Monday, March 5, 2012

Umrah seringgit sejuta nilai


Zainal Abidin Sakom (dua dari kiri) dan Abdullah Abdul Hamid memasukkan RM1 ke dalam tabung USSI pada majlis pelancaran program Umrah Seringgit Sejuta Nilai, baru-baru ini.


APALAH sangat ada pada wang seringgit..." Begitulah mungkin tanggapan ramai daripada kita dek kerana tidak nampak nilaian RM1 dalam kehidupan seharian kita.

Sehinggakan untuk menjadikan ia sebagai wang saku anak-anak ke sekolah pun dirasai tidak wajar atau tidak sampai hati.

Pun begitu, tahukah kita RM1 yang mungkin kecil bagi kita tetapi memberi makna yang besar buat insan lain.

Lantas mengambil ibarat sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit telah mengilhamkan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) bersama Karyawan Bestari Sdn. Bhd. satu idea unik yang dikenali sebagai program Umrah Seringgit Sejuta Nilai.

Program yang menggunakan singkatan USSI ini adalah suatu usaha amal yang bermatlamat untuk mengumpulkan dana bagi menunaikan hajat insan terpilih menunaikan ibadat umrah.

Berkonsepkan menggerakkan hati orang ramai menyumbang RM1 yang kebiasaannya dibelanjakan untuk tujuan kurang penting agar insan yang kurang bernasib baik seperti; golongan fakir miskin, mualaf, warga emas, anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) merasai aura Tanah Suci Mekah.

Hakikatnya, berada di tanah kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW serta menyelami sirah Rasulullah serta perkembangan syiar Islam adalah impian setiap daripada kita, waima menerusi ibadat umrah ataupun haji.

Bila sahaja bergelar Muslim, pasti sekelumit rasa keinginan agar dapat mengadap Kaabah sepuas-puasnya dan menitiskan air mata di makam Rasulullah, kuat terpateri dalam azam diri. Sayangnya realiti yang terpaksa ditelan oleh segelintir mereka yang dikekang oleh masalah kemiskinan, cita-cita atau impian itu terpaksa dikuburkan.

Walau bagaimanapun, Allah SWT itu Maha Mengetahui segala yang di langit dan di bumi. Malah apa yang ada di dalam hati manusia itu juga adalah dalam genggaman-Nya. Atas kuasa yang dimiliki-Nya itu, Dia mampu memperkenankan dan memakbulkan doa hamba-hamba-Nya.

"Alangkah bertuahnya kita sekiranya dipilih oleh Allah menjadi saluran kepada termakbulnya doa seseorang itu. Dalam perkara ini, anggaplah kita adalah sebahagian daripada insan pilihan-Nya untuk menjayakan hajat mereka yang tidak berupaya melakukan ibadat umrah tetapi dengan ikhtiar hari ini, maka tertunailah hajat mereka.

"Untuk projek percubaan dua orang telah dipilih untuk menunaikan umrah dan insya-Allah mereka akan bertolak pada bulan Mei ini.

"Saya juga merasakan kita bakal menghantar lebih ramai bergantung kepada respons yang diterima," kata pengerusi YBK, Datuk Zainal Zainal Abidin Sakom.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan pelancaran USSI di Restoran Rebung, Bangsar Park, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Zainal Abidin, selain mengharapkan derma orang perseorangan, pihaknya juga amat mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat korporat, sekali gus dapat merealisasikan impian lebih ramai golongan sasaran untuk ke Mekah.

Sementara itu, Abdullah Abdul Hamid yang juga pengarah projek berkata, idea diwujudkan USSI bertitik tolak daripada pertemuan krew penggambaran dokumentari yang diketuai olehnya di sebuah perkampungan Orang Asli di Pekan, Pahang.

"Ia berlaku pada tahun lepas sewaktu kami melakukan paparan mengenai seorang ibu tunggal yang hidup serba kekurangan tetapi amat berhajat melakukan umrah.

"Apabila sekali lagi kami bertemu dengan beliau, kini ibu tunggal itu telah menunaikan haji menerusi satu bantuan yang diterima.

"Daripada situlah idea itu saya peroleh dan alhamdulillah apabila dipanjangkan kepada datuk dan datin, lebih menggembirakan saya tidak bertepuk sebelah tangan.

"Bermula dari situ, beberapa siri perjumpaan, perbincangan dan kertas kerja dirancang rapi. Alhamdulillah menerusi Sukarelawan daripada YBKN serta sokongan banyak pihak terutamanya media dalam menyampaikan maklumat, segala yang baik itu akan pasti berjaya," jelasnya kepada pihak media pada petang itu.

Mereka yang berminat menghulurkan derma, boleh menyumbang melalui akaun Bank Al Rajhi bernombor 107001881930103 atau melalui tabung yang digerakkan oleh sukarelawan YBK. Setiap sumbangan juga akan dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Maklumat lanjut bolehlah menghubungi YBK di talian 03-7875 0036 atau pejabat Karyawan Bestari Sdn. Bhd. di talian 03-6140 6799 ataupun menerusi laman sosial facebook umrahseringgit dan twitter rasmi Program USSI di @UmrahSeringgit atau twitter YBK di @ybkselangor

Dua peserta yang terpilih menjadi perintis program USSI ini ialah Omar Ravi Abdullah, 42, seorang mualaf yang bekerja sendiri sebagai pendawai elektrik.

Seorang lagi adalah bapa kepada 12 anak dari Pekan, Pahang, Abdul Samad Sapie, 59, yang langsung tidak menyangka doanya termakbul dengan cara yang cukup unik.

Kedua-dua peserta yang ditemui di penghujung majlis berasa terharu dan bersyukur dengan tawaran dan pelawaan yang diterima.

Malah ia merupakan sesuatu yang tidak disangka-sangka serta menanggap pemergian ini adalah rezeki Allah SWT yang paling bermakna di dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: