buat permulaan, kita akan memilih sebuah sekolah di Kluang sebagai sekolah angkat untuk kita sama-sama membantu meningkatkan prestasi akademik, kokurikulum dan memantapkan keperibadian pelajar-pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk Pembentukan Keperibadian dalam Kepimpinan Menuju Kecemerlangan Kerjaya pada Kongres Kepimpinan di UTHM di sini, semalam.
Dalam ceramahnya, beliau yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sukarelawan Siswa Kementerian Pengajian Tinggi menarik perhatian pelajar apabila menyarankan golongan itu menerapkan prinsip PESTA iaitu politik, ekonomi, sosial, teknologi dan agama sebagai panduan untuk menjadi pemimpin pelapis negara.
"Pelajar mesti mempunyai hubungan baik dengan manusia dan Tuhan (politik); mempersiapkan diri dalam bidang ekonomi dengan menjana pendapatan sendiri.
''Mereka turut perlu bersama teman dan rakan yang mampu membawa diri ke arah kejayaan positif (sosial),'' katanya.
Khairul Anwar menambah, para pelajar juga perlu menggunakan teknologi tepat termasuk media sosial dalam menentukan hala tuju diri dan ia harus berpandukan agama yang melindungi umat manusia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: